Thursday, December 31, 2015

The Agony (Ironically) of 2015

Gather ye rose-buds while ye may,
Old Time is still a-flying:
And this same flower that smiles to-day,
To-morrow will be dying.

The poem above was beautifully crafted by Robert Herrick, with a title To the Virgins, that later was installed in a script of one of the most best-screen movie ever, Dead Poets Society, in which it was read during the first class with Keating to introduce the concept of “carpe diem” to his students.

The poem reminds me on the very last day of, 2015, about living the moment, enjoying the very minute of life. That the current is counted, that here and now, is the joy to swallow. Its about seize our day. It is about endeavouring the present, as what indicating by Horace in his Odes about 2000 years ago in Rome.

31 Dec. 15, we are all being the same, unfortunately forgetting what has been taught by Horace. We disgracefully rewinding back the past 365-days and start counting all the misplaces, misjudges, the sorriest, the scratch, scars and wounds, that occurs in our life.

It's so simple because we are all human beings.

And, the human being is full of weaknesses. Same here, to myself.

The swelling tendency of the needs to hit the peak, and to seek for validation from outside which ironically becomes the sheer agony throughout 2015, I should say (irony upon irony) I am here do not give a single heck for that.

If anyone ever asks me about the very topic, this would be likely my answer for them. I thought, what Keating tried to seek from his students is the ability to believe in themselves without looking to external for validation and to define the meaning of freedom itself, since “… you must strive to find your own voice.”

That should be adequate to conclude my 2015. And, then, there you are, 2016. I have no ideas whatsoever, what will you be looking for the next upcoming 365-days. What I always have in mind, is to seek for happiness. I hope, again, it will be ample for us both to walk the aisle together shoulder to shoulder.

What defines happiness, anyway?

By giving back, I think. By being vigorous. By being distinctive.

By being unconventional. Don’t you remember what Robert Frost has taught us about The Road Not Taken?

By being unsatisfied for more. By always asking, why?

It is happiness.

2016 will be a year of emerging. It first starts with +Initiative for Malaysian Humanitarian (INSAN). This is my vow to bow. The foremost is to position INSAN onto the national map. It will be such paramount task for myself and the team, albeit there is an opportunity to seize our day. INSAN will emerge strong, I promise.

INSAN is not a mere charitable body. We are more than that. We shall strive 3 main pillars: advocacy, human developments and volunteerism. That’s our insight on INSAN. To accomplish this, we need support, especially financial and expertise – which 2016 hopefully will turn out to be something for INSAN.

The hungriness for more – knowledge. Yes, it is. I will read more. No option left. What I remember, I survive 2015 by reading less fictional works and put more time into repository works instead. Perhaps, for 2016, I should be more vigorous. And smart, too. Reading is compulsory, so be it.

Sure, it is happiness what we deem fair. We are not living to fulfil any alien’s expectations. We are living for what it takes for us, quoting Walt Whitman, to create our own verse and to contribute our very own verse. Mr Keating dutifully heeds this life’s lesson. So we are, optimistically.

O me! O life! of the questions of these recurring,
Of the endless trains of the faithless, of cities fill’d with the foolish,
Of myself forever reproaching myself, (for who more foolish than I, and who more faithless?)
Of eyes that vainly crave the light, of the objects mean, of the struggle ever renew’d,
Of the poor results of all, of the plodding and sordid crowds I see around me,
Of the empty and useless years of the rest, with the rest me intertwined,
The question, O me! so sad, recurring—What good amid these, O me, O life?
Answer.
That you are here—that life exists and identity,
That the powerful play goes on, and you may contribute a verse.

2016, what will your verse be?

Wednesday, December 30, 2015

Keserakahan Bauksit

Bukanlah bauksit yang serakah, tetapi manusia yang mengoreknya dari tanah adalah paling serakah dan tamak haloba. Bauksit di Kuantan, Pahang bukan lagi khabar-khabar angin, tetapi ianya benar, terang dan nyata. Cuma yang tetap buta, adalah hati-hati aparat penguasa yang menjadi pelindung kepada perniagaan haram itu.

Tidak kiralah yang menjadi tulang belakang kepada perniagaan haram Bauksit itu berbumbung istana atau beratap nipah – semua yang terlibat dari A sehinggalah ke Z dalam memerahkan segenap ufuk bumi Kuantan, adalah sama celaka, sama laknat. Gerombolan ini, hanya mengenal nafsu haloba mereka semata-mata.

Pahang mahu menunggu bala apa lagi, baru nak bertindak? Tidak cukup dengan sungai dan laut bertukar merah darah? Tidak cukup dengan persekitaran tercemar hapak? Tidak cukup lagi dengan segala amarah orang ramai sehingga membakar lori-lori pengangkut? Tidak cukup dengan siri banjir besar dan tanah runtuh?

Apakah mahu ditunggu sehingga wad-wad hospital tempatan penuh dengan pesakit leukemia, kanser itu dan ini, barah sana dan sini? Apakah kesihatan dan nyawa rakyat terbawah ini sudah ditakdirkan untuk menjadi cagaran buat para aparat penguasa yang haloba dan rakus nafsu serakahnya?

Agak-agaknya, mereka yang sedang bersenang lenang dalam istana itu pekak dan buta, sampai begitu sekali pun keadaan Kuantan, mereka boleh senyap membisu. Dan, boleh jadi, para ketua negeri bermula dari Menteri Besar sehinggalah ketua-ketua kampung, sama-sama berkomplot mengenyangkan perut rodong masing-masing.

Kita mendengar kisah-kisah begini, kebiasaannya, datang dari negara-negara Afrika yang mana rakyat mereka menderita akibat kesan perlombongan segala hasil bumi secara rakus yang disokong kuat oleh pemimpin mereka sendiri, dan dibiayai oleh syarikat asing. Kini, kisah itu, berlaku di rumah tangga kita sendiri.

Apa yang patut kita gelar pada mereka yang punya kuasa untuk mengubah keadaan ini, tapi memilih untuk kekal bisu dan buta? Penguasa syaitan? Pemimpin celaka? Penguasa korup? Tiada apa gelar sekalipun yang mampu membersihkan semula Kuantan, kecuali rakyat bangkit bersatu, melawan penindasan ini!

Monday, December 28, 2015

Politikus Berwatak Dr Jekyll dan Mr Hyde

Cadangan Ahmad Maslan supaya rakyat Malaysia lakukan dua kerja untuk menampung kos sara hidup, sangat relevan sebenarnya. Dalam sastera Inggeris, sudah diceritakan perihal manusia yang melakukan dua kerja, menjadi dua watak dalam satu individu, untuk mencapai sesuatu yang diidamkan dalam hidupnya.

Sebelah siangnya, dia menjadi Dr Jekyll, dan malamnya bertukar watak menjadi Mr Hyde. Penceritaan fiksyen seram oleh Robert Louis Stevenson ini sebenarnya tanpa sedar telah memberi inspirasi kepada jutaan manusia lainnya, betapa kita boleh menjadi dua watak dalam satu individu yang sama fizik.

Lihat sahaja, bagaimana rata-rata politikus yang sedang berkuasa. Pada siangnya, mereka mempamer perwatakan seumpama dewa penyelamat, menabur janji itu dan ini, melawat kawasan sana dan sini. Sebelah malamnya, politikus yang sama juga merompak dana awam, menyonglap sana dan sini selicin mungkin.

Merekalah menteri, mereka juga perompak duit rakyat. Tidak menghairankan apabila ada antara mereka mencadangkan hamba rakyat turut berbuat sama. Politikus begini sebenarnya punya krisis identiti. Mereka sasau. Mereka cacat personaliti. Sepatutnya, Freud mengkaji krisis politikus begini dalam karyanya.

Masalahnya, semua perkara itu dianggap sebagai rahsia terbuka. Ramai yang sedar, tetapi tak ramai yang berani untuk menongkahnya. Betapa ramai rakyat yang menjadi pak turut, melobotomi otak mereka dari boleh berfikir kepada bodoh termenung – saban pilihan raya, politikus begini terus diundi ke kerusi Parlimen.

Kita boleh membincangkan cadangan Ahmad Maslan secara kritis, jika mahu. Dalam kehidupan seharian, ya, kita wajib pragmatik jika tidak mahu berakhir dengan kelaparan atau tidur di tepian jalanan. Masalahnya, cadangan Ahmad Maslan bertaraf tapak kaki – lembu pun mungkin ketawa jika mendengar cadangan sebegitu rupa.

Justeru, tidak hairanlah, cadangan begitu boleh terpacul keluar. Mereka terbiasa dengan dua kerja, menjadi menteri dan perompak dalam satu masa. Rakyat terbawah, untuk makan malam nanti, belum tentu punya sesuatu dalam dompet mereka yang tersisa. Itu pun, sesudah berbelas jam memerah peluh di kilang-kilang.

Cadangan yang sama, jika keluar dari mulut pekerja-pekerja kilang lebih masa dan malamnya, sambung lagi kerja part-time di pusat membeli-belah, ya, logiknya terpakai. Tetapi, cadangan yang sama keluar dari mulut Ahmad Maslan, maka, jawapan balas yang wajar kepada pak Menteri itu adalah: BULLSHIT!

Untung dunia hari ini, aparat politikus gemuk membuncit perut mereka sendawa kekenyangan menggesa rakyat bekerja dengan lebih keras bagi menampung segala beban kenaikan kos sara hidup. Sedang lidahnya terkumat-kamit dengan segala janji manis, tangan-tangan mereka tidak henti mengorek kantung perbendaharaan negara.

Sunday, December 27, 2015

Persoalan Tentang Kenapa

Jarang manusia berbuat sesuatu, tanpa punya sebarang alasan. Berbuat sesuatu tanpa alasan atau motif adalah gila. Malah, untuk ketawa pun, kita perlu bersebab. Ketawa tanpa sebab, boleh menjemput label gila sasau pada seseorang. Kalau ketawa pun perlukan sebab, apatah lagi untuk hal-hal yang lainnya.

Dalam filem Everest, Jon Krakauer bertanyakan pada rakan-rakan pendaki lain, tentang mengapa mereka mendaki. Why any summit? Biarpun mereka tahu betapa risikonya maha tinggi, mungkin bayarannya adalah sebuah perkahwinan, juga kehidupan selepas pendakian, dan nyawa mereka sendiri. Kenapa berbuat itu semua?

Cheryl Strayed berkali-kali bertanyakan soalan yang sama kepada dirinya sendiri, ketika sedang berjalan kaki merentasi Pacific Crest Trail sepanjang 1100 batu. Tentang mengapa dia mengambil keputusan untuk berbuat itu semua, sedangkan apartmennya begitu selesa dan hangat ketika waktu malam?

Pada hari pertama Mother Teresa memulakan tugasan rasmi Misionaries of Charity, beliau telah bertemu dengan “an old man lying on the street – not wanted – all alone, just sick and dying.” Lantas, dia bertanyakan dirinya sendiri, mengapa berbuat itu semua, sedangkan Pekan Loreto cukup selesa buatnya untuk hidup.

Lihat, ketiga-tiga coretan kisah lagenda ini, semuanya bertanyakan soalan yang sama. Mereka melawat kembali, tentang tujuan dan niat mereka semua berbuat perkara-perkara yang mereka kejarkan. Mudah, mengapa berbuat ini, dan mengapa mencari susah begini dan begitu, sedangkan, nah, hidupmu yang lepas itu sudah cukup selesa.

