Friday, March 27, 2015

Raison d'être PAS

Satu fakta yang tidak dapat disangkal adalah, hudud ini merupakan raison d’être (sebab kewujudan) PAS. Jika tiada hudud, PAS tidak akan wujud. Jika tidak lagi memperjuangkan hudud, apa lagi yang PAS boleh perjuangkan pada laras untuk diterima khalayak hari ini.

Saya tidak pernah menolak dakwaan bahawa hudud ini juga dipergunakan PAS untuk terus bernyawa. Mungkin frasa mempergunakan hudud itu kedengaran agak keras, atau lancang, seolah-olah menuduh PAS sebegitu jahat, akan tetapi itulah realiti yang PAS dan penyokongnya perlu akui.

PAS adalah jemaah Islam, sebuah organisasi yang cita-citanya menegakkan pemerintahan khilafah, mengembalikan semula kegemilangan Islam sebagaimana sebelum jatuhnya Uthmaniyah di Turki. PAS menyambung cita-cita itu, dari jalur pemikiran yang dibentuk bermula dari Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Akan tetapi, PAS juga merupakan parti politik yang terlibat dalam sistem pemilihan mengguna pakai cara demokrasi semenjak penubuhannya separuh abad yang lalu lagi. Inilah realiti PAS, ini kebenarannya kalau ahli dan penyokong PAS mahu tahu.

Sekalipun berkali-kali mereka mendakwa bahawa kemenangan politik tidak penting, bahawa redha Tuhan lagi penting, bahawa wawasan PAS adalah akhirat bukannya Wawasan 2020, bahawa kemenangan bukan matlamat – setiap kali itulah PAS berbelanja jutaan ringgit untuk memenangi siri pilihan raya yang mereka sertai.

Sebab mengapa ini terjadi, kerana pada akhirnya PAS perlu tunduk melutut pada realiti. Realitinya, PAS berada di Malaysia. Realitinya, PAS saban penggal menyertai siri pilihan raya. Realitinya, PAS untuk bergerak lancar dan melengkapkan misinya, ia perlu memenangi pilihan raya.

Nafilah sebanyak mana pun, sangkallah beribu-ribu kali melalui media, sanggahlah untuk sekian kalinya pun, realiti ini adalah realiti. Kecuali PAS mengambil keputusan untuk keluar dari permainan demokrasi dan bergerak seumpama jemaah-jemaah Islam lain yang wujud di negara ini.

Kalau tidak, PAS akan terus begini. Bila setiap kali kalah pilihan raya, PAS sudah sedia dengan alatan eskapisme mereka; bahawa kemenangan ini bukanlah matlamat, bahawa ALLAH masih menangguhkan kemenangan kita, bahawa matlamat tidak menghalakan cara dan bermacam-macam lagi cara untuk loloskan diri dari menanggung rasa bersalah.

Padahal hakikatnya, ahli PAS ini tidak lain kecut untuk mendepani realiti. Sebab itulah alasan-alasan loyar buruk begitu menjadi mainan saban hari – di media, oleh pemimpin-pemimpin utama. Yang tidak pernah mereka sentuh, adalah tentang kebijaksanaan politik mereka.

Mereka tidak pernah sentuh ini. Mereka pantang, terutamanya apabila adanya suara mengkritik strategi para pemimpin utama mereka. Kata kebanyakan pendukung tegar ini, bahawa mengkritik strategi PAS itu bermakna mengkritik dan menghina kepimpinan ulama. Ulama tinggi ilmu mereka, kata-kata mereka bukan seperti kita yang asyik berpalit dengan nafsu – kononnya.

Jadi, mari kita menganalisis mengapa PAS berkeras dengan hudud mereka. Saya datangkan hujah di atas sebagai premis pertama, bahawa hudud ini merupakan sebab kewujudan PAS. Tiada hudud, maka tiada PAS. Soal PAS nak laksanakan hudud, kita tak perlu persoalkan.

Apa yang perlu kita fikir adalah, apakah benar agenda hudud ini adalah semata-mata Islam atau hanyalah kulit kepada permainan politik untuk mencapai maksud-maksud tertentu? Ya baiklah, kita tidak menolak, bahkan itulah sewajarnya PAS fikirkan. Sebagai parti politik, bersikaplah seperti parti politik.

Usah berdolak-dalih, sekejap bersikap seperti PAS, sekejap lagi bertukar menjadi ISMA, sekejap lagi pula, bermutasi menjadi UMNO. PAS itu PAS, sebuah parti politik yang wajib menyandarkan kebijaksanaan politik untuk terus hidup. Mengguna pakai hudud sebagai strategi, apa masalahnya?

PAS tidak perlu hidup terus menerus dalam keadaan apologetik. Sebab itulah saya sangat bersetuju apabila PAS bertegas dengan hudud mereka, biarpun ramai yang tidak bersetuju. Kata mereka, tindakan itu tidak bijak. Kata mereka lagi, keputusan PAS Kelantan akan memberi laluan selesa kepada UMNO untuk mengekalkan kuasa.

