Saturday, February 28, 2015

Darihal Memperisterikan Yahudi Ashkenazi

Ini kegilaan saya. Saya masih ingat, pernah suatu masa ketika berborak dengan abang ketiga, saya memberitahunya yang saya mahu memperisterikan seorang Yahudi – perempuan Yahudi.

Abang saya ketika itu, responsnya semacam “Adik aku ni dah buang tabiat ke apa ni?” lalu dia menentang sehabisnya idea itu.

Itu dulu, semuanya bermula selepas saya mendengar satu ceramah Ustaz Azhar Idrus tentang kaum Yahudi dan bagaimana keturunan mereka melahirkan ramai bijak pandai, serta budaya hidup dan keturunan mereka yang begitu terjaga. Lantas, saya memasang impian itu.

Minggu ini, saya sekali lagi tersangkut pada topik ini, akibat membaca forum-forum berkisar Yahudi, Israel, dan Zionisme di +Quora. Memang tidak dinafikan, forum di sana memang cukup ilmiah, penuh fakta dan secara tidak langsung, kita dapat belajar bagaimana golongan pro-Israel berhujah mempertahankan keabsahan negara itu.

Pembacaan saya membawa kepada satu topik iaitu perihal mereka yang bukan Yahudi mengahwini lelaki atau perempuan Yahudi. Setakat pembacaan saya, kelihatan untuk lelaki Yahudi mengahwini perempuan bukan Yahudi, ianya tidak menjadi masalah besar berbanding sebaliknya.

Jadi, mengetahui akan kesukaran itu, jujurnya ia menyesakkan dada saya. Kelakar bukan?

Baiklah, mari kita sama-sama menelusur perbincangan santai ini. Faktor yang menjadi sukar buat perempuan Yahudi mengahwini lelaki bukan Yahudi adalah keturunan, agama dan budaya.

Mereka yang tidak berdarah Yahudi digelar sebagai “gentile”, suatu gelaran seumpama dalam kisah Harry Potter, mereka yang bukan berdarah ahli sihir akan digelar “muggle” – semua itu secara teorinya berlaku akibat pemujaan terhadap keturunan dan kemuliaan darah yang mengalir dalam badan mereka.

Dan, tidaklah pelik, kerana bangsa Yahudi ini memang terkenal dengan jolokan mereka sebagai “God's Chosen People” semenjak dulu lagi. Talmud mereka mengajar begitu, itu dakwaan merekalah terutama golongan Ortodoks. Kalau mengikut perbincangan tentang hal ini, kita akan dapati ramai Yahudi kontra dengan kepercayaan ini.

Walau apa pun, itu tidaklah bermakna mereka tidak bangga dengan darah Yahudi mereka. Kita boleh membuat andaian awal, rasa bangga pada keturunan dan darah Yahudi itu menyebabkan mereka bersikap selektif dalam hal perkahwinan antara-agama ini (Interfaith Marriages).

Memang dalam tradisi Yahudi, mengikut Taurat (Deuteronomy 7:3-4), perkahwinan antara-agama ini dilarang kerana hujahnya, ianya akan merugikan bangsa itu sendiri. Kesimpulan yang boleh dibuat, untuk memperisterikan perempuan Yahudi, saya perlu melalui beberapa rintangan. Baiklah, itu kita akan ceritakan lanjut.

Sebelum itu, saya mencadangkan pembaca menelaah perbincangan di sini, tentang kerisauan ibu bapa Yahudi melepaskan anak perempuan mereka mengahwini “gentile”.

Antara kisah yang menarik adalah yang dikongsi oleh pengguna Anonymous ini. Juga pandangan dari Michelle Roses, boleh memberi gambaran mengapa ibu bapa Yahudi bersikap demikian.

Mengapa bersusah payah mahu mengahwini perempuan Yahudi?

Timbul persoalan itu dalam benak. Antara lain, jika kalian membaca perbincangan di sini, kalian tentu dapat menangkap maksud mengapa saya begitu mengimpikan akan perkara ini. Baiklah, anggap ini cuma gurauan semata.

Yahudi ini terkenal dengan bangsa mereka yang dipenuhi bijak pandai, sepanjang zaman. Mengikut statistik sehingga 2013, sekurang-kurangnya 22% penerima anugerah Nobel adalah berbangsa Yahudi walaupun populasi mereka cumalah 0.2% sahaja dari keseluruhan populasi dunia!

Tidak dinafikan, mereka adalah bangsa yang dikurniakan tuhan anugerah akal dan kebijaksanaan, yang tiada kedapatan pada lain-lain bangsa. Bahkan, sumbangan mereka melata dan kita tidak dapat mengelak dari mengguna pakai ciptaan-ciptaan mereka sehingga sekarang.