Manusia adalah binatang yang tidak pernah merasa puas. Manusia sentiasa mahukan yang lebih dari yang sedia ada. Konotasi begini, bunyinya tidak sepositif yang kita harapkan. Mungkin boleh dikendurkan sedikit – tidak merasa puas pada menggapai kebaikan untuk yang lainnya, mengapa perlu berkata tidak?

Dari puncak Everest yang membeku, sehinggalah ke lorong-lorong hanyir Kolkata, manusia hidup kerana impian. Itulah yang menjadi penyebab kepada banyak hal yang kita berbuat. Dan, impianlah yang menolak kita untuk keluar dari zon selesa, mencabar kelaziman, menjadi kreatif dan pemberani, serta pekak pada pesimis.

Sudah semestinya, saya menulis ini kerana ada sebab tersendiri. Beberapa kali sudah saya bertanyakan hal yang sama pada diri sendiri, hidup ini akhirnya untuk apa, dan pengakhirannya yang bagaimana. Satu demi satu, impian terkubur. Satu demi satu juga, impian yang lainnya mula bercambah menumbuh.

Semua itu, berkisar pada persoalan yang sama: mengapa berbuat semua itu. Perihal +Initiative for Malaysian Humanitarian (INSAN) juga berkisar seputar soal mengapa. Dalam gundah begini, yang sering ternampak adalah hal-hal yang berat, perkara yang rumit-tumit, yang membutuhkan banyak sangat kerja-kerja tambahan.

Padahal, boleh saja keluar dari itu semua, buat kerja yang lebih menyeronokkan, yang tidak memerlukan pada hal-hal yang berserabut dengan orang lain, kenyangkan perut sendiri, tidak perlu bersusah payah mencari dana sana sini, menulis kertas kerja itu dan ini, membebankan diri pada hal yang tidak perlu.

Semua ini, mengundang persoalan mengapa aku berbuat segala ini, sedangkan ada lagi jalan yang lagi selesa, jauh lebih menyenangkan di luar sana berbanding yang ini. Mengapa tidak aku fokus pada pengajian semata-mata dan mengumpul duit untuk mengembara dunia sahaja, tanpa perlu memikirkan hal-hal berserabut begini?

Bukankah lebih menyeronokkan jikalau malam-malam terisi dengan siri maraton filem, atau lepak menonton wayang di pawagam, atau sekadar berpanas-panasan bertemankan buku di atas katil, atau menonton bola sehingga larut malam di kedai-kedai mamak. Bukankah itu semua lebih menyeronokkan dan “senang”?

Bukankah lebih teruja saban bulan, mencari tiket-tiket AirAsia ke merata Asia Tenggara dan menunaikan wishlists, sambil memuat naik gambar-gambar membeli belah di Bali dan sunbathing di Phuket ke Instagram dan Facebook. Atau, malam-malam minggu, menghabiskan masa merayau di IOI City Mall.

Semua itu, meminjam kata Mother Teresa, “The comfort of Loreto came to tempt me,” Perasaan itu akan mengundang persoalan tentang mengapa kita berbuat semua ini, bersusah payah pada sesuatu yang kita sendiri mencari susah, bukan dipaksakan pun. Menyentuh subjek ini, amat terkesan sekali pada cita-cita saya dengan INSAN.

Persoalannya, mengapa? Kenapa berbuat itu semua? Kenapa mencari susah?

Monday, December 21, 2015

25 Tahun

Semalam, 20 Disember, genap 25 tahun bernafas di atas muka bumi ini.

25 tahun berlalu, terasa pantas dan masih kosong – ada lompang yang tidak terisi. Semalam, ketika rakan-rakan mengadakan majlis keraian ringkas, itulah sebenarnya apa yang bermain dalam kepala, terutamanya saat diminta untuk bercakap sepatah dua.

Rasa kosong itu jujurnya mengundang rasa sakit kepala yang amat sangat. Persoalan-persoalan seumpama; apa lagi yang perlu aku berbuat untuk memaknai usia ini dan apakah usia mendatang, rasa kosong dan hampa begini masih kekal tidak beranjak?

Akhirnya, saya terkelu begitu, tak punya apa-apa untuk dituturkan semalam.

Saya menyebut tentang impian dulu-dulu mahu mendirikan rumahtangga saat usia mencecah 25 tahun – impian yang selalu dikongsi dengan mak dan abah. Itu cerita dulu-dulu.

Saya tidak nampak jalan ke arah itu lagi. Rasanya, yang menyesakkan dada saat sekarang, adalah soal kepuasan diri perihal sesuatu yang belum tercapai.

Sudah semestinya, pada setiap anak Adam itu ada cita-cita dan kehendak tersendiri, saya juga tidak berkecuali.

Agaknya, yang menjadikan rasa kosong semalam begitu lempung dan lohong, sehingga bingit kepala terasa sakit yang amat, adalah kerana saat usia mencecah 25 tahun ini, kehendak-kehendak itu masih belum tertunai.

Jangan sampai ada dan tiada-mu di dunia ini, tiada bedanya.” 

Kalau mahu disimpulkan rasa hendak pada sesuatu itu, mungkin untaian kata ini boleh menjawab simpulan-simpulan tadi. 25 tahun, sebenarnya apa yang telah kau berbuat?

Rasanya tiada, atau masih belum kecukupan – untuk dibanggakan pada malaikat yang bertanya kelak.

Wednesday, December 16, 2015

Prasangka

Prasangka, atau kata lainnya, prejudice, adalah kata kerja pada suatu bentuk sangkaan atau konsep-konsep bersifat pra yang dibina pada sesuatu perkara sebelum benar-benar melalui pengalaman tersebut atau persepsi pada seseorang sebelum mengenali individu atau kumpulan tertentu.

Boleh jadi, prasangka berlaku di peringkat makro sehinggalah juga ke peringkat mikro pada emosi, perasaan dan sikap. Umumnya, prasangka terbentuk akibat persepsi awal yang dibina seputar hal-hal negatif yang bersangkutan sesuatu kepercayaan, budaya, seksual, ideologi politik dan latar belakang ras dan etnik.

Dunia banyak kerugian akibat prasangka. Perang tercetus akibat prasangka. Pergaduhan terpercik akibat prasangka. Perebutan harta sesama saudara kandung bermula dengan prasangka. Konflik hubungan antarabangsa juga hasil semaian benih prasangka. Di peringkat politik domestik, prasangka adalah pemain utama.

Oleh yang demikian, prasangka telah menyebabkan dunia kehilangan jutaan nyawa yang tidak bersalah. Tali persaudaraan berkecai putus. Hubungan bilateral berkerat rotan. Manfaat untuk yang terbanyak tidak mampu tercapai lagi. Pemenang, tiada lain tiada bukan, adalah pihak ketiga yang impikan perpecahan.

Dalam politik domestik, lihat saja di Parlimen Malaysia, prasangka adalah penggerak kepada motif yang utama. Kerjasama politik berkecai juga bermula dengan prasangka. PAS berprasangka bahawa DAP akan menindas orang Melayu dan Islam, demikian juga hal sebaliknya, DAP berprasangka PAS tidak jujur dan tikam belakang.

Dalam banyak permainan prasangka politik domestik, yang tersepit adalah kijang di tengah-tengah – rakyat. Tiada satu pun manfaat yang boleh dicapai, selain dari kepuasan dan dendam politik masing-masing. Tetapi, keseronokan politik juga, terletak pada kebijaksanaan politikus mengurus prasangka yang wujud.

Pun begitu, persoalan ini masih terbuka perbincangannya. Sudah pasti tajuk prasangka akan mengundang konotasi subjektif. Walaubagaimanapun, tumpuan saya adalah pada skop mikro, bukan pada cakupan makro politik domestik. Cuma sebagai mukadimah, saya cuba bawakan konteks prasangka dengan lebih luas. Itu sahaja.

Prasangka, menyebabkan seseorang akan mudah menghakimi sesuatu secara cuai. Akibat kecuaian begitu, ianya bukan sahaja akan membutuhkan kebatilan, bahkan mengundang luka pada sesuatu atau seseorang secara tidak sengaja. Memanglah ianya tidak dimaksudkan begitu, tetapi, ia telah membina suatu imej yang kekal.

Tidak semua orang berada pada dimensi yang sama. Tidak semua manusia punya rasa dan pengalaman yang sama. Sebab itulah, pada manusia, timbulnya konsep toleransi dan saling memahami. Semua ini terbina akibat desakan-desakan prasangka yang menjadi pemain utama dalam membentuk hubungan sesama insan.

Salah kita, apabila kita tidak suka berterus terang. Kita lebih gemar cakap belakang. Kita malu untuk berdepan dan terus bertanya, tetapi memilih untuk menjadi pendengar pada sumber sekunder. Malang sekali, pada manusia yang punya akal – dan juga imbangan perasaan – gagal untuk memahami keperluan ini.

Kita melantik prasangka sebagai hakim untuk mendefinisikan diri dan perwatakan kita. Dalam pada sama yang sama, kita membiarkan prasangka sebagai pemandu kepada rasional dan logik. Kita dibutakan dengan rasa, perasaan – sentimen secara tepatnya. Hasilnya, terzahir pada lidah dan bahasa badan empunya diri.

Ubat kepada prasangka, adalah kemaafan dan kejujuran. Sanggup atau tidak, bergantung pada daya upaya seseorang itu mengatasi sentimen dan persepsi dengan rasional dan logik. Itu sahaja ubatnya. Moga kita semua, diberi kebijaksanaan untuk menilai sesuatu secara holistik, bukan dengan sembarangan prasangka negatif.

Monday, December 14, 2015

Dalam Pada Iklim Sebegini Rupa, UMNO Masih Bermimpikan Undi Anak Muda?

Mereka benar-benar dalam kekeliruan yang maha hebat, sehinggakan boleh bermimpi di siang bolong untuk mengaut undi anak muda dalam pemilihan akan datang. Idea gila begini, datang dari Najib Razak yang sentiasa percaya bahawa, dengan segala “kesenangan” yang mereka wujudkan hari ini, anak muda akan memilih UMNO kelak.

Mungkin yang akan tetap memilih UMNO adalah penjilat-penjilat seumpama Farhan Khairuddin dan beberapa kerat lagi yang buta begitu. Tidaklah pelik jika hal itu berlaku. Memang takdir untuk penjilat muntah UMNO, memang begitu semenjak azali lagi. Tidak menghairankan.

Tetapi, UMNO bercita-citakan undi anak muda sekaliannya, seumpama mereka tidak berbuat salah langsung dan lebih teruk seumpamanya cita-cita mereka itu telah mendabik anak-anak muda ini yang bakal menguasai lebih dari separuh peratusan pendaftaran pengundi adalah semuanya bodoh dan tidak tahu berfikir.

Mungkin benar apa yang diungkap oleh Lim Kit Siang, bahawa sesudah Perhimpunan Agung UMNO dua hari lepas, Najib Razak kelihatan makin kuat. Tetapi, hakikatnya, UMNO semakin lemah dan gering – terbaring kaku menunggu masa untuk dikapankan. Talian hayat UMNO adalah orang-orang tua di Saluran 4 dan Saluran 5.