Ada benarnya dakwaan itu. Tapi kita berbincang di sini soal prinsip. Sebagai parti yang bergerak dengan cita-cita begitu sejak kelahirannya, PAS tidak salah pun. Malah, itulah menunjukkan PAS benar pada prinsip mereka. PAS bukan lalang. PAS tidak apologetik pada pendirian mereka. Baguslah begitu.

Namun, mari kita berbincang pula tentang bahasa politik. Saya masih yakin, keputusan PAS berkeras membawa usul hudud di DUN Kelantan juga adalah keputusan politik. Ianya berkait rapat soal kemandirian PAS di tampuk kuasa Kelantan. Untuk terus kekal berkuasa, PAS perlu berbuat sesuatu untuk mendapatkan kembali sokongan akar umbi mereka – orang Melayu.

Semenjak berjayanya pindaan rang hudud itu, sokongan orang Melayu terhadap PAS meningkat, baik dari PAS mahupun UMNO sendiri (pandangan sekilas). Ada kemungkinan besar, PAS berupaya mengekalkan kuasa di Kelantan. Jika inilah yang PAS mahukan, berjayalah apa yang mereka rancang – walaupun keputusan itu memberi kesan negatif di peringkat nasional.

Ya, keputusan itu juga menjadi penentu nasib ke mana Pakatan Rakyat selepas ini. Dan PAS juga kita boleh bina antisipasi awal bahawa parti itu sudah kehilangan kepercayaan dari sebahagian besar kelompok bukan Islam di negara ini. Jadi, kita bertanya, adakah dengan kesan begini tindakan PAS itu boleh dianggap bijaksana dalam berpolitik?

Bergantunglah pada tafsiran masing-masing. Mungkin sebahagian ahli PAS akan merasa tidak puas hati dengan keputusan ini. Bahkan, sudah pun ada yang mula terang-terangan membantah atas dasar sayang mereka terhadap Pakatan Rakyat. Tetapi, ada sebahagian besar ahli PAS merasakan inilah roh sebenar jemaah itu.

Keputusan mengangkat undang-undang sakral itu adalah jauh lebih penting dari kerjasama Pakatan, demikian tegas Tuan Guru Mursyidul Am. Bahkan, kerjasama politik itu sebenarnya langsung tidak melibatkan dasar-dasar parti, tidak melibatkan halal dan haram bagi orang Islam dalam perkara yang wajib, serta perlembagaan sendiri memberi ruang kepada PAS untuk berbuat demikian.

Pada sisi itu, PAS nampak tidak bermasalah. Namun, pada sisi yang lainnya pula, PAS tidak dapat dinafikan, memang bermasalah. Untuk mendapat kepercayaan pengundi seperti mana yang dinikmati saat PRU-12 dan PRU-13, mungkin di sini PAS wajar merasa gelisah. Kerana, PAS tidak boleh selamanya menjadi parti jaguh kampung.

Sebab itu juga, saya sedari awal menulis betapa pentingnya kita mengakui realiti. Realitinya, PAS perlu terus bergerak ke hadapan. PAS harus menjadi vokal bukan sekadar di ceruk desa lagi, bahkan di kota-kota besar yang populasinya bukan lagi majoriti orang-orang Islam. Untuk berbuat ini, ianya menuntut kebijaksanaan politik, pada hemat saya jauh lagi besar dari kerangka hudud itu sendiri.

Tetapi, keputusan sudah pun dibuat. Jika ditanya sekarang apa kesannya terhadap PAS, masing-masing cuma boleh membuat andaian-andaian sahaja. Apa yang kia boleh belajar dari isu ini adalah, benar, hudud merupakan raison d’être PAS. Tidak keterlaluan kalau kita nak melabelkan bahawa ini adalah hudud politik, kerana demikian peranan yang dimainkannya sekarang.

Hudud adalah sebab PAS terus relevan pada ramai orang Melayu. Hudud menjadi modal PAS untuk terus bergerak dan hidup. Ini juga realiti, jika ada mana-mana ahli PAS cuba menyanggah, dengan berkata bahawa parti itu tidak pernah mempergunakan agama, usaplah dahi mereka dengan lemah lembut. Mereka ini tidak salah, cuma sedikit keliru.

Justeru, untuk kita memarahi PAS bertalu-talu pun atas keputusan yang diambil, pertamanya, siapa kita untuk marah pada PAS. Dan keduanya, mereka memang ada hak untuk berbuat demikian pun. Tinggal lagi, untuk kita bincangkan, sama ada keputusan yang diambil itu bijaksana ataupun tidak, berpandangan jauh atau cetek akal.

Semua itu, hanya masa mampu buktikannya. Setakat ini, kita cuma mampu meramal itu dan ini. Soal PAS dan DAP nak bergaduh, saya tidak mahu masuk campur. Pada saya, kalaulah orang muda pun terikut-ikut rentak politik orang-orang tua yang dah nak masuk lubang kubur, alahai, alamak masih kelam lagi la masa depan negara kita ini sebenarnya.

