Thursday, February 27, 2014

Taubat Flappy Bird dan Taib Mahmud

Dong Nguyen, pencipta permainan mobil yang dikenali sebagai Flappy Bird bertindak memadam permainannya daripada semua lokasi muat turun di internet sebagai langkah taubatnya kepada orang ramai. Tidak sampai 10 bulan berada dalam senarai muat turun di Google Play dan Apple’s App Store, Don Nguyen dilaporkan memperoleh pendapatan mencecah USD50,000 sehari apabila permainannya itu dimuat turun jutaan manusia di seluruh dunia.

Kisah kejayaannya itu satu perkara, yakni mengejutkan banyak pihak dalam dunia startup kerana dalam masa singkat permainan itu begitu laris dan berjaya meskipun hanya berasaskan model permainan yang serba ringkas.

Seperkara lain, tindakan Dong Nguyen menarik semula permainannya setelah tidak mampu lagi melayan permintaan pelik penagih Flappy Bird juga mengejutkan ramai pihak. Semua orang bermimpikan mahu menjadi seperti Dong, bangun pagi kemudian terlintas satu idea yang mudah di benak dan terus laksanakan idea itu sebelum dalam masa yang singkat menjadi begitu berjaya.

Pendek kalam, Dong Nguyen bertaubat. Katanya, dia tidak kejarkan wang ringgit tetapi ketenangan hidup dan kebahagiaan. Adanya Flappy Bird, ternyata kedua-dua elemen itu diragut.

Ini kisah manusia yang diberi tuhan rezeki dalam masa yang singkat, menjadi kaya dan terkenal kemudian bertaubat. Gayanya mencerminkan dirinya tidak senang dengan pujian melangit dan harta yang melimpah ruah sehingga tidak habis makan untuk beberapa keturunan.

Lain pula kisah seorang lelaki tua di wilayah telaga minyak Malaysia, Taib Mahmud. Jika dihitung bilangan hari yang berbaki untuk dia terus melihat dunia dengan umurnya sekarang, boleh dikatakan nisbahnya menggembirakan bakal pewaris harta peninggalannya.

Lelaki tua ini sudah lebih tiga dekad di kerusi Ketua Menteri Sarawak. Nilai kekayaannya tidak mampu dihitung. Segala macam hasil bumi Sarawak bermula dari ceruk hutan sehingga ke bawah dasar laut semuanya memberi pulangan komisen yang lumayan kepada lelaki tua ini dan anak beranaknya.

Namun begitu, kisah hidupnya menjengah 2014 mengejutkan ramai orang. Dia mengambil keputusan melepaskan jawatannya. Semua orang bercakap mengenai hal itu kerana rata-rata menjangkakan jawatan itu akan dibawa sehingga jenazahnya diusung ke tanah perkuburan.

Bersyukur, akhirnya Taib Mahmud bertaubat. Gamaknya begitulah benak rakyat marhaen berfikir. Tidak sampai sejenak dia mengumunkan untuk turun jawatan, dia menyuarakan hasrat hatinya untuk mengambil alih kerusi Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak menggantikan sosok sekarang.

Terhenyak rakyat sekalian mendengar perkhabaran ini. Makin tua, makin menjadi. Makin lanjut usia, makin kebulur dengan jawatan. Makin hampir dipanggil tuhan, makin pelahap merebut kuasa.

Taib Mahmud ini, jika dihisab segala harta kekayaannya sudah tentu ia mampu membeli dua per tiga tanah Semenanjung. Maka tertanya-tanya, apakah yang mahu dikejar lagi oleh orang tua ini? Anak kecil di rumah tidak cukup makankah?

Berbeza dengan Dong, Taib Mahmud tidak kisah dicerca orang ramai dan ditekan sana sini. Orang tua ini dilihat tidak tergugat sedikit pun. Baginya, kebahagiaan itu adalah dengan terdaftar namanya di puncak jawatan tertinggi di bumi Sarawak.

Bertaubatnya Dong memungkinkan penyakit ketagihan permainan Flappy Bird turut terhenti. Dunia semakin baik apabila manusia kembali sedar tanggungjawab asasi mereka berbanding mengadap paparan mobil. Penjawat awam mula kembali produktif setelah permainan Flappy Bird tidak lagi berfungsi.

Turunnya takhta Ketua Menteri tidak memberi apa-apa perubahan kepada rakyat Sarawak. Miskinnya masih di tahap yang sama. Malah lagi sakit apabila negara terpaksa berbelanja besar pula untuk mengadakan pilihan raya bagi mencari pengganti Taib Mahmud kerana untuk menjadi TYT dia tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Resmi di dunia, adalah seperti mana yang ditunjukkan oleh Dong. Cukup puas dengan keadaan yang sederhana dan tenang. Ahli sejarah sudah tentu terkejut dengan Taib Mahmud ketika mereka mahu menulis cacatan sejarah kelak. Manakan tidak, rata-rata pemimpin dunia memilih untuk berehat setelah puas meragut harta negara dan kembali ke kampung menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa.

George Washington memilih untuk berehat setelah dua penggal di kerusi Presiden Amerika walaupun dia tidak mendapat tentangan langsung untuk meneruskan hayat politiknya ke penggal ketiga. Resmi ini menjadi ikutan pengganti beliau sebelum ia digazet dalam buku perundangan. Bukan di bumi Amerika sahaja, di negara lain juga tolak diktator kuku besi dan sultan, kebanyakannya memilih untuk berehat setelah berjaya menduduki posisi tertinggi di suatu negeri.

Benarlah kata cerdik pandai, manusia ini rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Taib Mahmud sudah buktikan, sebagai seorang pemimpin politik yang tidak pernah merasa puas mencicip manisnya kuasa biarpun sudah di penghujung usia.

