Skip to main content

Coretan Sisi Lewat Kemangkatan Raja Abdullah

Kemangkatan Raja Abdullah, ketua monarki Arab Saudi mendatangkan pelbagai reaksi. Pada dunia kini, yang sedang berdepan dengan kejatuhan harga minyak mentah lebih dari 40% yang hampir menyamai rekod kejatuhan era krisis kewangan dunia 2008, berita kemangkatan ini mempunyai pesanan-pesanannya yang tersendiri.

Sebagai permulaan, saya ingin membuat penafian. Tentulah tulisan ini bersifat terpencil, renungan-renungan di sini tidak lebih dari sekadar coretan sisi peribadi lewat peristiwa kemangkatan Raja Abdullah. Ianya bermula dari soalan-soalan seperti; mengapa harga minyak mentah dunia jatuh dan apakah kesannya kelak.

Pandangan yang diutarakan, tentulah tiada justifikasi mana-mana kajian akademik atau didatangi dengan data empirikal, sekadar pautan-pautan pada bahan bacaan tertentu yang membantu saya memahami konteks isu ini.

Saya berminat dengan peristiwa ini kerana, Raja Abdullah mangkat pada saat dunia berdepan dengan krisis kejatuhan harga minyak mentah yang mendadak, sehingga sesetengah analisis oleh beberapa pihak mengatakan krisis ini akan menjadi penentu kepada definisi baru masa depan tenaga.

Arab Saudi merupakan ahli terkuat dalam gabungan OPEC atau secara penuhnya, dikenali sebagai Organization of the Petroleum Exporting Countries, sebuah organisasi yang bertanggungjawab mengawal pasaran minyak mentah dunia termasuklah kadar pengeluaran dan kawalan harga pasaran dunia.

November yang lalu, di tengah kemelut mencari penyelesaian kepada kejatuhan harga minyak mentah dan mengimbangi semula keuntungan negara pengeksport utama minyak dunia serta menyelamatkan ekonomi banyak negara, Arab Saudi di bawah Raja Abdullah membuat keputusan untuk tidak memotong kadar pengeluaran minyak dari negara mereka.

Perlulah kita fahami konteks ini terlebih dahulu, bahawa di tengah harga minyak jatuh mendadak, keuntungan pihak pengeluar akan terjejas teruk termasuklah Malaysia selaku negara yang ekonominya bergantung pada eksport mintak mentah. Strateginya, mengurangkan kadar pengeluaran minyak negara masing-masing akan menjamin keuntungan masa panjang, apabila harga minyak pulih kepada paras asal.

Namun begitu, Arab Saudi mengambil langkah berbeza. Mereka berkeras tidak mahu mengurangkan kadar pengeluaran mereka, yang menyebabkan tiada persetujuan tercapai di akhir rundingan untuk mengurangkan kadar pengeluaran minyak setiap negara pengeluar di bawah 30 juta tong sehari.

Hal ini bermakna, dalam keadaan harga minyak mentah jatuh yang mengakibatkan pulangan keuntungan akan terjejas, Arab Saudi tidak berminat untuk memotong kadar pengeluaran mereka. Di sini timbulnya persoalan besar: mengapa Arab Saudi mengambil keputusan sebegitu, sedangkan mereka berpotensi mengalami kerugian mencecah ratusan bilion dolar?

Dalam makna kata lain, kerugian di sini bukanlah rugi seperti apa yang kita faham, akan tetapi ratusan bilion dolar itu merupakan keuntungan yang Arab Saudi berpotensi raih jika mereka memperlahankan kadar pengeluaran mereka semasa krisis harga ini bergejolak.

Sebenarnya, dalam keadaan harga minyak jatuh serta kadar pengeluaran yang tidak dikurangkan, Arab Saudi tetap untung tetapi dalam keadaan sangat minimum. Mengapa boleh terjadi begini? Jawapannya adalah Arab Saudi merupakan satu-satunya pengeluar minyak mentah yang menggunakan kos pengeluaran paling rendah.

Tentulah keadaan begini sangat berbeza dengan negara-negara pesaing mereka, terutamanya Iran, Venezuela dan Rusia – termasuklah Malaysia – yang mana kos pengeluaran minyak mentah mereka tersangat tinggi. Jadinya, dengan harga minyak mentah dunia yang merudum, tentu sekali negara-negara yang ekonominya bergantung pada eksport minyak mentah akan terasa kesannya yang lebih teruk berbanding Arab Saudi.