Sunday, March 22, 2015

Mengapa Bukan Islam Tidak Dikenakan Hudud?

Banyak lagi sebenarnya perkara yang kita boleh persoalkan seputar hudud yang diluluskan sebulat suara oleh DUN Kelantan. Saya membuat beberapa bacaan, mengikuti setiap tulisan-tulisan yang tidak bersifat populis, kritikal dan paling penting, bukanlah bertujuan sensasi yang membodohkan semata-mata.

Pertama, sehingga sekarang saya masih tidak dapat menerima logik bahawa hudud ini taklukannya hanya pada mereka yang Muslim dan bukan Islam tidak dikenakan hudud. Saya tidak faham keadaan ini, di mana logiknya sehingga boleh terfikir di sana boleh wujud 2 set perundangan untuk 2 jenis kepercayaan yang berbeza.

Saya membayangkan satu situasi, jika ada 2 perompak yang membuat kerja terkutuk merompak bank dan menyebabkan kematian, sebagai contoh si Najib yang dikatakan Islam dan si Jho Low yang bukan Islam bekerjasama dalam jenayah ini dan akhirnya tertangkap. Jika menurut hudud yang diluluskan Kelantan, bagaimana keadilan akan tertegak pada mereka berdua ini?

Oleh kerana bukti-bukti yang jelas dapat dikemukakan serta cukup saksi-saksi yang berwibawa, maka kedua-dua penyangak ini dijatuhkan hukuman bersalah. Dan Najib itu Muslim, maka dia akan dipotong tangannya dan si Jho Low itu kafir, maka dia dikenakan hukuman mengikut lunas mahkamah sivil seperti biasa.

Persoalan yang amat besar timbul, adakah ini maqasid akhir yang dianjurkan oleh perlaksanaan hukuman syariah itu? Tidak perlu kita berbicara sehingga ke paras metafizik, atau berlapik pada bayangan sakral kitab suci sebagai imuniti, cukup dulu dengan logik akal yang diberi tuhan, untuk situasi di atas, di mana adilnya?

Benar, saya masih keliru dengan dakwaan yang kerap diulang tayang bahawa hudud ini tidak tertakluk pada bukan Islam. Akal yang sihat tidak dapat menerima logik begini. Bagaimana mungkin suatu yang tujuannya untuk menegakkan keadilan, boleh berlaku tidak adil pada subjek utamanya iaitu manusia dengan membeza-bezakan jenis hukuman berdasarkan kepercayaan.

Seolah-olahnya, hudud ini cuba memberitahu bahawa Muslim yang mencuri jauh lebih jahat dari bukan Muslim yang mencuri, sehinggakan adil untuk dikenakan hukuman yang jauh lebih menyakitkan berbanding si pencuri bukan Islam, yang cukup dengan set perundangan sedia ada. Benar atau tidak tanggapan saya ini?

Saya menantikan jawapan untuk soalan ini. Serabut benar otak untuk memikirkan logik yang tidak dapat menyambung titik-titik yang terputus. Jika Muslim yang berbuat jenayah itu lebih jahat dari bukan Islam yang berbuat perkara sama, jadi kita perlu kembali kepada persoalan yang lagi mendasar – apa asas yang menentukan tahap kejahatan sesuatu jenayah itu?

Jika ada asas rasional yang mengatakan si perompak Muslim lagi berbahaya dari perompak bukan Islam, datangkan kepada saya di sini. Islam ini saintifik. Islam tidak mengajar penganutnya menjadi buta akal tanpa pertama-tama dulunya berfikir dengan logik dan rasional. Jika tidak, mengapa Tuhan meminta kita menyaksikan alam untuk berfikir akan kewujudan-Nya?

Sejak wahyu pertama lagi, Tuhan mengajak manusia supaya mengguna pakai logik – bahawa di sana adanya Tuhan yang Maha Mencipta. Jika bercakap tentang hukuman hudud ini ada pihak cuba menafikan fungsi logik dan rasional akal dalam pengaturcaraan pemahaman dan sikap, maka tentu si bercakap itu lagi pandai dari Tuhan. Justeru, hujah seperti begini – Tuhan lagi tahu – tidak sah untuk dibawa dalam premis perbincangan ini.

Berbalik semula pada soalan tadi, apa asas sesuatu jenayah itu sebagai jenayah, sesuatu yang salah itu sebagai salah? Jika dikatakan ianya menjadi salah kerana perbuatan itu menyalahi moral tabii manusia, jadinya hukuman untuk perbuatan salah itu sewajibnya juga berdasarkan tabii manusia, yakni hukumannya tidak berbeza antara seorang manusia dan manusia yang lainnya.

Atau, di sana wujud perbincangan bahawa perbuatan merompak dalam kepercayaan Islam lain asas definisinya dengan merompak dalam kepercayaan yang bukan Islam? Jika wujud perbincangan ini, adakah boleh kita jadikan sebagai hujah asas untuk menentukan sesuatu itu sebagai jenayah ataupun tidak menurut satu-satu kepercayaan?

