Friday, January 24, 2014

Belajar Hidup Sepakat, Lerai Segala Sengketa

Mitch Albom menulis dalam bukunya berjudul Have a Little Faith, menceritakan pengalaman bersama dengan rabbinya (istilah Yahudi bererti “guru”, atau arti harfiahnya “yang agung”. Kata “Rabbi” berasal daripada akar kata bahasa Ibrani RaV, yang dalam bahasa Ibrani bermaksudi “besar” atau “terkemuka (dalam pengetahuan)” Disebut ‘reh-bai’) yang sudah uzur, menunggu tibanya saat dipanggil mengadap tuhan. Dalam satu bahagian, dia menceritakan khutbah yang disampaikan oleh rabbinya sekitar 1958,

A little girl came home from school with drawing she’d made in class. She danced into the kitchen, where her mother was preparing the dinner.

“Mom, guess what?” she squealed, waving the drawing.

“What?” she said, tending to the pots.

“Guess what?” the child repeated, waving the drawing.

“What?” the mother said, tending to the plates.

“Mom, you’re not listening.”

“Sweetie, yes I am.”

“Mom,” the child said, “you’re not listening with your eyes.”

Kekecewaan anak kecil yang ditonjolkan dalam potongan kisah yang diceritakan rabbi itu seolah-olah menggambarkan kegelisahan dan kekecewaan yang sedang melanda masyarakat Malaysia dalam menghadapi polemik kalimah ALLAH, hubungan kaum dan moraliti.

Kerajaan selaku pihak paling berautoriti dalam hal ini, mengambil sikap sambil lewa yang ditunjukkan emak anak terbabit. Dia sedar anaknya mahukan perhatian, mahukan penghargaan atas hasil usaha dia namun si emak buat-buat prihatin tanpa berganjak sedikit pun matanya untuk melilau pada lukisan anaknya.

Tindak tanduk si emak itu tidak ubah seperti pihak berwajib dalam isu kalimah ALLAH. Mereka tahu isu ini sedang membarah, malah mungkin perisikan mereka mempunyai data yang jauh lebih tepat mengenai sejauh manakah gentingnya keadaan sekarang.

Namun apa yang mereka buat selain terus menerus memekakkan telinga dan bersikap pasif dan berpura-pura seolah-olah negara ini aman damai dalam skrip buletin dan dokumentari?

Bisunya atau lebih tepat baculnya kerajaan untuk menangani masalah ini secara berdepan begitu menggusarkan. Jika dikira saranan dan gesaan pelbagai pihak, sudah pasti bilik surat di Seri Perdana tidak mampu lagi menerima sebarang cadangan.

Soalnya di sini, rakyat tidak pernah pasif. Saban siang dan malam mereka mempersoalkan ke mana suara pihak paling berautoriti untuk menyelesaikan polemik ini sejajar dengan hikmah yang diunjurkan Islam.

Paling kuat mereka membiarkan pihak pengampu untuk mengambil bahagian menjadi tukang sorak memanaskan isu, menyelewengkan fakta, malah lebih penting lagi menimbulkan kecamuk dalam hubungan kaum di Malaysia. Mereka mencuba cara lain iaitu istana. Cubaan menyelesaikan masalah kalimah tuhan ini dengan menggunakan arahan istana nampak begitu goblok dan tergesa-gesa.

Pertimbangan ini begitu sempit, seolah-olah penguasa yang mengaku Muslim ini bersetuju dengan cara yang diguna pakai pemerintah Nazi ketika menghalau etnik Yahudi daripada bumi German atau cara pemerintah China yang menekan penganut Islam Uighur atau cara pemimpin Myanmar yang menyokong pembersihan etnik Rohingya.

Ada kalangan penganut Muslim di Malaysia suka berpegang dengan prinsip ini. Kata mereka, kalau di China pemerintah mereka bebas menekan orang Islam kenapa kita di Malaysia perlu membiarkan orang bukan Islam bermaharajalela?

Habis apa bezanya kamu yang mengaku Islam dengan mereka di China yang menekan orang lain untuk menganut kepercayaan yang mereka yakini?

Perlunya muslim yang majoriti belajar bertoleransi


Ini persoalan yang tidak terjawab. Kita seolah-olah selesa apabila merasakan segala atas nama Islam kononnya itu ditegakkan melalui kuasa yang diperuntukkan. Jika JAIS, mereka merampas kitab kepercayaan lain dengan kuasa yang mereka ada. Majlis Fatwa pun begitu, bersuara dengan kuasa yang mereka ada.

Jadi kesudahannya bila lagi mahu melihat adanya titik pertemuan dalam cita-cita negara ini sebagai sebuah negara yang disebut berulang kali dalam setiap kali membaca mukadimah Rukun Negara bahawa tanah air ini menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak?

