Skip to main content

Berbasikal dan Berkuda

Nampaknya, rindu saya pada aktiviti berkuda masih belum terpadam. Buktinya, saya masih boleh mengingati dan mempraktikkan beberapa skill yang pernah dipelajari beberapa tahun yang lepas ketika berpeluang melawat kandang kuda PDRM di Kompleks Unit Berkuda Putrajaya, Presint 15.

Lagi sekali, tuhan seakan sengaja mahu membuatkan perpisahan saya dengan Putrajaya menjadi semakin sukar dan berat, tajam serta penuh ketidakrelaan. Pagi Sabtu saya berbasikal, seperti kebiasaan mendaki perbukitan Taman Rimba Alam dan menelusur laluan berkuda sehingga ke puncak.

Di situ, saya bersendirian. Cahaya mentari pagi membias nyaman, menerobos celahan pohonan hutan yang tumbuh subur tanpa gangguan sebarang aktiviti pembalakan haram. Laluan berkuda di puncak Taman Rimba Alam, seperti kebiasaan, sunyi dari keributan manusia. Yang tinggal, cumalah cengkerik bersahutan sesama mereka.

Tiba di jambatan gantungnya, saya berhenti rehat. Hajatnya cuma seketika, namun sementelah paginya yang begitu nyaman membuatkan saya dian lama di situ. Saya bertafakur, merenung alam ciptaan tuhan dari puncak bukit ke bawah kakinya, yang sayup mata memandang deretan rumah-rumah kediaman, blok-blok pentadbiran kerajaan dan nun jauh bersetentang, gah berdirinya Istana Melawati.

Saya bercakap bersendirian. Bermonolog, tapi cukup kuat untuk hinggap di telinga sendiri. Membuat pelbagai renungan-renungan tentang kehidupan, yang nan jauh tiada terjangkau dek akal. Membuat koreksi diri, merenung cebisan-cebisan ego yang melekat, dan berusaha mendidik hati supaya dibuang sifat angkuh.

Maha Besar tuhan yang menciptakan keindahan pagi, tidak terbanding dengan apa sekalipun. Sesekali terbit juga rasa bimbang, kalau-kalau ada binatang buas yang keluar dari semak-samun itu. Malah, bukan sekali dua terlintas dalam benak tentang cerita-cerita bunian di tempat-tempat sebegitu.

Kelakar bukan, namun begitu, berpagi-pagian di puncak bukit yang sunyi dan sinar mentari masih belum kuat memancar, dedaun rumput masih basah dek embun, sesekali angin lembut bertiup diselangi bunyi cengkerik berirama, tentu sekali tidak kedapatan lagi suasana sebegitu di lain-lain tempat.

Di tengah keenakan saya mengelamun bersendirian, saya dikejutkan dengan derapan kaki kuda. Oh, nampaknya abang-abang polis sudah mula menggerakkan kuda-kuda mereka memanaskan badan sebelum keluar membuat rondaan. Bunyi kuda berderap, cukup membuatkan rindu saya pada aktiviti berkuda membuak.

Saya membetulkan kedudukan di atas tembok batu itu. Nampak agak tidak sopan jika saya tetap berbaring tika mereka melalui jambatan gantung itu. Saya lantas bangkit dan menyapu dedaun kering yang melekat di baju dan seluar.

“Assalamualaikum, bang...!” saya menyapa sambil tersenyum kepada 3 orang anggota polis itu.

“Aik, sorang-sorang je ke?” si ketuanya – saya mengagak – membalas.

“Ha’ah, maklumlah sebatang kara,” saya menjawab dalam nada bergurau, sambil bertanya, “nak tumpang boleh bang?”

Saya saja-saja bergurau. Mereka ketawa berderai. “Nak tumpang? Basikal kena di depan, belakang tak boleh...”

Saya tersenyum dan mengangkat tangan melambai. Mereka terus berlalu maju menuruni lerengan bukit itu, menelusur trek berkuda yang lengkap bertar. Nampaknya, tuhan mempertemukan saya semula dengan kenangan dulu-dulu. Ah, alangkah nikmatnya saat itu jika ianya boleh berulang semula.

Selang beberapa minit kemudian, saya mendapat idea. Tentang kuda. Saya tahu bagaimana mahu dilunaskan rindu ini. Lantas saya capai basikal dan berhati-hati menuruni cerunan bukit menghala ke kawasan perumahan Presint 15. Di sana, terdapatnya kompleks kuda perbadanan dan PDRM.

Untuk yang tidak pernah berbasikal di trek ini, nasihat saya agar tidak tergopoh-gapah. Lorong-lorong berkuda ini bukan sahaja cerunnya yang agak menjunam, bahkan darjah bengkang-bengkoknya pula tidak kurang menakutkan – terutama bagi yang amatur seperti saya.

Tiba di bawah, saya perlahan-lahan menelusur masuk ke kompleks tanpa mengeluarkan sebarang bunyi, bimbang-bimbang ianya akan mengejutkan kuda-kuda yang sedang dilatih di paddock. Benar, kelihatan seekor kuda merah – barangkali berbaka Arab – sedang berpeluh dilatih di bulatan paddock.

Saya menuntun basikal, perlahan-lahan mendekati paddock tersebut dan menyapa seorang anggota polis yang sedang duduk bersantai menonton latihan itu di bangku di bawah sebatang pohon yang merendang. Nampaknya, beliau kelihatan seperti khusyuk memerhatikan kuda tersebut sambil merokok.