Dan oleh kerana begitu, boleh kita berteori bahawa wujud di dunia ini kepercayaan atau agama yang tidak melihat bahawa perbuatan merompak tu sebagai sesuatu yang menyalahi atau berbentuk jenayah, kerana yang menjadi asas moral bukan lagi hukum tabii tapi kepercayaan pada teks sakral masing-masing.

Adakah merit penghujahan hukuman potong tangan hanya pada Muslim itu bergantung pada premis kedua ini, yakni asas moral yang menentukan sesuatu kesalahan bergantung pada teks sakral bukan lagi pada hukum tabii manusia? Jika begitu keadaannya, kita bertanya lagi, apakah akan tercapai maksud keadilan seperti yang diuar-uarkan?

Perihal keadilan, bagaimana kita menanggapi maksud keadilan? Adakah keadilan ini hanya tertegak dengan adanya set-set hukuman? Jika tiada set hukuman tertentu dalam mana-mana teks sakral, adakah dengan berpandukan pada hukum tabii, keadilan boleh tertegak? Jika begitu, kita bertanya lagi, keadilan ini sifatnya universal atau mengikut kefahaman sekta-sekta tertentu?

Oleh kerana sebentar tadi kita percaya bahawa asas moral adalah kepercayaan pada teks sakral masing-masing, jadi untuk memahami maksud keadilan ini juga, masing-masing boleh memberi tanggapan yang berbeza-beza tentang keadilan. Jika begitu, kita bertanya lagi, apakah ada suatu yang menggariskan sempadan atau sebarang kerangka umum yang boleh logik akal berpaut padanya?

Adakah dengan menjalankan hukuman hudud, maka kita percaya bahawa keadilan akan terus tertegak? Jika kita percaya bahawa, ya keadilan akan tertegak, kita berbalik semula pada persoalan awal tadi, adakah adil pada rasional akal si Muslim kehilangan tangan dan si kafir cuma mendekam beberapa tahun dalam penjara tanpa sebarang kecacatan fizikal?

Pada makna kendiri keadilan itu sendiri, adakah asas tabii tidak terbina bersekali dengannya? Lagi penting – sebaliknya, apakah kehendak pada keadilan itu tidak wujud dalam tabii manusia? Jika kita tidak boleh menerima keadaan ini, maka bagaimana kita boleh mendakwa bahawa hudud itu mampu menegakkan keadilan sedangkan mereka yang bukan Islam tidak tertakluk padanya?

Jika begini, lanjutnya, apakah tidak akan menular wabak eskapisme dalam kalangan pesalah jenayah yang beragama Islam? Jika memotong tangan si Najib dikatakan sebagai pengajaran untuk yang lainnya, tidakkah selepas itu akan berlaku si perompak tidak mengaku sebagai orang Islam lagi semata-mata untuk mengelak daripada hukuman begitu?

Hudud, Balak dan 1MDB

Satu soalan yang menarik seputar hudud adalah, mengapa tiada hukuman hudud pada jenayah rasuah? Seeloknya, persoalan ini dijawab dengan terang dan jelas agar keraguan ramai terhadap struktur integriti pelaksanaan hudud kelak terlerai.

Dulu saya menulis perbualan dengan kariah di Surau As-Syakirin (kini sudah tinggal kenangan), perihal isu ini. Dulunya tentang hudud dan balak. Jika hudud terlaksana, saya berharap mereka yang memberi kebenaran balak diterokai sebegitu zalim di Gua Musang, dihukum secukupnya.

Dan kini, kita berdepan dengan krisis 1MDB – sebuah krisis gergasi yang juga menjadi penentu kepada kedaulatan negara menurut beberapa orang penganalisis. Krisis ini juga, saya berpendapat parti pemerintah yang begitu menyokong hudud kerana ALLAH, boleh berlapang dada bahawa hudud harus mengadili 1MDB.

Bagaimana dengan cadangan ini? Kerana kesan kebobrokan 1MDB bukan lagi sekecil anak. Ianya melibatkan persoalan mengenai masa depan negara ini. Persoalan tentang kedaulatan dan maruah negara. Maka, menghukum orang-orang yang terbabit dalam kes ini melalui mekanisme hudud wajar diketengahkan.

Kerana tidak lain ianya hukuman yang ditentukan oleh ALLAH, yang terbaik dari segala macam set hukuman lain yang pernah ditulis oleh sejarah ketamadunan manusia lainnya, yang menjadi pemangkin kepada sifar jenayah, yang akhirnya mengundang redha dan rahmat ALLAH.

Justeru, saya mencadangkan agar mahkamah dan seluruh sistem perundangan yang wujud di Malaysia ini, mula mengarahkan pandangan mereka pada hudud dan membincangkan, bentuk hukuman hudud yang bagaimana wajar dijatuhkan kepada pesalah-pesalah di sekitar 1MDB.