Jadinya, jika ada pihak yang mahu mengusahakan kelas pemikiran yang mengembangkan falsafah kesederhanaan Dong Nguyen sudah tentu usaha ini digalakkan. Sudah pasti perlu diwajibkan setiap manusia yang berhajat untuk menjadi ahli politik di Malaysia menghadiri kelas pemikiran ini, wajib belajar dan berijazahkan falsafah Dong Nguyen agar tidak lahir lagi manusia seperti Taib Mahmud.

Mundurnya negara ini, sehingga terperuk di bawah setiap ranking yang wujud di atas muka dunia adalah bermula daripada berleluasanya orang seperti Taib Mahmud di kerusi politik.

Kehalobaan mereka bukan sahaja memusnahkan alam sekitar, malah membunuh ramai jiwa yang merdeka di tanah air sendiri.

Moga tuhan melindungi bumi Sarawak daripada memperoleh TYT bernama Taib Mahmud.

-------
Artikel ini disiarkan oleh RoketKini.com pada 26 Februari 2014.

Sunday, February 23, 2014

August Rush

I kind of late watching a 2007 movie, August Rush. Eventually, I found this film after look at search engine results regarding the music stuff or something like that, and they showed a link to August Rush.

Lucky me when the movie was easily found at several torrent downloadable sites, and I decide to download it without hesitation.

I just want to clarify here, this is not a movie review article or stuff. This is just my anticipation on the conscience of the August Rush movie.

I read a lot of fiction or non-fiction about children’s who’s grown up at foster home especially in the USA. It’s kind of tragic to think how a kid is able to live their life without having a proper parent since their very first day arriving in this cruel world.

Losing a parent caused by accident, or any unprecedented events is still an acceptable reason for them at least, but for parents who thrown out their babies to foster home and releasing the responsibility clause for adoption is desirable to kick their face very hard.

It’s a story about Evan Tylor, a son of a lovely Romeo and Juliet couple, a guitarist Louis, and a violinist Lyla. They have music in their DNA. So what happened to Evan is not such a wonder, when he shows a great admiration and talent to the music. He’s prodigy, like what's said by Reverent J.

I recommend you guys to watch it and understand its plots. I bet the movie will break your tears and sobbing away shamelessly. Yeah, just like it did to me.

His mum thought Evan died in the accident 12 years ago. His dad didn’t know Lyla was pregnant his son. Evan though never met and see the face of their parent. They have been counting every day. They kept in faith to each other. Their love growing day by day.

The separation is cruel and mean to Evan. His character is very innocent and knows nothing, thinking nothing besides finding his mum and dad. He never knew the cruelty of life outside the shelter home. He never knew the value of twelve bucks to survive his day in the city.

And Evan is very naïve to know the Wizard is used him for his own gain!

The saddest moment when Evan duelling the guitar with his very own dad, Louis without even knowing the kind man in front of him is his real father. The scene when they say goodbye to each other only broke the major tears. When Evan told Louis, he had a concert and can’t go there,

“But what if something bad would happen if you did it?

“You never quit on your music. No matter what happens. Because anytime something bad happens to you, it’s the only place you can escape and just let it go. I learned that the hard way. And anyway, look at me. Nothing bad’s gonna happen. You gotta have a little faith.”

He gave advice to Evan to have faith in what he’s doing without him even knowing the prodigy in front of him is his own damn son!

I don't know why the movie is so good mixing up the deep sentimental feeling and lovely music. I bet you guys can imagine how it felt to be tormented by bad news like when a woman told Louis about Lyla went to the honeymoon.

Oh my GOD, please.

Maybe I am kind of person who can’t see a little kid suffer in their life. I just can’t imagine if that case has ever happened in the real world, which is the parent leave their child to foster house without felt guilty about their action.

Or more precisely, to be what happened in the movie when Lyla’s dad cheat on her about her son and put Evan in the alley of hell.

Yes, they do always happen in the real world. May GOD always bless the children at the foster shelter.

One of a very touching moment is when Lyla told his dad about her son was alive. I have been thinking how on earth I could be able to cope with that situation if it happened to me?

The movie is so unique to me. It reminded me of the beauty of music. I couldn’t disagree any more with a Wizard when he said GOD creates music to connect everything in the universe. Evan knows he would found his parent through music because he believes in music the way that some people believe in fairy tales.

Evan’s quote, “I love music more than food.” is sound innocent and polite enough to leave your mouth to hang open like what the little girl Hope did.

Anyway a big kudos to Freddie Highmore for living up the Evan character. As we all know how excellence this guy in Charlie and the Chocolate Factory, he has done the same excellent job in August Rush.

“Music is all around us. All you have to do is listen.” – Evan Tylor

Thursday, February 20, 2014

Nasihat Natrah Kepada Rakyat Malaysia

Kisah air mata dan cinta Natrah (1937-2009) yang menjadi luka pedih kepada sebahagian besar umat Islam di tanah Melayu sejak berlakunya tragedi pemisahan antara dua cinta suci yang diikatkan dengan perkahwinan yang sah masih terus menjadi igauan ngeri sehingga ke hari ini terutamanya kepada generasi yang hidup sezaman dengan peristiwa tersebut.

Kisah duka ini bukan sahaja berkisar seputar cinta antara Natrah dan Mansor Adabi, malah ia turut memberi luka mendalam terhadap umat Islam yang merasa tertipu di sebalik permainan kerajaan Belanda yang berkomplot dengan penjajah British bagi merebut hak penjagaan Natrah kepada ibu bapanya yang sebenar dan mengakibatkan Natrah yang beragama Islam ketika itu kemungkinan besar akan dipaksa untuk kembali kepada agama asal keluarganya.

Natrah sebenarnya telah menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat Malaysia khasnya tentang hubungan kaum dan agama. Menyoroti penulisan kreatif oleh Fartini Yaacob, karyawan tamu Universiti Teknologi Malaysia dalam bukunya yang berjudul Natrah membangkitkan beberapa persoalan besar terutama berkait langsung kepada hubungan agama dan kaum di Malaysia yang sedang melalui detik kritikal pada hari ini.

