Friday, March 28, 2014

Sosial Demokrasi dan Keterbukaan Rakan Politik DAP

DAP telah mencapai umur 48 tahun penubuhannya sejak 1966. Jika umur itu letaknya pada batang tubuh manusia, 48 tahun adalah suatu usia yang cukup matang, sedang berada di puncak kerjaya, kebanyakan anak mereka sudah remaja dan dewasa menanti untuk berkeluarga dan lumrahnya bila mencapai usia 48 tahun manusia akan memasuki suatu fasa baru dalam kehidupan iaitu bagaimana mereka mula merancang apakah gaya hidup mereka selepas bersara.

Namun bagi sebuah parti politik, yang keahliannya dinamik dengan datang dan perginya ahli saban waktu sudah tentu usia 48 tahun ini bukan bukti kukuh untuk mendabik bahawa DAP sudah masak dalam permainan politik dan begitu bersedia untuk menongkah arus dalam medan ini.

Ulang tahun ini juga akan menjadi garis peringatan penting buat DAP untuk terus meniti medan politik yang penuh ranjau di tanah air ini. Cabaran yang semakin sengit, bahkan bukan hanya datang daripada pihak lawan malah turut sekali sekala tersinggung bahu dengan rakan politiknya sendiri.

Ini lumrah alam seperti mana yang dinukilkan peribahasa Melayu klasik, lagikan lidah tergigit. Memang benar sekali ucapan ini menggambarkan situasi hubungan rapat antara DAP dan rakan politiknya dalam Pakatan Rakyat.

Tulisan ini sebenarnya bertujuan memperbetulkan DAP dengan nada yang agak aneh berbanding nada tulisan yang lain. Ramai yang yakin, parti ini adalah parti masa depan rakyat Malaysia. Menyoroti ideologi dan asas perjuangannya, nyata DAP mempunyai cita-cita yang begitu murni tetapi sukar untuk direalisasikan.

Tidak mengapa, jika ia senang maka itu tidak dinamakan perjuangan.

Usaha memekarkan wacana sosial demokrasi


Setelah 48 tahun wujudnya parti ini dan setelah beberapa kali berlakunya revolusi dalaman daripada sudut pegangan ideologi secara berperingkat, parti ini semakin selesa dan kukuh dengan kepercayaan sosial demokrasinya. Namun begitu persoalan yang wajar ditanya kepada parti, adakah wacana sosial demokrasi yang didamba DAP benar-benar mekar dalam kalangan ahlinya sendiri khususnya dan masyarakat Malaysia umumnya?

Persoalan ini berat untuk dijawab. Boleh dinyatakan secara yakin bahawa DAP masih belum benar-benar mampu menggarap perkara ini. Inilah cabaran utama DAP masa kini. Memberi fahaman kepada ahli bahawa sekian ini dan sekian itu adalah pegangan parti sangat tidak mencukupi untuk menjamin kelangsungan parti ini sendiri.

Membangkitkan persoalan ini tidak berniat untuk menafikan kerja keras DAP melalui Biro Pendidikan Politik yang diterajui YB Liew Ching Tong, bahkan ia merupakan penghargaan kepada usaha keras beliau dan pasukannya bahawa usaha itu memang mendapat perhatian ahli DAP walaupun bukan semua akan menghargainya.

Beberapa perkara yang berbangkit, antaranya ialah bagaimana DAP merangka strategi untuk memekarkan wacana dan diskusi ilmiah mengenai sosial demokrasi secara terbuka yang bukan hanya bersifat tulisan dalam makalah yang berat tetapi turut mempunyai kaliber untuk sampai maksudnya sehingga kepada ahli di peringkat akar umbi.

Hal ini penting agar maksud baik yang cuba digarap DAP melalui pembawaan ideologi sosial demokrasi itu bukan hanya menjadi slogan kosong seumpama 1Malaysia. Maksud baik di sini membawa erti nilai yang mahu disemai dalam kalangan ahli yang akhirnya, nilai ini akan menjadi tunjang kepada pembentukan sebuah masyarakat yang lebih baik seterusnya menjamin sebuah legasi kepimpinan yang benar-benar mengikuti acuan keadilan dan kebebasan yang sekian lama didambakan tanah air ini.

