Sunday, April 26, 2015

Memperingati 5 Tahun Pemergian Aminulrasyid Amzah

Hari ini, 26 April genap 5 tahun pemergian Aminulrasyid Amzah. Moga roh beliau aman dan tenang di sana. 5 tahun sesudah pemergian arwah, kes ini masih belum mendapat keadilan yang sewajarnya. Malah tidak mustahil jika rakyat Malaysia yang menangisi pemergian arwah dan mencela kekejaman polis pun sudah makin melupai kes ini.

Mengapa terus menyebut perihal yang sedih dan sayu begini? Saya memulakan peringatan ini dengan memikirkan soalan bernada begini. Tidak lain, supaya kita kekal ingat, bahawa pemergian Aminulrasyid tidaklah sia-sia, berlalu sepi dari kotak ingatan kita pada kezaliman yang tidak pernah padam. Malah, semakin hari semakin membuak.

Peringatan ini, adalah simbolik kepada banyak kezaliman lain yang berlaku di tanah air ini. Atas nama POLIS, atas nama menegakkan undang-undang, mereka terbabas dari landasan keadilan dan kasih sayang. Semakin hari, POLIS semakin rancak angkuhnya, semakin tidak manusiawi. Mereka menjadi alat, menjadi peralatan pada arjuna pemerintah. Ini kita kena kekal ingat.

Agar, pemergian Aminulrasyid dan lain-lain adi wira bangsa, tidak berlalu sepi, dilupai sejarah dan tidak diambil pengajaran. Agar generasi mendatang belajar bahawa sejarah tidak akan berjaya dipadam selagi ianya diungkap diulang ditulis pada segala macam cebisan coretan yang tinggal. Saya mahu terus mengulang peringatan begini, kerana ianya tonik.

Tonik kepada penyakit lupa kita pada kezaliman yang melingkar. Kita mudah padam dan hanyut hanya setelah dikena sekelumit rasa selesa. Kita lupa pada masa kita mengeluh bahawa politik itu kotor begitu dan begini, kita kekal kaku, tidak berbuat apa-apa. Tatkala kita menyaksikan masyarakat semakin tenat, kita terus begitu, tiada cakna, hidup tidak bernyawa.

Kerana itulah, peringatan begini adalah tonik, supaya kita tidak leka. Supaya kita kembali ingat, bahawa perjuangan melawan yang zalim itu tidak pernah terhenti, tidak pernah padam api keazamannya. Bahawa cita-cita pada sebuah negara yang adil tidak betah terus dilaungkan. Kita berimpian, tanah air ini akan pupusnya pengkhianatan amanah, penyelewengan nilai, dan pencabulan kasih-sayang sesama manusia.

5 tahun pemergian Aminulrasyid Amzah tiada sia-sia. Ianya pemergian yang menyedarkan. Moga Tuhan menempatkan roh beliau dalam kalangan orang soleh, yang sedang menunggu kita semua ke sana juga satu hari nanti, apabila tiba masa kita kelak. Moga ibunda Aminulrasyid terus tabah. Moga keluarganya terus kuat. ALLAH bersama kalian dan orang-orang yang dizalimi.