Kisah ini serba luas dan penulisan ini tidak bercadang untuk mengulangi satu persatu babak duka ini tetapi sekadar menyoroti beberapa sudut penting yang wajar kita membuat korektif semula tentang bagaimana kaum dan penganut agama di Malaysia bersikap dengan isu yang sedang melanda sekarang. Jika sekarang, terdapat beberapa kumpulan pelampau yang menggunakan agama sebagai sentimen untuk membangkitkan emosi dan pergaduhan. Tidak kurang juga dalam seminggu dua ini, beberapa insiden yang disengajakan, dengan motif yang begitu jelas untuk melaga-lagakan hubungan kaum atas dasar perbezaan akidah memang cukup membimbangkan.

Dalam surat terbuka Lim Kit Siang kepada Perdana Menteri tentang keperluan untuk mengadakan sidang parlimen tergempar bagi menyelesaikan masalah ini di meja rundingan dengan segera, beliau memberi mesej yang jelas bahawa jika perbuatan yang kurang sensitif dan melampau ini tidak diambil tindakan yang keras, natijahnya kemungkinan jauh lebih dahsyat.

Hal ini membimbangkan. Lagi mengharukan keadaaan adalah apabila pihak berwajib seolah sedang tidur lena. Kesan terbesar ialah masyarakat yang tidak terdidik akan menyatakan sikap yang langsung tidak menunjukkan Malaysia ini sedang berada pada landasan menuju Wawasan 2020.

Duka Natrah berpanjangan, bermula dari penempatan sementara di Gereja Good Shepperd dan Girls Home Crafts Centre Singapura sehingga kembalinya beliau di Belanda, dilayan umpama hamba oleh keluarga sendiri sebelum berupaya membebaskan diri dari cengkaman keluarganya melalui perkahwinan, dan mengalami naik surut alam perkahwinan sehinggalah akhirnya berhijrah ke Amerika Syarikat dan akhirnya menemui tuhannya di bumi Belanda akibat leukemia adalah natijah persengketaan antara dua agama terbesar di dunia, Islam dan Kristian.

Kekesalan Natrah yang diungkapkan oleh beberapa individu yang rapat dengannya terhadap segala yang terjadi akibat pertelingkahan akidah menyebabkan beliau sendiri seolah-olah tidak lagi mahu memberi apa-apa komitmen terhadap sebarang doktrin agama sehingga akhir hayatnya. Sebagai orang Islam sudah pasti perkhabaran ini mendukacitakan. Bahkan penganut Kristian sendiri berduka, tengok sahaja bagaimana sedihnya J.G. Vermeulen akan nasib Natrah yang menjadi mangsa kepada pertelingkahan agama ini.

Dalam catatan Fatini Yaacob, Natrah yang akhirnya kembali ke Malaysia sekejap pada tahun 1999 telah menyatakan isi hatinya kepada Gerda Jansen Hendriks semasa beliau melawat gereja yang menjadi tempat tinggal sementara nya di Singapura.

Beliau menyatakan rasa marah pada rusuhan yang berlaku di Singapura atas nama agama, dan menegaskan bahawa tidak sepatutnya manusia bergaduh kerana perbezaan agama. Malah beliau merasa bersalah, kerana semuanya terjadi atas nama Natrah. Beliau turut menceritakan kepada Gerda isi hatinya yang sebenar tentang kisah hidupnya di gereja.

Kebaikan yang ditunjukkan oleh biarawati gereja menyebabkan beliau menjadi keliru tentang hakikat sebenar kehidupan. Sejak dari kecil lagi, iaitu bermula dia dibesarkan dan dididik oleh ibu angkatnya, Che Aminah dan menganut Islam sebagai akidah bertuhannya, apa yang sering ditanam dalam jiwanya adalah antagonis nya Kristian dalam kehidupan sebagai orang Islam. Perkara-perkara yang berlaku sebelum tragedi perpisahan inilah menyebabkan Natrah yang dilayan dengan begitu baik ketika di gereja keliru dengan anggapan sebelum ini bahawa mereka semua itu adalah musuh.

Beliau keliru dan menangis akan nasibnya yang tersepit di antara dua agama. Fatini menulis,
“Kekeliruan Natrah barangkali berlaku kerana semasa proses perbicaraan berlangsung, beliau diingatkan walau apa pun terjadi berpegang teguhlah dengan Islam, “jangan murtad, jangan masuk Kristian, nanti masuk neraka.” Pesanan-pesanan yang simplistic dan menganggap agama Kristian sebagai musuh ini, barangkali sesuai untuk pemahaman anak gadis berusia 13 tahun ketika itu.
Maka oleh sebab itu Natrah – seorang anak gadis berusia 13 tahun boleh keliru apabila rahib-rahib itu terlalu baik layanan terhadapnya, tidak umpama musuh seperti yang digambarkan kepadanya sebelum itu.”
Semua ini beraku di Tanah Melayu, dan hal yang sama turut berlaku di Belanda. Bagi memperoleh hak penjagaan dan merebut Natrah dari keluarga angkatnya, kerajaan Belanda dengan kerjasama pertubuhan Katolik telah mengatur strategi jahat yang bermula dengan motif untuk membalas dendam akibat kekalahan Belanda kepada Indonesia.

Sadisnya kisah ini, apabila Natrah tidak ubah menjadi patung bertali kerajaan Belanda yang memperalatkan agama demi kepentingan mereka untuk menutup rasa malu akibat kekalahan terhadap Indonesia. Si gadis yang masih mentah ini telah dipergunakan secukupnya kerana itu sahajalah peluang Belanda untuk menebus maruah mereka.