Kata pemimpin PAS, hudud tidak akan dikenakan pada bukan Muslim. Jadinya, Jho Low sudah pun terlepas. Habis, apa yang patut hukuman kenakan pada si Cina itu? Tak kan kita nak biarkan Najib Razak berseorangan menanggung hukuman hudud, jika dia didapati benar-benar bersalah?

Argh, nampak seperti ada yang tidak kena. Mengapa hudud tidak terpakai pada semua? Mengapa perlu ada 2 set perundangan, yang membeza-bezakan antara kepercayaan? Tentu sekali Najib Razak tidak mahu melihat tangan dia sahaja dipotong kelak, dan tangan Jho Low selamat sentosa.

Adun Kok Lanas melaung-laungkan ucapan dalam dewan sambil diiringi air mata syahdu bahawa hudud ini adalah yang terbaik, adalah remedi untuk menyelesaikan masalah jenayah, adalah wasilah untuk mendapat redha tuhan. Jadinya, menghukum pesalah 1MDB menggunakan hudud juga maksud si adun ini.

Tulisan ini saya berharap, pembaca boleh menanggapinya dengan akal yang matang, bukan secara literal. Maksud saya, pada frasa hudud ini masih jutaan lagi persoalan yang belum terjawab. Bahkan, mungkin selepas sejuta soalan dijawab, akan timbul lagi sejuta soalan baru kelak untuk dijawab.

Justeru, kerja-kerja begini hanya boleh diselesaikan melalui pintu-pintu wacana. Boleh dijawab dengan kuliah-kuliah ilmu. Boleh dihuraikan dengan akal yang mahu berfikir. Jika kita faham akan keadaan ini, kita tidak akan melatah dengan hudud yang diluluskan oleh Kelantan. Malah, ianya akan membuatkan kita makin bertanggungjawab.

Menariknya, satu analogi dari rakan saya yang boleh direnung – kita hanya akan mampu melukis sebuah peta yang baik jika kita berani menerokai wilayah-wilayah yang baru. Dari sana, kita akan ketemukan dengan kepelbagaian dan keunikan baharu, di mana kawasan dalam, berhutan, berbatu, banyak haiwan liar dan sebagainya.

Demikianlah juga, perihal hudud, analogi ini untuk menenangkan kita jika ada yang gusar dan bimbangkan tentang hudud sehingga tidak boleh tidur malam. Berjiwa besarlah. Beranilah mendepani realiti. Hayatilah keindahannya. Mengapa bimbang akan hudud jika anda bukan pesalah 1MDB?

Dan paling penting, jangan kita lupa bahawa semua ini tidak akan terjadi jika fungsi akal diabaikan untuk mengimbangi pengaruh semangat dan retorik agama yang membabi buta. Selamat beramal, dan jangan lupa bahawa pesalah 1MDB dan balak juga wajib dikenakan hudud.

Saturday, March 21, 2015

Perihal Hudud dan Aisyah Tajuddin

Dunia kita sedang sakit gila, makin tidak siuman. Bercakap tentang hudud, yang sewajarnya topik itu mengundang rasional dan memupuk kesempurnaan akal, akhirnya hal yang terjadi begitu berserenjang dengan antisipasi awal.

Makanya, kita berbangga dengan hudud yang terlaksana dengan sokongan sebulat suara dewan tanpa pindaan, dan juga kita menyeringai bilamana datangnya suara sumbang yang mengkritiknya. Seringai kita, bukan seringai yang biasa-biasa. Ianya seringai yang tidak waras.

Pertama, jika kita di pihak yang menyanjung hudud, bagaimana untuk kita belajar terbuka bila ada yang mengkritik – biarpun kritikan mereka banyaknya tiada asas yang kukuh dan menyimpang jauh dari landskap ilmiah dan integriti keilmuan.

Kedua, jika kita di pihak yang membangkang, bagaimana untuk kita bersikap dengan perlaksanaan undang-undang ini, agar kita tidak menyeberangi sempadan akal dan adab kesusilaan, bahkan tidaklah kritikan itu sekadar tikus membaiki labu.

Menyokong membuta tuli, itu bodoh. Membantah membuta tuli juga, lagi bodoh. Untuk bersikap dengan baik dalam isu ini, kita haruslah sedari bahawa kedua-dua pertembungan di atas hanya boleh dipertemukan melalui satu pintu – keterbukaan.

Bagaimana yang dimaksudkan dengan keterbukaan?

Soalan ini berat untuk dijawab. Banyak tali temali yang harus dimainkan, bila masanya untuk ditarik, bila masanya untuk dikendurkan. Jadinya, dalam menanggapi perkara ini, fungsi akal itu tidak wajar sama sekali diketepikan.

Masalah utama dengan pendukung tegar hudud adalah, hujah-hujah mereka hanya terbatas pada kerangka bahawa hudud itu jelas dalam Quran, maka wajib atas kita untuk laksanakan tanpa banyak soal. Klise yang biasa kita dengar adalah, Tuhan yang ciptakan kita maka Dia lagi tahu apa yang terbaik buat kita.

