Tuesday, April 21, 2015

Adakah Islam Akan Bangkit Semula?

Maaf, ini bukanlah kepakaran saya lantaran saya tidak pernah belajar secara formal dalam ilmu persejarahan dan ketamadunan Islam. Tetapi sedikit ulasan yang akan ditulis adalah sebagai refleksi kepada bedah buku semalam bersama kumpulan +‘Tidak Selain Buku’ Book Café, tentang buku “Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam”. Seperti biasa, setiap Isnin malam, beginilah kami.

Buku tersebut merupakan alih bahasa daripada karya asal berjudul Maza Khasiral Alam be Inhitat al-Muslimeen tulisan Syeikh Abul Hasan Ali Hasani Nadwi, seorang ulama India yang tersohor. Buku yang hebat, pada hemat saya, setaraf dengan penulisnya juga yang memang hebat. Jika mahu mencari transliterasi English, boleh mencari judulnya “Islam and the World: The Rise and Decline of Muslims and Its Effect on Mankind”.

Untuk ulasan lanjut mengenai perbincangan semalam, saya tidaklah bernafsu ke arah itu kerana sang pembentangnya akan menulis barang satu dua ayat ulasan buku tersebut dan akan disiarkan dalam Goodreads dan blog milik Tidak Selain Buku. Jadi, fokus saya adalah sedikit kecil iaitu pada beberapa persoalan yang bangkit usai pembentangan semalam.

Paling menarik, apabila salah seorang dalam perkumpulan semalam mempersoalkan tentang kebangkitan Islam dan bagaimana untuk kita tahu bahawa kita sudah bangkit – dari sudut KPI atau indeks tertentu. Payah juga soalan begini untuk dijawab, akibat lamanya sudah kita berada di zaman kemunduran jadi soalan begini tampak sedikit utopia.

Dalam buku tersebut, An-Nadwi menyebut satu perkara, yang mungkin boleh dari situ kita perkembangkan lagi perbincangan logik dan rasional pada soalan tadi. Beliau menulis, antara tanda kejatuhan dan kemunduran Islam ialah apabila orang bukan Islam mula hilang rasa percaya pada Islam dan hilang kepercayaan pada kepimpinan Islam.

Kita terbalikkan logik An-Nadwi, antara tanda kemajuan dan kegemilangan Islam dan umatnya adalah apabila orang bukan Islam mula kembali meletakkan kepercayaan mereka pada Islam dan kepimpinannya untuk memimpin dunia, dalam semua sudut dan keperluan. Apabila terjadinya momen begini, yakinlah bahawa saat itu Islam sudah mula bangkit.

Antara kelemahan saya dalam perbincangan semalam adalah, saya tidak pernah membaca buku tersebut jadi ulasan pembentangan yang sekadar 1 jam tidak mencukupi untuk kita menggarap segala maksud sang penulis. Jadi saya yakin, logik An-Nadwi tentang kebangkitan dan keruntuhan Islam itu masih perlukan huraian yang panjang – kritis dan berdaya rumit (sense of complexity).

Jika dilihat sekali imbas, seolah-olah hanya kepimpinan menjadi indeks paling utama dalam mengukur kembalinya Islam mengurus tadbir dan memimpin manusia sejagat. Hemat saya, melompat terus pada kesimpulan begini, bunyinya lempung makna dan longgar akal. Terus, kita boleh persoalkan, untuk melahirkan kepimpinan yang berwibawa dan berdaya begitu, bagaimana pula?

Sedikit sebanyak, saya tertarik untuk menghubungkaitkan perbincangan semalam dengan apa yang dinyatakan oleh Al-Attas perihal peri masalah yang membelenggu umat Islam sehingga mereka renyuk terpesorok dalam kehinaan dan kedukaan sejarah hari ini, adalah berpunca pada kehilangan adab (the lost of adab) sehingga membawa kepada kekeliruan dan kesilapan dalam menanggapi ilmu pengetahuan.

Lantas, dari kedua-dua permasalahan itu lahirnya pemimpin yang tidak sah, dalam erti kata tiada kelayakan untuk memimpin umat lantaran kosong nilai moral, intelektual apatah lagi spiritualnya, yang begitu kritikal untuk piawaian kepimpinan Islam. Keadaan begini, menyebabkan masalah kehilangan adab dan kekeliruan dalam pengetahuan semakin mengembang ruak.