Akibatnya, Natrah terpaksa hidup berendam kan air mata sepanjang hidupnya dan lebih parah, beliau tidak lagi mempunyai kekuatan untuk mempercayai mana-mana anutan agama lantaran kekeliruan yang tidak berkesudahan dan kegagalan agama di kedua belah pihak menunjukkan jalur kehidupan yang baik untuknya. Hakikat yang harus diperakui, Natrah pasca rusuhan hanyalah sekadar batang tubuh yang tidak lagi mempunyai jiwa dan keberanian untuk meneruskan kehidupan.

Membawakan kisah Natrah ini seolah-olah membuka parut lama. Pedihnya bukan kepalang bagi mana-mana pihak yang terlibat secara langsung. Namun begitu tulisan ini tidak bermaksud untuk mencari salah siapa, tetapi untuk membuat perbandingan terhadap kisah Natrah dan apa yang sedang Malaysia hadapi sekarang.

Terdapat perkara utama, yang kelihatan tidak mendapat perhatian sepatutnya dalam mana-mana coretan dalam penceritaan Natrah yang boleh kita bincangkan secara serius iaitu keperluan untuk mendidik generasi Malaysia tentang hidup bertoleransi, hormat-menghormati dan kasih sesama manusia. Ia hanya beberapa ungkapan ringkas yang senang untuk di ucap di hujung lidah tetapi begitu sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Kita tidak boleh menyalahkan Natrah menjadi begitu selepas mengalami trauma ngeri dalam hidupnya. Apalah yang boleh diharapkan dari seorang budak perempuan kecil yang berusia 13 tahun untuk memahami perkara ini dan berfikiran matang, sedangkan apa yang dia diberitahu sejak kecil ialah mereka yang bukan beragama Islam itu adalah musuh.

Ini kritikan terhadap corak pendidikan yang telah ditanam dalam diri Natrah, yang memberi gambaran negatif dan buruk terhadap anutan akidah yang berbeza. Tampaknya, budaya mendidik sebegini menular sehingga tahun 2014. Babak-babak mutakhir yang berlaku sejak isu kalimah ALLAH dan kangkung timbul jelas menunjukkan masyarakat Malaysia lebih gemar untuk menunjukkan sikap membenci anutan berbeza dengan mereka berbanding mengambil iktibar daripada ratusan rakaman sejarah tentang pertembungan agama dan kaum.

Semua ini bertitik tolak dari kegagalan sistem pendidikan negara yang tidak mencerminkan langsung cita-cita Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang damai dan sentosa. Bermula dari laman sekolah, anak-anak tidak pernah diajar untuk jujur dengan coretan sejarah negara sendiri dan belajar hikmah di sebalik peristiwa yang telah negara ini lalui.

Contoh mudah, cerita Natrah langsung tidak menyentuh mana-mana halaman buku teks sekolah rendah dan menengah sedangkan pada hakikatnya, inilah cerita sejarah yang akan mematangkan anak-anak generasi muda sejak kecil lagi. Keributan silibus pengajaran lebih terarah kepada memuji UMNO sebagai parti yang penuh jasa siang dan malam tidak kira sama ada dalam teks Bahasa Melayu, Pendidikan Moral atau Sejarah sendiri.

Ini cerita Natrah yang digelapkan, belum lagi dihitung ratusan cerita lain yang sengaja digelapkan dari minda generasi muda semata-mata ketakutan terhadap kesan rakyat yang akan bijak berfikir kelak. Di luar laman sekolah pula, anak-anak kecil dihidangkan dengan media-media dan persekitaran yang tidak pernah cuba memandaikan bangsa. PERKASA yang berbangga dengan rancangan roadshow ke seluruh negara boleh ditanya untuk maksud apa mereka berbuat demikian.

Persetankan politik sempit yang mereka anuti, natijah ketidakcerdikan mengatur strategi dengan memperalatkan agama dan sentimen perkauman semata-mata mencapai matlamat yang begitu kabur hanya akan mengundang bala yang tidak berkesudahan. Inilah yang mendidik generasi Malaysia siang dan malam. Ambil lah iktibar dari kekeliruan dan kesempitan Natrah, yang menjadi mangsa pergolakan agama yang tiada penghujungnya.

Anak-anak yang membesar penuh keliru dan perasaan benci akibat hasutan dan momokan yang tidak benar. Tidak hairanlah jika mendengar berita saban hari tentang diskriminasi dalam syarikat korporat terhadap wanita bertudung, atau diskriminasi sekolah terhadap pelajar bukan Islam, atau seumpamanya. Ke mana mahu di bawa negara ini jika langsung tiada usaha untuk menyekat perbuatan meniupkan kebencian melalui sentimen agama dan kaum ini?

Kita menyoroti hakikat ini perlahan-lahan akan memahami inilah bentuk hegemoni agama yang menjadi real politik kebanyakan kumpulan yang mahu mencapai sesuatu matlamat dengan memperalatkan agama secara membuta tuli. Maksud membuta tuli ialah menggunakan agama sebagai alat untuk mengatakan pihak lain adalah sesat dan menimbulkan kebencian sesama manusia. Jadi tidak hairanlah kenapa timbulnya pertubuhan seperti ISMA, JATI dan seangkatannya yang bertopengkan Islam semata-mata untuk mencapai maksud tertentu.

Kerajaan Belanda telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana untuk memperalatkan sentimen agama bagi mencapai matlamat biarpun betapa kotor sekalipun hasrat tersebut.

Masyarakat Malaysia perlu bersikap dengan sikap yang betul dalam mendepani isu ini. Cubaan menyelesaikan isu ini melalui komen-komen di laman-laman sosial sebenarnya tidak membantu malah berkemungkinan mengakibatkan kesan yang lagi buruk.