Kami berbual, dan ternyata beliau tersangat mesra. Apabila saya memberitahu minat saya dalam aktiviti berkuda dan pengalaman tika mengambil sijil O-Level satu ketika dahulu di bawah bimbingan The Malaysian Armed Forces Equestrian Centre (MAFEC), beliau tersenyum lebar. Seolah-olah baru semalam kelas saya tamat, kerana saya boleh mengingati semula banyak terma-terma teknikal yang berkaitan kuda dan berkongsi dengan beliau.

Barangkali melihatkan saya begitu berminat, lantas beliau menawarkan saya untuk melawat kandang kuda milik PDRM. Seakan tidak percaya dengan peluang itu, saya bertanyakan beliau untuk kepastian.

“Boleh ke orang awam masuk ke stable tu?”

“Ah, boleh je pasal aku yang jaga...” dia membalas, “pergilah tengok kuda-kuda tu.”

Saya melompat kegirangan. Maklumlah, bukan senang untuk mendapat akses memasuki mana-mana kandang kuda yang dimiliki oleh mana-mana kelab atau individu tertentu. Tidak dinafikan, faktor keselamatan kuda bukan hal yang boleh dipandang enteng, tambah-tambah apabila kuda-kuda tersebut menjadi taruhan dalam banyak pertandingan.

Di situ, saya melepaskan rindu pada kuda. Sudah sekian lama saya tidak menggosok pipi kuda, mengelus jambulnya yang menutup kelopak mata kuda-kuda yang terpisat baru bangkit dari tidur, menampar manja tengkuk kuda yang sasa dan berotot, menguis hidung mereka yang kadang-kala mengerut gatal akibat dihinggapi lalat.

Bau hancing kencing kuda menusuk tajam ke dalam rongga hidung, namun itulah yang memaniskan lagi rasa rindu ini. Semua itu mengimbau kenangan ketika saya dan rakan-rakan Horsemanship & Equestrian mengokok lantai kandang yang mengeras dengan najis dan air kencing mereka, mencuci dan menukar alas tidur mereka, mencuci ladam, kemudian dengan sabar memasang bridle di kepala mereka sebelum mula mengheret ke paddock untuk memulakan sesi latihan.

Saya menyapa setiap kuda di sana. Saya mendekati mereka, menggosok pipi dan menepuk bahu mereka, sambil bercakap dengan kuda seolah-olah mereka faham apa yang saya bebelkan. Terdapat seekor kuda polo, tinggi rangkanya dan rambutnya dipotong rapi. Terdapat juga beberapa ekor yang berbaka Arab dan campuran.

Tidak lama saya bermain-main dengan kudu-kuda yang masih mengantuk, si abang polis tadi masuk ke kawasan kandang dan beliau mula memperkenalkan seekor demi seekor nama-nama kuda di situ kepada saya. Kebanyakan kuda di situ menyertai pertandingan, termasukkan endurance, dressage, show jumping dan pelbagai lagi.

Menurutnya, pihak mereka berjaya membiakkan beberapa ekor kuda sendiri selain membeli kuda yang baru. Abang polis itu turut memperkenalkan kuda yang digunanya untuk pertandingan, ah saya sudah lupa nama-nama mereka. Kami berbual panjang kerana masing-masing ada minat tersendiri pada binatang berkaki empat ini.

Lawatan sekejap itu, tidak mampu memadam rasa rindu yang membuak. Namun begitu, saya bersyukur paling tidak saya boleh mengenang semula bau kandang kuda yang menusuk hidung di waktu pagi dan mencium pipi mereka yang masih kusam bulunya. Maklumlah, hari masih di awal pagi, mereka belum dirapikan dan dimandikan lagi.

Ketika bersalam sebelum pulang, abang polis itu tiba-tiba memberitahu, “Kalau masih belum lupa cara-cara nak grooming dan trotting, dan 2-3 basics yang lain-lain tu, boleh la nanti datang berlatih. Rumah dekat aje kan?”

Oh tidak! Saya menjerit dalam hati. Mengapa tika mahu berpisah dari bandar ini, tuhan mempertemukan saya dengan peluang-peluang sebegini? Apakah maksud semua ini? Mungkin itu sekadar cakap-cakap kosong, atau pelengkap bicara, namun di situ adanya putik-putik harapan.

Saya menampar pipi beberapa kali ketika berbasikal pulang ke rumah. Alangkah, ini semua seolah-olah mahu menguji kendiri. Apa yang pasti, perpisahan ini akan menjadi semakin berat dan nyilu. Saya tidak dapat berhenti menggelengkan kepala, tidak percaya pada aturan-aturan begini...

Popular posts from this blog

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…

Tentang Si Genius Adi Putra

Ini coretan ringkas awal Mac 2015, beberapa hari lagi sebelum kita akan tiba pada hari yang menandakan setahun hilangnya MH370 tidak ketemu. Coretan ini tentang Adi Putra, si genius cilik yang dulunya begitu popular, semua media mahu mendapatkan cerita tentangnya.

Kini, di mana Adi Putra? Kita bertanyakan soalan begitu kerana kerisauan kita adalah kisah Adi Putra ini akan menjadi senasib generasi genius Malaysia lain-lainnya. Tentulah kita berharap ianya tidak berlaku demikian.

Hari ini mStar kembali dengan cerita tentang si Adi Putra ini. Saya antara peminat beliau. Saya kepingin mahu bertemu dan berbual dengan Adi Putra. Saya mahu berkawan dengan beliau – dan belajar dengannya. Tapi, Adi di mana?

Jika membuat carian di Google, yang berderet keluar di halaman utama adalah kisah tentang Adi Putra, si pelakon layar teater. Untuk apa ambil tahu tentang si pelakon itu. Bukanlah mendapat apa-apa manfaat pun pada perkembangan akal dan ilmu pengetahuan. Entahlah.

Cerita mStar membuka episo…