Maaflah, Najib Razak. Realitinya, UMNO hari ini adalah deepshit. Terlintas sahaja nama UMNO, semua akan terbayangkan air kumbahan najis. Hanya mereka yang bertaraf penjilat murahan seperti Farhan Khairuddin sahaja yang sanggup memangkah UMNO. Kita biarkan saja orang sebegitu dengan UMNO.

Apakah mereka ini semua memang bengap sehinggakan tidak mampu berfikir waras lagi, sehinggakan dengan segala kebodohan yang mereka papar melalui suara-suara Ahmad Maslan, Rahman Dahlan, mereka masih merasa optimis dengan undi anak muda yang jangkauan maklumatnya selaju garis masa Twitter?

Sah. Memang sah UMNO sudah sasau, tidak waras. Dalam pada iklim sebegini rupa, mereka masih boleh bermimpikan undi anak muda. Kalau bodoh sahaja masih boleh diterima. Yang memeranjatkan, mereka ini semua tidak tahu malu langsung. Apakah mereka ingat dengan umpan BR1M, anak muda akan mengundi mereka?

Berapa tebal muka tembok mereka untuk mengungkap kata-kata optimistik begitu? Dengan segala kesengsaraan yang Najib Razak bawakan pada hari ini, dan memalukan Malaysia sehingga ke taraf begini rupa, dia masih boleh bermimpi di siang bolong, meminta anak muda menyokong cita-cita pelahapnya?

Oh tuhan, Najib Razak dan UMNO ini sudah berapa petala langit makam mereka di sisi Engkau?

Sunday, December 13, 2015

Rasuah, Air Mata dan Kebodohan

Nampak gayanya, Najib Razak terus bergaya pahlawan di atas pentas menggulungkan Perhimpunan Agung UMNO dengan berkapal-kapal retoriknya, menyebabkan air mata para perwakilan tidak mampu bertahan, mengalir deras, selaju nasib bangsa Melayu yang bakal merempat ditakluki bangsa asing.

Kebodohan dan bengapnya mereka, sudah mencapai tahap dewa. Bodohnya mereka, apabila enggan mengakui kebenaran, mahu terus akur pada cerita-cerita dongeng dan fantasi yang dikhabarkan oleh Najib Razak dan gerombolan mereka di pentas. Mereka bukan sahaja melingkup, bahkan memalukan.

Air mata yang mengalir dalam Dewan PWTC itu, menjadi saksi betapa maruah dan harga diri mereka diinjak dijual beli sebegitu murah oleh Najib Razak. Alangkah bangsaku, bilalah mereka mahu sedar dari terus diperbodohkan, diperalatkan, diinjak dipijak, dihenyak maruah mereka. Semua lebur pada retorik kosong Najib Razak.

Dan, betapanya perhimpunan kali ini menjadi bukti bahawa kerja kita masih lagi panjang dan jauh, ribuan lagi ranjau dan onaknya menanti di hadapan. Kerja-kerja mencerahkan dan mendidik sekumpulan manusia yang tidak tahu berfikir, memang menyusahkan, menyesakkan, malah membebankan.

Sehingga ke tahun 2015, sehingga ke abad Facebook dan +SpaceX, sehingga ke zaman kita sudah menghantar angkasawan ke ISS, masih kedapatan ribuan umat Melayu yang termakan dengan umpan bangsa Melayu akan melukut di tepian gantang jikalau DAP memerintah, masih terbuai dengan cita-cita lapuk UMNO.

Tuhan, kalau ada satu doa yang Kau akan kabulkan tanpa banyak soal, tentu aku pohon sama Kau untuk pupuskan kebodohan ini. Melayu begini, wahai Tuhan, tidak pernah mahu mengerti dan mahu belajar, apatah lagi mahu gunakan akal yang Engkau kurniakan pada mereka.

Apa yang patut kami berbuat lagi untuk hapuskan kebodohan ini?

Thursday, December 10, 2015

Agama Buat Pembohong

Tidak sah, kalau kita tidak mengambil peluang untuk menulis tentang Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung sekarang di PWTC sepanjang minggu ini. Manakan tidak, pada juak-juak bersongkok tinggi yang sedang berhimpun itu, merekalah tunjang agama, bangsa dan tanahair. Alangkah...

Najib Razak adalah pembohong besar. Semua orang tahu hakikat ini, bermula dari budak sekolah rendah sehinggalah mereka yang tua renta, semuanya sedar. Cuma tinggal, berani atau tidak untuk menyebut secara lisan sahaja. Najib Razak berbohong dari A sehinggalah ke Z, dari hujung rambut ke hujung kaki.

Tetapi, dia masih lagi memperalatkan agama untuk menghalalkan dirinya di khalayak tanpa rasa segan. Hari ini dalam ucapannya, dia melandaskan Tuhan dan ayat-ayat Quran untuk tujuan itu. Dia memetik secebis itu dan ini dari Quran untuk menghalalkan segala pembohongannya. Dia tidak merasa malu pun.

Ditambah lagi dengan segala pekik lolong dan ampu-mengampu dari sekalian perwakilan yang sama bodoh, maka bertambah angkuh dia dengan lagak tidak bersalahnya. Makanya, seminggu dua ini kita akan menonton TV3 berserakan dengan segala hamburan pujian dan ampu pada Najib Razak dan UMNO.

Ribuan perwakilan bersongkok tinggi dalam dewan itu cukup mudah terlena dengan laungan “Hidup Melayu” dan segala retorik mengenai tergugatnya kedaulatan bangsa Melayu dan bahaya ancaman DAP. Najib Razak begitu mudah membeli maruah dan harga diri para perwakilan dengan retorik murahan.

Ternyata, khutbah bersalut serpihan-serpihan ayat Quran yang diambil secara tidak bertanggungjawab dan serba jahil menjadi peluru yang sangat ampuh buat pembohong besar seperti Najib Razak untuk membeli harga diri perwakilan bersongkok tinggi. Alangkah mudah sekali, mereka diperbodohkan.

Dari mereka yang menuntut ilmu di bumi Ratu Elizabeth, sehinggalah kepada mereka yang bergelar ustaz dan pemegang ijazah kedoktoran, semuanya sama bodoh ditipu dengan retorik agama dan khutbah kesetiaan pada parti oleh si pembohong. Mereka semua merasa bertanggungjawab mempertahankan perompak duit negara.

Kerana, pada mereka Najib Razak adalah hero sebenar. Najib Razak pelindung agama dan bangsa. Najib Razak sang pahlawan yang kental tidak kecut melawan musuh. Pada mereka, Najib Razak adalah imam besar, yang menganut agama pembohongan, yang wajib disembah diberi taat setia sepenuhnya.

Pada mereka, mempertahankan kaki pembohong seperti Najib Razak adalah satu jihad yang cukup suci dan bakal mendapat restu dari langit. Pada mereka, segala kontradiksi yang diciptakan untuk menentang kaki pembohong itu adalah suatu bentuk jenayah dan wajib dikecam oleh seluruh umat Melayu.

Alangkah, bodohnya para perwakilan dalam dewan itu, dan alangkah, murahnya harga diri dan maruah kalian dibiarkan terus diinjak-injak, dijual beli oleh si pembohong besar Najib Razak!

Wednesday, December 9, 2015

Tentang Ruang Peribadi dan Kebebasan

Sehari dua ini, rancak di bumi Malaysia bercakap soal khalwat, dosa peribadi, G25, undang-undang syariah dan soal beda dan faham ruang awam dan ruang peribadi. Dari segala ranah ini, paling kurang pun kita menarik nafas lega kerana akhirnya hal-hal begini muncul jua dalam sfera perbincangan masyarakat umum.

Segala kritikan yang menjajar seputar isu ini telah mengingatkan saya pada satu perbincangan bersama Ustaz Wanji beberapa bulan lepas, perihal hubungkait antara faham kebebasan, faham keadilan, faham kebenaran dan faham kebaikan. Ustaz Wanji ada meminta kami mengkaji konsep-konsep ini secara mendalam.

Kebebasan membawa maksud ikhtiar, yang padanya bertujuan untuk mencapai keadilan. Tiada kebebasan jika tidak tertegaknya keadilan. Mengapa perlukan keadilan? Jawabnya, kita mahukan keadilan untuk mencari dan menegakkan kebaikan, bukan untuk mencari dan menegakkan kebenaran.

Soal kebenaran, kerja Tuhan untuk tentukan. Manusia, tahap mereka, berkehendak pada keadilan adalah semata-mata untuk mencapai kebaikan. Apabila kita mencapai kebaikan pada setiap hal yang kita berbuat, saat itu kita sudah pun mencapai faham kebebasan. Dalam lingkup ini, tiada berbangkit soal siapa benar dan siapa salah.

Soal siapa benar dan siapa salah, seringkali digandingkan pada perbincangan moral. Pada kasus ini, tiada lagi wujud soal kebebasan, kerana kebebasan hanya terpakai pada saat awal mula tadi iaitu di peringkat kehendak dan ikhtiar. Manusia bebas untuk berkehendak, dan Islam mengajar kita berkehendak pada hal-hal kebaikan.

Jadi, persoalannya pada kehendak manusia yang tidak membawa kepada kebaikan, atau jika pun kita bebas berkehendak, tetapi tidak pada saat implementasi kehendak, bagaimana pula neraca pertimbangan moral saat begitu? Apakah dengan berkehendak suatu yang tidak membawa kebaikan, maka tiada lagi makna kebebasan di sana?

Kita boleh membina beberapa kesimpulan awal, antaranya, berkehendak suatu yang tidak membawa kepada kebaikan, adalah bukan lagi membawa makna kebebasan, dan lawan kepada kebebasan adalah ketidakadilan. Ikhtiar tadi sepatutnya membawa kepada keadilan, kini, keadaan sudah pun terbalik.

Mungkin kita boleh letakkan dahulu sebagai telah berlakunya ketidakadilan pada kendiri, kerana mengehendaki sesuatu yang tidak membawa kepada kebaikan pada pengakhirannya. Atau, lagi menepati maksud, apabila seseorang itu bertindak untuk merealisasikan kehendaknya yang tiada pengakhiran dengan kebaikan tadi.

Bagaimana soal moral dalam kasus ini? Hemat saya, perbincangan moral tertakluk pada tujuan keadilan itu sendiri tertegak, iaitu mahukan kebaikan. Apakah setiap hal yang baik itu secara tidak langsungnya boleh dianggap bermoral, dan apakah pula sesuatu yang tidak membawa kepada kebaikan terus menjadi sebaliknya?

Kasus perbincangan ini boleh diperkembangkan dari segi vertikal dan horizontal. Kita harus mempertimbangkan sudut vertikal, soal hubungkait sesuatu tindakan dengan perintah Tuhan berdasarkan teks-teks Kitab Suci, dan juga dari sudut horizontal, iaitu hubungkaitnya dengan hubungan sesama manusia, dan alam seluruhnya.

Mencapai keseimbangan antara neraca vertikal dan horizontal, adalah makna kepada keadilan. Ertinya, menentukan darjah moral pada sesuatu perbuatan, tidak tercampak sepenuhnya pada satu neraca semata-mata, samada bebas menerawang mengikut logik buta atau kekal tegar pada fahaman fundamentalis.