Fatini mengandaikan, apa yang Natrah perlu faham adalah persefahaman bahawa setiap agama itu berbeza, oleh itu hormatilah perbezaan agama itu, bukan mengambil kesempatan untuk memburukkan dan menghina apa yang berbeza. Seruan ini hakikatnya wajib dipelajari oleh setiap warga negara ini, bukan sahaja berkisar tentang perbezaan agama bahkan warna kulit, manusia di tanah air ini perlu banyak belajar lagi.

Ambil lah iktibar dan pengajaran dari kisah duka Natrah yang menjadi kijang yang tersepit antara pergelutan Islam dan Kristian. Mungkin kita wajar belajar dari Che Aminah, bagaimana beliau boleh mendidik dan memelihara dua orang anak angkat, seorang dari timur – Jepun dan seorang dari barat –Belanda sebumbung tanpa sebarang konflik darah, benci dan air mata.

Tuesday, February 11, 2014

Kisah Buli di SDAR



Buli, bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Buli ini ada pelbagai ragam. Di dunia siber kita puas menonton cerca nista pada sesetengah individu, khususnya remaja yang memuat naik video sama ada video lagu, lawak dan sebagainya di YouTube. Ini adalah bentuk buli. Ada juga buli secara emosi, yang kebanyakannya berlaku dalam kalangan remaja di sekolah dan rakan sejawatan di pejabat-pejabat.

Malah lagi teruk, buli secara fizikal sama ada bentuk kekerasan atau seksual. Ini juga boleh diperhatikan banyak berlaku dalam kalangan remaja terutamanya. Ada orang cakap, tak mengapa hal ini berlaku nanti mereka akan belajar. This is learning curve for them.

Untuk mereka yang berpendapat begini, sila bagi penampar sebelum membalas hujah mereka.

Ini mukadimah saya, sebelum saya menceritakan kisah buli di Sekolah Dato’ Abdul Razak atau popular dengan panggilan akronim nya, SDAR. Ia baru sahaja berlaku iaitu kira-kira minggu lepas. Sementelah salah seorang mangsa buli ini merupakan adik kepada rakan saya, maka saya merasa bertanggungjawab untuk menulis dan memberitahu kepada awam kisah buli yang berlaku di SDAR.

Kita maklum, ini perangai kebanyakan sekolah berasrama penuh. Mereka sedaya upaya cuba menyembunyikan perkara hitam dan buruk yang berlaku dalam sekolah mereka. Cuba selak halaman akhbar setiap hari, pernah terjumpa berita tentang kes buli atau kes rogol atau kes liwat yang berlaku di sekolah-sekolah berasrama penuh?

Tentu tidak bukan?

Mana boleh, maruah dan nama baik sekolah perlu dijaga biarlah nyawa dan emosi anak-anak remaja yang dibuli itu terus terancam dan merasa tidak selamat.

Kisahnya bermula apabila pasukan ragbi SDAR tewas kepada MCKK. Pasukan sorak bagi SDAR dianggotai oleh junior iaitu Tingkatan 1 dan 2. Mereka tewas dan merasa kecewa. Tambah parah apabila pasukan ragbi ini, yang anggotanya sudah tentu senior merasa sakit hati dan melunaskan kekecewaan mereka terhadap pasukan sorak dengan mendenda mereka.

Dendanya adalah, memperalatkan seorang pemegang tali pinggang hitam taekwondo yang juga seorang senior menumbuk dada setiap seorang pelajar Tingkatan 1 dan 2. Kesannya, adik rakan saya mengalami lebam dan bengkak pada dadanya. Katanya, sakit.

Rakan-rakannya yang lain juga mengalami derita yang sama. Sesiapa yang pernah hidup di sekolah berasrama penuh akan tahu betapa berpengaruh nya senior, dan betapa takutnya junior terhadap senior.

Ada yang lagi teruk, seorang rakannya yang memang sedang menderita sakit jantung terpaksa dikejarkan ke ICU akibat ditumbuk oleh si tali pinggang hitam taekwondo tersebut.

Mangsa-mangsa yang lain, kebanyakannya tidak berani untuk bersuara. Adik rakan saya juga, pada mulanya cuba menyembunyikan kisah itu. Tidak lain tidak bukan, dia takut dan bimbang. Itu sangat-sangat kita faham kenapa mangsa akan bersikap repulsive.

Akhirnya, dia membuka cerita. Dia menunjukkan dadanya yang lebam akibat ditumbuk oleh si tali pinggang hitam. Dia menceritakan kenapa dia ditumbuk. Emaknya bertindak membawa dia ke pemeriksaan kesihatan (medical check-up). Doktor mengarahkan emaknya membuat laporan polis kerana ini kes buli.

Parahnya, ibu bapa rakan saya mendapat maklumat ini lambat kerana pihak sekolah tidak memaklumkan kepada seluruh ibu bapa mangsa. Nasib baik mereka melawat anak mereka di SDAR dan mengetahui berita ini. Kemungkinan ada mangsa yang bertindak memberitahu ibu bapa mereka terlebih awal jadinya polis mula bertindak

Rakan saya memberitahu, polis sedang mengambil keterangan semua mangsa buli. Dari cerita adik dia, semua mangsa ini takut untuk memberitahu kisah sebenar sehinggakan polis terpaksa meminta mereka berkumpul di dalam dewan dan masing-masing menulis kisah mereka pada sehelai kertas.

Rakan saya mendesak adiknya untuk “memperkenalkan” dia kepada si tali pinggang hitam itu. Tapi adiknya takut untuk berbuat demikian. Kita faham kenapa mereka takut. Ini masalah yang dibutakan oleh kebanyakan pentadbir-pentadbir sekolah.

Ayah rakan saya pergi bertemu dengan warden asrama untuk kepastian keselamatan anaknya. Jawapan yang diterima adalah begitu cliché, “Tak mengapa encik. Keselamatan anak encik di bawah jaminan kami!”

Oleh kerana jaminan keselamatan yang begitulah, adik rakan saya mendapat lebam dan bengkak di dadanya.