Jika kita terus menerus menggunakan hujah minoriti perlu menghormati majoriti, Kristian perlu menghormati Islam sebagai agama persekutuan, ya sebahagiannya berkemungkinan boleh diterima pakai. Akan tetapi setakat mana had dan sempadan itu?

Adakah sehingga hormat itu membenarkan berlakunya rampasan Al-Kitab secara kekerasan?

Malah kita tidak menolak adanya saranan yang menyeru kerajaan menggunakan pendekatan fizikal. Ke mana negara ini mahu di bawa?

Ini masalah pemahaman bahawa aku di sini sebagai pihak majoriti, maka minoriti seharusnya bersyukur dengan peluang untuk terus menumpang di tanah air ini. Dalam satu bahagian buku Mitch Albom, dia menceritakan pengalaman rabbinya ketika beliau memulakan tugas di South Jersey. Kawasan itu merupakan majoriti Katolik. Hadirnya rabbi Yahudi di tengah-tengah kawasan Katolik dan membina Synagogue, rumah ibadat Yahudi di antara dua gereja memang benar-benar bermasalah dengan penduduk di situ.

Sikap majoriti Katolik yang memilih prejudis dan tidak adil dengan minoriti Yahudi meresahkan anak-anak Yahudi yang mendaftar di sekolah Katolik. Di sekolah mereka menjadi sasaran rakan mereka yang tidak biasa melihat budak lelaki memakai kippah di kepala. Malah lagi teruk, si rabbi ini diserang seorang paderi gara-gara mereka mengetahui bahawa rumah ibadat Yahudi turut melaksanakan perhimpunan mingguan pada Ahad.

Paderi Katolik mempersoalkan rabbi itu, kenapa tidak memilih hari lain selain Ahad. Persoalan ini mirip soalan majoriti Muslim di Malaysia, kenapa tidak menggunakan Isa Al-Masih menggantikan nama Tuhan.

Ini penyakit yang banyak berlaku pada golongan majoriti. Jumlah mereka pada bilangan batang tubuh menyebabkan keangkuhan yang menutup segala ruang toleransi dan kepercayaan.

Rabbi ini tidak cepat melatah. Dia sedar untuk menyelesaikan polemik ini jambatan perlu segera dibina. Jika menunggu mereka yang majoriti membina jambatan, belum tentu cucunya dapat merasai hikmah kenapa Tuhan menciptakan manusia dengan pelbagai warna kulit dan kepercayaan.

Jadi beliau mengambil langkah untuk membina jambatan. Beliau ke sekolah Katolik dan bersemuka dengan paderi itu. Pertemuan secara terbuka itu nyata mengundang rasa bersalah dalam diri paderi itu lantas dia meminta maaf atas perbuatannya tempoh hari. Bahkan dia tersedar hakikatnya dia mewakili golongan majoriti. Dia bertindak untuk menyambut usaha sang rabbi berkenaan.

Dia mencadangkan pada si rabbi untuk mereka berjalan mengelilingi sekolah waktu pelajar rehat sambil perpegangan tangan. Tindakan mereka nyata mengubah persepsi kalangan majoriti bahawa rakan Yahudi mereka juga punya hak untuk menyembah Tuhan di South Jersey.

Ini contoh yang begitu ringan terhadap terpecahnya tembok yang menghalang golongan majoriti untuk belajar bertoleransi dan membina jambatan yang mengeratkan mereka. Ia berlangsung atas premis kepercayaan dan tolak ansur. Mungkin akan ada yang persoalkan tentang muslihat tertentu dalam permainan ini. Ini bertitik tolak daripada soal kepercayaan antara satu sama lain.

Sikap tuding jari cari salah orang lain


Timbul pula persoalan tentang agenda tersembunyi Kristian di Malaysia. Ini krisis sikap dalam masyarakat Melayu khususnya yang beragama Islam. Sikap yang takut dengan bayang-bayang sendiri. Sikap ini membawa kepada timbulnya prejudis melampau sehinggakan segala tindak tanduk Kristian menjadi persoalan.

Mereka mempersoalkan mengenai pendakwah Kristian yang aktif menjarah taman perumahan, Mereka gelisah dengan kumpulan Kristian yang sibuk memberi makan dan perlindungan pada golongan gelandangan. Mereka mencanang dalam akhbar usaha sebilangan gereja yang menumpangkan ibu tunggal dan anak yatim yang tidak mendapat pembelaan masyarakat.

Kata mereka, ini usaha Kristian untuk membaptiskan orang Islam dan memurtadkan mereka.

