Wednesday, May 27, 2015

Sukan dan Tuhan

Seminggu ini, kolej saya di UKM hingar bingar dengan hilai tawa dan keletah adik-adik sekolah rendah yang datang menginap, atas kapasiti menyertai Kejohanan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan (Perisai Tun Ahmad Sarji) yang berlangsung di UKM Oval. Hebat-hebat mereka semua, meski umurnya sebegitu hijau, dengan kelayakan bermain dalam kejohanan berprestij begini, tentulah bakat mereka bukan calang-calang.

Saya tidaklah bermaksud untuk mengomel perihal kejohanan mereka sertai itu, tambahnya pula saya bukanlah peminat sukan kriket pun. Cuma sedikit luahan, mungkin perkongsian, atas rasa prihatin dan simpati – mungkin, apabila saya melihat dari jauh bagaimana adik-adik ini diurus tadbir oleh pengurus pasukan mereka masing-masing ketika di kolej kediaman.

Konteksnya, setakat yang saya perhatikan, ada banyak pasukan yang menginap di sana. Mereka datang dari pelbagai sekolah, yang saya sempat berbual pendek, ada yang datang dari Perak. Sayangnya, sebanyak itu pasukan yang datang menginap, saya nampak hanya sebuah pasukan sahaja, bersama-sama pengurus mereka, datang memenuhkan dewan solat di kolej kami.

Tertanya-tanya juga saya, ke mana perginya lain-lain pasukan? Ketika maghrib, ramai juga selain pasukan yang disebut tadi, adik-adik dari pasukan lain datang solat berjemaah bersama, tapi sayangnya, tidak nampak pula ke mana pengurus mereka pergi tika anak-anak buah mereka itu datang solat berjemaah. Uniknya pasukan yang tadi, saya nampak pengurus-pengurus mereka begitu menekankan bab ini.

Bayangkan, mereka boleh sepasukan datang solat subuh berjemaah bersama pengurus mereka, kemudiannya berkumpul untuk bacaan Yasin selepas itu, setiap pagi. Tentu sekali, sekadar gambaran begini tidak mampu memberikan apa-apa justifikasi pada pertimbangan moral atau keimanan sesiapa, cuma usaha begini, hemat saya, wajib diikuti oleh mana-mana pengurus pasukan.

Anak-anak kecil di bawah jagaan mereka itu bukan lagi dalam lingkungan umur yang selesa pada tanggapan, “tak mengapa, mereka budak lagi...” sedangkan anak-anak itu berada dalam tanggungjawab mereka untuk dididik dan didisiplinkannya. Jika pengurus sukan berpendapat, sukan adalah sukan, dan soal penegasan bersolat itu bukan tanggungjawab mereka, saya kira mereka telah melakukan kesilapan yang besar.

Pertamanya, wajiblah kita insaf, kalau sekadar menjadi pengurus pasukan yang tanggungjawabnya hanya untuk pastikan soal makan minum dan latihan atlet sahaja, maka tidak ubahlah menjaga anak-anak itu seumpama menjadi pengurus kandang kuda polo, yang mesti dijaga makan minum kuda itu dan disiplin latihannya secara ketat. Justeru, haruslah ada beza antara mengurus anak-anak kecil dan kuda polo tadi.

Beban tanggungjawab ini terletak pada pundak sang pengurus pasukan masing-masing. Jika ada pengurus pasukan yang mampu mendisiplinkan anak-anak kecil itu soal menjaga solat dan hubungannya dengan tuhan, dan mereka juga turut menunjukkan contoh teladan kepada atlet-atlet cilik itu, maka tentulah usaha ini tidak mustahil untuk lain-lain pengurus pasukan mencontohinya.

Sayanglah, kalau sekadar menguruskan pasukan anak-anak kecil itu untuk mengajar mereka bekerja keras mengejar kejuaraan semata-mata, tapi pada masa yang sama, tidak mampu mendidik mereka untuk menjadi hamba tuhan yang berdisiplin, sedangkan ketika umur mereka begitu hijau, tentu sekali itulah peluang yang cukup baik untuk menerapkan nilai-nilai begini sebelum mereka menginjak umur remaja.

UPDATE (31 Mei): Pasukan dari Johor, SK Parit Jawa hari ini akan menentang pasukan dari Perak di Grand Finale. Moga tuhan perkenankan kemenangan buat mereka!

UPDATE (31 Mei, 05:57PM): Parit Jawa kalahkan Ipoh dengan 7 wiket!