Sunday, May 10, 2015

Bagaimana Saya Membayangkan Universiti

Saya membayangkan, keseluruhan Wilayah Persekutuan Putrajaya itu ditukar milik menjadi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bermula dari Masjid Putra ditukar menjadi Masjid Universiti, dan kemudiannya Kompleks Perdana Putra yang menempatkan pejabat Perdana Menteri itu bertukar menjadi Canselori UKM. Seluruh pejabat pentadbiran utama universiti berada dalam kawasan bangunan itu.

Jauh di hujung jalan lurus menghadap Kompleks Perdana Putra, iaitu Putrajaya International Convention Centre (PICC), pula ditukar menjadi Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR). Makanya, selepas ini segala majlis keraian graduan dan konvokesyen akan diadakan di sana.

Seluruh bangunan kementerian dan pejabat kerajaan di Presint 1 sehingga Presint 5 ditukar menjadi fakulti-fakulti dan makmal-makmal penyelidikan utama.

Mengelilingi bulatan besar Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, kita akan bertemu dengan Putrajaya Shangri-La dan Istana Melawati.

Bangunan hotel itu akan bertukar menjadi Puri Pujangga UKM, manakala keseluruhan kompleks istana kedua Yang di-Pertuan Agong iaitu Istana Melawati ditukar menjadi Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL). Tentu selepas ini tiada lagi perpustakaan universiti lain mampu menyaingi jumlah manuskrip dan koleksi buku milik PTSL.

Hospital Putrajaya pula ditukar menjadi Hospital Universiti atau Pusat Perubatan UKM (PPUKM). Juga institut kanser itu akan didedikasikan sepenuhnya kepada Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Bersekutu untuk dimanfaatkan sebagai pusat penyelidikan mereka yang utama.

Manakala Istana Darul Ehsan pula ditukar menjadi Muzium Penerbit UKM. Rasanya Penerbit UKM belum punya muzium tersendiri, saya fikir elok juga istana ini dijadikan muzium penerbitan UKM.

Bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana pula ditukar menjadi Pejabat Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM). Kawasan perumahan sekitarnya itu ditukar menjadi milik PMUKM, termasuklah kawasan perniagaan Aye @8 menjadi pusat komoditi utama kepada mahasiswa di bawah selia PMUKM.

Mudahnya, kawasan tanjung Presint 8 itu bakal berubah menjadi kawasan aktiviti mahasiswa sepenuhnya, termasuklah ruang-ruang pejabat bagi persatuan-persatuan mahasiswa negeri dan fakulti yang ada.

Manakala, kawasan-kawasan perumahan di Presint 11 sehingga ke Presint 19 akan ditukar menjadi kompleks kolej kediaman dan rumah-rumah para pensyarah serta kakitangan universiti seluruhnya.

Cuma yang berbeza sedikit ialah, Seri Satria akan bertukar menjadi kediaman Naib Canselor. Kompleks Sekolah Presint 18 ditukar menjadi sekolah menengah dan sekolah rendah bagi anak-anak kakitangan universiti seluruhnya. Manakala, SK Putrajaya Presint 16(2) ditukar menjadi Kompleks Tunas PERMATA.

Kompleks Beli Belah Alamanda akan ditukar menjadi Pusanika UKM. Segala pejabat urusan perkhidmatan luar seperti POS Malaysia, akan berpusat di sana.

Sudah tentu juga pawagam iaitu GSC akan kekal di sana, termasuklah pusat bowling, restoran-restoran, dan apa sahaja yang boleh mendatangkan keuntungan sebagai sumber kewangan kepada universiti, selain mengharapkan geran-geran penyelidikan dari kerajaan.

Semua kompleks persekolahan yang lainnya selain dari yang telah saya sebutkan sebelum ini, akan ditukar menjadi kompleks institut penyelidikan yang utama, iaitu Institut Sel Fuel (SELFUEL), Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Institut Kajian Etnik (KITA), Institut Perubahan Iklim (IPI), Institut Perubahan Molekul UKM (UMBI), Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), dan Institut Informatik Visual (IVI).

Cuma Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sedikit berbeza, oleh kerana tarafnya sebagai sebuah institut penyelidikan pioneer UKM, maka Kompleks Seri Perdana yang menjadi kediaman rasmi Perdana Menteri akan ditukar menjadi kediaman baru ATMA.