Dan, di pihak yang membangkang pula, berhujah seolah-olah mereka ini tidak akan mati kelak, seumpama hidup ini tidak perlu bertuhan. Dan hujah-hujah mereka yang membuta-tuli membantah ini banyak kali kedengaran begitu angkuh dan bodoh sombong. Mereka ini, mengambil contoh Aisyah Tajuddin amat silap cara fikir mereka.

Jika di pihak pendukung meminta mereka yang tidak bersetuju berlapang dada, bahawa sesungguhnya hudud hanya untuk mereka yang Muslim, maka kita bertanya, jika ada sebilangan Muslim yang tidak bersetuju juga, bagaimana sikap kamu terhadap mereka? Atau kita dengan mudah menidakkan fungsi akal, dan menghukum mereka tanpa banyak soal?

Jika kita pula di pihak yang membangkang perlaksanaan hudud di Malaysia berhujah agar memastikan jenayah dan segala macam perkara lain diselesaikan terlebih dahulu, mengungkap semula apa yang disebut oleh Aisyah Tajuddin – perihal dadah, pelacuran, kemiskinan dll – hujah begitu pun tidak cerdik.

Tidak tepat, lantaran hujah-hujah begitu sifatnya hanya untuk membunuh hujah lawan tanpa bersedia untuk berhujah secara lanjut dan penuh harmoni. Lantaran itu, tidaklah pelik bilamana pada akhirnya pertembungan kedua-dua kelompok ini, akan menghasilkan natijah yang bersifat reaktif.

Contohnya jelas, kritikan Aisyah Tajuddin akhirnya membawa kepada destruktif pemikiran awam, yang sewajarnya dipupuk melalui wacana isu begini. Kelompok pendukung yang membuta tuli, yang bersemangat tapi tidak berilmu dan tidak berakhlak, akhirnya mengeluarkan bermacam-macam kata nista dan ugutan.

Pada akhirnya kita bertanya, untuk begini keadaan halnya isu yang berat, perbincangan yang sepatutnya menjadi kritis, bertukar sebegini rupa, apakah akan ada lagi harapan yang bersisa dalam masyarakat negara ini. Saya yakin, keadaan ini terjadi begini, lantaran kita malas membaca, mengkaji dan berfikir.

Kita mudah menanggapi sesuatu perkara dengan semangat liburan. Kita tiada minat pada hal-hal yang kritis. Kita tidak berani untuk menganalisis dan melawat kembali pegangan dan kepercayaan kita. Bahkan, kita tidak pernah cuba menilai apa sahaja pendirian lama kita, yang mungkin sudah lapuk dek kekeringan ilmu.

Moga tuhan memberi petunjuk kepada kita, dalam menghadapi konflik pemikiran yang tidak berkesudahan.

Saturday, March 14, 2015

Impian Seorang Bibliophile

Jika menurut Wikipedia, bibliophile ini membawa makna seorang manusia yang begitu cintakan buku, hobi terutamanya adalah membaca, gila mengumpul koleksi buku, siang malamnya terfikir akan buku, makan mandinya juga tentang buku.

Gila begini, adalah suatu rahmat. Saya tidak terkecuali juga. Macam pagi-pagi begini, saya sudah pun mendapat lebih kurang 10 buku-buku hebat hasil pemburuan lewat malam semalam. Antara judulnya adalah, Thus Spoke Zarathustra, sebuah novel filsafat karya Friedrich Nietzsche dengan harga cuma RM10!

Tentulah pagi Sabtu saya akan menjadi bersinar, galak dan tiada henti girangnya. Saya sering membaca, satu ungkapan popular seputar mereka yang tergilakan buku, bahawa jika gilakan buku itu dikira suatu penyakit, maka inilah penyakit yang paling membahagiakan.

Menyebut tentang perangai bibliophile ini, saya ingin berkongsi cerita sebuah impian. Ini adalah impian saya dan sekumpulan rakan yang saban minggu, kami bertemu, berusrah tentang buku. Kami membaca buku, membedah buku dan berwacana idea yang dibawa oleh penulis. Impiannya adalah, untuk memiliki kedai buku kami sendiri.

Kami baru sahaja bermula. Idea itu berputik apabila kami gersang setiap kali melawat kedai-kedai buku yang lainnya di kawasan sekitar Lembah Klang. Tidak semua kedai buku yang wujud itu dapat memenuhi cita rasa kami. Tentulah kami mahukan sebuah kedai, yang mampu memuaskan imaginasi kami.

Hasilnya, kami bertekad untuk membina kedai buku sendiri. Kami menamakannya, Tidak Selain Buku’ Book Café. Kami tiada ilmu perniagaan. Kami tiada pengalaman menjaja barangan dalam talian. Kami tiada modal. Kami tidak tahu mana mahu dicari buku yang nak dijual. Kami kosong, tapi kami ada impian, semangat dan cita-cita.



Tambah lagi, kami ada sekumpulan bibliophile yang bersemangat, yang berkongsi minat dan impian yang sama. Jadi kami bermula. Kami mula dengan mengiklankan di laman Facebook dan sosial lainnya tentang impian kami, tentang kisah kami. Tapi sehingga kini, kami masih di awang-awangan.

