Monday, January 19, 2015

Dilema Strok di Usia Muda

Hari-hari akhir di Putrajaya, saya banyak meluangkan masa bersembang dengan beberapa orang tua dalam kalangan kariah Surau As-Syakirin ini. Bila diperhatikan, perbualan kami banyak menyorot sisi kehidupan mereka selaku penjawat awam.

Ya, rata-rata mereka berkhidmat dalam sektor kerajaan malah ada antara mereka berpangkat jawatan utama dalam hierarki kerajaan. Jadi tidaklah hairan pola perbincangan kami sering terarah dalam nuansa begitu.

Semalam, kami pulang dari majlis jamuan kecil-kecilan sempena Maulidur rasul yang dianjuri oleh salah seorang kariah surau. Dan kebetulan, si tuan rumah itu baru sahaja pulih dari serangan angin ahmar atau popularnya strok sehingga mengakibatkan beliau terpaksa berkerusi roda.

Tapi, beliau nampak bersemangat. Masih kuat melayan tetamu dan meraikan majlis sebegitu. Biarpun dalam keadaan keterbatasan yang tidak memungkinkan beliau banyak bercakap dan bergerak, inisiatifnya mengadakan majlis sebegitu amat jarang dilihat pada sosok-sosok yang sepangkat dengan beliau.

Jadinya, kami berbual tentang strok. Tentang angin ahmar dan ketakutan-ketakutan yang terbayang akibat serangan penyakit itu. Paling mengejutkan, salah seorang pak cik di situ membuka cerita rakan sepejabatnya yang baru berusia 37 tahun diserang strok dan masih koma sehingga kini semenjak Aidilfitri yang lepas.

Walaupun perkhabaran ini tidaklah mengejutkan, tetapi bila terdengar sebegitu secara berdepan, tidak dinafikan bibit ketakutan membuahi juga. Saya pernah membaca dalam Reader’s Digest terbitan sekitar 2009 yang menceritakan bagaimana seorang pakar bedah jantung akhirnya terkena serangan strok di usia yang begitu muda.

Kehidupan beliau yang padat jadualnya, setiap hari bertemankan piza dan makanan segera yang dipesan melalui perkhidmatan penghantaran, ditambah lagi dengan tekanan kerja dan kepadatan jadual, menyebabkan akhirnya beliau sendiri menjadi penghuni di bilik kecemasan (ER).

Pada akhirnya, beliau sedar rutin hariannya yang tidak sihat mula mengamalkan veto kesihatan. Beliau mula mencari yoga sebagai usaha untuk meredakan keributan dalaman dirinya, mula mengamalkan diet yang lebih seimbang – walaupun hakikatnya beliau sendiri adalah seorang doktor!

Beberapa bulan yang lepas, saya ada membaca sebuah kisah seorang perempuan yang baru berkahwin, masih muda usianya sekitar 33 tahun juga diserang strok. Kisahnya menjadi viral di Internet, mendapat ribuan komen dari kalangan pembaca.

Beliau mengisahkan bagaimana kehidupannya berputar 180 darjah akibat serangan penyakit itu. Perkahwinannya hancur, ramai rakan-rakannya mula menjauhkan diri, kehidupannya tertekan dan berbagai lagi masalah yang timbul.

Akan tetapi, beliau seorang wanita yang kuat dan tabah. Beliau berjaya melalui fasa-fasa getir itu dengan jiwa yang besar. Kisahnya menjadi inspirasi kepada ramai pembaca di luar sana. Bacalah coretannya di Buzzfeed, moga kita boleh mengambil barang satu dua iktibar darinya.

Jadi, dari sini, berlakunya dilema dalam diri saya. Pertama, serangan strok tidak mengenal usia. Ditambah lagi corak pemakanan kita saban hari semakin tidak menentu dan kurang menyihatkan, lambaian strok di usia mudah bukan suatu yang mustahil.

Bibit ketakutan itu wujud, lantaran saya membuat koreksi, corak kehidupan seharian saya begitu mudah untuk mengundang penyakit itu datang. Mungkin dari sudut pemakanan, ianya tidaklah ketara tetapi lain-lain faktor mengambil contoh tekanan di tempat kerja dan kehidupan sekitar, saya masih rasional untuk merasa bimbang.

Rakan-rakan kariah menasihati saya – di kala usia muda begini – untuk banyakkan rutin senaman yang berkala, ada disiplin serta belajar untuk menguruskan tekanan (stress) secara berkesan. Sarana begini amat baik untuk disoroti dan direnung. Saya yakin, pengalaman dan sesalan mereka ini banyak mengajar mereka tentang perkara begini.

Kedua, adalah kekuatan dalaman untuk mendepani ujian sebegitu. Mengambil contoh 2 kisah di atas, kunci kepada keberadaan mereka pada hari ini adalah keazaman yang kental, semangat untuk terus hidup, kekuatan jiwa dan motivasi yang tiada putus.

Saya bukanlah memaksudkan di sini harapan agar terkena serangan strok. Cuma tulisan ini adalah renungan, pada dilema-dilema yang bermain di fikiran apabila topik tentang angin ahmar atau strok di usia muda dibincangkan.

Saya melalui beberapa pengalaman menyaksikan sendiri rakan taulan ayah dan emak saya yang terkena serangan penyakit ini. Sebahagian mereka, kembali sembuh dan ada antara mereka, dipanggil tuhan. Mengambil langkah-langkah proaktif untuk mencegah dari serangan penyakit begini, amatlah kritikal.

Saya fikir, mencari dan mempraktikkan gaya kehidupan yang tenang, perlahan, yang terisi atau popularnya, kita menggunakan istilah contented life, adalah penting. Paling mudah, saya selalu terfikir tentang neighborliness, home cooking dan home gardening – antara remedi yang mampu mencegah penyakit strok dan angin ahmar.