Friday, June 12, 2015

Mengenali Sigmund Freud dan Perbahasan Sekitar Psikoanalisis

Minggu ini, bermulanya Sekolah Falsafah musim kedua, selepas bercuti beberapa bulan sehabisnya musim pertama tahun lepas. Seperti biasa, kami dibimbing oleh guru kami, Fuad Rahmat, moga rahmat tuhan ke atasnya. Jika tahun lepas, sekolah falsafah lebih kepada pengenalan kepada dunia falsafah bermula dari Socrates sehingga kepada Freud secara umum dan tidak berfokus. Nama pun pengenalan.

Untuk musim ini, kami berfokuskan pada perbahasan sekitar psikoanalisis dari sudut teori sosial. Ini akan dijelaskan secara lanjut nanti. Jadinya musim ini, kelas akan menjadi semakin berfokus dan sepanjang musim ini, hanya beberapa tokoh falsafah sahaja akan dibaca, bermula dari bapa psikoanalisis sendiri iaitu Sigmund Freud sehinggalah ke Jacques Lacan, Michel Foucault, Gilles Deleuze serta Félix Guattari.

Kata Fuad, musim ini kelas akan menerokai perbahasan psikoanalisis sebagai teori budaya atau teori sosial. Makna katanya, perbahasan ini akan bertumpu pada dua soalan besar iaitu; i) Apakah yang membentuk nilai dan identiti sesebuah masyarakat, dan ii) Apakah desakan-desakan dan nilai asas yang berkesenjangan yang menggerakkan sesuatu isu yang dihadapi oleh sesebuah masyarakat.

Minggu ini, sebagai pengenalan, Fuad telah memperkenalkan Freud secara umum, termasuklah sejarah hidupnya, kisah dan isu sekitarnya yang menjadi pendorong kepada kajiannya, konteks zamannya ketika itu di akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Begitu juga perihal perkelahian Freud dan dua orang anak murid utamanya iaitu Alfred Adler dan Carl Jung.

Fuad turut memperkenalkan kami kepada beberapa terma-terma teknikal yang akan banyak diguna pakai dalam perbahasan psikoanalisis selanjutnya kelak, seperti neurosis, Oedipus complex, konsep Id, Ego, Superego sebagai defense mechanisms, repression, dan banyak lagi. Pengenalan kepada terma-terma teknikal begini sangat penting, terutamanya dalam memahami teks asal perbahasan psikoanalisis.

Positifnya, apa yang saya secara peribadi merasa mengapa perlunya hadir ke kelas begini, walaupun secara teknikalnya langsung tiada kaitan dengan latar belakang akademik, adalah tidak lain, untuk tahu sesuatu yang saya tidak pernah tahu sebelum ini. Tentang psikoanalisis, kalau mahu dibaca sendiri, berdasarkan kapasiti peribadi, saya tidak merasa ianya langkah bijak untuk saya.

Makanya, kelas begini, seperti mana kata Fuad, akan menjadi suatu kumpulan sewacana (discursive) yang membantu sesiapa sahaja memahami asas perbahasan psikoanalisis, termasuklah untuk memahami karya-karya tokoh awal Frankfurt School seperti Erich Fromm, Herbert Marcuse, Theodor W. Adorno dan juga tokoh-tokoh mutakhir yang menulis soal psikoanalisis seumpama Slavoj Žižek dan Alain Badiou.

Kesimpulan awal yang boleh saya bina, dari apa yang telah disyarahkan oleh Fuad adalah, bagaimana Freud mahu manusia menjadi jujur dengan diri mereka sendiri, menampilkan diri mereka yang sebenar, luahkan apa sahaja keinginan yang mereka pendamkan selama ini, langsung dari situ, akan melahirkan kelompok masyarakat yang benar bebasnya, bermula dari penonjolan sikap di peringkat keluarga.

Namun begitu, persoalan terbesar malam itu yang bermain-main dalam fikiran saya adalah, apakah dengan “kejujuran” begitu kelak nanti akan timbulnya kacau-bilau dan porak-poranda dalam sistem bermasyarakat, atau chaos, apabila segalanya sudah tidak lagi perlukan sistem tertentu, atau aturan moral, sebagaimana cakerawala itu sendiri, untuk teratur fungsinya perlukan sekatan dan sistem tertentu.

Mungkin soalan ini akan terjawab dalam siri-siri akan datang, InshāʾAllāh.