Paras harga minyak mentah dunia sekarang masih memberi pulangan keuntungan kepada Arab Saudi walaupun pada kadar yang sangat minimum, namun untuk lain-lain pengeluar, ceritanya sangat berbeza. Sebab itulah, saya berpendapat, keputusan Arab Saudi ini adalah keputusan yang tidak bersifat biasa.

Kita juga perlu fahami, bahawa Arab Saudi sangat berpengaruh dalam menentukan harga minyak mentah dunia. Hal ini bukanlah kerana mereka memiliki rizab simpanan petroleum yang terbesar semata-mata, bahkan faktor yang paling mempengaruhi adalah penjelasan saya di atas – mereka boleh berbuat demikian kerana mereka tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk menghasilkan minyak mentah berbanding pesaingnya.

Keputusan mereka untuk tidak mengurangkan kadar pengeluaran bagi menyokong harga pasaran dunia, kini menyebabkan kuasa OPEC dalam mengawal harga pasaran semakin lemah akibat hilangnya sokongan Arab Saudi untuk mengawal dan menstabilkan harga pasaran minyak mentah dunia. Tentu sekali keputusan ini ada timbal baliknya.

Ramai yang berteori bahawa, keputusan Arab Saudi ini adalah untuk melemahkan pesaing utama mereka iaitu Iran dan Rusia kerana sokongan mereka terhadap Syria. Secara politiknya, kita semua maklum bahawa Arab Saudi merupakan sekutu paling rapat kepada Amerika Syarikat. Dan pada masa yang sama, Amerika Syarikat merupakan musuh dalam diam kepada Rusia dan Iran.

Inilah rahsia dunia yang bukan lagi rahsia. Umum akan membaca pergolakan ini pada sisi tersebut. Sebenarnya, saya mempunyai kecenderungan untuk bersetuju dengan teori ini. Beberapa konteks yang dibaca dan direnungi, saya akan ceritakan bagi menyokong teori di atas walaupun turut ada analisis yang tidak bersependapat dengan teori itu.

Minggu lepas, dalam ucapan State of Union 2015, Obama secara tersirat menjelaskan hasrat negara itu untuk menjadi ketua kepada mereka yang lain melalui kekuatan ketenteraan dan strategi diplomasi yang bijak (Baca: licik).

“I believe in a smarter kind of American leadership. We lead best when we combine military power with strong diplomacy; when we leverage our power with coalition-building; when we don’t let our fears blind us to the opportunities that this new century presents. That’s exactly what we’re doing right now -- and around the globe, it is making a difference.”

Kata kuncinya adalah diplomasi. Cakupan diplomasi ini termasuklah TPPA, penglibatan dengan ASEAN, dan pelbagai lagi. Tidak ketinggalan, diplomasi yang Obama maksudkan adalah menjadikan Arab Saudi sebagai sekutu mereka yang sangat rapat, dan saya sangat yakin bahawa Arab Saudi menjadi senjata mereka untuk berdepan dengan blok Rusia.

Adakah tidak wujud rundingan belakang pintu antara Amerika Syarikat dan Arab Saudi sebelum negara-negara OPEC bertemu November yang lalu di Vienna? Adakah keputusan Arab Saudi tidak dipengaruhi oleh kepentingan geopolitik Amerika Syarikat di benua Asia dan Eropah?

Tentulah kita tiada jawapan yang tuntas, melainkan andaian-andaian berdasarkan peristiwa yang berlangsung. Untuk menidakkan andaian ini sepenuhnya adalah tidak bijak kerana ianya tidak mustahil antara usaha Amerika untuk melemahkan Rusia adalah melalui percaturan ekonomi yang licik.

Apapun, dalam pada kita galak membina andaian mengenai pengaruh Amerika terhadap keputusan Arab Saudi dalam rundingan OPEC, meneliti sudut yang berbeza juga suatu yang perlu. Antara yang menarik untuk ditanggapi adalah lontaran Elias Hinckley, penganalisis Sullivan and Worcester berkenaan keputusan Arab Saudi tersebut.

Menurut beliau, walaupun andaian-andaian tersebut ada benarnya, secara amnya dunia seolah-olah terlepas pandang pada motivasi sebenar Arab Saudi yang telah dipengaruhi oleh 2 faktor utama iaitu ramalan Zaman Minyak (Oil Age) sudah tiba di penghujungnya dan desakan dunia terhadap isu perubahan iklim.

Asas tanggapan Elias Hinckley adalah sebuah temu ramah Sheikh Ahmed Zaki Yamani (bekas Menteri Minyak Arab Saudi) pada tahun 2000, di mana menteri tersebut ada mengatakan,

“Thirty years from now there will be a huge amount of oil – and no buyers. Oil will be left in the ground. The Stone Age came to an end, not because we had a lack of stones, and the oil age will come to an end not because we have a lack of oil.”