Adab” yang dimaksudkan bulanlah kosa kata adab yang kita fahami dalam konteks Melayu Nusantara. Sesungguhnya, adab yang dimaksudkan Al-Attas mempunyai hubung kait pada makna dan konsep adil dalam Islam, yakni pada meletakkan sesuatu pada tempat yang sewajarnya. Makanya, adab yang dimaksudkan adalah virtue yang bukan boleh dipandang enteng sebegitu sahaja.

Perkaitan yang dibuat di sini, mungkin juga agak terburu-buru. Tetapi, apa yang dinyatakan oleh Al-Attas sebenarnya tidak dapat tidak kita terpaksa mengakui bahawa itulah hakikat permasalahan umat Islam sekarang. Dalam perbincangan semalam, kami semua tertanya-tanya, tentang permasalahan utama yang kita hadapi sehingga berlakunya kemunduran begini pada umat Islam. Mungkin sebenarnya, Al-Attas sudah pun memberikan jawapan untuk soalan itu.

Saya terfikir, pada zaman Nabi ﷺ dan beberapa zaman dalam pemerintahan selepas itu, tentang bagaimana orang bukan Islam boleh menaruh rasa percaya pada Islam untuk memimpin, tentu ianya berkait sangat rapat soal keilmuan dan keintelektualan. Begitu juga Islam yang datang ke daerah Nusantara dan berjaya mengubah sekalian empayar Hindu-Buddha kepada Islam, saya bertambah yakin pada sudut pandang begini.

Soalnya, sebelum kita mencanangkan soal Islam memimpin dunia dan seisi kuasa, baik kita berbalik pada soalan paling asas, pada bagaimana Islam memimpin akal dan jiwa manusia. An-Nadwi menyebut tentang Nabi ﷺ mengubah dunia Arab yang disifatkan sedang berada dalam krisis yang tersangat teruk terutamanya dari sudut moral dalam tempoh 23 tahun, dengan mengubah cara fikir.

Cara fikir itu, dari menyembah dan memperhamba sesama manusia kepada menyembah dan memperhambakan diri kepada Tuhan yang satu. Cara fikir, mungkin itu istilah yang dipilih si pengalih bahasa buku An-Nadwi, tetapi tepatnya cara fikir itu juga merujuk kepada worldview atau Weltanschauung, atau di-Melayu-kan, disebut sebagai pandangan alam. Untuk mengubah cara fikir, tidak lain, adalah dengan mencernakan rasional dan penaakulan (reasoning).

Kerja-kerja begini, hanya boleh berlaku apabila proses keilmuan yang benar dapat berjalan dan dilaksanakan. Dulu, adanya wahyu dan Nabi ﷺ sendiri sebagai rujukan. Zaman kini, kita bergantung pada pemegang-pemegang amanah keilmuan, tidak lain iaitu para ulama. Berbincang terma ulama, di Malaysia, bunyinya sekarang taboo dan berbaur politik. Bukankah ini contoh yang jelas pada apa diperkatakan oleh Al-Attas?

Pada akhirnya, semua persoalan berbalik kepada diri setiap umat Islam. Apa peranan dan tanggungjawab kita dalam mengatasi dan mengubati permasalahan ini? Pertama, apa pilihan yang kita ada? Terus kaku dan berdiam diri, atau berbuat sesuatu? Mungkin ini jugalah yang menjadikan Ahmad Wahib begitu kepingin akan Nabi ﷺ kembali semula ke dunia dan memimpin kita semua keluar dari permasalahan ini.

Apa yang penting, orang yang beriman tidak sesekali putus harapan. Ya, mungkin kita kecewa dilahirkan pada zaman yang penuh kedukaan begini, tetapi untuk terus kecewa dan putus harapan, itu bukanlah sikap orang beriman. Iblis putus harapan pada pengampunan Tuhan, maka demikianlah nasib iblis sehingga ke Kiamat kelak. Jadi kita bertanya, adakah Islam akan bangkit semula?

Jauh hati kecil saya berdetak, betapa indahnya ajaran Muhammad ﷺ, dan betapa kasihnya Baginda pada kita, apabila beliau tidak pernah putus memberi harapan pada umatnya, bahawa di penghujung lorong yang serba gelap itu, adanya cahaya yang menanti jua. Untuk bertemu cahaya itu, jalan terus. Jalan terus...