Skip to main content

Selamat Tinggal, Putrajaya!

Minggu ini, adalah minggu terakhir saya di Putrajaya. Juga coretan ini yang terakhir di tulis di Putrajaya, pada hari terakhir. Saya akan tinggalkan bandar masa depan ini setelah hampir 4 tahun menikmati sipu-sipu tiupan anginnya, kedinginan lorong-lorong pejalan kaki di pagi Ahad, pedih tercucuk kemuncup kala ke As-Syakirin Presint 14.

Minggu ini juga, saya sibuk berkemas barang. Mengisi berjilid-jilid buku dalam kotak-kotak kosong, mencuci rumah yang bakal ditinggalkan, melipat baju-baju berkedut usang yang saya miliki dalam beg galas, mencicip seberapa boleh kenangan di sini, sebelum semuanya akan berpindah ke tempat baharu.

Mencuri kata-kata komersial PETRONAS, “The events end, the memories never.” Demikian itu yang bermain dalam benak saya minggu ini. Tentulah selepas ini, tiada lagi keringat peluh yang tercurah berbasikal ke Dataran PICC, berbasikal ke Perpustakaan Yayasan Kepimpinan Perdana, berbasikal ke pintu masuk Istana Melawati.

Dan tiada lagi dapat merasa kekejangan otot ketika berkayuh mendaki Taman Rimba Alam, menyelusur lorong-lorong berkuda sehingga ke jambatan gantung di puncak bukit dan menikmati lautan pemandangan indah rumah-rumah yang bertebaran di kakinya dan jujukan kereta di jalanan. Kerana, yang terpahat cumalah bingkisan memori begini.

4 tahun di Putrajaya, bukan hanya tentang berbasikal. Itu cuma sebahagian bingkisan memori yang terbina di sini. Tentulah saya akan merindukan saat-saat begitu kelak. Kerana pada akhirnya, kita semua adalah manusia yang ada jiwa dan perasaan. Tentulah begitu bukan?

Saya akan merindukan pohonan buluh madu di belakang rumah, yang sayup mencecah atap dan semut-semut hitam galak beratur rapi memasuki rumah, dan bertebaran ke segenap ruang yang mereka gemari. Juga batang-batang ubi kayu yang tidak termakan pucuk mudanya, yang pada akhirnya cuma tersadai patah dicantas jiran.

Saya akan merindukan saat di waktu pagi berkejaran ke perkuliahan di UKM bersama Syazwan, menaiki Satria putih miliknya, dan kadang kala membonceng Ninja berwarna hijau yang gamat ekzosnya di pagi hari. Kadang kala, menumpang Saga biru milik Khoiri. Saya terhutang budi baik mereka, bermula dari si ayah ke anaknya, berteduh kasih di kota Putrajaya.

Biar saya coret barang sebaris dua tentang Pak Cik Kadri dan anaknya Syazwan, moga rahmat ALLAH ke atas mereka senantiasa, kerana tiada terbalas budi baik mereka terhadap si penulis ini. Perkenalan saya dengan Syazwan, bermula pabila kami bekerja dalam satu pasukan mewakili UKM bertanding di Litar Sepang.

Dan juga Khoiri, kami bertiga mulai rapat semenjak itu. Kami seumpama serangkai – mungkin kini tidak lagi lantaran kesibukan mengejar impian masing-masing. Perkenalan itu membawa saya dan Khoiri ke Putrajaya, tinggal bersama Syazwan dan ayahnya, Pak Cik Kadri. Semenjak itu, saya berpindah dari Bangi ke Putrajaya.

Dan semenjak itulah, saya jatuh cinta pada kota moden ini. Sering kali, bila duduk bersahaja, saya merenung, jika 10 tahun dahulu ada orang mengkhabarkan bahawa suatu hari nanti saya akan berbasikal mengelilingi bandar ini, berguling di atas rumput tipis yang rapi menghiasi Taman Perdana Putra, saya akan berkata orang tersebut gila.

Tapi itulah, hidup ini penuh ketidakjangkaan. Sedang kita merancang ianya serenjang, tuhan akan kirimkan kesenjangan. Untuk kita sebagai hamba, tiada lain adalah berfikir dan mengambil iktibar. Tentulah proses seterusnya, untuk kita memperbaiki kecacatan yang lampau.