Justeru, tiada pengisahan soal moral pada peringkat niat untuk mencapai kebebasan. Moral terbentuk pada saat memilih untuk bertindak pada arah mana dalam kasus keadilan. Saya memikirkan, dakwaan bahawa ruang peribadi adalah mutlak tertakluk pada kasus kebebasan individu, juga tidak benar sepenuhnya.

Semua ini kerana, tiada kebebasan yang bersendiri sebegitu, tanpa perlu bergantung pada soal-soal keadilan dan seterusnya, soal kebaikan dan keburukan. Di sini terletaknya persimpangan moral, dan seharusnya, tidak sesekali didiamkan dalam mana-mana perbincangan yang menghendaki jawapan akhir.

Cubaan memisahkan perbincangan ruang awam dan ruang peribadi dari sudut pertimbangan moral, telah mengakibatkan terencatnya proses yang disebut awalnya tadi, iaitu asal mula kepada tujuan akhir kebebasan itu sendiri adalah sebagai ikhtiar untuk mencapai kebaikan. Sesekali jangan dilupai rantaian ini.

Dalam pandangan Sekular, perbincangan moral adalah terpisah dari ruangan awam. Maknanya, soal moral bukan lagi menjadi hak mana-mana pihak untuk memperbincangkannya melainkan si tuan badan yang berhak dan menjadi penentu akhir kepada darjah moral pada setiap tindak dan tanduk yang diputuskan.

Kita boleh mencapai kesimpulan mudah di sini. Saya tidak bermasalah dengan pandangan Sekular yang memisahkan antara dua kasus tersebut. Soal yang berbangkit, apakah neraca yang digunakan untuk menimbangtara darjah kebaikan sesuatu tindakan untuk menyeimbangkan keperluan vertikal dan horizontal tadi?

Kerana, pada akhirnya, kita akan berbalik pada soalan yang pertama-tamanya tadi, untuk apa kita membincangkan soal kebebasan. Untuk apa kebebasan? Soalan ini sangat-sangat membutuhi jawapan, agar kelak segala hal yang kita berbuat membawa kebaikan pada sekalian manusia dan alam hendaknya.

Tuesday, December 8, 2015

Paranoid

Pada hari ini, telah kedapatan dua senario yang menepati maksud paranoid. Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita fahami maksud paranoid terlebih dahulu. Menurut Haji Merriam-Webster, paranoid didefinisikan sebagai “...suffering from a mental illness that causes you to falsely believe that people are trying to harm you.

Pertama, adalah senario yang sedang kelam meliputi bumi Amerika Syarikat. Senario fobia pada Islam, dan kelakarnya, fobia itu terhasil akibat kejahilan dan kebodohan mereka untuk menilai setiap patah berita yang terpapar di kaca televisyen. Mereka senang menjadi bodoh, dari menjadi bijak pandai.

Tambahnya dengan kewujudan manusia seumpama Donald Trump dan penyokong-penyokong fanatik Republikan. Semua itu, menjadikan maksud paranoid cukup tepat, jitu dan terpakai. Hari ini sahaja, Donald Trump mengulangi kenyataan untuk menghalang kemasukan imigran Muslim ke Amerika. Sound familiar?

Dua, perihal Najib Razak. Pahlawan Bugis ini, dalam bahasa orang muda disebut sebagai syok sendiri. Walaupun begitu, saban masa dia meroyan. Dia meroyan pada media bahawasanya dia menjadi mangsa keadaan, dan juga dia meroyan yang dia akan terus melawan, berkeras menjadi Perdana Menteri.

Orang begini, paranoid dengan angkara dia sendiri. Pada akhirnya, dia menuduh orang lain yang mahu menjatuhkan dia, sedangkan selama ini dia sendiri yang menggali lubang kuburan itu. Najib Razak dan kawanan monyet dalam Kabinet Menteri semuanya definisi kepada paranoid – termasuklah Muhyiddin.

Begini, dalam dunia politik, manusia ramai menghidap masalah mental paranoid. Amerika Syarikat mencipta musuh kiri kanan atas dan bawah, dan kini mereka hidup dalam serba ketakutan. Di Malaysia juga begitu, dari era Mahathir, sehinggalah ke Najib Razak, semuanya paranoid dengan musuh ciptaan mereka sendiri.

Satu cara sahaja untuk ajar manusia begini: jangan bagi muka. Dulunya rakyat Jerman terlalu memberi muka pada Hitler, pada akhirnya sosok itu mengubah bumi Jerman menjadi neraka kepada manusia lainnya. Belajarlah dari sejarah, manusia paranoid tidak sesekali akan memikirkan perihal kebaikan untuk manusia lainnya.

Saban saat, apa yang mereka fikirkan, adalah cara untuk selamatkan perut rodong mereka, bukannya kita pun! Apa gunanya lagi terus menerus menyembah orang-orang begini? Buangkan sahaja mereka ke tengah lautan, biar jadi makanan kepada jerung yang kelaparan, adalah jauh lebih baik dan berkebajikan.

Monday, December 7, 2015

Janjinya Menggunung, Tunainya Tidak

Politik dan janji, berpisah tiada. Tanpa janji, maka tiada wujudnya politik. Kerana, politik adalah seni mempengaruhi manusia dan seni untuk memungkinkan sesuatu yang mustahil. Caranya, dengan menabur janji. Ternyata, orang dahulu kala bijak – menggandingkan kata kerja “menabur” pada kata nama “janji”.

Konotasi “tabur” menunjukkan suatu keadaan yang tidak tetap, tidak kukuh, tiada akar tunjang padanya untuk kuat berpegang pada lantai atau prinsip. Seumpama, menabur benih pada batasan tanah liat – mungkin ada antaranya tumbuh menjadi pokok, tetapi banyak juga darinya hilang ditiup angin atau dimakan tikus perosak.

Jadinya, dengan menggandingkan “tabur” pada “janji”, ianya sangat menepati situasi atau kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat dan kehidupan seharian. Manusia berjanji itu dan ini, dan tidak semestinya yang disebut sebagai janji itu akan dilaksanakan. Kerana, kata-kata itu hanya ditabur, bukan ditanam.

Demikian jua yang berlaku pada hari ini, perihal Najib Razak dan segala janjinya yang bergunung-ganang. Najib adalah politikus (haprak), yang menjadikan janji-janjinya sebagai modal untuk membeli undi Melayu (terutamanya) pada setiap kali pilihanraya. Apakah dia salah dari sudut prinsip politiknya?

Tidak, sama sekali tidak. Moralnya? Mungkin ya. Tetapi, siapa yang begitu naif mahu bincangkan soal moral dalam hal-hal kepolitikan? Kita semua bermazhab Machiavelli, makanya tiada keperluan untuk bincangkan soal moral disini. Paling terutama, adalah menggapai cita-cita akhir politik, dengan apa cara sekalipun.

Najib Razak tidak berkecuali. Baiklah, kita tidak perlukan generalisasi dalam perbincangan ini. Umumnya, boleh jadi begitu, tetapi tidaklah semuanya stereotaip kaku. Pun begitu, fokus tulisan ini adalah untuk mengkritik perangai politikus (haprak) yang gemar menabur janji dan memungkirinya.

Realitinya begitu. Selaku manusia yang berakal, sewajibnya kita sedar akan realiti ini. Kata bijaksana, jangan sampai dipatuk ular dua kali. Pengajaran yang boleh kita ambil dari sosok Najib Razak adalah, politikus begini jangan lagi diberi muka pada masa-masa mendatang. Humbankan terus ke lubang perigi.

Masalahnya, orang-orang kita tidak pernah mahu belajar dari kesilapan. Hari ini, mereka berapi-rapi memarahi sekalian kabinet Menteri yang bodohnya bertingkat-tingkat, dan Perdana Menteri yang senantiasa mungkir. Esok lusa, tengoklah mereka ini semua akan terhegeh-hegeh memberi undi lagi pada orang tua itu.

Ini masalahnya dengan orang-orang kita – tidak pernah serik dan tidak pernah mahu belajar dari kesilapan. Pada akhirnya, Parlimen terus menjadi sarkas untuk sekalian monyet-monyet beraksi, dan kita pula terus diperbodohkan saban siang dan malam. Alangkah, malang sekali mereka ini. Akalnya ada, gunanya tidak.

Thursday, December 3, 2015

Senator Palpatine Dalam Pembikinan?

Tidak salah pun untuk membentangkan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015, dengan satu syarat: segala mekanisme, kaedah dan motif pembentangan RUU tersebut jelas, melunasi logik akal, menghormati pandangan konstituen melalui konsultasi awam secara berperingkat.

Jadinya, apabila sesebuah RUU diusulkan dan dibahaskan serta dipaksa untuk diluluskan secara terburu-buru, anda telah menjemput jutaan pertanyaan dan kesangsian orang ramai. Apa motifnya sehinggakan perlu berbuat demikian, sedangkan tidak wujud pun keperluan mendesak ke arah itu.

Apakah kelulusan RUU terbabit akan menjadi alat buat politikus-politikus terdesak untuk melepaskan ekor mereka yang sedang tersepit? Adakah RUU tersebut bakal menjadi lesen untuk sewenangnya politikus terdesak yang berkuasa mengatasi peruntukan kedaulatan undang-undang?

Apakah Rang Undang-Undang MKN 2015 akan menjejaskan atau menjadi sandaran untuk melepaskan individu-individu tertentu dari pendakwaan skandal-skandal seumpama 1MDB, dan meloloskan diri dari dikenakan siasatan atas salah lakunya? Apakah RUU ini lesen untuk menghalalkan kediktatoran?

Apakah RUU ini akan sewenangnya mengambil alih peruntukan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan untuk Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Ketua Polis Negara untuk menjalankan siasatan secara bebas dan berkecuali terhadap individu yang didakwa?

Puluhan lagi persoalan akan ditanya, semuanya seputar motif utama kelulusan RUU secara terburu-buru, separuh masak, sifar konsultasi awam dan penuh rahsia. Apakah persoalan-persoalan ini salah? Tentu sekali tidak, sementelah hak rakyat untuk bertanya itu dijamin oleh Perlembagaan.

Kami bimbang akan motif belakang pintu, RUU ini sengaja dicipta untuk menjadi alat pelindung kepada penjenayah yang sedang berkeliaran bebas di Putrajaya. Dan kami juga tersangat bimbang, RUU ini digubal untuk membikin Senator Palpatine di Kompleks Perdana Putra.

Wednesday, December 2, 2015

Star Wars

Penafian awal, saya tidak pernah meminati siri filem Star Wars, apatah lagi menontoninya.

Dua tahun yang lepas, ketika di Tahun 3 pengajian, saya menjemput Tunku Zain ‘Abidin, Presiden IDEAS menyampaikan syarahan di karnival kejuruteraan UKM, dan tajuk yang diberikan adalah berkisar soal kejuruteraan, etika dan nilai pendemokrasian (lebih kurang begitu tajuknya).

Dalam syarahannya, Tunku Zain mensyarahkan Star Wars. Tentang kejuruteraan kapal perang di angkasa, tentang cita-cita pembebasan dari diktator, tentang pencabulan demokrasi, tentang sikap dan kepercayaan. Dan, itulah kali pertamanya saya mendengar perihal Star Wars, dan seperti biasa, ketika itu saya tidak ambil pusing sangat pun.

