Sunday, June 21, 2015

Perihal Kemunduran Ekonomi Melayu

Kesimpulan akhir yang dikeluarkan hasil Sidang Meja Bulat Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) pada 17 Jun yang lepas, mendapat reaksi yang pelbagai dalam kalangan masyarakat yang peduli. Kesimpulan-kesimpulan itu jelas menunjukkan Melayu terus menjadi kumpulan yang terpinggir dalam persaingan ekonomi dan kekayaan di Malaysia.

Reaksi khalayak, kita boleh buat jangkaan sendiri. Tipikal khalayak yang belum cukup akal yang kedapatan ramai di Facebook, mereka tidak segan silu menyalahkan Cina sebagai sebab utama kemunduran ekonomi Melayu. Mereka pergi lagi jauh dengan menyalahkan DAP, tidak ketinggalan juga mereka terus menerus menyalahkan kolonial penjajah.

Dalam keributan begini, amat suka untuk saya anjurkan kepada rakan-rakan 2 buah buku untuk bacaan ringan santai, untuk berikan kita sedikit faham tentang bagaimana kita bersikap pada isu yang tiada putus kesinambungannya saban tahun, iaitu: i) Dilema Melayu oleh Mahathir Mohamad, dan ii) The Colour of Inequality oleh Muhammed Abdul Khalid.

Kedua-dua buku ini amat ringan untuk dihadamkan, pun begitu isi kandungannya cukup padat untuk memberi kita faham pada konteks dan latar belakang sejarah isu kemunduran Melayu dalam ekonomi. Faham ini penting, supaya kita tidak terperangkap dalam arus pandangan bandwagon, yang banyaknya bersifat populis dan penuh kepolitikan.

Mahathir bermula dengan konteks sejarah dan kesan penjajahan pada kaum Melayu. Beliau kemudiannya menulis perihal monopoli Cina yang menyebabkan Melayu mundur. Kemudiannya beliau menulis perihal kaum Melayu dan sikap-sikapnya sendiri yang menyebabkan mereka jadi mundur begitu dalam ekonomi.

Demikian jua pada buku kedua, yang ditulis oleh Dr. Muhammad turut bermula dengan menceritakan latar belakang sejarah yang membayangi permasalahan kesenjangan kekayaan yang berlaku pada hari ini. Pada bab-bab seterusnya, perbahasan penulis begitu padat dan memuaskan untuk kita faham isu ini dengan lebih baik.

Walaupun buku Mahathir itu ada isu yang tersendiri lantaran tulisannya yang bersifat itlak atau generalisasi, saya nasihatkan pembaca untuk mengimbanginya dengan membaca analisis dan kajian dalam The Colour of Inequality, kerana dari situ kita boleh faham mengapa isu kesenjangan kekayaan ini terus berlaku bersinambungan dari generasi ke generasi.

Dalam menginsafi isu ini, pada saya secara peribadi, saranan-saranan Dr. Muhammad dalam bukunya itu amatlah bernas untuk dimajukan lagi, dibawa ke depan oleh mereka yang bertanggungjawab dalam sektor-sektor tertentu. Kita yakin, masalah ini bukanlah bersifat kekal jikalau adanya tindakan-tindakan cekap dan penuh amanah dari pemerintah.

Pada akhirnya, isu ini berbalik pada asal permulaan iaitu soal ketelusan dan amanah dalam menunaikan tanggungjawab yang telah diberikan mandatnya oleh rakyat kepada para politikus dan pemimpin negara. Jika mereka yang berada di posisi-posisi itu menjalankan tanggungjawab mereka dengan jujur, masalah ini sebenarnya sudah lama pun selesai.

Bacalah The Colour of Inequality, pembaca tentu akan bersetuju dengan saya bahawa segala permasalahan ini sebenarnya berpunca dari kegagalan menjalankan amanah yang telah diberikan. Dan hanya satu cara untuk merawat luka ini, iaitu dengan kita menendang kesemua pemimpin palsu dan melantik mereka yang benar layak untuk berada di posisi itu.