Banyak sekali budi baik dan kemurahan hati dan jiwa si ayah dan si anak itu terhadap saya jika mahu dihitung satu persatu. Memang benar sekali pesanan si penjual pantun ini, seringkas mana pun ia, maknanya mendalam tiada lempung;

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandungi tanah,
Budi yang baik dikenang jua.

Bagaimana sepatutnya saya mengakhiri coretan penghargaan buat 2 insan ini, saya tiada jawapan. Tentu sekali coretan-coretan begini amat kontang, tiada kecukupan, tidak membayar sedikit pun segala hal baik mereka berdua telah berbuat.

Namun begitu Nabi mengajarkan umatnya berdoa, dan saya mendoakan pada tuhan, dengan lafaz Jazāk Allāhu Khayran, “Moga Tuhan membalas segala jasa baik kamu dengan balasan yang lebih baik.”

Amin...

Saya juga akan merindukan As-Syakirin, surau kecil yang bilangan jemaahnya tidak lebih dari 10 orang saban waktu, dan banyak kali jeritan anak-anak kariah bermain di belakang menenggelamkan suara imam ketika solat. Surau kecil itu tempat saya bertemu cinta lama – sebuah pencarian makna hidup yang sekian lama terlelap dalam buaian mimpi.

Bercerita tentang surau kecil itu, jika ada sesuatu yang paling berat mahu ditinggalkan, pastilah ianya tentang As-Syakirin. Saya akan rindukan bacaan-bacaan hadis ringkas di waktu pagi, dan pagi Ahadnya, imam akan membaca panjang lebar sementelah semuanya tiada tergesa ke mana-mana.

Saya akan rindukan kebaikan kariahnya, pak cik-pak cik yang bermurah hati menumpangkan teduhan kasih mereka pada orang bujang sebatang kara ini, tentulah yang paling saya kenangi adalah tika kita semua menyambut Aidiladha mengorbankan seekor lembu jantan di perkarangan P14E dan gotong-royong membersihkan surau.

Kari kepala ikan? Gulai kambing? Apa lagi yang kau mahu? Ini cumalah selingan.

Juga, tika Ramadan juadah buka puasanya yang lazat hasil masakan Kak Mah, orang rumah Pak Cik Ramli. Majlis di sana kecil dan sederhana cuma, tapi meriah dan sangat bermakna. Tidak ketinggalan, kumpulan tadarusnya walaupun tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis khatam di akhir Ramadan. Terima kasih tuan imam kerana memberi ruang untuk saya menyertainya.

Banyak sungguh, jika mahu diungkai satu persatu. Yang lain-lain itu, ianya menjadi suatu memori yang manis. Surau kecil itu tempat bertamunya cinta, berputiknya rasa hamba, menginsafi bahawa hidup ini perlu bertuhan. Saya mendapat itu ketika tuhan menjemput saya bertandang ke sana.

Pada sekalian pak cik di kejiranan P14E, dan anak-anak kecil mereka yang sudi menjadi kawan, teman berbual di belah petang, bersama mengimarah surau kecil itu, bertanyakan khabar dan tidak lupa kadang kala menghantar bungkusan makanan pada orang bujang ini – kenangan itu tidak akan dilupakan.

Tentulah saya tidak dapat menahan rasa sebak, bila kalian masih lagi mengajak untuk ke sana lagi, terus datang setiap kali Jumaat, lepak di rumah salah seorang jiran yang juga membujang, dan adik-adik yang bertanyakan bila saya akan pulang semula ke surau itu, moga ajakan itu Tuhan akan permudahkan kelak.

Untuk Azfan, Aqil, Irfan, Aiman, Fitry, Angah, Along, Syahmi, Firdaus, Waiz, Syafiq dan ramai lagi – moga kalian menjadi orang yang berjaya, berguna pada masyarakat dan taat pada ibu bapa kalian. Banyakkan membaca, kurangkan bermain permainan video. Kita akan bertemu lagi kelak, percayalah.