Selain itu, bersekali di sana juga akan diwujudkan Muzium Alam Melayu atau mungkin boleh dinamakan sebagai Muzium Universiti yang berfungsi sebagai tukang cerita sejarah UKM paling utama dan serba lengkap untuk tujuan penyelidikan masa hadapan.

Kompleks Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) pula bertukar menjadi Pusat PERMATApintar Negara. Segala infrastruktur asal termasuklah bangunan asrama akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Mana-mana kompleks persekolahan yang masih kosong, akan ditukar menjadi pusat sukan tertentu. Kompleks Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya 1 digabungkan dengan SK Putrajaya Presint 8(1) akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat latihan dan pembangunan pasukan bola sepak UKM.

Mungkin sedikit renovasi diperlukan untuk menaiktarafkan stadium utama dan padang latihan mereka.

Manakala lain-lain sukan seperti kriket, ragbi, dan bermacam-macam lagi, akan diaturkan pusat pembangunan dan latihan sukan masing-masing, dengan memanfaatkan kesemua kompleks persekolahan dan infrastruktur sukan yang ada di Putrajaya.

Malah dengan wujudnya Kompleks Sukan Lasak Putrajaya di Taman Cabaran, mahasiswa dan kakitangan UKM boleh memanfaatkan segala kemudahan itu secara percuma dan mudah, yang sebelum ini hanya menjadi mimpi ketika masih berkampus di Bangi.

Putrajaya begitu strategik kerana terletak di antara Kuala Lumpur dan KLIA. Oleh itu, Putrajaya Sentral akan bertukar menjadi UKM Sentral.

Selepas ini, urusan ketibaan mahasiswa luar negara dan pensyarah jemputan universiti akan menjadi mudah kerana dengan perkhidmatan ERL, mereka akan terus sampai ke dalam kawasan kampus UKM itu. Begitu juga halnya untuk ke Kuala Lumpur, juga menjadi cukup senang dengan adanya perkhidmatan ERL terus ke ibu kota.

Keluar dari UKM Sentral, kini perkhidmatan bas Nadi Putra sudah bertukar kepada perkhidmatan Tram UKM. Jalan-jalan di kampus akan dilengkapi dengan laluan tram yang lancar dan mesra alam sekitar.

Kampus UKM tidak lagi memerlukan kawasan parkir kenderaan yang banyak kerana tram akan melalui segenap ceruk kampus termasuklah untuk menghantar mereka yang mahu Taman Cabaran, taman-taman rekreasi, kolej kediaman, perumahan kakitangan, pusat-pusat sukan, fakulti dan termasuklah PTSL di puncak bukit itu.

Dulu, di Kampus Bangi, UKM cuma ada Tasik Kejuruteraan yang kuning berkeladak. Kini, di Putrajaya, Tasik Putrajaya yang membiru itu akan bertukar nama menjadi Tasik Universiti.

Jika dulu kita selalu dengki pada The Boat Race antara Oxford University dan Cambridge University, kini tidak perlu lagi hasad sebegitu. Selepas ini kita boleh adakan The Boat Race antara UKM dan Universiti Malaya.

Tentulah kita akan menamakan dengan nama yang lebih cantik, bukan? Contohnya, pertandingan bot naga.

Kesemua kemudahan perahu dayung, bot persiaran, kayak dan sebagainya yang wujud di Putrajaya, boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh mahasiswa dan kakitangan UKM, bermula dari Kelab Tasik Putrajaya bertukar menjadi Kelab Tasik UKM, termasuklah Kompleks Kolam Renang di Presint 6 sehinggalah Marina Putrajaya bertukar menjadi Marina UKM.

Segala aktiviti yang bersangkut paut dengan air, kolam renang, pusat akuatik, dan tasik, juga akuarium, ya, selepas ini semua itu bukan lagi menjadi mimpi kepada warga UKM.

Ah, lupa untuk catatkan awal-awal. Oleh kerana keluasan kawasan kampus yang baru serta kepelbagaian tarikan pelancongan yang ada, segala kompleks perhotelan termasuklah Hotel Pullman dan Everly akan bertukar menjadi cawangan-cawangan kepada perkhidmatan hotel Puri Pujangga dan Danau Golf Club UKM, untuk tarikan pengunjung luar.

