Thursday, January 8, 2015

Lagi Perihal Banjir dan Pembalakan di Kelantan

Sebenar-benarnya kita tiadalah hak sangat untuk mengomel perihal banjir dan pembalakan di Kelantan, secara melebih-lebih. Ada dua tiga sebab mengapa kita tiada hak.

Pertama, saya sendiri, bukanlah pengundi di Kelantan. Saya cuma orang yang memerhati gelagat pemerintah di sana. Saya boleh mengkritik, tapi setakat itu sahajalah saya mampu pun.

Kedua, nak marahkan soal pembalakan di Kelantan secara spesifik, akan berlakunya ‘double-standard’ di sana kerana pada masa yang sama, kadar pembalakan hutan secara besar-besaran turut berlaku di Sarawak dan beberapa negeri-negeri lainnya.

Ketiga, kalau mengkritik pembalakan itu nak dijadikan gambaran bahawa kita ini pencinta alam sekitar, tidaklah juga wajar. Kerana seharian kehidupan kita, hanya berapa peratus sangatlah dari semua kita ini prihatin terhadap isu alam sekitar – pada hakikat sebenar-benarnya.

Keempat (maaf, sudah terlebih), isu banjir dan pembalakan ini diskusinya sudah menjadi bandwagon. Tidak kiralah di Facebook, atau Whatsapp, ataupun kedai kopi, semua perbincangan itu sudah diketahui trendnya yang bagaimana dan pengakhirannya apa kelak.

Kelima (kawe mitok maaf, terlajok), mereka di Facebook dan di Whatsapp, tidak kurang juga di serambi-serambi surau, juga di kaki lima kedai mamak, tidak ketinggalan juga mereka di dewan-dewan kuliah dan ruang-ruang pejabat di Putrajaya – yang sehari semalam berapi bercakap soal banjir: kome semua ini ada jejak ke tidak kaki di Kelantan tolong cucikan sekolah dan rumah mangsa di sana, atau paling tidak hulurkan sekeping not RM50 di tabung-tabung bantuan banjir?