Monday, February 23, 2015

Ini Pesanan Buat Ayah dan Ibu

Saya menulis ini, setelah sekian lama memendam rasa bimbang. Saya bimbang pada nasib dan masa depan adik-adik remaja saya di sekolah menengah dan rendah. Saya bimbang pada ledakan kemodenan zaman dan kemajuan teknologi komunikasi, dan impaknya pada anak-anak remaja kita.

Saya menulis, kerana bimbang akan mereka ini adalah golongan pelapis masa hadapan. Jika tidak dijaga, tidak diurus dan dididik dengan bijaksana, punah mereka kelak. Maka tulisan ini akan memfokuskan pesanan-pesanan saya pada para ayah dan ibu yang punya anak usia remaja pada hari ini.

Minggu sudah, saya dalam perjalanan pulang ke rumah, menaiki komuter dari Seremban ke Bandar Tasik Selatan, jam ketika itu sekitar 10 malam untuk pulang ke Putrajaya. Tiba di Stesen Bangi, sekumpulan remaja – lelaki semuanya, dalam 8 orang menaiki komuter yang sama, duduknya mereka tidak berjauhan dari saya.

Mengapa dikatakan remaja?

Air muka dan riak wajah mereka tidak dapat menipu mata saya. Saya dapat mengagak umur mereka tidak lebih dari lingkungan belasan tahun.

Timbul persoalan dalam benak saya, ke mana mereka mahu tuju malam-malam begini? Ke ibu kota kah? Untuk buat apa?

Cara mereka berpakaian bukanlah untuk pulang ke kampung, kalau-kalau mereka itu dari sekolah berasrama. Juga bukan cara untuk ke kelas-kelas pengajian. Saya pernah menjadi remaja, dan naluri saya memberitahu sudahnya malam mereka ini akan berakhir di mana.

Saya perhatikan gelagat mereka, kelihatan riang sekali. Saya tersenyum kerana itu semua mengingatkan saya pada zaman remaja dulu, meskipun saya tidaklah mendapat kebebasan sebegitu, tetapi keriangan bersama rakan sebaya itulah menjadi penawar kepada kongkongan keluarga.

Dijadikan cerita, rakan saya menghantar SMS mengatakan bahawa dia akan mengambil saya di Stesen Serdang. Oh, baiklah. tiba di Stesen Serdang saya turun dan menunggu rakan saya di situ. Kebetulan, kumpulan remaja tadi juga turun di stesen yang sama. Sedang saya menunggu di kaki lima bangunan stesen itu, kedengaran pagar besi di tepi saya beragas.

Rupa-rupanya kumpulan remaja tadi memanjat pagar besi itu beramai-ramai, melarikan diri daripada melalui kawasan pemeriksaan tiket. Barulah saya tahu, bahawa mereka menaiki komuter secara curi-curi dan memperjudikan nasib tidak ditangkap akibat memanjat pagar besi kerana tidak mempunyai tiket perjalanan yang sah.

Saya perhatikan mereka, dan mereka juga seakan baru perasan yang saya berada di situ. Kemungkinan bimbang perbuatan mereka akan diketahui, lantas kumpulan remaja itu terus melarikan diri menuju ke arah jejantas untuk ke kompleks The Mines. Saya cuma mampu menggelengkan kepala.

Cerita di atas, wahai ayah dan ibu di rumah, cumalah secebis sahaja dari sebilangan besar lagi kisah remaja-remaja kita berkeliaran pada malam minggu, bahkan di malam hari persekolahan, di kota raya dan pusat beli belah, tanpa sebarang arah tujuan, dan paling penting, di luar pengetahuan kalian semua.

Saya tidak punya anak, bahkan masih belum berkahwin pun. Tapi saya punya kebimbangan ini. Saya fikir ianya wajar untuk ditulis pesan-pesan begini, supaya jika kalian yang mempunyai anak remaja, membaca tulisan kecil ini boleh berfikir sejenak dan sama-sama mengambil tindakan yang proaktif.

Saya antara ramai yang konservatif dalam isu ini. Biarpun saya juga mendesak agar anak-anak diberi kebebasan sewajarnya oleh ibu bapa, terutama dalam hal mencari identiti dan idea serta sikap mengenai kehidupan mereka, akan tetapi itu tidaklah bermakna saya tidak khuatir tentang senario di atas.

Buat ayah dan ibu, mengambil contoh remaja di atas, mereka sedang dalam fasa mencari keselesaan hidup dengan identiti dan personaliti mereka. Caranya mudah, dengan mencari rakan sebaya yang lebih senang memahami kehendak jiwa mereka. Faham perkara ini penting, supaya kita tidak menjadi pengongkong kepada pertumbuhan jiwa anak-anak kita kelak.

