Saturday, March 21, 2015

Perihal Hudud dan Aisyah Tajuddin

Dunia kita sedang sakit gila, makin tidak siuman. Bercakap tentang hudud, yang sewajarnya topik itu mengundang rasional dan memupuk kesempurnaan akal, akhirnya hal yang terjadi begitu berserenjang dengan antisipasi awal.

Makanya, kita berbangga dengan hudud yang terlaksana dengan sokongan sebulat suara dewan tanpa pindaan, dan juga kita menyeringai bilamana datangnya suara sumbang yang mengkritiknya. Seringai kita, bukan seringai yang biasa-biasa. Ianya seringai yang tidak waras.

Pertama, jika kita di pihak yang menyanjung hudud, bagaimana untuk kita belajar terbuka bila ada yang mengkritik – biarpun kritikan mereka banyaknya tiada asas yang kukuh dan menyimpang jauh dari landskap ilmiah dan integriti keilmuan.

Kedua, jika kita di pihak yang membangkang, bagaimana untuk kita bersikap dengan perlaksanaan undang-undang ini, agar kita tidak menyeberangi sempadan akal dan adab kesusilaan, bahkan tidaklah kritikan itu sekadar tikus membaiki labu.

Menyokong membuta tuli, itu bodoh. Membantah membuta tuli juga, lagi bodoh. Untuk bersikap dengan baik dalam isu ini, kita haruslah sedari bahawa kedua-dua pertembungan di atas hanya boleh dipertemukan melalui satu pintu – keterbukaan.

Bagaimana yang dimaksudkan dengan keterbukaan?

Soalan ini berat untuk dijawab. Banyak tali temali yang harus dimainkan, bila masanya untuk ditarik, bila masanya untuk dikendurkan. Jadinya, dalam menanggapi perkara ini, fungsi akal itu tidak wajar sama sekali diketepikan.

Masalah utama dengan pendukung tegar hudud adalah, hujah-hujah mereka hanya terbatas pada kerangka bahawa hudud itu jelas dalam Quran, maka wajib atas kita untuk laksanakan tanpa banyak soal. Klise yang biasa kita dengar adalah, Tuhan yang ciptakan kita maka Dia lagi tahu apa yang terbaik buat kita.

Dan, di pihak yang membangkang pula, berhujah seolah-olah mereka ini tidak akan mati kelak, seumpama hidup ini tidak perlu bertuhan. Dan hujah-hujah mereka yang membuta-tuli membantah ini banyak kali kedengaran begitu angkuh dan bodoh sombong. Mereka ini, mengambil contoh Aisyah Tajuddin amat silap cara fikir mereka.

Jika di pihak pendukung meminta mereka yang tidak bersetuju berlapang dada, bahawa sesungguhnya hudud hanya untuk mereka yang Muslim, maka kita bertanya, jika ada sebilangan Muslim yang tidak bersetuju juga, bagaimana sikap kamu terhadap mereka? Atau kita dengan mudah menidakkan fungsi akal, dan menghukum mereka tanpa banyak soal?

Jika kita pula di pihak yang membangkang perlaksanaan hudud di Malaysia berhujah agar memastikan jenayah dan segala macam perkara lain diselesaikan terlebih dahulu, mengungkap semula apa yang disebut oleh Aisyah Tajuddin – perihal dadah, pelacuran, kemiskinan dll – hujah begitu pun tidak cerdik.

Tidak tepat, lantaran hujah-hujah begitu sifatnya hanya untuk membunuh hujah lawan tanpa bersedia untuk berhujah secara lanjut dan penuh harmoni. Lantaran itu, tidaklah pelik bilamana pada akhirnya pertembungan kedua-dua kelompok ini, akan menghasilkan natijah yang bersifat reaktif.

Contohnya jelas, kritikan Aisyah Tajuddin akhirnya membawa kepada destruktif pemikiran awam, yang sewajarnya dipupuk melalui wacana isu begini. Kelompok pendukung yang membuta tuli, yang bersemangat tapi tidak berilmu dan tidak berakhlak, akhirnya mengeluarkan bermacam-macam kata nista dan ugutan.

Pada akhirnya kita bertanya, untuk begini keadaan halnya isu yang berat, perbincangan yang sepatutnya menjadi kritis, bertukar sebegini rupa, apakah akan ada lagi harapan yang bersisa dalam masyarakat negara ini. Saya yakin, keadaan ini terjadi begini, lantaran kita malas membaca, mengkaji dan berfikir.

Kita mudah menanggapi sesuatu perkara dengan semangat liburan. Kita tiada minat pada hal-hal yang kritis. Kita tidak berani untuk menganalisis dan melawat kembali pegangan dan kepercayaan kita. Bahkan, kita tidak pernah cuba menilai apa sahaja pendirian lama kita, yang mungkin sudah lapuk dek kekeringan ilmu.

Moga tuhan memberi petunjuk kepada kita, dalam menghadapi konflik pemikiran yang tidak berkesudahan.