Apabila berbicara soal wacana sosial demokrasi yang terbuka, maka ini akan dapat memahamkan rakyat kebanyakan bahawa inilah wajah sebenar DAP. Sudah pasti kita mengharapkan agar dengan wujudnya wacana secara terbuka dan inklusif, maka ia akan disambut masyarakat di luarnya.

Daripada titik inilah, sudah pasti DAP akan mampu dan lebih berdaya untuk mendepani masyarakat Malaysia secara gah apabila persoalan yang timbul mengenai mereka sama ada oleh kawan atau lawan mampu dikupas dan dinikmati secara sihat oleh ahli dan bukan ahli.

Menyebut mengenai bukan ahli, 48 tahun DAP pasti tidak dapat dipisahkan dengan stigma mengenai kekurangan keahlian Melayu dan pengundi Melayu yang memilih DAP selaku wadah politik mereka. Maka usaha memekarkan wacana demokrasi sosial adalah bersifat kritikal untuk disegerakan dan jika sudah ada usahanya, dilipat gandakan lagi.

Jika ramai yang merasa yakin bahawa DAP adalah parti masa depan, parti sendiri harus bergerak dengan lebih rancak untuk merealisasikan keyakinan ini dalam alam realiti. Keyakinan mereka adalah boleh dijangka, iaitu komitmen DAP dalam memperjuangkan Malaysia yang bebas dan adil selaras dengan keimanan mereka dengan keutuhan ideologi sosial demokrasi yang menyantuni konteks Malaysia.

Bayangkan jika wacana sosial demokrasi ini mekar dan matang, alangkah bahagianya DAP selaku sebuah parti politik yang sudah hampir menjangkaui separuh abad usianya.

Mampukah PKR dan PAS berjiwa besar dengan DAP?


Soal memekarkan wacana ideologi DAP, itu satu perkara yang berat untuk dilaksanakan, namun ia tidak mustahil. Seperkara lagi untuk disoroti bersama sejajar dengan kematangan DAP yang semakin meningkat adalah sejauh mana kesediaan rakan politik DAP terutamanya PAS dan PKR menyambut parti ini seadanya dengan sifatnya pada masa mendatang.

Berat persoalan ini, walaupun pada waktu ini DAP dan rakannya boleh mendabik dada bahawa hubungan mereka umpama sebuah keluarga. Hakikat bahawa cabaran mendatang bukan pada bagaimana untuk DAP menyantuni rakan politiknya, tetapi sejauh mana mereka boleh berjiwa besar menerima kehadiran DAP akan datang.

Soal berjiwa besar perlu dikupas dengan penuh hati-hati. Semoga kupasan tidak disalah anggap umpama membuka pekung, tetapi dibaca dengan hati terbuka.

Sejak terbentuknya Pakatan Rakyat, jumlah kerusi yang ditandingi DAP adalah kecil berbanding PAS dan PKR. Memang daripada sudut logiknya, DAP dan semua parti dalam gabungan ini bertanding mengikut kemampuan masing-masing. Itu pada permulaan, maka tidak mengapa. Menjengah jendela PRU-13, sedikit sebanyak soal pembahagian kerusi ini menjadi isu.

Walaupun bukan isu besar dan boleh dipermainkan UMNO, ini bibit-bibit yang perlu disoroti dengan penuh berhati-hati oleh DAP. Sebenarnya tanggapan ini lahir daripada gesaan di awal tulisan ini iaitu DAP yang lahir hasil garapan wacana sosial demokrasi yang matang dan mekar, bakal merealisasikan impian bahawa DAP adalah parti masa depan.

Jika parti ini benar-benar memenuhi syarat parti masa depan, maka sudah pasti sokongan padanya semakin bertambah dan kuat, bahkan tidak mustahil menenggelami populariti rakan pakatan politiknya sendiri. Daripada sini, tidak mustahil akan timbul konflik yang kritikal jika tidak bijak diurus bermula daripada sekarang, dengan maksud semua rakan dalam pakatan politik ini boleh berjiwa besar menerima rakan mereka dengan sifat dan kekuatan yang mereka ada secara terbuka.