Tapi, kami optimis. Kami yakin ada sinar nanti di penghujung lorong yang kini nampak suram dan kelam. Kami yakin, impian ini jika menjadi nyata akan membuahkan nikmat tiada tara buat komuniti seluruhnya, dengan izin tuhan.

Sokonglah kami, moga dengan sokongan kalian kami akan membesar dengan matang. Membangun dengan semangat membara. Kami baru bermula. Kami belum punya tapak kedai yang tetap. Kami belum punya buku-buku yang cukup untuk dijual. Tapi, itu bukan masalah.

Moga tidak lama lagi, ‘Tidak Selain Buku’ Book Café akan berdiri megah di Bandar Baru Bangi. Moga selepas itu, penduduk Bangi tidak lagi kehausan buku dan gersang karya-karya monumental. Moga tuhan bersama impian ini.

Terima kasih atas sokongan dan doa...

Tuesday, March 10, 2015

Seni Yang Keliru

Homeless itu sudah menjadi art sekarang. Di Paris, gelandangan itu suatu seni – jadinya kita perlu hargai,” ujar seorang cendekiawan lepasan universiti di bumi Inggeris. Dia nampak seperti baru pulang dari kota Paris – melancong gamaknya untuk menghabiskan baki duit tajaan JPA.

Pertama, cendekiawan di atas keliru. Sedang keliru. Dia keliru untuk bedakan seni dan virtue. Dia mencampuradukkan, menguli sebati segala ranah yang kedengarannya muluk padahal begitu mengelirukan.

Gelandangan itu terhasil akibat ketidakadilan (injustice). Mana mungkin, suatu bentuk ketidakadilan itu boleh dijustifikasikan sebagai seni, dengan meletakkan suatu nilai lain untuk menghalalkan ketidakadilan itu.

Berikan pada aku satu nilai atau virtue yang boleh mengatasi persoalan keadilan dan boleh menjustifikasikan kewujudan gelandangan sebagai suatu seni yang perlu dihargai, itu pun jika ada dan kau mampu mengadakan suatu bid’ah dalam mentafsirkan nilai keadilan.

Kedua, jika pada cendekiawan tajaan JPA itu merasakan bahawa gelandangan itu suatu seni dan harus dihargai, boleh aku pinta kamu bertukar tempat – cukuplah semalaman – dengan sang gelandangan itu? Aku juga mahu saksikan, kau menjadi sebahagian seni itu.

Janganlah kamu cuba kalihkan premis perbincangan bahawa perlunya dibela golongan gelandangan. Mereka berhak untuk hidup seperti yang lainnya di sekitar mereka. Ibu kota itu bukan sarang untuk kaum pemodal cuma, atau bapak menteri yang gendut perutnya.

Jika kamu merasa enaknya tidur di tilam empuk, mereka juga begitu. Mereka tidak merasa seninya dengan tidur beralaskan lapis-lapis kotak, dan berselimutkan kami pelekat singkat – ditutup muka, kakinya terjulur. Diselimuti kakinya, mukanya pula menjadi sasaran nyamuk.

Seni yang kau ungkapkan itu, adalah seni celaka. Seni yang kau suruh hargai itu, adalah seni neraka. Padahal, jauh di sudut hati mu, aku tahu kau jelik dengan gelandangan. Aku tahu, kau merasa mulia dari mereka. Sedangkan, kau hina. Kau tiada apa-apa. Kau sebusuk-busuk makhluk.

Aku tulis semua ini, apabila kotak memori aku berputar mengingatkan kembali pada satu masa, aku pernah berbual dengan kau seputar isu gelandangan setelah membaca coretan kisah anak-anak Chow Kit ini. Moga tuhan bersama mereka. Moga anak-anak Chow Kit kelak akan bangun dengan perkasa.

Untuk kau wahai cendekiawan yang di atas, jika kau terserempak dengan coretan ini, ingatlah bahawa aku tidak akan pernah lupa pada perbualan kita ini. Aku mahu kekal ingat, bahawa masih wujud manusia yang cuba menghalalkan ketidakadilan dengan alasan yang cukup muluk – bahawa gelandangan itu suatu seni.

Wednesday, March 4, 2015

Tentang Si Genius Adi Putra

Ini coretan ringkas awal Mac 2015, beberapa hari lagi sebelum kita akan tiba pada hari yang menandakan setahun hilangnya MH370 tidak ketemu. Coretan ini tentang Adi Putra, si genius cilik yang dulunya begitu popular, semua media mahu mendapatkan cerita tentangnya.

Kini, di mana Adi Putra? Kita bertanyakan soalan begitu kerana kerisauan kita adalah kisah Adi Putra ini akan menjadi senasib generasi genius Malaysia lain-lainnya. Tentulah kita berharap ianya tidak berlaku demikian.