Salah seorang mangsa buli, ibu bapanya bertindak memindahkan dia ke Victoria Institution. Kata mereka, stay di sekolah itu pun bukannya selamat untuk anak mereka.

Namun pihak sekolah SDAR ini umpama menempah sakit. Dengarnya, salah seorang mangsa adalah anak kepada saudara TYT Negeri Sembilan. OK, mari kita saksikan lagak tempang sekolah yang cuba menyembunyikan kes buli ini.

Ini realiti. Apabila ibu bapa mendesak sekolah mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan pembuli ini, desakan itu hanya hilang dalam tiupan angin. Mana mungkin, si tali pinggang hitam itu anak emas sekolah. Ayam tambatan, mewakili sekolah ke Korea dalam taekwondo dan mengharungi nama sekolah merata ceruk dunia.

Pasukan ragbi pula, mana boleh disentuh pelajar-pelajar mereka. Kalau tiada ragbi, maka tiadalah SDAR. Seolah-olah begitu lagaknya pihak pengurusan SDAR yang cuba membela kumpulan pembuli dalam kalangan pemain ragbi tersebut.

Saya masih ingat ketika bersekolah di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Terengganu, mana-mana pelajar yang menjadi ayam tambatan pasukan bola sangat disayangi oleh pengurusan sekolah. Saya faham kenapa mereka sayang, tapi jikalau ada dalam kalangan pelajar itu melakukan kesalahan serius maka hukumlah.

Jangan play favorite. Ini yang membuatkan saya merasa benci dengan perangai pilih kasih tidak bertempat. Bagaimana perasaan mangsa buli?

Saya menulis ini, kerana saya tahu bagaimana rasanya dibuli secara keras dan emosi ketika saya masih di sekolah menengah. Cuma saya bernasib baik kerana ia tidaklah berbentuk fizikal. Saya pernah melihat depan mata seorang junior saya dibuli secara brutal oleh senior, iaitu dengan membelasah nya secara beramai-ramai dalam bilik dorm yang sempit sehinggakan berdarah. Ini juga kisah di sekolah berasrama penuh.

Kalau di Terengganu, mereka yang pernah menjalani kehidupan di asrama sama ada asrama penuh atau harian akan biasa dengan istilah “gulai”. Ini istilah yang diguna pakai bagi aktiviti belasah beramai-ramai seorang mangsa oleh sekumpulan pembuli. Kumpulan ini boleh mencapai angka 15 orang satu-satu masa. Maka saya telah menonton depan mata sendiri bagaimana junior saya ini digulaikan oleh senior-senior.

Saya tak mampu berbuat apa-apa, apalah daya saya ketika itu untuk menghalang. Semuanya merasa takut kalau-kalau diri sendiri pula bakal menjadi target gulai.

Kepada pihak sekolah SDAR, bertindak tegas lah terhadap mereka yang terlibat dalam kes ini. Jangan biarkan hal ini berlalu tanpa sebarang tindakan. Kepasifan anda untuk berbuat sesuatu bagi menghalang budaya buruk buli ini terus menular adalah jenayah. Kamu bertoleransi dengan hal ini, hanya akan mengundang jujukan lagi permasalahan yang sama bahkan lagi teruk.

You did nothing to change things, you created an environment where this kind of hate and arrogance isn’t just tolerated, but it’s silently encouraged. What did you think would happen?

Saya menulis bukan semata-mata adik rakan saya malah untuk semua mangsa buli di Malaysia. Adik rakan saya menjadi subjek perbualan kami. Saya yakin, ibu bapa mangsa jauh lebih sakit hati mereka apabila mendapat tahu anak mereka dibuli, dipukul. Jika mereka tidak lagi mampu meletakkan kepercayaan pada pihak sekolah untuk menguruskan hal ini dengan sebaik mungkin, maka sekolah wajib bermuhasabah.

Saya dikhabarkan, tidak lama lagi akan diadakan pertemuan PIBG. Sudah tentu ini peluang ibu bapa mangsa untuk menyuarakan isi hati mereka. Kepada pihak pengurusan SDAR, dengarlah dan bertindaklah!

Ini kisah buli di SDAR, bukan lagi di lain-lain sekolah. Mahukah hal itu berterusan?

Tuntas nya, sekolah adalah laman untuk mendidik manusia menjadi manusia. Didiklah anak-anak remaja menjadi manusia, bukannya menjadi produk berupa sekumpulan monyet-monyet yang hanya tahu makan dan tidur, yang tidak punya hati dan perasaan.

Ini amanah anda!

-------
Artikel ini disiarkan dalam The Malaysian Insider pada 11 Februari 2014.

Sunday, February 9, 2014

Kisah Bobo Dalam Politik Negara

Sejak video “Onederful Malaysia” diterbitkan, UMNO tidurnya tidak tenang. Seolah-olah video itu tidak berhenti mencucuk badan mereka yang penuh daki. Bermula daripada serendah-rendah JKKK mengomen di laman Facebook, sehingga ke setinggi-tingi pangkat menteri semuanya beratur untuk menjadi popular dengan menjadikan video itu sebagai isu.

Jika direnung dalam-dalam, rupanya UMNO ini sudah kehabisan idea. Untuk bercakap supaya nampak tidak bodoh, mereka akan gunakan hal remeh temeh ini menjadi isu yang diperlihatkan awam begitu dramatik dan berbahaya.

Kalau di luar dunia politik, umat manusia di Malaysia khususnya kalau mahu jadi popular maka buatlah video yang bodoh dan memalukan diri sendiri, muat naik di laman Youtube maka tunggulah tidak lama lagi akan sampai di depan rumah surat tawaran untuk menjadi artis rakaman di bawah naungan mana-mana produser muzik.

