Sunday, March 22, 2015

Hudud, Balak dan 1MDB

Satu soalan yang menarik seputar hudud adalah, mengapa tiada hukuman hudud pada jenayah rasuah? Seeloknya, persoalan ini dijawab dengan terang dan jelas agar keraguan ramai terhadap struktur integriti pelaksanaan hudud kelak terlerai.

Dulu saya menulis perbualan dengan kariah di Surau As-Syakirin (kini sudah tinggal kenangan), perihal isu ini. Dulunya tentang hudud dan balak. Jika hudud terlaksana, saya berharap mereka yang memberi kebenaran balak diterokai sebegitu zalim di Gua Musang, dihukum secukupnya.

Dan kini, kita berdepan dengan krisis 1MDB – sebuah krisis gergasi yang juga menjadi penentu kepada kedaulatan negara menurut beberapa orang penganalisis. Krisis ini juga, saya berpendapat parti pemerintah yang begitu menyokong hudud kerana ALLAH, boleh berlapang dada bahawa hudud harus mengadili 1MDB.

Bagaimana dengan cadangan ini? Kerana kesan kebobrokan 1MDB bukan lagi sekecil anak. Ianya melibatkan persoalan mengenai masa depan negara ini. Persoalan tentang kedaulatan dan maruah negara. Maka, menghukum orang-orang yang terbabit dalam kes ini melalui mekanisme hudud wajar diketengahkan.

Kerana tidak lain ianya hukuman yang ditentukan oleh ALLAH, yang terbaik dari segala macam set hukuman lain yang pernah ditulis oleh sejarah ketamadunan manusia lainnya, yang menjadi pemangkin kepada sifar jenayah, yang akhirnya mengundang redha dan rahmat ALLAH.

Justeru, saya mencadangkan agar mahkamah dan seluruh sistem perundangan yang wujud di Malaysia ini, mula mengarahkan pandangan mereka pada hudud dan membincangkan, bentuk hukuman hudud yang bagaimana wajar dijatuhkan kepada pesalah-pesalah di sekitar 1MDB.

Kata pemimpin PAS, hudud tidak akan dikenakan pada bukan Muslim. Jadinya, Jho Low sudah pun terlepas. Habis, apa yang patut hukuman kenakan pada si Cina itu? Tak kan kita nak biarkan Najib Razak berseorangan menanggung hukuman hudud, jika dia didapati benar-benar bersalah?

Argh, nampak seperti ada yang tidak kena. Mengapa hudud tidak terpakai pada semua? Mengapa perlu ada 2 set perundangan, yang membeza-bezakan antara kepercayaan? Tentu sekali Najib Razak tidak mahu melihat tangan dia sahaja dipotong kelak, dan tangan Jho Low selamat sentosa.

Adun Kok Lanas melaung-laungkan ucapan dalam dewan sambil diiringi air mata syahdu bahawa hudud ini adalah yang terbaik, adalah remedi untuk menyelesaikan masalah jenayah, adalah wasilah untuk mendapat redha tuhan. Jadinya, menghukum pesalah 1MDB menggunakan hudud juga maksud si adun ini.

Tulisan ini saya berharap, pembaca boleh menanggapinya dengan akal yang matang, bukan secara literal. Maksud saya, pada frasa hudud ini masih jutaan lagi persoalan yang belum terjawab. Bahkan, mungkin selepas sejuta soalan dijawab, akan timbul lagi sejuta soalan baru kelak untuk dijawab.

Justeru, kerja-kerja begini hanya boleh diselesaikan melalui pintu-pintu wacana. Boleh dijawab dengan kuliah-kuliah ilmu. Boleh dihuraikan dengan akal yang mahu berfikir. Jika kita faham akan keadaan ini, kita tidak akan melatah dengan hudud yang diluluskan oleh Kelantan. Malah, ianya akan membuatkan kita makin bertanggungjawab.

Menariknya, satu analogi dari rakan saya yang boleh direnung – kita hanya akan mampu melukis sebuah peta yang baik jika kita berani menerokai wilayah-wilayah yang baru. Dari sana, kita akan ketemukan dengan kepelbagaian dan keunikan baharu, di mana kawasan dalam, berhutan, berbatu, banyak haiwan liar dan sebagainya.

Demikianlah juga, perihal hudud, analogi ini untuk menenangkan kita jika ada yang gusar dan bimbangkan tentang hudud sehingga tidak boleh tidur malam. Berjiwa besarlah. Beranilah mendepani realiti. Hayatilah keindahannya. Mengapa bimbang akan hudud jika anda bukan pesalah 1MDB?

Dan paling penting, jangan kita lupa bahawa semua ini tidak akan terjadi jika fungsi akal diabaikan untuk mengimbangi pengaruh semangat dan retorik agama yang membabi buta. Selamat beramal, dan jangan lupa bahawa pesalah 1MDB dan balak juga wajib dikenakan hudud.