Untuk memberi gambaran yang jelas dalam kupasan ini, membayangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang DAP bukan sahaja diterima masyarakat Cina dan India, malah turut mendapat peratusan undi masyarakat Melayu yang besar sehinggakan menyamai peratusan rakan politik mereka. Hal ini tidak mustahil terjadi apabila DAP benar-benar berjaya memekarkan wacana ideologi mereka dalam masyarakat negara ini.

Pada saat itu, di mana parti ini diterima secara menyeluruh oleh sekalian masyarakat – dalam erti kata DAP bukan lagi bergantung hayatnya pada undi bukan Melayu sahaja – yang wujud di tanah air ini, adakah PAS dan PKR bersedia untuk memberi laluan kepada DAP menyumbangkan lebih ramai calon Melayu untuk menandingi kerusi DUN atau Parlimen yang majoriti Melayu, yang pada bacaan kasarnya akan menggugat jumlah kerusi mereka sendiri sama ada di peringkat DUN atau Parlimen?

Jadi persoalan ini relevan dan sesekali tidak boleh dipandang enteng. Jika ketika PRU-13 mungkin DAP masih boleh bersabar dengan halangan rakan politik mereka mengenai isu calon Melayu daripada DAP di kawasan majoriti Melayu, di masa hadapan adakah rakan politik DAP masih mahu kekal dengan sikap sebegini?

Makanya, lontaran persoalan mengenai keterbukaan PAS dan PKR untuk menerima DAP seadanya dengan sifatnya adalah perlu diambil berat oleh semua rakan parti ini. Semua boleh menjangkakan perkara ini akan berlaku juga, cuma masa yang akan menentukan. Apabila masyarakat negara ini semakin terpelajar dan semakin kritikal pemikirannya, semakin mekar dan matang wacana politiknya sudah pasti hal ini akan menjadi cabaran yang besar kelak.

Natijahnya tidak lain, adalah untuk memastikan kelangsungan cita-cita melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang bebas dan adil sejajar dengan impian pengasas dan bapa kemerdekaan negara ini.

Baiklah, jika ada yang membidas tulisan ini dengan mengatakan DAP seolah-olah syok sendiri, maka teruskan dengan keyakinan anda. Ia tidak menyalahi hukum alam pun kerana ini cuma sekadar tulisan yang begitu ringkas, yang bertujuan membawa kupasan yang bernada sedikit berbeza dengan lain-lain penulisan sempena ulang tahun ke 48 parti ini dan sebenarnya, ia hanya berbentuk pendapat semata-mata, kerana tidak didatangi bersamanya bukti empirikal pun.

Jika rakan politik DAP merasa ini tidak adil, maka jelas di situ ada sesuatu yang perlu 3 sekawan ini bermuhasabah. Banyak lagi perkara lain yang sama pentingnya – malah mungkin lebih penting – untuk DAP membuat koreksi dan penilaian semula sempena ulang tahun ini, tetapi 2 perkara yang dinyatakan di sini boleh turut menumpang lembayung kasih parti sosial demokrasi ini.

-------
Artikel ini disiarkan oleh RoketKini.com pada 26 March 2014

Monday, March 17, 2014

Misteri Kehilangan MH370: Media Malaysia Suatu Tragedi

Sepanjang seminggu tumpuan negara diberikan hampir sepenuhnya kepada misi mencari dan menyelamat dengan bantuan lebih sedozen negara luar dan berpuluh-puluh kelengkapan laut dan udara, usaha masih lagi di peringkat buntu pada setiap kali sidang media diadakan oleh menteri dan pihak berkuasa yang berkaitan.

Boleh dikatakan berita lain umpamanya Pilihan Raya Kecil Kajang dan masalah jerebu hampir tidak mendapat tempat dalam mana-mana portal berita, surat khabar dan blog. Bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara pun, media dipenuhi liputan berita mengenai MH370.

Bermula hari pertama kehilangan pesawat dilaporkan secara sah oleh pihak penerbangan Malaysia, ia bagaikan sebutir bom yang meletus di tengah-tengah bandar yang aman damai. Kelam kabut dan berkecamuk. Di pihak berkuasa yang menguruskan hal operasi mencari dan menyelamat suatu hal, dan perkara itu tidak perlu diperbincangkan di sini.

