Skip to main content

Rotan

Saya juga nak menyibuk dalam polemik ini – rotan. Saya bukan seorang guru, apatah lagi seorang bapa dan mustahillah untuk saya punya anak sekarang. Saya masih bujang, tinggal sebatang kara. Apa yang saya miliki cuma mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan akal untuk berfikir.

Isu rotan ini menarik, kerana saya nampak ianya menjadi paradoks yang majnun. Masyarakat kita melenting kuat memarahi kerajaan kerana penggubalan akta begini rupa. Kata mereka, tanpa rotan nanti anak-anak mereka tidak lagi menjadi manusia.

Paradoksnya, apabila masyarakat mengukur tahap berjaya ataupun tidak pendidikan anak-anak sehingga mereka menjadi manusia pada sebatang rotan. Seumpama keberadaan rotan itu menjadi penentu kejayaan pendidikan manusia.

Paradoksnya lagi, mereka merasakan jika tiada rotan, anak-anak akan bertukar menjadi dajjal, kuat melawan dan besar kepala. Anak-anak akan makin punah, tiada disiplin. Lagi kelakar, untuk disiplinkan anak-anak kita terpaksa bergantung pada sebatang rotan.

Dan, paradoks yang tiada tertahan, dalam pada masyarakat berserabut membincang tentang nak bentuk anak-anak dan disiplinkan mereka serta kepentingan rotan, masyarakat ini juga lupa pada perbincangan yang lagi tuntas iaitu sistem pendidikan kita sudah terperap tergulai di mana sekarang?

Kita sibuk pada rotan atau tidak rotan, tapi kita tidak sibuk pada kitab dan buku apa yang wajib dibaca. Kita tidak sibuk pada kefahaman agama dan akhlak yang bagaimana, dan proses pembinaan sistem nilai yang bagaimana.

Kita tidak pula bising-bising, meminjam tulisan Dr. MAZA, pada kejelasan arah dalam pembentukan anak-anak, pada membina asas epistemologi ilmu pengetahuan yang rangkum, pada memandu teladan yang baik serta penyediaan suasana mendidik yang membina.

Kerap kali saya ulang, dalam banyak artikel sebelum ini, bahawa rata-rata rakyat Malaysia terbiasa pada perbincangan soal struktur, bukan isi dan nilai ataupun kita sebut sebagai substance. Kita gemar sangat bincang tentang rotan atau tidak rotan, tuisyen atau tidak tuisyen, benarkan telefon bimbit ke sekolah ataupun tidak.

Perangai begini terbawa-bawa dari sekecil-kecil hal sehingga sebesar-besar hal, mengambil contoh dalam isu nak tentukan cara bagi menilai prestasi pelajar – perlu peperiksaan atau tidak perlu peperiksaan. Jika memilih cara peperiksaan, perlukan versi penuh atau separuh-separuh atau bagaimana.

Dan, sebenarnya inilah kita. Kita gemarkan perbincangan hal-hal bersifat struktur, bentuk yang bagaimana, yang bersifat fizikal dan boleh dihitung. Kita tidak gemarkan perbincangan yang holistik, rangkum, bersifat metafizik, dalam dan mengakar.

Sebab itu, tidaklah hairan, bilamana merotan anak diuar-uarkan bakal jadi kesalahan jenayah, kita melenting pada rotan, pada keperluan-keperluan merotan. Kita tidak melenting pada perkara yang saya jelaskan di atas. Dan pada akhirnya, perbincangan itu malap, padam dan tiada ke mana.

Masyarakat terus bodoh, ibu bapa dan guru semakin keliru, dan anak-anak langsung menjadi mangsa. Tentu sekali tulisan saya ini tidak bermaksud, saya mahu menyokong penggubalan akta tersebut. Saya punya pendirian tersendiri. Dalam keadaan ini, saya menyokong tulisan Dr. MAZA.

Pastilah, pandangan beliau bahawa jangan kita pandang rotan itu sebagai tuntutan adalah sesuatu yang perlu difikirkan. Pada masa yang sama, saya sesekali tidak menolak bahawa rotan adalah budaya kita. Saya menerima ianya sebagai budaya, dan saya tidak bermasalah dengan praktisnya.

Untuk mengimbangi keperluan rotan dalam mendidik serta kawalan-kawalan penggunaannya, saya kira kupasan Wan Ahmad Fayhsal dalam artikel beliau yang bertajuk Mendidik sahsiah (taʾdīb) pelajar: Penjelasan Ibn Ḥajar al-Ḥaytamī dalam risalah Taḥrīr al-Maqāl, adalah menarik untuk dilanjutkan di sini.

