Wednesday, January 28, 2015

Tentang Perancis dan Revolusi 1792

Saya tersenyum kelat, bersendirian, bila membaca tentang Revolusi Perancis 1792 yang tersiar dalam HistoryToday. Artikel itu ditulis oleh seorang profesor sejarah bersempena memperingati 222 tahun tamatnya Monarki Perancis dan tanggal 21 Januari 1793, bercerainya kepala Louis XVI dari badan di tengah khalayak di Place de la Révolution.

Saya tersenyum kelat kerana saya pernah berjalan kaki menyelusur lorong-lorong di dataran bersejarah itu dan melilau tanpa tujuan di sana, tanpa sedikit pun pada ketika itu fakulti akal berusaha berfikir sejenak mengenai sejarah tersebut – tidak terlintas langsung dalam benak akan perkataan revolusi.

Hanya kerana, saya tidak membaca. Saya ke Paris tanpa sedikit pun saya membaca sejarah mereka dan berkenalan dengan helaian-helaian pengalaman yang telah mereka lalui sepanjang membentuk sebuah republik di zaman moden bernama Perancis setelah revolusi tersebut.

Saya tersenyum kelat, kerana saya kini menyedari betapa itulah ruginya bila kita tidak membaca. Malas membaca. Tidak menghargai sejarah. Dan akhirnya kita gagal menyelami dan mempelajari barang satu dua nilai yang tiada ternilai harganya.

Untuk berpeluang menjejak kaki sekali lagi ke bumi revolusi itu, saya tidak pasti bila lagi akan tiba saat tersebut. Di taman Tuileries itu, saya duduk bersantai membaca buku di tangan, dan malangnya buku itu bukan tentang Perancis, juga bukan karya Voltaire atau Rousseau.

Sungguh, kesal sungguh rasanya. Kini, saya belajar satu perkara – untuk memanfaatkan fungsi kita sebagai manusia, padanya wajib ada ruang untuk berfikir dan belajar, dan membaca adalah hal mandatori. Membaca juga perintah tuhan pada wahyu yang pertama kepada Muhammad SAW.

Terentak akan kekesalan ini, membuatkan saya menyelak semula The Story of Philosophy karya Will Durant yang menyebut kritik Voltaire pada manusia yang malas begini, “All people are good except those who are idle.” Sungguh bukan?

Minggu ini juga, Discovery Channel turut menyiarkan program baharunya iaitu Discovery Atlas. Dalam program ini, mereka meninjau sesebuah negara secara dekat dengan memberi tumpuan pada naratif budaya setempat, kegiatan seharian dan sorotan cerita penduduknya yang unik – termasuklah sejarahnya.

Negara pertama program tersebut siarkan adalah Perancis. Jika The World From Above dan Unusual Cultures telah banyak kali menyiar dan bercerita tentang Perancis, sejarah dan budayanya, saya berpendapat program ini mengambil sisi pandang yang berbeza – mungkin tepat dan mungkin salah tanggapan ini.

Pertamanya, tontonlah program-program yang saya senaraikan di atas. Berbanding setiap minggu menghabiskan masa pada program Maharaja Lawak yang tiada faedah, jauh lebih baik meluangkan masa pada program-program televisyen yang bermanfaat begini.

Dalam siri France Revealed itu, saya makin tidak keruan. Indahnya negara itu dan mulusnya budaya tempatan serta uniknya penduduk mereka menjalankan kegiatan seharian di daerah-daerah yang jauh dari keributan Paris, benar-benar menggamit untuk ke sana lagi.

Antaranya kisah Alain Robert, a.k.a French Spiderman, si penakluk pencakar langit merata dunia tanpa menggunakan sebarang tali dan alatan keselamatan. Juga diceritakan kisah jargon yang memenangi pertandingan berlawan lembu jantan di sebuah daerah Camargue. Tidak ketinggalan kisah lelaki tua yang menyertai pertandingan lumba basikal berjarak ratusan batu di banjaran dalam daerah Pyraness.

Juga di kisahkan tentang seorang wanita yang menjadi model kepada pengukir patung batu, sebagai lambang wanita di sana sudah menikmati sesuatu yang tiada sebelum Perang Dunia ke-2 termasuklah hak untuk bekerja dan mengundi dalam pilihan raya. Dikatakan, lebih dari 50% penduduk Perancis memilih untuk membina kehidupan 20 batu dari tempat lahir mereka.

Di akhir rancangan, program tersebut menayangkan klip rakyat Perancis berpesta menyambut ulang tahun memperingati Revolusi 1792 di dataran Menara Eiffel, dihias dengan tembakan-tembakan bunga api yang jelas gamat dan gempita.

Menariknya, semua kisah yang disoroti itu berkongsi satu tema yang sama iaitu kebebasan. Perancis terbina atas semangat kebebasan. Mereka berevolusi, mempertaruhkan keringat darah dan air mata untuk membentuk sebuah republik yang merdeka dari cengkaman monarki.

Kisah Revolusi 1792 menjadi azimat kepada rakyat Perancis sehingga ke hari ini. Semangatnya gamblang dan tiada tergasir dek zaman. Demikianlah seperti yang disoroti Discovery Channel, biarpun mutakhir ini semangat kebebasan itu dicemari oleh kekeliruan Charlie Hebdo dalam menanggapi makna kebebasan yang hakiki.

Beberapa minggu yang terakhir ini, banyak sekali perbincangan seputar Perancis dan tentulah antaranya Charlie Hebdo. Dan kini saya pun gian menulis tentang Perancis. Cis, bahana apakah ini, saya tiada ketahuan.

Maaf, saya tiada tujuan yang jelas mengapa semua ini mahu ditulis. Saya merasa terpanggil untuk mencatat sebaris dua tentang Perancis hasil pengalaman dan pembacaan sekitar. Mungkin perkongsian-perkongsian ini terhasil akibat terpengaruhnya saya pada kajian ini gamaknya.

Oh ya, mungkin juga boleh kita simpulkan di sini, bahawa bermula dari kisah saya di Paris, coretan 223 tahun Revolusi Perancis 1792 sehingga ke program Discovery Channel dan kekeliruan Charlie Hebdo pada makna kebebasan, saya kira kata kuncinya adalah membaca.

Untuk bermanfaat selaku manusia, kita harus membaca. Untuk mensyukuri nikmat akal, kita wajib membaca. Pada momen itulah, kita akan mampu membina prinsip yang utuh dan berupaya memetakan semula kepelbagaian pandangan dan kecamukan fikrah secara matang dan bijaksana.

Oleh yang demikian, saya akhiri tulisan ini dengan 2 pesanan, pertama, amalan membaca itu wajib dan perlulah sentiasa dipupuk, dan keduanya, mengulangi kata-kata Voltaire: “I die adoring God, loving my friends, not hating my enemies, and detesting superstition.

Moga kita membaca dan berbahagia!