Satu hal lagi ialah, pihak media Malaysia yang berkecamuk seolah-olah Angkasapuri dilanggar garuda. Lantas ini menjadi tragedi yang memilukan hati sekalian umat Malaysia. Dan sepatutnya, tragedi ini tidak berlaku jika media Malaysia melalui latihan sikap dan etika sebelum ini dengan rapi.

Bermula hari pertama kehilangan MH370, sedang pihak media luar sibuk mencari dan mewawancara beberapa pakar penerbangan bagi mendapatkan pandangan awal dan menjawab misteri kehilangan daripada radar ini, pihak media Malaysia sebagai contoh TV3 pada Sabtu yang lalu enak mewawancara bekas pramugara.

Ini suatu tragedi malang dalam dunia penyiaran pada abad ini. Adakah salah memanggil bekas pramugara untuk memberikan pandangan mengenai misteri kehilangan pesawat daripada radar menara kawalan?

Tidak salah sama sekali, tetapi mahu ke mana dibawa perbincangan itu?

Maka tidak hairan jika begini pengaturcaraan pengisian program televisyen, rakyat akan diheret ke lembah pembodohan yang tiada penghujung. Mengambil contoh CNN, walaupun sentimen ketika ini begitu ramai membenci sumber berita daripada media ini lantaran kononnya ia suatu alat risikan Amerika, tontonlah bagaimana mereka membuat liputan mengenai kehilangan pesawat MH370 pada hari pertama dan kedua?

Jadi timbul persoalan mengenai sikap tidak serius dalam kalangan media arus perdana Malaysia yang diharapkan menjadi lapangan utama rakyat untuk mendapatkan maklumat dan belajar sesuatu daripada kes kehilangan pesawat ini.

Malaysia bernasib baik kerana mempunyai Astro AWANI yang sudi menjadi tempat hebahan berita dan sajian wawancara daripada kalangan pakar penerbangan seluruh negara hampir siang dan malam. Namun begitu kerisauan di sini ialah bukan semua mereka di negara ini mampu memiliki saluran AWANI terus ke rumah mereka.

Kedua, kita tonton dan kita menyelami setiap siri sidang media pihak berkuasa yang melaporkan perkembangan misi mencari dan menyelamat pesawat MH370. Persoalan terbesar yang timbul ialah di mana media Malaysia dalam setiap kali sidang media diadakan?

Penat menteri dan pihak DCA menjawab soalan bertalu-talu yang datangnya daripada media luar negara. Berpeluh-peluh ketua askar menerangkan perkembangan terkini carian mereka dalam bahasa Inggeris kepada media antarabangsa.

Agaknya, bukan seorang dua yang perasan hal ini. Tentu jutaan rakyat Malaysia kepelikan menyaksikan media Malaysia terutamanya RTM selaku wajah media Malaysia yang diurus selia oleh kementerian, seolah-olah terbujul kesepian di tengah-tengah kecamuk soalan media antarabangsa kepada pihak berkuasa.

Kalau ada pun soalan daripada media Malaysia, ianya pasti bukan daripada RTM. Begini, logiknya jika RTM mengambil langkah proaktif bertanyakan perkembangan dalam bahasa Malaysia sudah tentu maklumat perkembangan terkini mengenai pesawat MH370 dapat disampaikan dengan jelas kepada lebih ramai penduduk Malaysia yang tidak berkebolehan untuk memproses jawapan menteri yang berbahasa Inggeris.

Hal ini bukan soal bahasa sahaja, tetapi ia berkait rapat dengan peranan dan fungsi sebenar RTM selaku media utama di negara ini. Apa amanat menteri mereka sepanjang menghadapi kemelut isu pesawat MH370 ini?

Jika mereka aktif bersoal dalam bahasa Malaysia, sudah pasti menteri dan DCA akan berjawapan dalam bahasa yang sama. Itu kan murni buat RTM yang visinya mahu menjadi sebuah organisasi penyiaran terulung dan bertaraf dunia yang menjunjung gagasan 1Malaysia serta mahu memartabatkan Bahasa Malaysia dalam membina negara bangsa.

