Tuesday, February 10, 2015

Tangisan Kematian

Di akhir tulisan saya tentang meraikan kehidupan, saya mencoret sebaris dua puisi ringkas Prof Tariq Ramadan,

“And who will not forget to ‘say to those they love that they love them’.
Life is fragile.”

Benar, hidup ini penuh ketidakjangkaan. Langkah terbaik adalah dengan kita menghargai setiap momen kehidupan, meraikannya dan mensyukurinya. Secara peribadi, saya merasakan cuma dengan sebegitu cara sahaja kita akan mencapai makna anugerah besar ini.

Dan, hidup ini sangatlah benar akan tiada rumus kebarangkalian untuk merangka jalan di hadapan. Yang cuma tinggal, adalah impian dan harapan yang terus menerus menyalakan semangat untuk mendepani segenap ketidakjangkaan di depan kita.

Malam Sabtu yang lalu, kami di As-Syakirin menerima berita sedih. Salah seorang jemaah di surau ini kehilangan ahli keluarga barunya – bayinya yang baru berusia 5 bulan setengah – khabarnya tercekik susu di rumah pengasuh. Alangkah luluh hati mendengar perkhabaran ini, tentu sekali tiada terbanding rasa pedih yang dialami oleh pasangan itu.

Jika dulu saya menulis tentang meraikan kehidupan, kisah ahli jemaah kami yang girang menyambut ahli keluarga baharu, akan tetapi malam semalam, seorang lagi ahli jemaah menerima berita yang menyongsang kegembiraan yang lepas. Saya kelu, menulis ini atas dasar simpati dan mahu membuat renungan peribadi.

Saya tidak ketemu tajuk yang sesuai. Sebuah kematian, mendengar patah kata itu sahaja cukup membuatkan setiap dari kita kecut perut, tergambar akan kepedihan dan kesedihan akibat kehilangan insan tersayang. Akan tidak ketinggalan juga, kenangan-kenangan yang berputar kembali menerawang seputar si mati.

Bagaimana agaknya keadaan si ibu dan ayah bayi itu? Usai majlis tahlil yang diadakan di perkarangan rumah mereka, saya berkesempatan bersua menyampaikan takziah kepada si ayah. Terpampang sugul di wajahnya. Moga engkau tabah wahai pak cik, sesungguhnya ALLAH SWT itu adil pada hamba-Nya.

Apa yang menginsafkan, apabila si ayah tetap tenang. Mungkin gelora sedihnya hanya tuhan yang tahu, tersimpan rapi jauh di benak hatinya. Namun begitu, dia sangat kuat. “Tak mengapalah, saya tidak sedih. Tuhan sudah sediakan tempat yang terbaik buat dia di sana.”

Apabila kami bertanyakan tentang kejadian di rumah pengasuh itu, dia tetap tenang. Dia menjawab kami, “Benda sudah nak jadi. Tuhan cuma pinjamkan saya bayi itu selama 5 bulan setengah. Saya reda...”

Alangkah, moga aku punya kekuatan yang begitu juga, pabila tiba masa aku diuji tuhan kelak. Saya, secara peribadinya terkejut dan bimbang, mendengar perkhabaran begitu. Sedih itu memang tidak dinafikan, akan tetapi merasa bimbang pada gejala kemalangan di rumah pengasuh, pada saya ianya sangat berasas.

Saya punya 2 rakan yang masing-masing punya anak kecil, lebih kurang umurnya sebulan dua. Kedua-dua mereka ini mengambil keputusan untuk mendapatkan pengasuh untuk anak mereka, lantaran desakan hidup sebagai pelajar Sarjana yang menuntut masa yang lebih di makmal.

Tentulah saya merasa tidak sedap hati mendengar perkhabaran begini, tambah-tambah darjah kebolehpercayaan pada rumah pengasuh masa kini amat tipis.

Namun begitu, mengingatkan kata-kata seorang ahli jemaah di surau kami, apabila desakan hidup sebegitu, kita sudah tidak punya pilihan selain memilih untuk mendepani risiko, kadang kala itulah yang terbaik sedang tuhan yang mengatur adalah jauh Maha Bijaksana. Tidak dinafikan, faktor deretan kes-kes mutakhir menyebabkan kesangsian itu tidak dapat dielakkan.

Jadinya, berbalik soal kematian itu di tangan tuhan, merenung semula hakikat ini akan membuatkan kita kembali sedar, bahawa sejauh mana pun kita berusaha pada akhirnya yang menentukan hidup dan mati adalah Dia jua.

Makanya, sebagai manusia kita akan berusaha melakukan yang terbaik, termasuklah mencari pengasuh yang sehabis baik yang boleh diletakkan kepercayaan kepada mereka untuk menjaga bayi itu dengan penuh kasih sayang dan perhatian yang tiada bertepi.

Termasuklah akan ibu dan ayah si bayi di atas. Mereka telah kehilangan anak kedua, yang baru dipinjamkan tidak sampai setahun, menangisi pemergian itu dan mengambil pengajaran darinya pastilah tiada pertentangan terhadapnya. Saya mendoakan pasangan itu terus kuat, makin tebal keimanan mereka dan akan digantikan dengan hal yang jauh lebih baik oleh pemilik cakerawala ini.

Tangisan kematian, sugulnya jiwa dan semakin kuat rintihan kita pada Tuhan sarwa alam, empunya Arasy yang Maha Tinggi, moga kita semua diampunkan dosa-dosa yang lalu, yang sedang dan yang akan datang, serta digolongkan bersama mereka yang tenang jiwanya, berserah raganya pada Rabbul Izzati.

Wahai jiwa yang tenang!
Kembalilah kepada Tuhan-mu dengan hati yang reda dan diredai-Nya,
Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba Ku,
Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.