Friday, February 6, 2015

Meraikan Kehidupan

Mungkin ini juga antara nota-nota akhir sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada Putrajaya. Jika tiada aral, saya akan berpindah ke tempat baharu pertengahan bulan ini. Itu cuma kebarangkalian. Perancangan tuhan tiada siapa tahu.

Tak mengapalah, paling penting buat masa sekarang saya cuba untuk menikmati saat-saat akhir di bandar moden ini. Kelak, semua ini akan menjadi jalur-jalur memori, dan juga coretan-coretan sepi di blog serba kecil ini.

Saya mahu menulis tentang meraikan kehidupan dalam konteks yang lagi besar, iaitu memandang kehidupan ini sebagai sebuah hadiah dari tuhan – meminjam kata-kata Prof Tariq Ramadan – dan bukannya sebagai pemilikan peribadi.

Dan, semalam juga di As-Syakirin berlangsungnya majlis berzanji, belah mulut dan cukur jambul, atau kita selalu sebutkan dengan istilah tahnik, suatu upacara yang meraikan kelahiran baru di dunia serba fana ini. Ini juga tentang meraikan kehidupan.

Si bayi itu anak keempat kepada salah seorang jemaah di surau kami. Dia masih muda dalam 30-an, jadinya saya bersalam dengannya sambil menyapa, “Bersalam ini tanda mahu ambil berkat dengan orang yang baru dapat anak...” Dia ketawa kecil.

Maklumlah, orang bujang bila dapat menyapu dahi si bayi yang masih kemerahan itu ketika selawat didendangkan, rasanya lain macam. Tapi tentulah tulisan ini tidak memaksudkan bahawa saya sudah mahu menamatkan zaman sebatang kara ini.

Bila direnung dalam-dalam, sambil mengalun kalimah selawat, bahawa demikian mulus sungguh budaya orang Melayu meraikan sebuah kelahiran baru, dengan mengasimilasikan adat setempat dan sunnah Rasulullah SAW, yang secara langsung kelahiran baru itu memancar sinar kegembiraan.

Dalam beberapa syarahan Prof Tariq Ramadan di Malaysia, beliau kerap mengungkapkan soal cinta dan kehidupan. Bagaimana meraikan kehidupan sebagai sebuah hadiah tidak ternilai dari tuhan. Dan juga tentang bagaimana meraikan kehidupan itu sebagai lambang cinta pada sang pencipta.

Bayi yang baru lahir, wajibnya adalah sebuah anugerah tiada ternilai dari pemilik cakerawala ini. Kelahiran baru ini pasti bersambut dengan zikir oleh sekalian makhluk di bumi dan langit. Paling berbahagia, sekilas pandang adalah ibu dan bapanya. Namun hakikatnya, kelahiran itu juga membahagiakan seisi mereka di sekitarnya.

Sesungguhnya, pada meraikan kehidupan ini, rohnya terletak pada sejauh manakah kita memahami makna seputar yang berlaku. Tentang makna mengapa tuhan menjadikan kita, tentang mengapa adanya kehidupan ini, tentang mengapa adanya tuhan dan hamba, dan tentang pengakhirannya yang bagaimana.

Pada sebuah penciptaan yang baru, dan gembiranya saat kelahiran itu, segala sambutan dan kemeriahan, dan kemudian meningkat umurnya dan sampai akan makna hakiki kehidupan ini pada dirinya, itulah yang disifatkan oleh Mark Twain sebagai momen terpenting dalam kehidupan seseorang.

“The two most important days in your life are the day you are born and the day you find out why.” ― Mark Twain

Berbicara tentang ini, mengingatkan saya pada sebuah dialog antara si hamba dan tuhannya. Si hamba mengadu,

“Tuhan, dulunya Kau selalu ungkap pada ku,
Tika aku membuat janji akan mengikuti-Mu
Yang Kau sesekali tidak betah
Meninggalkan ku berkeseorangan – menangisi,
Akan nasib diri...
Yang Kau sesekali tidak membiarkan,
Aku berkelana berseorangan
Tapi tuhan, aku menoleh ke belakang – selalu,
Tika aku bergundah dilambung olak
Dan selalu juga aku perasan
Yang tinggal cuma sepasang telapak kaki
Pada pepasir nan kehidupan
Aku tidak mengerti, tuhan
Tika ku mengehendaki
Tika itulah Kau memilih meninggalkan ku...”

Sang Tuhan pemilik sarwa alam, menjawab;

“Anak ku, sedarilah akan cinta Ku ini tiada kurang,
Tiada gersang dan tidak kontang
Aku sesekali tidak meninggalkan kau kesepian menangisi
Anak ku, sedarilah tika kau berasa punah
Berat dan terseksa, diuji tiada bertepi
Dan tika itu kau menoleh dan terlihat akan dikau
Cuma tinggal sepasang telapak kaki
Menelusur pasir nan kehidupan,
Sedarilah wahai anak ku,
Bahawa tika itu aku sedang mendukungi mu...”

Dan itulah, pada saya makna meraikan kehidupan. Padanya adalah soal tuhan dan hamba, soal ketundukan dan kepatuhan, pengharapan dan belas kasihan, cinta dan kasih sayang, kesilapan dan kemurkaan, dan akhirnya, soal kita sebagai hamba yang tiada lelah mencari makna hakiki.

Moga coretan ini mengingatkan kita, bahawa kehidupan ini adalah sebuah hadiah dari tuhan, tentulah hanya dengan mensyukuri pemberian ini – meraikannya, kita akan menemui jawapan pada banyak persoalan yang melingkar.

Mengungkap puisi Prof Tariq Ramadan di dalam bukunya, The Quest for Meaning,

“And who will not forget to ‘say to those they love that they love them’.
Life is fragile.”