Penghujung tahun 2014, Zul Fikri Zamir telah terbitkan bukunya berjudul Masharakat Melawan Mahasiswa, yang mana grafik kulit depannya menayangkan watak Darth Vader menghulur skrol universiti kepada graduan. Ketika itu saya bertanya, apa signifikannya watak Darth Vader dalam tema-tema perbincangan buku tersebut.

Kemudiannya, sampai perkhabaran perihal penayangan Star Wars episod ketujuh Disember ini. Respons pertama saya, Star Wars episod ketujuh?! Saya bukanlah peminat filem sci-fi sangat, tambah-tambah dengan tema Star Wars yang melibatkan makhluk asing dan segala bentuk makhluk yang pelik, lagilah menjadikan saya tidak berminat.

Tetapi, mendengar perkhabaran itu, menjadikan saya tertanya-tanya. Ada beberapa sebab yang menjadikan saya tertanya-tanya tentang “rahsia” Star Wars. Pertamanya, dunia seolah-olah bergoncang dengan perkhabaran itu. Segala sudut bercakap tentang Star Wars, segala iklan berkisar perihal Star Wars, malah Google pun bertukar menjadi Star Wars!

Dan, lagi mengejutkan saya secara peribadi, mereka yang sudah bercucu-cicit sehinggalah ke generasi yang masih dalam dunia remaja, semuanya terkinja-kinja dengan berita ini. Ratusan artikel ditulis tentang filem ini. Malah, puluhan judul buku diterbitkan berkisar kritikan dan kajian tentang Star Wars dan pengaruhnya!

Ambil satu contoh, buku Culture, Identities and Technology in the Star Wars Films: Essays on the Two Trilogies suntingan Carl Silvio dan Tony M. Vinci mengumpulkan esei-esei berkaitan Star Wars, meliputi kajian subjek kesamarataan, jantina, sosiologi, budaya, politik, kapitalisme, dan banyak lagi setebal 243 muka surat.

Buku tersebut disebut sebagai perkara wajib milik bagi semua peminat Star Wars kerana perbincangan dan kritikannya begitu mendalam, membantu peminatnya memahami premis dan falsafah filem tersebut dengan lebih baik. Segala hype seputar Star Wars menjadikan saya sendiri tidak senang duduk dengan satu persoalan: kenapa?

Kenapa manusia sekaliannya begitu gila pada Star Wars? Kenapa ramai pengkritik budaya menulis perihal kesan Star Wars pada pembentukan budaya dan bagaimana Star Wars membentuk pop-culture pada lewat Abad ke-20? Kenapa manusia sekaliannya kelihatan sungguh teruja bagai nak mati dengan penayangan Disember ini?

Untuk memahami kegilaan itu, saya mengambil keputusan untuk maraton kesemua siri-siri awal Star Wars. Bermula dari sequel IV, V dan VI, sehinggalah ke prequel I, II dan III, maraton mengambil masa selama 4 hari sebelum berjaya dihabiskan. Kesimpulan awal, tidak hairanlah mengapa manusia sangat gilakan Star Wars.

Episod IV ditayangkan tahun 1977, ketika itu mak dan ayah saya pun masih belum bercinta! Bayangkan, ketika itu, Star Wars telah pun memenuhkan filem mereka dengan konsep-konsep futuristik, dengan penggunaan istilah-istilah yang jauh dari pandangan sarwa Melayu, seumpamanya droids, (dan banyak lagi di sini.)

Naratif penceritaannya yang mudah, mengambil tema krisis ketamakan kuasa dan pemberontakan dari kongkongan diktator telah meletakkan Star Wars pada orbitnya yang tersendiri. Setelah 38 tahun dari tahun mula tayangannya, Star Wars terus mendominasi mimpi dan imaginasi sekalian manusia.

Tidak hairanlah, Tunku Zain menjadikan Star Wars sebagai tema latar dalam syarahannya pada tahun 2012. Tidak hairanlah, Zul Fikri menjadikan Darth Vader simbol kepada penindasan akal dan semangat mahasiswa pada kulit depan bukunya. Tidak hairanlah, manusia gila menunggu penayangan Episod VII bulan ini.

Saya maraton siri filem Star Wars semata-mata mahu memahami latar kepada kegilaan semua ini. Dan, dengan tidak bernasib baiknya, saya sendiri terperangkap dalam kegilaan tersebut. Tidak dapat dinafikan, Star Wars berada dalam liga yang sangat berlainan dengan filem-filem yang lain-lainnya. 38 tahun – itulah buktinya!

Justeru, penafian kepada penafian awal tadi (dalam gaya Master Yoda), peminat Star Wars saya sekarang adalah. Untuk tayangan 18 Disember ini, saya mengucapkan pada kalian semua, “May the Force be with you!

Sunday, November 29, 2015

Catatan Hujung November

Catatan hujung begini, mungkin lebih kepada puing-puing yang bertebaran – tiada signifikan untuk dijadikan penceritaan sejarah. Cumanya, untuk saya secara peribadi, catatan hujung begini amat penting.

Paling tidak, catatan ini boleh dijadikan bahan ketawa untuk masa mendatang, jika dibelek semula tulisan ini.

Pertama, penghujung November ini, akan genap setahun impian Tidak Selain Buku.

Tidak banyak yang berubah dari awal mula idea ini dicetuskan, sama ada untuk meneruskan perjumpaan mingguan sehinggalah kepada wujudnya brick-and-mortar bookstore (+‘Tidak Selain Buku’ Book Café). Tak mengapalah, harapan tidak pernah mati.

Dan, itulah yang penting – harapan.

Setahun berlalu, lebih kurang 26 kali pertemuan mingguan telah berjaya diadakan dan tidak kurang dari 20 buah judul buku telah diperbincangkan, meliputi subjek politik, falsafah, ekonomi, agama dan sosiologi. Seronok sebenarnya, apabila ada like-minded friends sebegini.

Antisipasi hala tuju Tidak Selain Buku masih kabur. Tahun mendatang, apakah impian dan harapan itu bakal terkabul?

Entahlah.

Tetapi, satu hal yang pasti adalah, impian ini tidak pernah padam kehendaknya, tidak pernah meleset kemahuannya. Saya berseorangan, atau masih berkumpulan, Tidak Selain Buku akan jalan terus.

Kedua, perihal Initiative for Malaysian Humanitarian (INSAN).

Pertubuhan kemanusiaan ini adalah inisiatif sekumpulan anak muda termasuk saya, yang memfokuskan pada kerja-kerja bantuan kemanusiaan.

Kenapa November? Bulan ini, INSAN memfokuskan pada hal-hal fundamental – falsafah, objektif, misi.

Melalui INSAN, saya lihat cukup besar peranan yang boleh dimainkan dengan menawarkan beberapa cadangan dan kajian kepada masyarakat akan hal-hal yang berfokus, iaitu masalah miskin bandar dan gelandangan, masalah tahap kesedaran terhadap isu OKU, dan masalah sosio-ekonomi akibat bencana alam.

November menjadi bulan pertama kami bergerak, secara kecil-kecilan. Membina jaringan kerjasama, merangka strategi kerja dan mula mencari sumber-sumber dana yang boleh membantu INSAN menjalankan misinya.

Bukan mudah kerja ini, dan kami cukup masak dengan hakikat tersebut.

Ketiga, soal personal dan identiti. 27 November 2015 menjadi tarikh penting buat saya.

Tidak perlu saya ceritakan butirannya. Cukuplah dengan saya mencatatkan begini, sepanjangan hidup kita mencari jawapan, kadangnya Tuhan menjawab dengan pantas, kadang-kalanya ianya memakan masa. Jumaat lepas, Tuhan menjawab persoalan saya.

Kata bijak pandai, untuk mencapai makna kehidupan, you ought to do good, to do the right thing. Saya tertarik dengan perbahasan Immanuel Kant dalam karyanya, Groundwork of the Metaphysic of Morals berkenaan A Realm of Ends. Manusia sebagai ends, bukan means.

Mungkin dengan cara ini, kita akan ketemu dengan banyak jawapan lagi.

Keempat, November juga menyaksikan pergolakan politik dunia, yang ramai penganalisis mengatakan itu adalah bibit-bibit kepada peperangan global yang bakal melanda.

Krisis Turki-Russia, campur tangan NATO, fitnah ISIS dan pesta mengambinghitamkan Islam yang tidak terkawal lagi keadaannya.

Ke mana kita nak mengadu semua rasa berat dan resah begini?

Semua ini menjadikan kita senang untuk menyepi dalam cangkerang, berkecuali, merasa bosan. Betul, kita tersangat kecil dalam percaturan politik ini. Sebab itulah, saya merasa tersangatlah perlu untuk kita mula memaknai perbahasan A Realm of Ends oleh Kant.

Sukar apabila manusia dijadikan subjek kepada tujuan kepolitikan oleh mana-mana pihak. Mungkin ini juga, adalah persoalan-persoalan yang Tuhan sedang bertanyakan kepada kita, untuk kita mencari jawapannya.

Kita saban waktu bercakap soal kemanusiaan dan kebaikan, kerana kita tidak pernah memilikinya – mungkin.

Catatan hujung ini, jika dibaca semula pada masa akan datang, sedang ketika itu berkecamuknya perang, maka menangislah kita. Kita akan menangis, mengenang akan lemahnya dan kecilnya kita. Dunia menjadi teramat kejam, apabila manusia memilih untuk melupakan manusia, dan mempertuhankan kuasa.

Catatan ini lebih kepada luahan dan harapan. Lebih kepada rasa resah dan gundah. Apa pun, November 2015, telah mengajar saya banyak hal yang sebelum ini saya kabur.

Wednesday, November 25, 2015

Pesta Mengambinghitamkan Islam

Bermula dari serangan di Paris, sehinggalah ke saat ini, saban saat yang berlalu, media tiada henti memainkan terma Islam dan Muslim berulang-ulang kali, dalam pelbagai konotasi dan sentimen. Keadaan begini telah menyebabkan berlakunya kontradiksi spektrum-spektrum pemikiran dalam masyarakat terbanyak.

Dari calon-calon Republikan ke media-media utama, dari Donald Trump sehinggalah ke Ben Carson, dari pengacara-pengacara televisyen sehinggalah ke penyampai radio, dari profesor ke ahli politik, semuanya menjadikan Islam sebagai modal untuk menjual kempen, menarik para penonton ke rancangan-rancangan mereka.

Akhirnya, Islam menjadi kambing hitam. Muslim menjadi kambing hitam. Mereka galak dengan dapatan undian akhbar The Sun yang memaparkan 1 dari 5 orang Muslim Britain bersetuju dengan ISIS. Mereka galak pada kisah-kisah ISIS memancung gay, membakar jurnalis, untuk menambah perisa cerita mereka.

Mereka juga mengitar semula dapatan kajian tahun 2013 oleh The Pew Research Center berkenaan pandangan orang Islam di seluruh dunia tentang beberapa hal dalam agama Islam, contohnya implementasi undang-undang Syariah. Mereka mengemukakan pelbagai tafsiran untuk mengabsahkan premis mereka.

Sama ada niat mereka mengulang-ulang terma Islam dan Muslim dalam kenyataan, kempen, atau apa sahaja, untuk menyedarkan atau untuk menghasut, sama ada untuk menghina atau menyatakan fakta, tiada siapa tahu. Mudahnya, Islam menjadi kambing hitam. Malah, kini, sudah bertukar menjadi sebuah pesta.