Saya juga akan mengenang sentiasa penat lelah berulang alik dari rumah ke Putrajaya Sentral, mengejar RapidKL ataupun ERL untuk ke destinasi di luar bandar itu, juga ke UKM dua tiga bulan terakhir ini. Putrajaya banyak mengajar pahit manis, paling tidak dilupakan 2 kali tersembam mencium bumi tika gigih berkayuh basikal.

Di bandar ini juga, kami pernah dihalau ketika sedang barbeku di tepi tasik sekitar perkarangan Sri Perdana. Dua orang pegawai beruniform biru gelap datang menyapa sambil mengeluarkan kata-kata keramat, “Dik, tak boleh buat aktiviti di sini. Ini kawasan elit!”

Ya, itu kawasan elit katanya. Kawasan elit itu dibina menggunakan duit-duit kami yang diperah menggunakan mesin bernama cukai. Pada akhirnya, mereka mendabik kawasan itu milik mereka dan kami tiada hak atasnya. Kemudian, untuk menjaga kawasan elit itu, mereka mengupah robot-robot beruniform biru gelap.

Yang menghalau kami adalah robot-robot yang telah diprogramkan. Bandar ini bandar masa depan, jadi semuanya telah tersedia diprogramkan. Itu cerita elitnya Putrajaya. Kami tidak hairan, dan sudah pun maklum perangai tak sedar diri mereka itu. Biarkanlah, kerana apa yang saya coret ini sudah menjadi memori selepas ini.

Ada juga memori yang kelakar, apabila saya dikejar pengawal keselamatan kerana berbasikal memasuki kompleks Alamanda akibat tidak bertemu jalan untuk ke Pejabat POS bergerak di tengah bangunan menghadap hotel Everly. Maafkan daku, kerana tiada ketemu lorong ke sana. Yang tinggal cumalah jalan pintas melalui pintu automatik kompleks itu.

Pada akhirnya, memori-memori ini terbina bersama 2 sahabat saya; Syazwan dan Khoiri. Tanpa mereka, tentu cerita di atas tidak akan wujud untuk ditulis dalam bingkisan ini, mimpi-mimpi ini tidak menjadi kenyataan untuk dicoret dibaca. Terima kasih tuhan, terima kasih atas segalanya.

Banyak sebenarnya yang mahu dicatat. Mahu ditulis dan terus ditulis, untuk dibaca pula pada masa mendatang, mengimbau kembali saat-saat indah dan menghidupkan rasa rindu pada tautan kasih sesama insan di kejiranan P14E dan As-Syakirin. Imbauan itu adalah tidak ternilai, yang itulah sebenarnya akan menjadikan kita insan yang bersyukur dan bersujud pada nikmat-Nya.

Hari ini, 25 Februari menandai hari terakhir di sini. Hari penyerahan kunci rumah pada perbadanan. Hari ini juga hari terakhir mengemas saki-baki sepah-sepah barang yang mahu dipindah, yang mahu dibuang.

Akan tetapi, coretan di sini tidak akan tamat, ianya akan terus. Ditambah catatan sedikit waktu kelak, jika ditakdirkan akan ada jodoh pertemuan lagi dengan kota Putrajaya ini, insya ALLAH.

Selamat tinggal, Putrajaya! Selamat tinggal! Aku akan terus merindukan mu...

Saya, Syazwan dan Khoiri di hadapan teratak yang bakal ditinggalkan.

Popular posts from this blog

Laila dan Majnun

Telah sampai cherita bahwa pada suatu hari Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan pesuruh2nya supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanyai peri kisah kekasihnya Majnun.

Apabila tiba Laila dihadapannya Baginda bertanya: "Wahai Laila, kau yang kechantikanmu mashhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi!—aku ingin menatap wajah Majnun, ingin tahu sifat rupa yang kau chintai dengan teguh dan jujur itu."

Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun bahwa kekasihnya telah hilang tiada yang tahu kemana.

Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk menchari Majnun hingga dapat supaya dibawa dihadapannya. Pesuruh menchari dikota, dikampung, didusun hingga akhirnya diperpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Disitu beliau mendapat khabar bahwa ada seorang yang berdiam sebatang-kara dipadang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang sudah gila.

Orang itu dibawa kehadapan Baginda Sultan yang, sambil terk…

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…