Boleh kita andaikan, Arab Saudi seakan sudah bersedia untuk mendepani zaman di mana minyak bukan lagi “emas hitam” yang dikejar-kejar. Pada Elias, Arab Saudi lebih sanggup menjual minyaknya pada harga yang rendah berbanding membiarkan minyak tersebut dalam tanah tanpa terjual pada apa-apa nilai sekalipun.

Kini mereka sedang mengejar masa untuk menghabiskan rizab simpanan minyak mereka sebelum tibanya zaman di mana minyak tidak lagi punya nilaian seperti sekarang. Ramalan Sheikh Ahmaed Zaki, zaman tersebut seawal 2030. Logiknya jika dinilai pada situasi sekarang, ia mengambil masa yang lebih lama dari 30 tahun.

Akan tetapi, ya, suka ataupun tidak, kita harus mengakui bahawa zaman tersebut akan tiba juga kelak. Sebab itulah pada awal tulisan ini, saya kongsi analisis yang menanggapi keputusan Arab Saudi tersebut akan menjadi penentu kepada definisi baru masa depan tenaga dunia.

Justeru, kemangkatan Raja Abdullah diperdebatkan sama ada akan mengubah keputusan tersebut ataupun tidak oleh penggantinya, Raja Salman Abdulaziz. Umumnya, kita boleh beranggapan bahawa corak pembawaan oleh Raja Salman tidak akan banyak berubah dari sebelumnya, tentulah kerana amalan pragmatik monarki tersebut.

Coretan ini sekadar menjadi titik temu kepada beberapa pandangan dan teori yang bersangkutan. Saya lebih cenderung pada teori pengaruh Amerika dalam polisi luar Arab Saudi, walaup Justifikasinya, “We’re approaching the next World War 3,” laung ramai pemerhati politik.

Amerika tentunya tidak akan berdiam diri, pasif dan membungkam dalam pergelutan ekonomi dan politik, terutamanya dalam menguasai dan memanipulasikan ekonomi dunia melalui pasaran minyak mentah yang banyak dikuasai oleh musuh-musuhnya. Saya percaya, ucapan Obama itu adalah mesej untuk kita – Malaysia – fikirkan sedalam-dalamnya.

Bila membincangkan hal ini, saya teringat pada tanggapan naif sesetengah rakyat Malaysia bahawa Najib dan Obama bertemu di Hawaii secara tidak sengaja dan mereka mengambil keputusan untuk bermain golf atas tanda persahabatan. Wah, alangkah “noble” politik dunia ini jika tanggapan begitu benar.

Dan untuk akhirnya, persoalan yang perlu kita tanggapi adalah, adakah Malaysia turut ada bahagiannya dalam penceritaan ini dan apakah kesudahannya kelak? Kita tiada jawapan yang tuntas. Walau bagaimanapun, kemangkatan Raja Abdullah sepatutnya boleh membuatkan kita mula mengambil tahu tentang hal ini dengan lebih berminat.

Al-Fatihah, buat Raja Abdullah dan takziah pada keluarga monarki Arab Saudi atas kehilangan besar ini...

Popular posts from this blog

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…

Tentang Si Genius Adi Putra

Ini coretan ringkas awal Mac 2015, beberapa hari lagi sebelum kita akan tiba pada hari yang menandakan setahun hilangnya MH370 tidak ketemu. Coretan ini tentang Adi Putra, si genius cilik yang dulunya begitu popular, semua media mahu mendapatkan cerita tentangnya.

Kini, di mana Adi Putra? Kita bertanyakan soalan begitu kerana kerisauan kita adalah kisah Adi Putra ini akan menjadi senasib generasi genius Malaysia lain-lainnya. Tentulah kita berharap ianya tidak berlaku demikian.

Hari ini mStar kembali dengan cerita tentang si Adi Putra ini. Saya antara peminat beliau. Saya kepingin mahu bertemu dan berbual dengan Adi Putra. Saya mahu berkawan dengan beliau – dan belajar dengannya. Tapi, Adi di mana?

Jika membuat carian di Google, yang berderet keluar di halaman utama adalah kisah tentang Adi Putra, si pelakon layar teater. Untuk apa ambil tahu tentang si pelakon itu. Bukanlah mendapat apa-apa manfaat pun pada perkembangan akal dan ilmu pengetahuan. Entahlah.

Cerita mStar membuka episo…