Bila kita cuba fikir, apa logik di sebalik cadangan-cadangan Donald Trump, ambil satu contoh, mengenakan tag khas untuk setiap muslim Amerika, tidak tercapai dek akal untuk memikirkannya. Pening. Sebenarnya, si pencadang ini normal atau sakit mental? Ramainya akan berfikir begitu bila mendengar cadangan tersebut.

Saya cuba fikirkan juga logik asas untuk premis-premis mereka. Tapi, sayangnya sehingga sekarang, tak ketemu jua. Tetapi, kita sedar, menjaja Islam dan Muslim sekarang adalah komoditi yang cukup menguntungkan pada setiap kali jualan dibuka. Malah, mensensasikan nama Islam sahaja, cukup untuk mereka balik modal.

Mungkin satu sebab sahaja, yang menjadikan sentimen ini sudah semacam pesta. Saya terfikir, kerana mereka sendiri adalah kambing, yang berkulit putih. Jadinya, tidak hairanlah apabila mereka begitu obses mencari kambing hitam, kerana mereka pun kambing. Kalau mereka manusia berakal, tidaklah ini menjadi pesta.

Monday, November 23, 2015

Politik Orang Tua

Mendengar perkhabaran perihal Lim Guan Eng yang secara cuai dan melulu, menuduh adanya pakatan dari perwakilan PKR yang mahu menyokong UMNO akibat tidak bersetuju atau bercanggah pendapat dengannya, adalah antara banyak contoh klasik apabila kita bercakap perihal gaya politik orang tua.

Dulunya, budaya politik begini jelas terpamer pada UMNO. Tetapi kini, bejatnya mula ketara pada ramai politikus dari barisan pembangkang. Kebanyakan mereka adalah dari generasi tua atau sudah masuk kategori veteran. Mungkin faktor utama adalah pengaruh mereka dalam parti yang besar, maka mereka untouchable.

Perangai sebegini, wajib dihapuskan dengan segera. Jika tidak, parti akan punah. Jika tidak, akan terlahirlah dari sana, parti yang tidak anjal, jauh sekali untuk menjadi demokratik – walaupun pada namanya ada perkataan demokratik. Boleh dikatakan, hampir semua parti politik akan mengalami keadaan begini.

Kepimpinan parti yang mula tidak boleh menerima kritikan dari dalam, jangan diharapkan mereka akan mampu menerima kritikan dari luar. Biarpun pada asasnya, mereka melaungkan soal hak untuk berbeza pendapat, namun keadaan pengaruh dalaman parti yang cukup besar, boleh menjadikan seseorang itu besar kepala.

DAP, PAS, UMNO dan lain-lain parti, semuanya sudah berjangkit penyakit politik orang tua. Tiada remedi untuk penyakit ini, selain dari anak muda bangkit mempamerkan idealisme dan kehendak mereka secara terang dan komited. Untuk berbuat ini, sudah pastilah syarat terutama, mereka sendiri perlu dilengkapi dengan ilmu.

Gaya politik orang tua hanya terlawan dengan ilmu dan idea-idea baru. Wadahnya adalah pendidikan. Makna katanya, suatu usaha membentuk dan menginstitusikan pendidikan politik yang didasari dengan faham falsafah dan ketinggian adab adalah teramat penting. Apabila kita menyebut hal ini, lantas terlintas pada benak akan terma politik baru.

Prof Matthew Flinders melalui makalah ringkasnya dalam blog Oxford University Press telah bertanya soalan menarik perihal politik baru, “...there is a far bigger questions for the UK (and internationally) about the specific form, values and structures that might make up this “new politics.” What does “doing politics differently” actually mean?

Umumnya, kita bercakap soal politik baru kerana kita mahu lari dari stigma dan rasa kotor akibat terkongkong dalam gaya permainan politik orang tua. Tetapi, tidaklah mudah untuk kita mencari suatu definisi baru tentang apakah maksud politik baru itu sebenar-benarnya. Mungkin benar, idea ini berasal dari rasa ingin berbeza.

Jika disebut tentang anti-establisment, pun ada wajarnya. Contoh gaya politik payung-memayungi, bodek, besar kepala, terhasil akibat suasana yang memberikan ruang untuk politikus ini merasa wujudnya autoriti pada diri mereka, lantas membibitkan rasa kebal dan tidak lagi betah disentuh oleh mana-mana kritikan.

Lantas, desakan untuk mengubah gaya politik lama atau budaya politik sebegitu, menjadikan ianya kelihatan baru berbanding yang lama. Tetapi, ini tidaklah bermaksud, desakan sebegitu hampa makna dan idealismenya. Lagipun, tiada dapat tiada, kita terpaksa mengakui bahawa politik hari ini wajib berbeza dengan semalam.

Kerana, “Think Politics, Think Vote” is just so passé. Politik sekarang, rata-rata dikuasai atau mula dikuasai oleh pengundi dari demografi yang sangat berbeza dari sedekad yang lepas. Lihat sahajalah, bagaimana Justin Trudeau di Kanada. Itu antara bukti jelas bahawa budaya politik, mahu tak mahu, akan mengarah ke sana jua.

Bak kata Trudeau, “Because it's 2015.

Thursday, November 19, 2015

What It Means to Be a Muslim?

This is why it is important to clarify what it really means to be a Muslim.

I and countless other Muslims, have been taught from our earliest years that our religion demanded respect and caring for others. The Prophet Mohammad, peace and blessings be upon him, said: “None of you has faith until you love for your neighbour what you love for yourself.

This is what it means to be a Muslim.

Among the very names of God, we hear: The Compassionate, The All-Merciful. All my life, every day, I have heard and used the greeting, Assalamu aleikum — a wish for the other to be blessed with peace.

This is what it means to be a Muslim.

More than a thousand years before the Geneva Conventions, Muslim soldiers were ordered not to kill a child, a woman or an old person, not to destroy a tree, not to harm a priest, not to destroy a church.

These are the same values of Islam we were taught in school as children: not to destroy or desecrate a place where God is worshipped, not a mosque, not a church, not a synagogue.

This is what it means to be a Muslim. These are the values I teach my children and they will hand on to theirs.
_________________________

This is a fragment from the speech delivered by His Majesty King Abdullah II of Jordan before the European Parliament in Strasbourg, France on 10 March 2015. Here the link for video and script.

In the inevitable emerging of Islamophobia since the Paris attacks, the compassionate and holistic reminder delivered by His Majesty is the best antidote to the poison of false ideas about Islam.

Wednesday, November 18, 2015

Negara Yang Tidak Tahu Malu

Negara ini, dibentuk atas jutaan nyawa orang asli yang dibunuh secara kejam, dijajah dan dijadikan hamba, malah dijadikan bahan perdagangan yang menguntungkan. Para pembentuk negara ini datang membawa segala algojo tenteranya, membantai dan melimpahkan bumi dengan darah penduduk asal tanah tersebut.

Jutaan nyawa orang asli yang dibunuh, bermula dari penghujung tanah utara sehinggalah ke ceruk wilayah selatan, dari birai Atlantik sehinggalah ke muara Pasifik. Tidak bersisa walau satu pun, dari bahasa, budaya, tanah adat, bahkan rantaian keturunan pun dihapuskan dari segala generasi. Tuhanku...

Negara ini, kemudiannya, menjadikan tanah itu sebagai lembah perhambaan. Mereka memasung bahasa mereka, menghapuskan segala debu budaya dan adat tradisional yang tinggal bersisa, dan juga menukar gantikan kepada sebuah identiti yang baru dengan nama yang baru. Mereka dengan gahnya berkata, ini tanah kami.

Mereka, sang algojo penjajah, mula mengorek dan membolot segala harta kekayaan yang wujud di bumi itu. Dari hasil bumi seumpama emas dan minyak, sehinggalah ke hal-hal bercucuk tanam. Mereka mengimport manusia berkulit hitam dari benua Afrika dan kepulauan Caribbean untuk dijadikan hamba abdi.

Tidak puas dijadikan hamba, berapa ribu lagi manusia berkulit hitam ini didagangkan, dijadikan bahan pameran di zoo-zoo manusia di sekitar bandar-bandar utama di benua Eropah. Pada mereka, golongan berkulit hitam dan orang asli ini tidak ubah seumpama binatang yang tidak sama langsung tarafnya dengan mereka yang berkulit putih pucat.

Oleh kerana algojo berkulit putih ini rata-ratanya datang dari benua Eropah, mereka membawa bersekali dengan ego dan rasa mulia mereka. Segala tanah yang kata mereka, baharu diterokai itu, dinamakan dengan nama-nama menyerupai nama bandar-bandar di Eropah, dengan menambah perkataan New di hadapan sahaja.

Begitu mudah sekali mereka cuba menulis sejarah tanah itu, yang kemudiannya mereka banggakan bahawa itulah pertemuan baharu, sebuah perjalanan pembentukan peradaban baru. Negara ini, setelah 200 tahun lebih kononnya merdeka, mereka hakikatnya tidak punya salasilah sejarah. Mereka tidak pernah tahu pun akan hal ini.

Kemudian, negara ini diumumkan kemerdekaannya. Merdeka dari kongkongan ratu England. Mereka menulis kononnya sebuah deklarasi perlembagaan di beberapa helaian kertas, dan mereka menggunakan segala retorik perihal kebebasan, kesaksamaan, keadilan. Padahal mereka berbohong sama sekali.

Lagi malang, seantero dunia mempercayai kisah bohong mereka. Negara ini, walaupun perlembagaan itu tertulis perihal kebebasan dan keadilan, mereka tidak pernah sedikit pun mengiktiraf hak manusia berkulit hitam dan wanita setaraf dengan warga algojo berkulit putih. Tapi, mereka bercakap soal kesaksamaan!

Setelah 100 tahun lebih dari tarikh mereka yang kononnya merdeka, dan setelah ribuan nyawa telah pun terkorban dalam siri serangan pengganas Kristian fasis Ku Klux Klan, barulah manusia berkulit hitam boleh mengundi dalam pilihanraya mereka. Dan, barulah juga manusia berkulit hitam boleh berkongsi tandas dengan algojo ini.

Sehingga ke hari ini, negara ini yang saban waktu berbangga dengan teknologinya, persenjataannya, gagal sama sekali untuk mengakui bahawa mereka semua adalah pendatang. Hari ini, mereka berusaha sedaya mungkin untuk menghalau pendatang dari Amerika Tengah, dan kini mereka sasau dengan rancangan untuk membawa masuk pelarian Syria.

Mereka tidak sedar, yang mereka juga adalah pendatang – imigran (atau apa sahaja gelaran yang menyamai maksud tersebut). Malah harga mereka datang ke tanah itu 200 tahun yang dulu dibayar dengan darah dan nyawa jutaan orang asli di sana. Mereka tidak pernah merasa malu dengan sejarah itu.

Jadi tidaklah hairan, apabila manusia seperti Donald Trump, Rupert Murdoch, dan sekalian perwakilan Republikan, serta pengikut-pengikut mereka yang mencawat ekor seumpama anjing kurap, boleh lahir, membesar di tanah yang dibayar dengan darah tanpa secubit rasa malu.

