Wednesday, January 21, 2015

“Kita tidak berada dalam krisis,” katanya Najib Razak

Kenyataan di atas bunyinya cukup muluk. Kedengaran ronanya segar bugar. Alangkah, bertuahnya Malaysia kerana kita tidak berada dalam krisis.

Beruntungnya rakyat Malaysia, walaupun Perdana Menteri kita sibuk bercuti kala darurat banjir melanda, negara kita masih belum berada dalam krisis.

Ucapan itu mahu memberitahu kita, bahawa harga minyak dunia sudah jatuh maknanya pendapatan kerajaan akan juga berkurangan. Hal ini akan memberi kesan pada banyak strategi kerajaan, sementelah mengambil kira faktor ekonomi semasa yang telah berubah secara signifikan.

Ucapan itu juga mahu memberitahu kita, bahawa rakyat perlulah mengakui hakikat ini sesungguhnya keadaan Malaysia sekarang yang dikatakan berada dalam krisis yang teruk oleh puak pembangkang sebenarnya adalah begitu jauh dari kawalan pihak kerajaan sendiri.

Ucapan itu juga mahu memberitahu kita, bahawa dengan justifikasi di atas, secara tersiratnya rakyat perlulah pasrah jika kerajaan mengambil langkah untuk berkompromi terhadap kebajikan, pembangunan dan kepentingan awam – termasuklah tidak mustahil untuk memerah setiap sen yang berada dalam poket rakyat.

Najib Razak mempunyai humor yang cukup empati. Jika tidak beliau tidak akan tergamak membuat kenyataan begitu. Perhatikan cara beliau membaca ucapan tersebut, dan intinya, kita akan mendapati seolah-olah Najib Razak sedang merayu-rayu menagih perhatian ramai.

Nuansa inti pati ucapan menunjukkan kerajaan cuba memberi gambaran kepada khalayak bahawa mereka sedang berusaha keras, siang dan malam, semata-mata untuk memastikan negara ini terus berada dalam keadaan makmur, ekonominya sejahtera dan rakyatnya kenyang membuntang.

Saya teringat tulisan Dr Dzul beberapa bulan yang lepas sebelum ucapan Belanjawan 2015, bahawa setiap angka mikro dan makroekonomi tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat terbanyak melainkan mereka yang kuasai ilmu-ilmu perekonomian.

Jadinya, angka-angka sedemikian tidaklah lebih dari sekadar menjadi penyedap telinga, seolah-olah dengan angka-angka begitu boleh membuatkan khalayak menganggap kerajaan sudah berusaha keras, ekonomi sudah semakin maju dan negara tidak berada dalam krisis seperti mana cakap pembangkang.

Tentu sekali dalam ucapan kelmarin itu banyak hal yang positif. Tentu sekali tulisan ini tiada niat untuk menidakkan langsung segala kerja keras pihak kerajaan. Dan tentu sekali juga apa yang diucapkan Najib Razak semalam perlu diteliti secara kritis dan disoroti dengan renungan-renungan yang objektif.

Saya tiada masalah dengan ucapan Najib Razak itu keseluruhannya. Soal Najib Razak dan barisan kabinetnya mahu membuat rombakan dan menyemak serta memperjelaskan semua kedudukan semasa perancangan ekonomi dan kewangan negara, adalah tidak salah sama sekali.

Dan juga soal Najib Razak mengumumkan beberapa inisiatif bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan sehingga mencapai penjimatan sekitar RM5.5 bilion tentulah perlu disokong. Saya tidak bermasalah dengan semua itu.

Saya cuma bermasalah dengan sikap kerajaan yang suka berdolak dalih, berkompromi soal kepentingan rakyat. Dan perangai kerajaan yang tidak pernah berubah, iaitu angkuh dan sombong untuk mengakui kesilapan sendiri bahkan berusaha sedaya mungkin menutup kesalahan dan senang lenang dalam sindrom penafian (denial syndrome) sepanjang masa.

Contohnya jelas, apabila kerajaan masih belum mampu untuk membuat pengakuan terbuka bahawa negara kita memang sedang berada dalam krisis yang cukup genting. Mereka masih ada ruang untuk berdiam diri, menyepi dari kesalahan sendiri, menutup mata pada kudis yang melekat di kaki mereka sendiri.

Sindrom penafian begini amat berbahaya. Akibatnya, mereka tidak segan untuk menyatakan pada khalayak bahawa negara ini masih makmur, rakyat masih kenyang, ekonominya semakin maju dan politiknya semakin stabil. Katanya, negara kita tidak berada dalam krisis.

Ucapan-ucapan yang bunyinya begini, amat meloyakan. Kita bukanlah rakyat yang bodoh dan tidak membaca. Kita tidaklah buta tuli dengan menelan bulat-bulat setiap yang disuap. Kita juga, bukanlah si kaki ampu yang siang malamnya menjilat kaki sang pemerintah.

Bacalah The Colour of Inequality tulisan Dr. Muhammed Abdul Khalid, bagaimana beliau menceritakan gelagat orang-orang besar dalam parti pemerintah yang sebenarnya tiada masa langsung untuk berfikir soal kepentingan rakyat melainkan siang dan malam berfikir tentang bagaimana untuk memenuhkan perung rodong masing-masing sahaja.

Jadinya, mendengar Najib Razak membuat penegasan sebegitu, tiada lain perasaan yang menerpa selain dari rasa meluat dan mual. Tentunya ucapan begitu boleh menggula-gulakan mak cik di FELDA, tetapi tidak pada mereka yang membaca dan berfikir.

Kita tidak berada dalam krisis, tetapi ekonomi dan kewangan Malaysia semakin terjejas, nilaian Ringgit kita menjunam, harga minyak yang turut menjunam, hutang yang semakin menggunung – dan tentulah kita tidak berada dalam krisis lagi wahai tuan-puan semua.

Percayalah pada Najib Razak, bahawa kita tidak berada dalam krisis. Tidak sekali-kali.