Jadi kehilangan pesawat MH370 benar-benar menjadikan RTM sebuah tragedi kepada dunia penyiaran Malaysia. Ini belum lagi menyoroti kisah wartawan Malaysia yang meluahkan perasaannya apabila terbabit pada sidang media di Hotel Sama-Sama, KLIA.

Katanya, rata-rata soalan daripada media Malaysia begitu kelakar dan membuang masa sebagai contoh wartawan TV3 bertanyakan Hishammuddin Tun Hussein sama ada kerajaan Malaysia akan meminta imam Masjidil Haram untuk mendoakan keselamatan pesawat MH370.

Malah kita dapat menyaksikan media utama negara ini yang berkepentingan, kelihatan begitu bimbang dan takut untuk menghujani menteri dengan soalan yang tepat dan padu. Entah apa yang mereka bimbangkan.

Ini antara coretan tragedi media Malaysia sepanjang seminggu kehilangan pesawat MH370. Anwar Ibrahim membangkitkan isu berkenaan kelemahan media Malaysia dalam sidang parlimen, namun seperti biasa tiada sahutan yang menggalakkan daripada pihak kerajaan.

Peranan media, semuanya maklum selain daripada mendidik dan membentuk pemikiran rakyat, ia harus menjadi pusat untuk menampilkan imej dan kredibiliti negara. Bukan senang untuk RTM dan TV3 mendapat peluang dalam mengurus dan mengatur siar liputan isu antarabangsa sebegini. Maka kita juga maklum seperti kata Anwar Ibrahim, RTM dan TV3 terbiasa dengan susunan program yang bersifat propaganda dan membodek kerajaan.

Apabila tiba saat berdepan dengan hal yang serius, mereka kelam kabut dan akhirnya senyap terbujul kaku dalam kepompong masing-masing.

Oleh itu, usahlah terus menjadi tragedi kepada negara. Bermuhasabahlah wahai media utama negara terutamanya RTM kerana anda bukan sahaja sebuah stesen penyiaran utama negara yang bertaraf BBC di United Kingdom dan NBC di Amerika, malah anda adalah medan untuk mendidik pemikiran rakyat segenap penjuru tanah air ini.

Anda juga menerima sejumlah besar bajet tahunan secara langsung kerana anda di bawah seliaan kementerian. Jadi biarlah wang rakyat yang dibelanjakan kerajaan terhadap RTM berbaloi dan membuahkan hasil yang baik kepada negara.

-------
Artikel ini disiarkan oleh RoketKini.com pada 16 March 2014.

Remembering Rachel Corrie


Rachel Corrie‬, you will always be remembered because you are an angel.

11 years after your tragic death, killed by Israel’s soldiers' peoples all around the world would never ever forget that. Your kind words, your diary was walking over on each of the people's hearts who read them.

You wrote this, “Coming here is one of the better things I’ve ever done. So when I sound crazy, or if the Israeli military should break with their racist tendency not to injure white people, please pin the reason squarely on the fact that I am in the midst of genocide which I am also indirectly supporting, and for which my government is largely responsible.”

You also wrote this, “We are all born and someday we’ll all die. Most likely to some degree alone. What if our aloneness isn’t a tragedy? What if our aloneness is what allows us to speak the truth without being afraid? What if our aloneness is what allows us to adventure — to experience the world as a dynamic, presence — as a changeable, interactive thing?”

I want to tell you one of my secrets, I read about you – if I am not mistaken someone wrote in Harakahdaily (English) around 2003-04 – which during that time the ‪Intifada‬ movement was at its peak.

You did something unconventional for the American girl, you know very well that time the Islamic-related stuff like Palestine, mujahedin, Afghanistan & Iraq wars, etc. was very vile to mention & involved publicly post 9/11. But you did!

You are incredible. You amazed me when I was just 13 that time!

Your courage also motivates me to join the Gaza Convoy this year, which I hope I will be selected to go there.

You know right, you will always remember because you’re beautiful. You are an angel, Rachel Corrie.