Barangkali itulah resam untuk terus bernyawa di Malaysia bagi yang beriman dengan UMNO. Makanya, Teresa Kok menjadi mangsa kecaman yang tak kunjung sudah. Beberapa kemungkinan yang boleh dikaitkan kenapa UMNO cuba sangat untuk bersuara atau berusaha untuk nampak masih lagi hidup sejak akhir-akhir ini.

Pertama, semua dapat merasakan UMNO terpinga-pinga dengan episod Kajang Move. Respons awal percaturan Kajang ini semuanya datang daripada kelompok penyokong Pakatan Rakyat sendiri dengan pelbagai reaksi sama ada bersetuju atau tidak. Selepas pening UMNO sudah reda sedikit, mereka kelihatan cuba bersuara dan mengacah dalam permainan ini.

Lagaknya tempang, rata-rata suara daripada UMNO semuanya seolah-olah menyalin semula rungutan dan kritikan awal pihak daripada Pakatan Rakyat sendiri. Pengkhianatan demokrasi dan pembaziran wang rakyat. Kalau mahukan kepastian, boleh tonton rakaman si Arman, ahli jawatankuasa Pemuda UMNO dalam sebuah forum anjuran TV1. Pusing sana, pusing sini, semua akhirnya mengetuk kepala UMNO sendiri.

Jadinya dalam keributan Kajang dan Anwar, UMNO terus menyepi tanpa ada sebarang pendirian yang jelas daripada pucuk kepimpinan mereka sendiri. Kesannya, berita mengenai Anwar dan Pakatan Rakyat meliputi hampir keseluruhan cerita politik tanah air. UMNO kehabisan modal untuk membuka cerita baru.

Ia mudah sahaja untuk dibaca, jika Anwar dan Pakatan Rakyat terus menguasai cerita politik di media maka segala kebaikan dan kemakmuran Selangor akan terkeluar di muka akhbar. Pak cik dan mak cik di FELDA akan tahu cerita sebenar Selangor di bawah Khalid Ibrahim. UMNO memang seriau bila cerita benar tentang Selangor ini terdedah kepada orang ramai.

Memang ada percubaan untuk UMNO melalui TV3 mereka cerita mitos tentang pilihan raya kecil Kajang ini dengan krisis dalaman Pakatan Rakyat tetapi semuanya hambar dan tak laku. Lantas UMNO kelihatan mati 2-3 minggu ini. Lalu untuk mencari modal bagi membolehkan mereka hidup, tidak hairan langsung kenapa video Teresa Kok dijadikan isu dan diperlihatkan seolah-olah itulah bahana yang sedang melanda negara.

Untuk menjangkakan akan adanya bantahan dan piket di depan pejabat Teresa Kok, rasanya tidak mustahil.

Kedua, UMNO tersepit. Mereka tersepit dengan keutuhan Pakatan Rakyat dan kelemahan kepimpinan mereka. Tidak dapat dinafikan ramai juak-juak UMNO bersorak kegembiraan apabila krisis Selangor di antara Azmin-Haid semakin menjadi-jadi. Pada mereka, ini peluang untuk merampas Selangor. Mereka cuba mempermainkan isu PKR buat kepala dalam Pakatan Rakyat dan DAP serta PAS menjadi kuda tunggangan Anwar.

Percubaan mereka gagal apabila PAS dan DAP tidak goyah. Akibatnya, mereka menanggung malu apabila kedua-dua pucuk pimpinan PAS dan DAP mengeluarkan pendirian rasmi menyokong percaturan Kajang. Tinggallah Najib yang akhirnya bersuara bahawa Kajang tu bukan masalah dia. Ramai tertanya-tanya, hanya respons begitu kah seorang Perdana Menteri mampu keluarkan?

Hasilnya, pemimpin dalam UMNO cuba menutup malu. Ada antara mereka cuba mengambil bahagian dalam permainan di Kajang. Selebihnya, seronok bermain dengan video Teresa Kok dalam Facebook, Twitter dan warung kopi. Kalaulah ada usaha untuk mengumpulkan setiap kenyataan yang dibuat oleh menteri dan pimpinan UMNO tentang video itu dan dijilidkan menjadi buku teks ke sekolah, sudah tentu ranking PISA negara ini meningkat.

Meletakkan UMNO berseorangan nampak macam tidak adil. Pada hal MCA turut cuba bermain sama. Gelagak mereka berdua nampak lucu dan mampu mengalirkan air mata. Bayangkan betapa lucunya, video sependek 11 minit itu boleh didakwa bahayanya setinggi Peristiwa 13 Mei. Tidak habis-habis, semua benda mahu dikatakan mengancam kedudukan orang Melayu dan menggugat kemakmuran negara. Inilah yang dikatakan, berotak tapi tidak berakal. Itu belum lagi dikira mereka yang menggelarkan Teresa Kok sebagai kafir harbi.

Paling mengujakan adalah gesaan kepada pihak berkuasa untuk menangkap dan mendakwa Teresa Kok mengikut Akta Hasutan. Aduh, kegilaan apa ini yang sedang melanda negara Malaysia?

Semua maklum.

Malangnya, semua kecaman mereka terhadap Teresa Kok dan DAP umumnya bunyinya membodek. Hal ini menjadikan kritikan mereka berbau muntah. Ini kemungkinan ketiga kenapa mereka begitu lantang mengkritik Teresa Kok. Mahu ambil hati Rosmah kah?

Sedarlah, Najib dan Rosmah sudah tidak lama di takhta. Bertaubatlah daripada terus berperangai sebegitu.

Mahu juga bertanya di sini, kenapa dengan kamu ini UMNO? Demam panas atau mabuk todi?

Ini namanya satira. Satira politik. Ia tidak kurang bezanya dengan lawak spontan peserta Maharaja Lawak mengenai hal yang melingkari kehidupan rakyat Malaysia. Cuma ini dalam dunia politik, maka Teresa Kok akan berlawak dalam hal yang melingkari politik negara.