Namun begitu, saya juga konservatif dalam menangani masalah ini. Saya antara yang masih bersetuju dengan penggunaan rotan untuk mendidik, ibu dan bapa yang masih berani menegur dan memarahi anak-anak walaupun sudah di umur remaja, ibu dan bapa yang masih lagi mengamalkan sistem “curfew” untuk memastikan anak remaja mereka berada di rumah sekian-sekian waktu.

Juga ibu dan bapa yang bertegas pada kegiatan anak-anak di laman sosial, mengawal corak dan penggunaan telefon bimbit – apatah lagi zaman sekarang, peranti sebegitu boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah berbanding satu masa dulu. Juga bahan bacaan anak remaja mereka, tidak kiralah komik, atau buku-buku indie, atau bacaan di laman sesawang.

Untuk ibu dan bapa yang masih melaksanakan beberapa perkara di atas, termasuklah juga bertegas soal kewajipan menjaga solat fardu dan bacaan al-Quran secara konsisten, saya mengucapkan tahniah dan syabas. Kata kunci di sini adalah, anak-anak remaja perlukan bimbingan dan jagaan.

Umur remaja mereka, memetik kata Harry R. Lewis dalam bukunya Excellence Without A Soul, adalah peringkat di mana mereka amat perlukan bimbingan dan jagaan yang rapi. Mereka masih tidak bersedia sepenuhnya untuk dilepaskan secara bebas, membuat andaian mereka boleh menjaga diri sendiri. Tidak, ianya tidak akan berlaku sebegitu.

Adalah tidak salah sedikit pun untuk bertegas pada anak-anak yang mahu keluar malam, merayau tanpa tujuan dengan rakan-rakan sebaya mereka. Tiak salah sedikit pun untuk ibu dan bapa mengenakan hukuman pada anak-anak yang membuat kesalahan, mengikut lunas-lunas murni yang dianjurkan agama.

Hidup ini, perlu ada disiplin. Perlu ada peraturan dan batasan.

Untuk menjadi manusia yang bermanfaat, perlu sedarkan anak-anak kita tentang perkara ini. Tentu sekali untuk anak-anak remaja, fasa perubahan diri mereka dari aspek fizikal dan corak berfikir itu adalah segala-galanya, namun kita perlu membimbing mereka.

Perlu kita bimbing mereka, dan ingatkan mereka supaya selesa dan bangga dengan diri mereka sendiri. Mereka tidak perlu mengikut kumpulan tertentu untuk mencari identiti, cukup dengan kita sebagai ibu dan bapa membentuk paradigma mereka, agar mereka ini dengan sendirinya mampu membina identiti dan sikap mereka.

Kita juga perlu ingatkan anak-anak remaja kita, betapa di sana adanya satu garisan yang cukup halus, yang menjadi garis pemisah antara menerokai dan mencuba perkara baru, ataupun terperangkap dalam kegilaan trend semasa yang membodohkan.

Didiklah mereka berjiwa besar, agar mereka tidak merasa kecil, sehingga perlu berada dalam acuan yang dibentuk rakan mereka yang tidak bermoral.

Anak-anak remaja ini satu anugerah, suatu nikmat untuk ibu dan bapa. Ketika anak-anak ini kecil, mereka memberi cabaran berbeza. Ketika mereka meningkat remaja, cabaran untuk kalian tentulah jauh lebih besar.

Untuk mendidik anak-anak kita berjiwa besar, kita sendiri sebagai orang tua wajib berjiwa besar dengan mereka.

Jadilah seorang ibu dan seorang bapa yang mithali. Luangkan masa kalian bersama mereka. Ajaklah mereka berbual, berceloteh. Mereka menjadi remaja cuma sekali, selepas itu tiada lagi kerenah sebegitu untuk dilayan.

Dengarlah cerita mereka, koreklah rahsia mereka, tidur berkongsi bantal dengan mereka – kerna masa remaja mereka cuma sekali.

Kurangkanlah masa sibuk kalian di luar rumah, mencari harta tiada berkesudahan dan gantilah ia dengan bermain dengan anak remaja kalian. Mereka mencari rakan di luar rumah, kerana mereka tidak ketemu rakan di dalam rumah.

Jadilah rakan mereka, dengan itu mereka akan mengikut acuan dan gaya kita. Jadilah ibu dan bapa mereka, dengan itu mereka akan kasih dan sayang akan kita.

Anak-anak remaja ini perlukan ibu bapa yang bersikap sebagai ibu dan bapa – itu sahaja remedi untuk mengubat permasalahan ini.