Thursday, April 16, 2015

Perihal Seni dan Sejarah

Sepagi ini, saya berborak dengan seorang pelukis sepenuh masa. Kami berborak tentang seni dan buku. Nampaknya, benarlah kata Noam Chomsky bahawa pascamodenisme ini banyak meruntuhkan, berbanding membina. Dalam seni itu sendiri, buta pada sejarah menyebabkan penggiat seni zaman pasca-moden mengambil aliran seni abstrak secara membabi buta, buta sejarah dan buta seni.

Jadinya, seni menjadi seolah-olah perbincangan eksklusif orang-orang seni, bahawa seni hanya orang seni yang faham. Tiada lagi sorotan realiti, renungan-renungan sosial masyarakat. Bahan seni menjadi kayu ukur kekayaan borjuis dan pasaran (market) dalam pemahaman kanan menjadi kayu ukur kepada nilai sesuatu hasil seni. Seni kini tidak ubah menjadi hamba pasaran.

Ego para pengumpul seni, bergantung pada keserabutan orang lain untuk mentafsirkan seni. Padahal, hakikat seni itu terlahir adalah untuk menjadi medium selain tulisan dan ceramah, bagi menyampaikan mesej, menyampaikan pesan pada pemerintah bahawa melarat rakyat itu benar.

Saya merasa perbincangan begini cocok dengan pesan guru ekonomi saya dulu, bahawa budaya buta sejarah ini memang sudah melekat di Malaysia, terutamanya dalam pengajaran di universiti-universiti. Belajar ekonomi, tapi langsung tidak diajar subjek Sejarah Pemikiran Ekonomi, begitu juga halnya dengan politik, kejuruteraan, fizik, agama dan lain-lain bidang.

Jika beginilah tradisinya, maka tidak hairanlah, bilamana kita menjadi masyarakat yang kontang budaya, cetek minda dan buta hati. Kita gagal menilai sejarah dan berlaku adil dengannya. Kita menjadi angkuh dan sombong dengan segala kekurangan dan kejelikan begini. Kita tidak lagi menghargai ilmu yang sebenar, berbanding kita senang mengimani simbol-simbol dan ketokohan tertentu.

Akhirnya, yang menjadi mangsa bukanlah kita, tetapi generasi anak-anak kita. Jauhnya kita dari sejarah, akan menyebabkan kita mengulang semual segala silap dan salah dulu. Kita tidak akan maju, tamadun tidak akan kekal dan masyarakat tidak membangun akalnya.

Perbincangan sepagi ini juga mengingatkan saya kepada Ahmad Wahib, bahawa manusia itu cuma menjadi manusia apabila mereka berfikir. Maka tidaklah hairan Nabi mengungkapkan bahawa merenung dan berfikir itu jauh lebih baiknya dari bersembahyang seribu rakaat.

Malah, mungkin saya boleh kongsi di sini, persoalan menarik untuk kita jawab, jika benarlah Kelantan sebuah negeri Islam, yang dijalankan undang-undang Islam, yang dijamin redha Tuhan, mengapa angka penghijrahan manusia ke Kelantan jauh lebih rendah berbanding penghijrahan manusia ke bumi Lembah Klang yang dipenuhi kedai arak ini?

Adakah pada akhirnya, bercakaplah apa sahaja, keupayaan ekonomi juga menjadi penentu kepada keharmonian dan keutuhan sesuatu masyarakat? Saya tiada jawapan.