Siapa tahu, mungkin selepas ini dengan adanya kompleks yang serba lengkap serta keluasan kawasan yang mencukupi, akan wujudnya perkhidmatan spa dan padang golf yang lebih berkualiti.

Kompleks Wisma Putra yang tersergam indah di puncak bukit itu pula akan bertukar menjadi Wisma Citra UKM.

Di sini akan menempatkan Muzium Sejarah Sains, Muzium Sejarah Perubatan, Muzium Arkeologi dan Geologi yang akan menempatkan koleksi antropologi dan arkeologi dengan objek dari setiap benua dan di seluruh sejarah manusia termasuklah koleksi spesimen zoologi, entomologi, palaeontological dan mineral dari seluruh dunia, Arkib Nuklear, galeri arca dan seni lukis, galeri muzikal, pentas deklamasi dan Panggung Seni UKM.

Putrajaya terkenal dengan taman-tamannya yang cantik, dilengkapi dengan laluan berbasikal dan pejalan kaki yang sempurna. Mahasiswa dan kakitangan yang mahu ke fakulti dan pejabat masing-masing, selain menaiki tram, mereka boleh memilih untuk berbasikal.

Waktu-waktu rehat dan hujung minggu mereka, boleh bersantai di Taman Botani, Taman Wetland, Taman Putra Perdana. Paling tidak pun, memancing sahaja di Tasik Universiti.

Selama ini persatuan mahasiswa tidak habis-habis dengan aktiviti gerai jualan. Mungkin sudah tiba masa untuk berubah.

Selepas ini, Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) akan menganjurkan acara belon udara panas, manakala UKM Chinese Community Council sudah mampu bekerjasama dengan Red Bull menganjurkan Red Bull Air Race World Championship di ruang udara kampus UKM.

Persatuan-persatuan lain, juga badan politik mahasiswa bebas melaksanakan apa jua aktiviti yang mereka rancang.

Tentu sekali, segala ini cumalah angan-angan sahaja. Saya bertanya diri sendiri, perihal jika saya mahu membina universiti, bagaimana bentuk dan corak fizikalnya. Saya membayangkan UKM dipindahkan ke Putrajaya keseluruhannya.

Maka, apa yang saya catat di atas, hanyalah sekadar gambaran-gambaran sekilas, kerana untuk membina universiti, tidak cukup dengan hebat infrastruktur fizikal semata-mata. Universiti memerlukan roh. Roh tidak terletak pada rupa fizikal, tetapi hakikat dalamannya.

Saya terfikir, jikalau ditakdirkan angan-angan ini benar terjadi, tidak mampu lagikah UKM untuk menempa nama dalam kalangan universiti yang terkemuka dengan segala macam kemudahan penyelidikan dan keselesaan kewangan?

Saya tiada jawapan.

Semua ini sebenarnya, timbul tatkala saya mula membaca buku The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib Al-Attas: An Exposition of The Original Concept of Islamization tulisan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud.

Saya baru sahaja mula membacanya pagi ini, sempat menghabiskan Preface dan Introduction.

Pada bahagian Preface, Prof Wan menulis bagaimana Al-Attas membina konsep Islamisasi ilmu berdekad lamanya, dan membumikan falsafah pendidikannya dengan mengasaskan The International Institute of of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) pada tahun 1987.

Membaca catatan ini membuatkan saya terfikir akan konsep universiti dan bagaimana sebenarnya universiti itu berwajah dan berbuat, mengikut acuan yang benar lagi jitu.

Moga tuhan memberi kesempatan untuk menamatkan bacaan buku ini dalam tempoh seminggu sebelum hadir ke Siri Ke-3 Saturday Night Lecture 2015 di UTM, Jalan Semarak pada 16 Mei ini, kerana Prof Wan akan memberi komentar dan ulasan lanjut mengenai buku ini pada malam tersebut.

Logiknya mudah, untuk mendapat penghayatan pada roh perbincangan itu, haruslah kita membuat persediaan termasuklah membaca teks-teks berkaitan.

Apa pun, doakan suatu hari nanti, UKM benar-benar berpindah tempat ke Putrajaya dan menguasai wilayah itu sepenuhnya!