Kalau betul terdapatnya dialog yang tidak benar tentang Malaysia, sila kemukakan babak mana dan minit ke berapa dalam video tersebut yang mengatakan begitu. Siarkan buktinya dan semua orang dapat menilai. Itu kalau wujud.

Jika cuma pandai berkokok dengan nada yang bodoh semata-mata untuk mencari populariti, maka andalah Bobo dalam dunia politik Malaysia.

-------
Artikel ini disiarkan oleh RoketKini.com pada 7 Februari 2014.

Thursday, February 6, 2014

Macai Anwar Ibrahim

Premis saya di sini ialah, mana-mana penyokong Pakatan Rakyat yang berperangai tak ubah seperti macai UMNO adalah wajar dibungkus dan dicampak jauh ke dasar laut. Saya tidak bermasalah dengan pendirian anda untuk menyokong Kajang Move dan menyokong dengan sepenuh hati keputusan mengejut PKR.

Saya juga tidak bermasalah dengan pencalonan Anwar Ibrahim sebagai calon untuk PRK Kajang. Saya juga langsung tidak bermasalah dengan ura-ura atau khabar angin tentang Anwar Ibrahim bakal menjadi Menteri Besar menggantikan Khalid Ibrahim.

Saya juga tidak bermasalah dengan mana-mana penyokong Pakatan atau lebih spesifiknya, penyokong Anwar Ibrahim untuk menyatakan sokongan bagi semua strategi-strategi tersebut. Sokonglah, itu tidak membawa masalah. Tapi berpada-padalah.

Janganlah anda menyokong Anwar Ibrahim, seolah-olah Anwar itu maksum atau malaikat yang diutus oleh tuhan dari langit. Golongan penyokong sebegini yang bermasalah, bukan sahaja kepada saya yang membaca dan mengikuti berita politik semasa malah golongan sebegini berbahaya kepada Pakatan dalam jangka masa yang panjang.

Golongan sebegini kalau tidak dibasmi awal-awal, kalau Pakatan Rakyat ditakdirkan memerintah Putrajaya maka kita akan melihat Pakatan hanyalah kembar seiras Barisan Nasional yang cuma bertukar parti tapi langsung tidak bertukar nilai.

Janganlah apabila ada mereka yang membantah Kajang Move, dituduh terus sebagai pembelot perjuangan. Atau dengan lebih enak lagi, terus dibantai dengan label-label yang tidak menyenangkan. Perangai ini tidak ubah seperti macai UMNO.

Komentar seperti begini,
“Anwar Ibrahim itu pemimpin bijaksana, luas pengalamannya. Tentu keputusan ini sudah difikirkan masak-masak. Kita ikut sahaja jangan banyak soal!”
“Ini Rafizi, bukan calang-calang orang. Kau nak argue dengan tindakan mereka, kau siapa?”
“Kita mengesan ramai anak muda tidak menunjukkan sokongan kepada percaturan ini. Kita akan kawal media, tubuhkan unit penerangan media untuk memberi penjelasan kepada mereka,”
Penyokong sebegini yang membawa masalah kepada saya. Juga kepada Pakatan Rakyat. Percayalah.

There’s a fine line between showing that you support and just plain propping.

Ini tentang perangai – attitude – yang begitu buruk. Jangan kerana sokong anda itu, membolehkan anda melabelkan semua pendapat yang oposisi dengan pendirian anda tidak berguna, atau sampah. Janganlah menyangka bahawa semua penyokong Anwar Ibrahim ini akan menjadi pak turut kepada apa sahaja keputusan yang dibuat parti.

Tanggapan sebegini berbahaya. Jika benar Malaysia ini lahirkan sebuah kerajaan baru yang membawa nilai-nilai baru, melampaui segala daki yang ditinggalkan oleh UMNO maka perangai penyokong sebegini wajib dibasmi awal-awal.

Sosok Anwar Ibrahim bukannya tidak pernah buat silap. Percaturan PKR pun bukan semuanya berjaya dicapai. Sejarah sudah berkali-kali menunjukkan perkara ini, bukan sahaja PKR malah PAS dan DAP pun sama. Jika benar ada hasrat untuk memimpin Putrajaya, ubahlah perangai sebegini.

Bukan susah untuk mencari muka-muka pengampu Anwar Ibrahim. Ini lumrah dunia, sudah tentu mereka yang punya kedudukan akan didampingi oleh pengampu-pengampu siang dan malam. Golongan pengampu sebegini layak dipanggil macai Anwar Ibrahim.

Kalau penyokong UMNO yang buta tuli, yang mengampu siang dan malam digelar sebagai macai, maka tidak salah gelaran macai diberikan kepada mana-mana penyokong Anwar Ibrahim yang membuta tuli.

Sikap macai ini, pertama mereka akan menolak secara membuta tuli pandangan yang bercanggah dengan pendirian Anwar Ibrahim. Mereka merasakan semua yang di bawah tidak layak mempersoalkan Anwar Ibrahim dan keputusan-keputusan yang diambilnya.

Bagi mereka, jangan persoalkan. Ini penyakit berbahaya kepada bangsa Malaysia. Jangan persoalkan, frasa yang cukup ampuh untuk memusnahkan daya fikir rakyat. Maka untuk mereka yang berjangkit dengan virus macai UMNO ini, dinasihatkan membaca coretan Faisal Tehrani dalam Malaysiakini tentang beriman pada tanya.

Bukakan minda, jangan fanatik yang membuta tuli. Berikan peluang kepada akal untuk berfikir juga. Jangan biarkan gelora mengampu itu mengambil alih segala-galanya. Sokonglah secara cerdik dan bijaksana, balaslah hujah dengan hujah dan kemukakan alasan yang iramanya tidak mengampu.

Nasihat terakhir, bertaubatlah dari berperangai seperti macai UMNO.