Justeru, beberapa persoalan boleh ditimbulkan. Pertama, jika rotan itu dikatakan mendera, ianya datang dari definisi siapa? Adakah mendera seperti apa yang difahami oleh jargon-jargon hak kemanusiaan kanak-kanak dari Barat? Atau definisi itu terbina hasil beberapa kes dera menggunakan rotan sebelum ini?

Baiklah jika begitu premis kita, bagaimana pula dengan kes dera menggunakan tapak tangan dan kaki, sepak terajang dan penumbuk? Perlukan kita haramkan ibu bapa genggamkan penumbuk di depan anak-anak akibat dikhuatiri akan menjadi penyebab dera kelak?

Atau, bagaimana dengan kes dera kanak-kanak menggunakan puntung rokok yang bernyala atau ditambat pada batang pokok menggunakan tali nilon? Dan juga, bagaimana pula dengan kes dera yang menggunakan kata-kata kesat, atau makian-makian?

Oleh demikian semua itu boleh menyebabkan penderaan, jadi perlulah juga kita haramkan rokok di rumah-rokok, atau tali nilon. Juga perlulah ibu bapa menjahit mulut masing-masing agar tidak memaki anak-anak dan menghina mencaci anak-anak kecil itu. Demi atas nama mengelak berlakunya penderaan kanak-kanak.

Kalau nak haramkan rotan kerana ada kes sebelum ini mendera menggunakan rotan, tentu banyak sekali perkara-perkara lain boleh diharamkan dan dikenakan denda saman kerana juga pernah digunakan sebagai alat penderaan.

Jelasnya, hujah di atas menunjukkan ianya bukan soal rotan itu mendera ataupun tidak, tapi sejauh mana kita faham sempadan antara mendidik dan mendera. Sejauh mana kita faham merotan yang mendidik dan merotan yang mendera. Jadi, kupasan Wan Ahmad Fayhsal itu boleh menjawab persoalan ini.

Kedua, berbalik pada persoalan pertama mengenai definisi, kita membalas dengan mendakwa rotan sebagai mendidik anak-anak. Saya fikir, sekarang tiba masanya untuk kita definisikan apa yang dikatakan mendera, dan sejauh mana merotan boleh dimasukkan dalam kategori mendera.

Bentuk merotan yang bagaimana boleh dikatakan mendera? Saya ulang tulis, sejauh mana kita faham merotan yang mendidik dan merotan yang mendera. Mengapa ini penting, tidak lain agar kita tidak terperangkap dalam definisi mendera seperti yang difahami dalam konteks kebudayaan di Barat.

Mungkin ada sesetengah di Barat begitu sensitif, sehinggakan mencubit anak pun boleh dipenjarakan. Mereka terbina pada budaya sebegitu, sehingga mereka boleh mengajar anak-anak untuk berkata “Leave me alone,” terhadap ibu bapa sendiri. Sindrom seperti “empty nest”, saya syak adalah hasil budaya sebegitu yang membentuk keadaan sedemikian.

Tentulah mereka ini akan terkejut beruk, jika diberitahu kisah bagaimana Raja Abdulaziz Saudi memenjarakan anaknya, Raja Abdullah yang baru meninggal dunia itu, selama 3 hari semata-mata tidak mempelawa tetamu tempat duduk di rumah mereka. Tidak dapat disangkal lagi mereka akan menyalak bahawa perbuatan itu adalah mendera.

Sedangkan, mereka tidak memahami dalam konteks masyarakat Arab, ada budaya mendidik mereka yang tersendiri yang “culturally accepted” dan tidak bersalahan dengan norma. Untuk memaksa definisi mendera yang difahami Barat dalam konteks masyarakat Arab tadi, adalah sesuatu yang tidak kena.

Demikianlah juga halnya mengenai rotan. Secara budayanya, merotan anak-anak itu diterima pakai sebagai salah satu bentuk mendidik yang sudah sekian ratusan tahun menjadi amalan masyarakat Islam di kepulauan Melayu. Ianya sudah menjadi budaya. Ianya tidak pernah salah dalam konsep yang kita fahami.

Tidak tercatat dalam mana-mana hikayat silam atau karya sarjana sepanjang zaman bahawa perbuatan merotan adalah bentuk penderaan, atau pernah diperdebatkan akan kezaliman dan kesakitan yang anak-anak alami akibat dirotan. Kalau mahu dipaksa segala konteks kebudayaan Barat ke atas masyarakat kita, haru biru jadinya.