Mereka semua ini, hidup di abad 21, tetapi masih berfikiran kolonial, gasar, merasa megah dengan warna kulit mereka, bodoh sombong dan angkuh, berperangai primitif. Mereka tidak merasa sedikit pun malu pada dosa-dosa nenek moyang mereka, bahkan tidak teragak-agak untuk mengulangi sejarah hitam itu semula.

Buktinya, sehingga ke hari ini, mereka masih dahagakan darah manusia, tiada henti mahu meneruskan perang sana sini, mengawal dan mengambil tahu hal dalam kain orang lain, mendabik diri sebagai polis dunia. Perangai mereka tidak ubah seumpama nenek moyang mereka dahulu. Sama langsung!

Negara ini, adalah dibentuk atas semangat kebencian, penghambaan, penghinaan pada hak asasi manusia. Negara ini, bermuka tembok oleh banyak rakyatnya sekarang. Bacalah komentar mereka tentang isu pelarian Syria dan emigran Mexico. Dari situ, kita akan sedar, mengapa mereka menjadi begitu – kerana asal nenek moyang mereka juga begitu.

Merekalah, negara yang tidak sedar diri, yang tiada tahu rasa malu. Negara bermuka tembok - tiada harga diri.

Tuesday, November 17, 2015

Hakikatnya, Dunia Tidak Seteruk Yang Kita Sangka

Dalam sehari dua ini, saya membaca pelbagai jenis respons dan tulisan dari pelbagai jenis orang. Saya menyelongkar tulisan-tulisan bermula dari mereka yang berjawatan profesor di universiti sehinggalah ke ibu-ibu di rumah, semuanya menggamit pada satu garis, iaitu perihal cinta dan kasih sayang.

Saya merasa agak bertuah, di kala tragedi begini, saya punya dua orang rakan baik yang menetap di Paris. Dari lidah mereka sendiri, saya mendengar khabar primer perihal di sana. Ringkasnya, mereka di sana tenang sahaja. Ya, ketakutan itu biasa, tetapi tiadalah merencam seumpama diberitakan dalam mana-mana portal media.

Saya juga bertuah, kerana hasil dari pengembaraan ke beberapa buah negara sebelum ini, memberi peluang untuk saya mendapat rakan dari pelbagai negara, dari pelbagai anutan kepercayaan. Dari mereka, ya, hampir kesemua dari mereka bereaksi tentang Paris, dapat saya tahu bahawa mereka tidak seperti apa yang media gambarkan.

Begitu juga banyak tulisan-tulisan lain di portal laman sesawang, masing-masing kedengaran rasional, berasas, tidak terpengaruh dengan manipulasi dan mainan media. Kelihatannya, manusia ramai masih boleh berfikir dan kritikal terhadap apa yang berlaku di Paris, biar pun ketakutan jelas masih mencengkam.

Masing-masing menekankan soal peri pentingnya cinta, kasih sayang dan rasa manusiawi mengatasi segala bentuk hegemoni propaganda media, ketakutan yang direka-reka, keganasan dan doktrin peperangan dan kebencian terhadap satu-satu bentuk kepercayaan dan agama. Kala melihat keadaan begini, hanya syukur yang mampu terungkap dari bibir.

Kadang kala kita menyangka sekalian dunia akan datang menghempap belakang kita tanpa belas kasihan lagi, menyadur segala kejahatan dan kehitaman pada agama tertentu atau warna kulit tertentu, menjadikan persepsi sebagai hujah terutama mengatasi logik, rasional dan fakta. Sedang kita lupa, pelangi hanya akan muncul setelah hilangnya guruh di langit.

Hakikatnya, dunia tidak begitu. Betul, bahawa di dunia ini wujud segelintir manusia yang berhati syaitan, tetapi tidaklah itu terikat secara wajib pada mana-mana agama dan warna kulit. Dan mereka pula, bukanlah majoriti pun. Dan, memang tidak dinafikan juga, kita sering dilagakan oleh mereka atas nama agama dan warna kulit.

Kerana, perlu diakui, kita serba lemah dan tidak semua perkara boleh kita fahami secara jelas. Dalam isu ini, ada pihak yang akan cuba mengambil kesempatan untuk memanipulasikan perasaan dan sentimen. Tidak sedikit yang terjatuh dalam perangkap mereka, tetapi, bukan semuanya akan terperangkap dalam mainan begitu.

Seperti rakan-rakan saya tadi, dan banyak tulisan-tulisan komentar yang saya baca, semuanya boleh dikatakan amat jauh lari dari sangkaan awal tadi. Mereka tidak naif, mereka sedar seinsafnya hakikat permainan politik dunia. Mereka jauh lebih matang. Kadang kala, kita pula yang mempunyai sentimen tertentu pada mereka.

Tragedi di Paris, seumpama pelangi yang menyatukan kita semua di bawah lembayung kesedaran bahawa, ancaman dan idea ISIS bukan tidak terkalah. Cinta dan kasih sayang, rasa kemanusiaan dan empati, mengatasi rasa amarah, ketakutan, sentimen agama, fobia, dan propaganda pihak berkepentingan.

Hakikatnya, dunia ini indah. Cuma tinggal kita, untuk merangkulnya dan menghargainya selagi ia masih bersisa. Kerana, hanya dengan rasa sedar inilah, ia akan membibit sinar harapan pada sekalian manusia, bahawa dunia yang aman dan penuh cinta itu tiadalah mustahil.

Selagi harapan berkedip sinarnya, pasti cahaya nan terang menunggu kita di hujung lorong sana. Dalam fasa begini, teringin untuk mengulang ungkapan Dumbledore kepada Harry Potter,

“You are protected, in short, by your ability to love!”

Monday, November 16, 2015

Melawan Idea Dengan Peluru

Kita sudah terbiasa mendengar kata-kata yang diungkap oleh Alan Moore dalam bukunya V for Vendetta, “Behind this mask there is more than just flesh. Beneath this mask there is an idea... and ideas are bulletproof.” Tidak dapat lagi dinafikan hakikat perkara ini. Idea tidak akan mati di hujung muncung senapang.

Silapnya, apabila kita mengungkapkan frasa di atas, kerap kita terfikir pada idea yang berselari dengan konotasi melawan kezaliman rejim yang menindas, idea yang bersangkutan dengan nada pemberontakan dan revolusi, pada hal-hal yang bersifat solidariti rakyat, kekuatan demonstrasi massa dan seumpamanya.

Tetapi, kita jarang terfikir bahawa gerakan kebangkitan seumpama ISIS juga adalah suatu bentuk idea. Biasanya, terma idea yang ditulis oleh Alan Moore itu diasosiasikan pada hal-hal yang disebutkan tadi, dan tidak menjadi kebiasaan untuk kita mengelaskan ISIS juga suatu bentuk idea.

Makna katanya, jika kita memandang ISIS sebagai suatu bentuk idea, maka adalah menjadi suatu tidak masuk akal dan tiada wibawa lagi kalaulah kita terus bercakap soal melawan ISIS dengan menggunakan kempen persenjataan. Contoh yang jelas, adalah di Iraq dan Syria sekarang, dan sebelumnya di Afghanistan.

Sedekad lebih, Amerika Syarikat melawan idea Negara Islam oleh Al-Qaeda, dan kininya timbul pula ISIS dengan peruntukan kos tidak kurang dari angka trilion. Kita lihat kini, apa kesannya? Apakah semakin kurang ancaman ISIS, atau semakin merebak parah? Kembali pada asalan tadi, peluru tidak terlawan akan idea.

Kita juga terbiasa mendengar frasa bahawa, sesuatu idea yang memerlukan daya keganasan untuk bertapak dan diterima ramai, makanya idea tersebut tiada nilai. Tidak semestinya begitu. Dan sering kali juga, frasa ini menjadi korup apabila ada pihak menjadikannya sebagai justifikasi untuk menentang apa sahaja bentuk perlawanan.

Apabila sesuatu rejim merasa tergugat pada sesebuah gerakan pembebasan dan kebangkitan marhaen yang mula menyoal peri kelakuan dan dasar mereka yang tidak adil, selektif, zalim, mereka akan menggunakan buah ini untuk melawan semula kebangkitan tersebut. Dakyah mereka, idea tersebut radikal dan tiada tempat dalam masyarakat.

Tidaklah semestinya idea yang radikal tiada langsung positifnya. Mana-mana dalam lipatan sejarah dunia, idea yang hebat bermula dengan gerakan yang radikal. Kita boleh mengukur darjah keganasan idea tersebut apabila kita rinci pada tahap keradikalan tersebut. Apakah ini bagus atau tidak, kita boleh debatkannya lagi.

Revolusi Perancis 1789, Revolusi Rusia 1917, Gerakan Civil Rights yang menuntut hak mengundi kaum kulit hitam di Amerika pada tahun 1965, Revolusi Iran 1979, Tragedi Trisakti 1998, dan senarai yang berpanjangan tiada henti ini, semua bermula dengan sebuah idea pembebasan yang ada unsur radikalnya tersendiri.

Menyalahkan radikal dan menyabitkan ketidakmampuan sesuatu idea untuk berdiri dengan sebab adanya unsur radikal tadi, adalah premis yang tidak tepat sama sekali. Tetapi, sejauh mana keradikalan idea tersebut membawa kepada keganasan, sehinggakan menyebabkan kehilangan nyawa, juga perlukan pemerhatian yang kritikal.

ISIS ganas, mereka membunuh orang awam yang tidak bersalah tanpa sebab musabab, tanpa hujung pangkal. Ganas mereka itu, kita sering asosiasikan dengan istilah radikal. Di sini, berlakunya sedikit kekeliruan pada kita menilai, apakah bila disebut radikal itu, terus menjadi sesuatu idea itu semestinya ganas.

Justeru, dalam membuat penilaian dan perbandingan, perlunya cara fikir yang kritikal dan sama sekali tidak bersifat bandwagon. Setiap idea yang tercetus, tentulah punya tapak asas dan aspirasi mendesak yang tertentu. Amatlah perlu kita memahami konteks terlebih dahulu sebelum kita melompat terus pada sangkaan-sangkaan yang tidak benar.

Oleh kerana Barat gagal melihat ISIS sebagai sebuah idea, makanya mereka mengambil jalan singkat melawannya dengan peluru. Hasilnya, idea itu makin merimbun. Walaupun tidak sampai 0.01% dari populasi dunia yang terlibat dengan ISIS, namun idea tetap sebuah idea. Selagi adanya harapan, maka ianya akan terus menyala.

Kesimpulannya, menggunakan peluru untuk melawan ISIS, tidak menjadikan ianya lemah, bahkan membuatkan idea itu makin kuat dan bercambah ruah. Idea ini makin ranum dengan harapan yang dinyalakan oleh semangat anti-imperialis, antibarat dan semangat fundamentalis sesuatu agama itu sendiri.

Semua ini, boleh diubah dengan satu perkara: pendidikan. Soal matlamat kehidupan dan makna-maknanya, soal kesederhanaan dalam beragama dan hal-hal kepercayaan, adat dan budaya, soal sistem nilai, soal kemanusiaan dan kasih sayang, soal empati dan proaktif – semua ini hanya melalui pendidikan dapat ia ditanam.

