Friday, June 5, 2015

Perihal Istana Syarqiyyah

Kisah istana besar dibina di Chendering, Kuala Terengganu itu bukanlah hal baru. Telah lama pun cerita itu sebenarnya. Tahun lepas, sambutan Aidilfitri khabarnya Sultan Mizan membuka istana itu kepada orang ramai untuk datang bersama memeriahkan majlis. Khabarnya lagi, memang indah pun istana itu, cuma tiada gambar yang tersiar di laman Internet masa itu.

Sebagai warganegara, yang turut membayar cukai, tentulah ada pertanyaannya apabila berita ini tersebar luas. Bayangkan, keluarga diraja Terengganu bukan tidak pernah memiliki istana, bahkan sudah berbuah-buah istana di sekitar Bandar Kuala Terengganu. Soalan pertama yang terpacul, untuk apa lagi dibina istana baharu?

Kalaupun kita berbangga kerana negeri kita itu punya istana yang tersergam indah, maha mewah, tetapi apa yang untung dengan sekadar bangga begitu, sedangkan kita tahu, betapa tersiatnya hati kita tatkala menerima khabar tentang kemewahan istana sedang pada masa yang sama, ribuan lagi yang berteduhkan atap zink berkarat yang bocor.

Tapi, untuk kita marahkan Istana pun, tiada gunanya. Kita bertanya, apakah Istana sudi mendengar segala bantahan dan susah gelisah rakyat terbawah? Saya tidak merasa Istana mampu merendahkan kepala mereka sebegitu untuk telinga mereka mendengar esakan marhaen. Rasanya itu agak mustahil pada adat kebiasaan.

Fitrah manusia, memang kita akan mengagumi binaan-binaan yang indah begitu, tambah lagi dengan hiasan dalaman dan taman-taman yang serba mewah. Siapa tidak meraga kagum bukan, namun tidaklah sesekali kekaguman itu dapat memadam rasa curiga, tentang dari mana Istana Terengganu mendapat biaya bagi membina istana sebegitu mewah.

Jika ianya diambil dari bahagian duit cukai orang ramai, yang sepatutnya dilaburkan untuk sekolah-sekolah, perpustakaan awam, rumah-rumah rakyat mampu milik dan hospital-hospital, kemudian diambil secara rahsia, untuk membina istana 100 bilik sebegitu rupa, itulah zalim namanya. Tidaklah boleh kita membisu cuma, membiarkan sepi, tanpa sedikit pun rasa kesal curiga.

Wajib akan ia untuk dipersoalkan, jika benar istana itu adalah hasil dari dapatan cukai orang ramai. Jika Sultan Mizan mengeluarkan duit poket sendiri untuk membina syurga berkonsepkan Andalusia itu, maka soalan ini tidaklah perlu dijawab. Soalan ini akan tergantung selama-lamanya, selagi mana istana memilih untuk berdiam diri, dan terus bersembunyi diri di balik dinding marmar mahligai itu.

Satu sudut yang bagus, kalaulah benar Istana Syarqiyyah itu memenuhi segala ciri yang mampu mempamerkan keagungan dan kemegahan Kesultanan Terengganu, Sultan Mizan boleh sudah berkira-kira untuk menamakan istana di puncak Chendering itu sebagai kediaman rasmi keluarga diraja Terengganu, dan hadiahkan kompleks istana lama kepada kerajaan negeri untuk diubah menjadi muzium.

Paling kurang, Istana Syarqiyyah berpenghuni, tidaklah kosong sunyi, yang tinggal cuma tukang sapu lantai dan tukang kebun. Dan paling tidak pun, istana-istana lama itu bolehlah dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat, jika diubahsuai menjadi muzium atau perpustakaan diraja, atau pusat penyelidikan yang boleh dilawati dan diguna pakai oleh sekalian rakyat.

Mohon usul patik yang hina lagi serba miskin ini diperkenankan Tuanku!

Daulat Tuanku!