Tuesday, January 20, 2015

Takdir Bukit Gondol di Presint 14

Kawasan kejiranan Presint 14 antara yang serba lengkap di Putrajaya. Ada sekolah, termasuklah sebuah sekolah bertaraf antarabangsa, deretan kedai makan, pasar raya, juga klinik-klinik kesihatan, juga akan datang bakal menjadi pusat tumpuan para diplomat asing, dan adanya surau-surau yang aktif.

Tidak lupa, di Presint 14 juga ada taman-taman rekreasi yang cantik dan serba lengkap. Mungkin deskripsi ini termasuk dalam kawasan kejiranan Presint 15 dan Presint Diplomatik, namun pokok pangkalnya semua ini berjiran sebelah menyebelah dan saling melengkapi.

Putrajaya, seperti umum mengetahui, pembangunannya rancak sekali. Pembinaan deretan rumah-rumah variasi jenis giat berjalan, sedang pada masa yang sama juga semua sedar harga penyenaraian hartanah di sini begitu membuntang mata.

Kita tinggalkan isu harga hartanah di Putrajaya yang tidak masuk akal, kerana saya ada sesuatu yang mahu dibincangkan. Ianya tentang bukit gondol di belakang kawasan kejiranan Presint 14. Sebenarnya, hal ini juga diperbincangkan antara kami di surau sementelah menunggu masuknya Isya’.

Bukit gondol itu menjadikan pemandangan di Presint 14 cacat, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Gondolnya bukit itu yang kini menjadi hamparan tanah merah, bermula dari kaki bukit sehingga ke puncaknya. Seingat saya sekitar 2012, kawasan bukit bukau belakang Presint 14 masih ranum kehijauan, kini semuanya sudah berubah menjadi merah kelam.

“Itu bukan kawasan Putrajaya lagi,” sampuk seorang pak cik, “Itu sudah kawasan Selangor...”

“Oh saya ingatkan itu masih dalam territory Putrajaya,” balas saya sambil menyambung, “mungkin nanti saya boleh rujuk Google Maps semula.”

Kejadian banjir di Kelantan dan Pahang menjadi refleksi kami semua – akan mengapa musibah sedemikian boleh berlaku. Nampaknya, semua boleh bersetuju bahawa sebab utama adalah pembalakan yang tiada terkawal dan bumi tidak mampu berfungsi sebagaimana sepatutnya.

Hutan simpan berfungsi sebagai ‘sponge’ yang akan menyerap dan menahan air hujan yang turun dengan banyak. Ketiadaan lagi pokok-pokok hutan yang mempunyai akar berusia ratusan tahun itu, menyebabkan tanah tidak mampu lagi menampung jumlah air yang begitu banyak.

Akibatnya, air akan melimpah ke sungai, dan melimpah naik meliputi tebing-tebing sungai, terus menerobos ke kawasan rendah dan akhirnya mencipta kejutan gelombang nan dahsyat. Natijah akhirnya, rumah kediaman dan kawasan pertanian musnah sekelip mata.

Seorang kariah masjid merungut, katanya jika tuhan takdirkan hujan yang begitu lebat di Putrajaya, adakah bukit gondol itu mampu bertahan dan apakah pula akibatnya kelak?

Soalan itu begitu membingungkan. Bingungnya saya kerana merasa kecewa, sedang tuhan telah pun menunjukkan sekian banyak bukti akan kemarahan alam sekitar apabila manusia menjadi tamak, kita semakin bebal untuk berfikir sejenak dan mengambil iktibar daripada deretan kemusnahan yang telah berlaku sebelum ini.

Tentu sekali kita tidak dapat membayangkan, jikalau hujan turun dengan begitu lebat di kawasan sekitar Presint 14, tentulah tanah-tanah selut merah di bukit gondol belakang sana akan menggelongsor turun dengan riang, bertukar menjadi keladak lumpur nan mengganas menghentam perumahan-perumahan di bawah kakinya.

Sesiapa yang tinggal di kejiranan P14E sudah pun terasa kesannya mutakhir ini, akan debu-debu merah yang berterbangan mengotori tetingkap rumah apabila angin bertiup dari arah bukit yang gondol itu. Dari jauh jelas kelihatan jentera-jentera berat gigih bekerja mengorek dan meratakan bukit tersebut.

Kita bertanya dalam benak jiwa raga, akan ke mana sudahnya semua ini kelak?

Saya membayangkan, mereka di kawasan sekitar termasuklah Presint 14, Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Institut Penilaian Negara (INSPEN), perumahan di Taman Ayer Hitam dan tidak ketinggalan, Palm Garden Golf Club akan menjadi mangsa yang paling teruk – jika telahan akan hujan lebat itu benar-benar berlaku suatu hari nanti.

Habis, persoalannya, bagaimana sekarang? Apa yang perlu kita berbuat?

Persoalan-persoalan kami di surau semalam tamat begitu sahaja – kerana kami sedar kerja-kerja yang meluluskan projek pemusnahan alam dalam skala yang tidak masuk akal begitu adalah kerja-kerja mereka yang berpangkat dan berkedudukan.

Siapalah kami nak menegur dan membantah? Siapalah kami, selain dari pemberi sedekah undi saban musim pilihan raya? Siapalah kami, pada mata mereka yang berkuasa, kan?