Friday, March 27, 2015

Raison d'être PAS

Satu fakta yang tidak dapat disangkal adalah, hudud ini merupakan raison d’être (sebab kewujudan) PAS. Jika tiada hudud, PAS tidak akan wujud. Jika tidak lagi memperjuangkan hudud, apa lagi yang PAS boleh perjuangkan pada laras untuk diterima khalayak hari ini.

Saya tidak pernah menolak dakwaan bahawa hudud ini juga dipergunakan PAS untuk terus bernyawa. Mungkin frasa mempergunakan hudud itu kedengaran agak keras, atau lancang, seolah-olah menuduh PAS sebegitu jahat, akan tetapi itulah realiti yang PAS dan penyokongnya perlu akui.

PAS adalah jemaah Islam, sebuah organisasi yang cita-citanya menegakkan pemerintahan khilafah, mengembalikan semula kegemilangan Islam sebagaimana sebelum jatuhnya Uthmaniyah di Turki. PAS menyambung cita-cita itu, dari jalur pemikiran yang dibentuk bermula dari Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Akan tetapi, PAS juga merupakan parti politik yang terlibat dalam sistem pemilihan mengguna pakai cara demokrasi semenjak penubuhannya separuh abad yang lalu lagi. Inilah realiti PAS, ini kebenarannya kalau ahli dan penyokong PAS mahu tahu.

Sekalipun berkali-kali mereka mendakwa bahawa kemenangan politik tidak penting, bahawa redha Tuhan lagi penting, bahawa wawasan PAS adalah akhirat bukannya Wawasan 2020, bahawa kemenangan bukan matlamat – setiap kali itulah PAS berbelanja jutaan ringgit untuk memenangi siri pilihan raya yang mereka sertai.

Sebab mengapa ini terjadi, kerana pada akhirnya PAS perlu tunduk melutut pada realiti. Realitinya, PAS berada di Malaysia. Realitinya, PAS saban penggal menyertai siri pilihan raya. Realitinya, PAS untuk bergerak lancar dan melengkapkan misinya, ia perlu memenangi pilihan raya.

Nafilah sebanyak mana pun, sangkallah beribu-ribu kali melalui media, sanggahlah untuk sekian kalinya pun, realiti ini adalah realiti. Kecuali PAS mengambil keputusan untuk keluar dari permainan demokrasi dan bergerak seumpama jemaah-jemaah Islam lain yang wujud di negara ini.

Kalau tidak, PAS akan terus begini. Bila setiap kali kalah pilihan raya, PAS sudah sedia dengan alatan eskapisme mereka; bahawa kemenangan ini bukanlah matlamat, bahawa ALLAH masih menangguhkan kemenangan kita, bahawa matlamat tidak menghalakan cara dan bermacam-macam lagi cara untuk loloskan diri dari menanggung rasa bersalah.

Padahal hakikatnya, ahli PAS ini tidak lain kecut untuk mendepani realiti. Sebab itulah alasan-alasan loyar buruk begitu menjadi mainan saban hari – di media, oleh pemimpin-pemimpin utama. Yang tidak pernah mereka sentuh, adalah tentang kebijaksanaan politik mereka.

Mereka tidak pernah sentuh ini. Mereka pantang, terutamanya apabila adanya suara mengkritik strategi para pemimpin utama mereka. Kata kebanyakan pendukung tegar ini, bahawa mengkritik strategi PAS itu bermakna mengkritik dan menghina kepimpinan ulama. Ulama tinggi ilmu mereka, kata-kata mereka bukan seperti kita yang asyik berpalit dengan nafsu – kononnya.

Jadi, mari kita menganalisis mengapa PAS berkeras dengan hudud mereka. Saya datangkan hujah di atas sebagai premis pertama, bahawa hudud ini merupakan sebab kewujudan PAS. Tiada hudud, maka tiada PAS. Soal PAS nak laksanakan hudud, kita tak perlu persoalkan.

Apa yang perlu kita fikir adalah, apakah benar agenda hudud ini adalah semata-mata Islam atau hanyalah kulit kepada permainan politik untuk mencapai maksud-maksud tertentu? Ya baiklah, kita tidak menolak, bahkan itulah sewajarnya PAS fikirkan. Sebagai parti politik, bersikaplah seperti parti politik.

Usah berdolak-dalih, sekejap bersikap seperti PAS, sekejap lagi bertukar menjadi ISMA, sekejap lagi pula, bermutasi menjadi UMNO. PAS itu PAS, sebuah parti politik yang wajib menyandarkan kebijaksanaan politik untuk terus hidup. Mengguna pakai hudud sebagai strategi, apa masalahnya?

PAS tidak perlu hidup terus menerus dalam keadaan apologetik. Sebab itulah saya sangat bersetuju apabila PAS bertegas dengan hudud mereka, biarpun ramai yang tidak bersetuju. Kata mereka, tindakan itu tidak bijak. Kata mereka lagi, keputusan PAS Kelantan akan memberi laluan selesa kepada UMNO untuk mengekalkan kuasa.