Mereka tidak pula mempersoalkan tentang malapnya masjid saban waktu solat tanpa adanya kuliah ilmu. Orang Islam di Malaysia tidak pula cuba mengambil inisiatif memberi makan golongan gelandangan di kota besar. Mereka sesekali tidak mempertikaikan ke mana perginya kutipan zakat berjumlah ratusan juta ringgit setiap tahun. Mereka tidak pernah juga merasa bimbang dengan kurangnya usaha pemantapan akidah sama ada di masjid atau dalam televisyen.

Yang mereka bimbang adalah kemuncup di kaki seluar orang lain sedangkan di kain sendiri sudah terbelit ular menanti masa untuk mematuk.

Hal ini cukup membimbangkan. Menghalang pendakwah Kristian menjalankan tugas mereka berdakwah bukanlah ajaran Muhammad S.A.W. Dalam dunia ini, mana ada agama selain Yahudi yang tidak mahu mengembangkan bilangan penganut mereka. Ini fitrah sesuatu agama yang mahu mencari penganut dan menyebarkan kebenaran yang mereka rasakan setiap manusia perlu meyakini kepercayaan mereka jika mahu selamat dunia dan akhirat.

Tidak dinafikan adanya peruntukan perundangan yang menafikan hak sesetengah agama daripada menyebarkan kepercayaan mereka di negara ini secara terbuka. Ya benar, itu perundangan. Penulisan ini bukan mahu menyebar ulang petikan perundangan itu tetapi mahu mengajak pembaca memikirkan perkara ini menggunakan akal budi yang dikurniakan tuhan.

Kenapa bermasalah dengan mubaligh Kristian yang bekerja, sedangkan kita diam dengan jabatan agama yang memandang ringan masalah orang Islam di Malaysia saban hari.

Gesa Perdana Menteri bangkit daripada tidur


Maka, kita sampai di suatu persimpangan. Adakah kita memilih hal ini terus membarah atau kita mahu hasrat sebenar pengasas negara ini tercapai.

Sehingga sekarang, Perdana Menteri seolah-olah masih belum bangkit daripada tidurnya. Ramai percaya, jika Perdana Menteri mengikut cakap bapanya, “This is our home and it is our determination to make this country a happy and prosperous country for all of us,” sudah pasti dia tidak akan melelapkan matanya untuk menyelesaikan polemik ini.

Ada orang cakap, Najib sedang mencuba fungsi auto-pilot dalam menggerakkan pesawat ini. Tidak pastilah sejauh mana efisiennya fungsi itu. Kita cuma boleh berdoa, harapnya pesawat ini selamat mendarat di KLIA, bukannya menjunam terhempas di tengah Laut Cina Selatan.

Mitch Albom menyambung lagi kisah rabbinya.

Once, on a trip to Israel after the war in 1967, he went with a group to an area on the northern border and found himself wandering through some abandoned buildings. There, in the ruins of one destroyed house, he discovered an Arabic schoolbook lying in the dirt. It was facedown, missing a cover.

He brought it home.

Forty years later, he gave that book to Mitch. “Here.” He handed it over. “Look through it.”
What the reason?

“Open it.”

I opened it.

“More.”

I flipped through the pages and out fell three small black-and-white photos, faded and smudged with dirt. One was of and older dark-haired woman, Arabic and matronly looking. One was of a mustached younger Arabic man in suit and tie. The last photo was of two children, side by side, presumably a brother and sister.

Who are they? I asked.

“I don’t know,” he said, softly.

He held out his hand and I gave him the photo of the children.

“Over the years, I kept seeing these kids, the mother, her son. That’s why I never threw the book away. I felt I had to keep them alive somehow. I thought maybe someday someone would look at the pictures, say they knew the family, and return them to the survivors. But I’m running out of time.”

He handed me the photo back.

Wait, I said. I don’t understand. From your religious viewpoint, these people were the enemy.

His voice grew angry.

“Enemy schmenemy,” he said. “This was family.

--------
Artikel ini disiarkan oleh RoketKini.com pada 22 Januari 2014.

Wednesday, January 15, 2014

Sindiran Kangkung Menjengah Bumi UK



Saya pada mulanya memilih untuk tidak menulis apa-apa komentar mengenai kangkung atau nama saintifiknya, Ipomoea aquatica - satu nama sayuran daun hijau yang popular dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana di Malaysia – namun kangkung tidak kurang popularnya dalam enjin carian sehari dua ini menyebabkan saya berfikir dua kali untuk idea itu.

Popularnya kangkung semenjak dilontarkan namanya oleh Perdana Menteri, DS Najib Razak dengan tawaran untuk menurunkan harga sayur tersebut disambut dengan gelak ketawa dan sindiran tidak berkesudahan oleh rakyat kebanyakan. Popularnya kangkung, sehinggakan Stesen Penyiaran British (BBC) turut mengambil peluang menumpang populariti atas nama kangkung.