Hari ini mStar kembali dengan cerita tentang si Adi Putra ini. Saya antara peminat beliau. Saya kepingin mahu bertemu dan berbual dengan Adi Putra. Saya mahu berkawan dengan beliau – dan belajar dengannya. Tapi, Adi di mana?

Jika membuat carian di Google, yang berderet keluar di halaman utama adalah kisah tentang Adi Putra, si pelakon layar teater. Untuk apa ambil tahu tentang si pelakon itu. Bukanlah mendapat apa-apa manfaat pun pada perkembangan akal dan ilmu pengetahuan. Entahlah.

Cerita mStar membuka episod baru. Paling tidak saya dapat mengenal Adi Putra yang kini sudah berusia 16 tahun! Sudah besar budak genius tu sebenarnya. Pejam celik, tidak terasa cerita tentang Adi Putra ini sudah sedekad lamanya.

Namun begitu, cerita mStar tidak enak didengar. Pertamanya, Adi Putra sehingga kini belum ada apa-apa kelayakan bertulis. Lagi malang, pengajian beliau di UIAM seolah-olah tidak diiktiraf, atas alasan yang begitu naif – bawah umur.

“Adi nak cakap lebih pun tak tahu sangat, tapi Adi memang sudah habis belajar selama dua tahun di UIA. Tapi Adi tak pernah dapat sijil. Senang cerita…Adi pergi belajar, bukan untuk dapatkan apa-apa,” 
“Adi belajar lima subjek iaitu fizik, kimia, biologi, matematik dan matematik tambahan, tapi memang Adi tak ada kelayakan bertulis, alasan yang diberitahu masa itu ialah sebab Adi bawah umur,”

Malaysia ini, lebih kurang 5 tahun lagi nak menyambut gelar sebagai negara maju 2020, untuk mengiktiraf pengajian Adi Putra pun masih bergulat gelut dengan faktor umur. Entah ada apa pada umur pun, saya tak faham. Tapi, inilah dia Malaysia.

Lagi sedih, bila Adi membuka cerita tentang impiannya mahu menjadi profesor Matematik dan kekangan kewangan. Serius, ini bukan gurauan lagi.

“Masalahnya ialah dana… Adi perlu cari sendiri. Dari dulu sampai sekarang memang tak dapat sokongan atau dana dari mana-mana pihak,” 
“Semuanya Adi kena bergerak sendiri. Buat masa sekarang Adi masih tak boleh tinggalkan Malaysia dan tak boleh tinggalkan keluarga,”

Sudah sengkek sangat ke negara kita, sehinggakan untuk menaja pengajian Adi Putra pun berkira? Kita ni dah kenapa? Membazir sangat ke untuk keluarkan belanja sedikit, menaja pengajian Adi Putra di tempat yang mampu membantu beliau memanfaatkan potensinya?

Saya tak faham. Kita ini negara apa sebenarnya? Apa yang nak kita capai sebenarnya? Mana perginya laungan nak bantu anak bangsa dan sebagainya? Mana dia? Mana?

Dan bila Adi Putra menyebut perihal impiannya, ini membuatkan saya tersenyum lebar. Paling tidak, dalam keterbatasan begitu, dan dalam kepayahan beliau mengharungi realiti hidup sebagai genius di negara ini, beliau tidak mati.

Beliau punya impian yang cukup murni. Cita-citanya itu, demikianlah jiwanya – besar jiwanya si budak ini. Saya mendoakan, moga modul dan kerja keras Adi Putra, kelak akan menjadi “sesuatu” kepada negara ini, dunia ini dan juga, menjadi inspirasi kepada masyarakat seluruhnya.

"Sekarang pun Adi sendiri sudah cipta sebanyak 286 formula. Mungkin ramai lagi orang di luar sana yang boleh mencipta formula-formula baharu dalam matematik,” 
"Setakat ini permintaan pun Alhamdulillah. Ada lagi sekolah-sekolah yang mahu Adi tubuhkan Kelab Inovasi Matematik ini di sekolah mereka,”
"Adi sudah siapkan modul untuk sekolah menengah. Pada peringkat awal ini Adi sendiri yang akan mengajar bersama guru bimbingan kelab itu nanti,"

Bertahanlah Adi Putra. Bertahanlah. Moga tuhan senantiasa bersama mu.

Tapi itulah, luahan ini adalah di tahun 2015. Bukan 20 tahun yang lepas.

Kala tika ini kita saban hari berbangga dengan pertumbuhan KDNK yang tidak henti-henti, dan ekonomi Malaysia yang melampau-lampau majunya, untuk menaja seorang anak Melayu mengaji di universiti ternama pun, masih terkial-kial.

Oh saya lupa, mungkin semua itu sudah diperuntukkan untuk mendandan rambut dan beli buluh untuk makan malam si panda di zoo. Mungkin begitu.

NOTA: Tulisan ini tidak lagi mewakili sikap penulis pada hari ini. Justeru, pembaca harus menanggapi tulisan ini tidak lebih dari sekadar arkib penulisan blog Time To Change semata-mata. Sebarang usaha ulang siar tulisan ini ke mana-mana media adalah dilarang sama sekali.