Kerana apa, tidak lain kerana memang banyak perkara yang kita fahami sangat kontra dengan apa yang mereka fahami. Dalam bab mendidik anak, kita ada cara kita tersendiri yang Barat tidak dapat fahami. Dan kita pula, janganlah begitu mengada-ngada mahu menyerap segala apa yang mereka fahami pada tata kehidupan kita.

Tentulah mereka akan lagi terperanjat jika dikhabarkan bahawa anak-anak di kepulauan ini akan dipukul jika tidak bersolat setelah cukup umurnya 10 tahun, dan cukup bimbingannya selama 3 tahun bermula 7 tahun. Pasti mereka akan melatah, apakah kegilaan kaum Melayu ini mahu memukul anak-anak kecil kerana tidak bersolat dan menyembah tuhan.

Pada mereka, tentulah tiada sebarang budaya sebegitu terutama memaksa anak-anak mereka ke gereja setiap Ahad. Pada mereka, kenapa perlu dipaksa pada hal-hal keagamaan dan ketuhanan pada anak-anak kecil. Bukankah itu sudah melanggar batasan hak kebebasan semula jadi mereka untuk memilih?

Ini satu contoh yang saya bawakan, untuk menggambarkan bahawa ada banyak perbezaan dalam korpus perbincangan beza antara mendidik dan mendera ini antara kita dan mereka. Termasuklah tentang merotan anak-anak untuk mendidik.

Tidak lain, kerana apa yang saya paling bimbang adalah kita berhabis masa berbuat semua ini – penggubalan dasar dan sebagainya – semata-mata untuk menyesuaikan kebudayaan kita pada acuan kefahaman Barat tentang sesuatu perkara tanpa ketahuan hujung pangkalnya, definisi dan konteks sejarahnya.

Pada akhirnya, yang rugi adalah masyarakat kita sendiri. Kita makin buta untuk menilai, makin kabur untuk berfikir dan makin culas dan malas. Kita tidak pula sibuk mengkaji apa punca berlakunya dera, dan kenapa boleh lahir sekumpulan manusia yang bersifat kebinatangan begitu.

Adakah hanya kerana negara kita telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), maka secara automatiknya kita boleh menerima pakai segala yang termaktub dalam helaian perjanjian itu secara membuta tuli?

Mewartakan perbuatan merotan anak-anak sebagai kesalahan jenayah langsung tidak akan memberi keinsafan kepada ibu bapa dan penjaga agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga dan mendidik anak mereka. Ianya tidak menjadi antidot kepada masalah penderaan kanak-kanak. Ianya tidak menambahkan apa-apa kebaikan, malah kemungkinan pelbagai keburukan makin menular.

Berbalik hujah awal tadi, bahawa ianya bukan soal rotan atau tidak. Atau soal merotan itu mendera ataupun tidak. Bukan juga soal merotan untuk mendidik dan sebagainya. Itu semua tentang struktur, tentang rangka, bukan isi utama yang patut di wacana diperdebatkan.

Sepatutnya, ianya adalah tentang apa tujuan pendidikan, makna-maknanya, epistemologinya, mahu ke mana arah matlamat akhirnya, apa model-model teladan akhlak dan sahsiahnya, tentang siapa tuhan dan siapa hamba, sistem nilai yang bagaimana dan suasananya yang bagaimana.

Jika ini dapat disuburkan wacananya, maka masa depan anak-anak kita akan gemilang – bukan sekadar cemerlang akademiknya, bahkan merekalah benar-benar akan menjadi penyambung mata rantai kecemerlangan tradisi yang berkualiti.

Comments

Popular posts from this blog

Laila dan Majnun

Telah sampai cherita bahwa pada suatu hari Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan pesuruh2nya supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanyai peri kisah kekasihnya Majnun.

Apabila tiba Laila dihadapannya Baginda bertanya: "Wahai Laila, kau yang kechantikanmu mashhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi!—aku ingin menatap wajah Majnun, ingin tahu sifat rupa yang kau chintai dengan teguh dan jujur itu."

Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun bahwa kekasihnya telah hilang tiada yang tahu kemana.

Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk menchari Majnun hingga dapat supaya dibawa dihadapannya. Pesuruh menchari dikota, dikampung, didusun hingga akhirnya diperpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Disitu beliau mendapat khabar bahwa ada seorang yang berdiam sebatang-kara dipadang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang sudah gila.

Orang itu dibawa kehadapan Baginda Sultan yang, sambil terk…

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…