Premis Perancis yang mengambil nada untuk melawan ISIS secara pitiless dan merciless, tiada lain tiada bukan, hanya akan menjemput jutaan nyawa yang lainnya yang tidak bersalah ke tanah kuburan. Dari sini juga, kita sedar, betapa sehinggakan ke saat ini, Barat masih terus bongkak untuk mengakui hakikat “...ideas are bulletproof.

Sunday, November 15, 2015

Paris, Darah dan Cinta

Siang dan malam, dalam seminggu dua ini, orang ramai (media) akan bercakap perihal serangan ganas di Paris. Pelbagai cerita, spekulasi, dari segala angka dan fakta, sehinggalah kepada tahayul teori konspirasi dan sebagainya. Semuanya menunjukkan satu ragam, betapa manusia memang sifatnya reaktif.

Dan, akibat reaktif begitu, kita tersangat mudah untuk hilang perspektif dalam meninjau krisis ini. Tiada lain tiada bukan, adalah berpunca akibat kita tidak melihat isu ini secara berobjektif. Semua pihak, dari A kepada Z, akan mengalami keadaan begini. Manusia memang mudah untuk hilang perspektif kala begini, percayalah.

Sebagai orang Islam, memang mudah kita merasa geram dan marah pada media yang bias. Mudah sangat, terutamanya apabila kita membaca laporan setiap satunya yang benar berat sebelah, yang selektif, dan berniat jahat pada komuniti orang Islam. Kita mula mengeluarkan kenyataan yang tidak lagi bernada Islam.

Kita akan terperangkap dalam gejala tak boleh tanduk, telinga dipulas. Kita merendahkan moral ground dengan cuba menjustifikasikan pembunuhan orang awam di Paris pada pembunuhan dan pengeboman yang berlaku saban hari di Timur Tengah terutamanya. Cara pandang begini, teramatlah silap dan menyakitkan.

Begitu jua, pada rakan-rakan bukan Islam, yang begitu kecewa dan marah pada tragedi ini sehinggakan dengan cuainya menjadikan Islam sebagai kambing hitam untuk melunaskan rasa amarah – juga cara pandang begini silap. Kita boleh menutup mata pada keganasan di Timur Tengah, tetapi kita menangis pada darah yang mengalir di Paris.

Sedarlah, tiada apa yang boleh dibayar pada setiap titis darah dan nyawa yang tertumpah atas nama keganasan. Tidak ada, noktah. Seorang yang jiwanya Muslim mati ditembak di bumi Palestin, sama harganya dengan seorang berjiwa Kristian mati ditembak di bumi Paris. Tiada beza nilaiannya. Tiada beza pada empatinya.

Pada saat begini, adalah jauh lebih bijaksana untuk kita sama-sama menjauhi laporan berita arus perdana. Banyak dari mereka, kerjanya adalah untuk melagakan kita. Di belakang sana, adanya kerajaan bayangan yang mengawal segala ini, percayalah. Mereka mengawal apa yang patut atau tidak patut kita fikir.

Maksudnya, bukanlah menjauhi media secara literal, tetapi menjadi pembaca dan pendengar yang kritikal. Bahagian ini amatlah penting, kerana kenaifan kita menilai isi kandungan media akan menjadikan kita hilang objektif dalam membentuk perspektif dalam isu ini. Kita akan menjadi tidak ubah seperti lembu dicucuk hidung.

Moga dunia ini, Tuhan terus lindunginya dengan kasih sayang, kecintaan dan rasa kemanusiaan. Makanya, untuk merealisasikan ini, hanyalah dengan kita berusaha untuk kembali menjadi manusia yang penuh dengan rasa cinta, rasa belas dan kasihan, yang mampu menghangatkan sentuhan empati.

Akan perihal kecenderungan manusia mengabsahkan sesuatu kejahatan dengan sesuatu kejahatan yang lainnya, dan merasa betapa semua itu adalah sebab-akibat yang berangkaian dan tiada lagi soal cinta, Professor Dumbledore pernah mengingatkan Harry Potter,

“You are protected, in short, by your ability to love! The only protection that can possibly work against the lure of power like Voldemort's! In spite of all the temptation you have endured, all the suffering, you remain pure of heart, as pure as you were five years ago, when you looked into a mirror that reflected your heart's desire. Harry, do you have any idea how few wizards could see what you saw in that mirror?”

Friday, November 13, 2015

Orkestra Membolot Harta Anak Yatim?

Ya, akhirnya YaPEIM menjawab. Mereka menghalakan muncung meriam mandulnya kepada DAP dan memaniskan lagi dengan sisipan perihal agenda Melayu liberal. Mereka berkata, bahawa ini orkestra serangan DAP ke atas institusi Islam. Ya ALLAH, akhir zaman ini, mudah benar manusia gunakan nama Islam untuk halalkan maksiat.

Serangan balas mereka bunyinya sumbang, bodoh dan tidak sedar diri. Orang-orang pelahap dan pemakan harta anak yatim begini, kalau mengikut tulisan Dante dalam karyanya Divine Comedy, akan dicampak dan dibakar dalam pantat neraka paling dalam. Sudahlah kenyang memakan harta orang lain, buat-buat tak bersalah pula.

Dari kenyataan mereka itu, kita boleh buat beberapa bacaan bahawa mereka agak terkejut dan tersepit, kerana mungkin tidak percaya bahawa jenayah keji itu akan terbongkar jua di khalayak ramai. Masalahnya, bukan penagih dadah yang buat semua itu, tetapi orang yang berkopiah, yang naik haji berkali-kali. Gila!

Tapi, dalam pada begitu, mereka menjadi reaktif. Cara paling mudah dan berkesan pada ramai orang-orang yang tidak mempunyai capaian maklumat yang cukup, adalah mengambinghitamkan DAP, dengan bersulamkan peluru liberal, komunis dan segala terma-terma cliché yang bertujuan untuk membodohkan orang ramai.

Dan, lagi dahsyat, ada juga manusia yang cuba melindungi gerombolan perompak harta anak yatim ini, dengan memberi macam-macam justifikasi yang sumbang. Mereka ini tidak ubah seperti anjing kurap belaan, yang menyalak, menyahut salakan tuannya. Usah ditanya lagi, ke mana bersisanya maruah dan harga diri mereka semua itu.

Senang sungguh cara mereka nak kalih isu. Senang sungguh mereka menjawab segala dakwaan perihal gaji pegawai berjumlah ratusan ribu, perbelanjaan menteri bermain golf dan membeli belah di luar negara yang juga mencecah ratusan ribu, dengan memalitkannya pada DAP. Mudah sebenarnya untuk terlepas dari kesalahan di Malaysia ini.

Dalam kes ini, soalan paling tidak wajar ditanya adalah: mengapa tergamak mereka memakan harta anak yatim? Begini tuan puan semua, konsepnya mudah sahaja nak faham, kalau sudah namanya anjing yang biasa makan tahi, kalau tak makan hidu ada juga. Tuhan, tolonglah matikan pelahap duit anak yatim ini, agar spesies begini tidak lagi membiak.

Monday, November 9, 2015

Logik Dangkal Penagih Vape

Sebagai penafian awal, tulisan ini juga dituju kepada penagih rokok. Walaupun kesan akhir seperti yang didakwa oleh penagih vape bahawa menghisap vape jauh lebih selamat dari menghisap rokok, hujah itu kita pedulikan dahulu. Premis awal, beza rokok tembakau dan vape, seumpama beza Coca Cola dan Pepsi.

Penagih vape berbangga dengan beberapa logik mereka, semata-mata untuk mengabsahkan ketagihan dan tabiat vaping mereka. Biarpun begitu, saya secara peribadi, masih boleh menerima pakai sebahagian logik mereka yang agak cliché, walaupun ianya kedengaran cukup dangkal, ironi, memualkan dan singkat akal.

Saya tidak bermasalah dengan logik bahawa vape jauh lebih selamat berbanding rokok tembakau. Hujah itu boleh disandarkan kepada beberapa kajian saintifik, seperti banyak yang disebarkan dalam media sosial oleh penggemar vape. Saya juga ada membaca beberapa makalah yang mereka sering sebutkan itu.

Tak mengapalah. Saya kira, itu pandangan masing-masing dan juga kebebasan kendiri yang memilih untuk berbuat sesuatu selaras dengan kehendak masing-masing. Saya tidak bermasalah dengan logik itu. Dan juga, hujah bahawa vape lebih bersih, tidak berbau, tidak mengganggu orang lain dan sebagainya.

Hujah-hujah begini, kedengaran logiknya cukup lunak. Seolah-olahnya, ya, vape adalah pilihan terbaik. Dan sekali lagi, saya tidak bermasalah dengan logik itu semua (walaupun sebenarnya ianya bukanlah logik, tetapi falasi). Saya cuma bermasalah, dengan penagih vape yang beranggapan bahawa sekalian manusia boleh menerima vape.

Tanggapan mereka jauh benar tersasar. Oleh kerana wujudnya beberapa makalah saintifik yang menyokong penggunaan vape, maka mereka merasakan masyarakat sekaliannya wajib menerima budaya vaping tanpa sebarang kritikan seumpama rokok tembakau. Tekaan mereka itu, kesalasilahannya dari logik (falasi) dangkal awal mulanya tadi.

Mahu terus menagih vape, silakan. Mahu terus berhabis duit membeli cecair vape atas alasan menjimatkan banyak wang berbanding rokok tembakau dan demi kesihatan diri, isteri, anak-anak dan keluarga, silakan. Mahu terus vaping, sehingga mampu menghentikan ketagihan rokok, silakan. Mahu vaping 24 jam sehari tanpa henti pun, silakan.

Tak ada masalah semua itu, dengan syarat, anda tidak vaping di tempat berkumpulnya orang ramai, dan di situlah adanya bayi kecil, budak-budak, wanita mengandung, orang-orang tua. Contoh paling terang, restoran. Gunalah akal barang sedikit. Tidak salah pun nak vaping, tetapi yang salahnya, vaping tanpa menggunakan akal.

Jangan diingatkan, sekalian manusia boleh menerima kepulan asap vape seumpama anda. Jangan diingatkan, mentang-mentang vape dikatakan lebih selamat dari rokok tembakau, maka anda mempunyai lesen untuk merokok di mana-mana sahaja, ikut logik kepala lutut anda. Tuhan kurniakan akal untuk berfikir, bukan dibuat hiasan.

Maka, fikirlah. Kalaulah ada mana-mana individu yang mencela budaya merokok dan vaping dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai tidak beretika, ya, memang benar pun. Merokok tak bertempat langsung! – pernah dengar sesiapa menggerutu begini? Saya yakin, semua orang pernah mendengar keluhan rasa berbulu begitu.

Seperkara lagi, saya tersenyum sinis dengan logik bahawa vape dipopularkan adalah untuk membantu mengurangkan masalah ketagihan rokok tembakau. Baiklah, cuma timbul satu persoalan, untuk mereka yang kelaknya mengalami ketagihan vape pula, anda rasa apa yang akan diinovasi lagi demi kesihatan diri, isteri, anak-anak dan keluarga?

Soalan terakhir itu, berguna untuk mereka yang ada akal dan mereka berusaha menggunakan akal mereka untuk berfikir. Selamat maju jaya untuk mereka yang ketagihan vape, yang berjimat wang dengan vape, yang berazam untuk sihat dengan vape. Moga tuhan lindungi rakyat Malaysia dari logik dangkal yang mengharukan.