Ada benarnya dakwaan itu. Tapi kita berbincang di sini soal prinsip. Sebagai parti yang bergerak dengan cita-cita begitu sejak kelahirannya, PAS tidak salah pun. Malah, itulah menunjukkan PAS benar pada prinsip mereka. PAS bukan lalang. PAS tidak apologetik pada pendirian mereka. Baguslah begitu.

Namun, mari kita berbincang pula tentang bahasa politik. Saya masih yakin, keputusan PAS berkeras membawa usul hudud di DUN Kelantan juga adalah keputusan politik. Ianya berkait rapat soal kemandirian PAS di tampuk kuasa Kelantan. Untuk terus kekal berkuasa, PAS perlu berbuat sesuatu untuk mendapatkan kembali sokongan akar umbi mereka – orang Melayu.

Semenjak berjayanya pindaan rang hudud itu, sokongan orang Melayu terhadap PAS meningkat, baik dari PAS mahupun UMNO sendiri (pandangan sekilas). Ada kemungkinan besar, PAS berupaya mengekalkan kuasa di Kelantan. Jika inilah yang PAS mahukan, berjayalah apa yang mereka rancang – walaupun keputusan itu memberi kesan negatif di peringkat nasional.

Ya, keputusan itu juga menjadi penentu nasib ke mana Pakatan Rakyat selepas ini. Dan PAS juga kita boleh bina antisipasi awal bahawa parti itu sudah kehilangan kepercayaan dari sebahagian besar kelompok bukan Islam di negara ini. Jadi, kita bertanya, adakah dengan kesan begini tindakan PAS itu boleh dianggap bijaksana dalam berpolitik?

Bergantunglah pada tafsiran masing-masing. Mungkin sebahagian ahli PAS akan merasa tidak puas hati dengan keputusan ini. Bahkan, sudah pun ada yang mula terang-terangan membantah atas dasar sayang mereka terhadap Pakatan Rakyat. Tetapi, ada sebahagian besar ahli PAS merasakan inilah roh sebenar jemaah itu.

Keputusan mengangkat undang-undang sakral itu adalah jauh lebih penting dari kerjasama Pakatan, demikian tegas Tuan Guru Mursyidul Am. Bahkan, kerjasama politik itu sebenarnya langsung tidak melibatkan dasar-dasar parti, tidak melibatkan halal dan haram bagi orang Islam dalam perkara yang wajib, serta perlembagaan sendiri memberi ruang kepada PAS untuk berbuat demikian.

Pada sisi itu, PAS nampak tidak bermasalah. Namun, pada sisi yang lainnya pula, PAS tidak dapat dinafikan, memang bermasalah. Untuk mendapat kepercayaan pengundi seperti mana yang dinikmati saat PRU-12 dan PRU-13, mungkin di sini PAS wajar merasa gelisah. Kerana, PAS tidak boleh selamanya menjadi parti jaguh kampung.

Sebab itu juga, saya sedari awal menulis betapa pentingnya kita mengakui realiti. Realitinya, PAS perlu terus bergerak ke hadapan. PAS harus menjadi vokal bukan sekadar di ceruk desa lagi, bahkan di kota-kota besar yang populasinya bukan lagi majoriti orang-orang Islam. Untuk berbuat ini, ianya menuntut kebijaksanaan politik, pada hemat saya jauh lagi besar dari kerangka hudud itu sendiri.

Tetapi, keputusan sudah pun dibuat. Jika ditanya sekarang apa kesannya terhadap PAS, masing-masing cuma boleh membuat andaian-andaian sahaja. Apa yang kia boleh belajar dari isu ini adalah, benar, hudud merupakan raison d’être PAS. Tidak keterlaluan kalau kita nak melabelkan bahawa ini adalah hudud politik, kerana demikian peranan yang dimainkannya sekarang.

Hudud adalah sebab PAS terus relevan pada ramai orang Melayu. Hudud menjadi modal PAS untuk terus bergerak dan hidup. Ini juga realiti, jika ada mana-mana ahli PAS cuba menyanggah, dengan berkata bahawa parti itu tidak pernah mempergunakan agama, usaplah dahi mereka dengan lemah lembut. Mereka ini tidak salah, cuma sedikit keliru.

Justeru, untuk kita memarahi PAS bertalu-talu pun atas keputusan yang diambil, pertamanya, siapa kita untuk marah pada PAS. Dan keduanya, mereka memang ada hak untuk berbuat demikian pun. Tinggal lagi, untuk kita bincangkan, sama ada keputusan yang diambil itu bijaksana ataupun tidak, berpandangan jauh atau cetek akal.

Semua itu, hanya masa mampu buktikannya. Setakat ini, kita cuma mampu meramal itu dan ini. Soal PAS dan DAP nak bergaduh, saya tidak mahu masuk campur. Pada saya, kalaulah orang muda pun terikut-ikut rentak politik orang-orang tua yang dah nak masuk lubang kubur, alahai, alamak masih kelam lagi la masa depan negara kita ini sebenarnya.