Sunday, April 19, 2015

Masalah Sebenar Negara Malaysia

Kita bukanlah bermasalah sangat dengan politik yang membodohkan. Kita juga tidaklah bermasalah sangat dengan Ahmad Maslan. Atau, bermasalah dengan baju Melayu hipster. Juga, kita sebenarnya tidaklah bermasalah soal sistem pengangkutan awam. Atau, masalah media kita seumpama monyet. Semua ini, bukan akar masalah yang sebenar.

Masalah yang sebenar, yang dihidapi oleh kita adalah, masalah penyakit merosakkan sistem pendidikan negara termasuklah penyelidikan universiti, pembangunan sekolah rendah dan menengah, silibus pengajaran dan pembelajaran, juga termasuk pembangunan masyarakat melalui pemerkayaan ilmu pengetahuan dan intelektualisme.

Dalam bab memusnahkan ilmu pengetahuan, institusi pendidikan dan perpustakaan awam, kita adalah juara. Sedekad yang lepas, kita telah memusnahkan ISTAC, atau nama penuhnya The International Institute of Islamic Thought and Civilisation. Kita musnahkan sebuah pusat ilmu yang di situ menjadi pundak kepada harapan untuk melahirkan semula legasi pemikiran dan falsafah Islam yang jitu dan gemilang.

Semuanya, gara-gara politik yang sempit dan membodohkan, ketamakan kuasa dan kedudukan, yang menjadi mangsa akhirnya, sebuah institusi keilmuan. Inilah yang dikatakan, gajah sama gajah berperang, pelanduk mati di tengah-tengah. Alangkah bodohnya kita semua. Ini contoh besar, ya sangat besar, pada topik yang mahu dibicarakan ini.

Terbaru, sedang pak menteri berangan mahu universiti di negara ini setaraf Oxford, mereka dengan mudahnya menghentikan langganan Scopus, EBSCO (ASP/BSC) dan ProQuest Dissertation & Thesis Full Text. Kerja-kerja keji begini dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri, jadi kita nak cakap apa lagi. Atas alasan apa? Mahu jimatkan belanja kerajaan?

Juga, kita tahu berita terbaru yang menyedihkan apabila Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dipotong belanjawannya sebanyak RM120 juta. Dan akhirnya, Malaysia ini mahu bawa pendidikan negara ke arah mana? Kerja keji ini juga dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Moga syurga untuk mereka.

Itu belum lagi kita selidiki bagaimana saban tahun belanjawan untuk prasarana sekolah dikurangkan, perpustakaan-perpustakaan awam yang semakin tenat tiada bantuan dari kerajaan, kolej-kolej komuniti yang hidup segan mati tak mahu akibat kurangnya peruntukan kerajaan kepada institusi begini.

Semua ini dilakukan atas alasan yang meloyakan iaitu kerajaan perlu berjimat cermat, bahawa ekonomi negara ini dalam keadaan tidak stabil, bahawa kita perlu mengambil langkah proaktif. Kerajaan dan gerombolan politikus tidak pernah merasa perlunya kerajaan berjimat cermat dengan memotong gaji-gaji ahli parlimen, mengurangkan rasuah dan penyelewengan.

Apa yang mereka fikir, saban siang dan malam, adalah mengenyangkan perut rodong mereka sendiri, dan membiarkan pendidikan terus dibunuh secara perlahan-lahan, institusi keilmuan dirogol, perpustakaan awam dibiarkan mati tidak bernisan. Moga tuhan pupuskan dengan cepat gerombolan politikus yang meloyakan begini.