Sebut sahaja nama Einstein, siapa tidak kenal lelaki rambut menggerbang itu?

Dan sang physicist itu adalah Yahudi yang berjalur Ashkenazi, satu jalur genetik Yahudi dan juga sub-budaya Yahudi yang berdialek Yiddish sebagai bahasa pengantara serta ramainya mereka, berpangkalan di Jerman dan Eropah timur. Jadinya sekarang, tiba pada asalan perbincangan kita – tentang Ashkenazi.

Yahudi mempunyai 2 kumpulan etnik terbesar iaitu Ashkenazim dan Sephardim. Yang pertama itu terkenal dengan gelaran “The Jews of Germany” manakala yang kedua itu dengan gelaran “The Jews of Spain”. Saya tidak bercadang untuk bersyarah panjang tentang perbezaan 2 etnik itu kerana Lawrence H. Schiffman sudah pun bersyarah mengenainya sejam lebih.



Ringkasnya, antara ramai penerima anugerah Nobel berbangsa Yahudi, nampaknya etnik berjalur Ashkenazi mempunyai jumlah penerima yang lebih ramai berbanding jalur Sephardi. Bukan itu sahaja, mengikut kajian Cambridge ini, mereka mempunyai tahap IQ 20% lebih tinggi berbanding keseluruhan populasi dunia lainnya.

Justeru, saya yakin tentu pembaca boleh menangkap akan maksud saya mengapa memasang impian memperisterikan perempuan Yahudi berketurunan Ashkenazi. Baiklah, itu cumalah angan-angan dan artikel ini pun hanyalah bersifat santai. Paling tidak, pembaca sudah tahu sedikit latar belakang Yahudi, bukan?

Mengahwini perempuan Yahudi tentu suatu perkara yang berserenjang dengan kebiasaan di Malaysia. Respons yang diterima, jika berita itu tersebar, pasti akan menimbulkan pelbagai reaksi yang tidak enak terutamanya dari golongan konservatif– ini apa yang saya ramal akan berlaku.

Malah, untuk mengahwini perempuan Yahudi, saya perlu menangani pelbagai kesukaran, terutamanya hal berkaitan kepercayaan, agama, budaya dan akhirnya, persoalan terbesar pada ibu bapa Yahudi adalah, zuriat yang dilahirkan akan dibesarkan sebagai Yahudi atau Islam.

Mereka mahu pastikan keturunan Yahudi tetap hidup, tetap bugar dan mengalir tidak terputus.

Kita boleh bayangkan, sakitnya hati mereka melihat di depan mata sendiri, jalur keturunan dan agama mereka yang dijaga ribuan tahun akhirnya terputus apabila anak gadis mereka memilih untuk memeluk Islam dan berkahwin dengan saya! Berat juga cabaran ini, saya fikir.

Oleh yang demikian, sebagai langkah pertama, saya perlu menyediakan diri akan kefahaman tentang Yahudi – agama, budaya, makanan, keturunan dan pendidikan mereka. Saya menyenaraikan beberapa bahan bacaan awal, antaranya;

  1. The Chosen Few: How Education Shaped Jewish History, 70-1492 oleh Maristella Botticini dan Zvi Eckstein,
  2. Legacy: A Genetic History of the Jewish People oleh Harry Ostrer,
  3. The Complete Idiot's Guide to Understanding Judaism oleh Rabbi Benjamin Blech,
  4. The 10,000 Year Explosion: How Civilization Accelerated Human Evolution oleh Gregory Cochran dan Henry Harpending,
  5. The Complete Idiot's Guide to the Talmud oleh Rabbi Aaron Parry,
  6. The Invention of the Jewish People oleh Shlomo Sand dan Yael Lotan,
  7. The New Joys of Yiddish oleh Leo Rosten,
  8. The Essential Talmud oleh Adin Steinsaltz

Dan paling penting, membaca buku ini: Dear Rabbi, Why Can't I Marry Her? A Dialogue on Intermarriage oleh Rabbi Eliezer Shemtov. Juga sedikit sebanyak mendalami falsafah dan kesusasteraan mereka terutamanya melalui karya-karya Maimonides.

Saya fikir buku Maimonides: Life and Thought oleh Moshe Halbertal bagus untuk pendedahan awal.

Antara lain, mungkin dari sekarang saya boleh mula berdikit mempelajari Hebrew dan Yiddish – bermakna perlu bermula dengan mempelajari bahasa Jerman. Oh tidak, nampaknya berat juga cabaran begini.

Juga belajar mengenal apa itu Kosher, juga majlis mitzvah, pemakaian yarmulke dan lain-lain lagi.

Baiklah, cabaran tetap cabaran. Saya ambil keputusan: CABARAN DITERIMA!

Ada apa hal?