Begitu hebatnya kangkung, boleh semak di Twitter dan Facebook. Mereka yang bermotifkan duit, sudah beratusan tempahan baju dibuat dengan menggunakan reka bentuk kangkung. Kerana popularnya kangkung, lagu rakyat “Lenggang Kangkong” yang dulunya cuma menjadi siulan ibu-ibu yang mahu menidurkan anak-anak kecil mereka, kini menjadi pelbagai versi yang diubah suai untuk menyampaikan sindiran kepada Najib Razak.

Jika direnung dalam-dalam, bagus juga Najib dalam hal ini. Dia secara tidak langsung telah menyelamatkan lagu tradisi dari terhapus dalam kalangan masyarakat. He’s conserve our heritage and culture!

Najib membuat tawaran untuk menurunkan harga kangkung dan menggesa rakyat memuji kerajaan, dan pada masa yang sama adiknya, Nazir Razak menulis artikel bagi mengingati ayah mereka Tun Razak yang kelihatan secara diam cuba menampar abangnya.

Malah adiknya secara senyap-senyap cuba memanggil abangnya kembali ke pangkal jalan. Ironi sungguh.

Saya perhatikan, kangkung dan Nazir Razak ini membawa kepada 3 sudut iaitu,

Pertama, saya membuat telahan Najib telah dikelilingi oleh penasihat-penasihat yang bodoh. Najib terkepung dalam circle of influences yang menyebabkan dia tidak mampu untuk menilai keadaan rakyat dan negara yang sebenar. Saya pernah bertemu dengan seorang professor yang pernah menjadi penasihat Najib dalam merangka Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), katanya dia telah diberi masa 10 minit untuk convince Najib kenapa perlu ini dan itu dalam pelan ekonomi tersebut.

Jadi, jika thesis ini tepat maka saya beranggapan bahawa penasihat-penasihat Najib bukanlah orang sembarangan. Sudah tentu pegawai-pegawainya adalah mereka yang berpelajaran dan berilmu. Tetapi bila terjadinya begini, kita tidak menolak teori bahawa mereka yang berada di sekeliling Najib itu berkepentingan, malah mungkin mereka mempunyai agenda tersendiri.

Saya lebih suka menolak idea tentang, kenapa Najib tidak terfikir akan hal kangkung ini? Adakah dia tidak tahu lansung tentang keadaan sebenar rakyat? Atau memang dia tidak pernah merasa susah semenjak lahir menyebabkan dia tidak dapat menilai keadaan sebenar kehendak rakyat.

Untuk itu, saya suka bertanya dalam dunia ini berapa kerat pemimpin politik lahir dari kalangan orang merempat atau susah berbanding peratusan mereka yang lahir dalam kalangan bangsawan, terpelajar atau ada pengaruh dalam masyarakat?

Ini bukan soal dari mana Najib lahir, atau soal dia tidak pernah merasa hidup susah. Berapa ramai pemimpin dunia yang hebat, lahir dalam kalangan bangsawan tetapi ketika memerintah masih mampu menggubal dasar-dasar ekonomi yang merakyat. Mungkin kita perlu alihkan perhatian ini dari susuk batang tubuh Najib kepada sekumpulan pegawai-pegawai dan penasihat terdekat dia.

Saya memegang kuat teori ini. Saya cuba membuat perbandingan berskala sederhana. Jika saya berada di posisi Najib dengan segala beban negara ini berada di pundak bahu saya, adakah saya masih mampu mempersoalkan kerelevenan setiap nasihat dan pandangan pegawai-pegawai kanan yang saya percayai dan pada masa yang sama, pegawai-pegawai ini bukanlah mereka yang bodoh dari sudut tebalnya sijil-sijil mereka.

Mungkin kita boleh menerima hakikat bahawa Najib tidak mempunyai masa dan kekuatan untuk mempersoalkan setiap satu cadangan dan saranan pegawainya berbanding mengambil langkah mempercayai kerja-kerja mereka dan melaksanakan apa yang telah dirangka buat dia.

Malah untuk lebih teruk lagi, berkemungkinan besar segala hingar bingar mengenai kangkung dalam segenap penjuru media sosial langsung tidak sampai ke perkhabaran Najib. Mungkin hal ini turut disenyapkan oleh pegawai-pegawainya, dengan terus menerus meyakinkan Najib bahawa sokongan rakyat meningkat setelah pengumuman turunnya harga kangkung tersebut.

Najib terus selesa di Seri Perdana menghirup tea panas sambil berkira-kira untuk membeli pesawat peribadi yang baru.

Jadi, jika begini senarionya maka kita tidak menolak teori tentang pegawai-pegawainya sengaja mahu menjatuhkan imej Najib dan memudahkan laluan untuk seseorang yang lain dalam UMNO untuk mengambil alih tampuk pemerintahan. Ini boleh terjadi, kerana itu dinamakan politik. Saya tidak menolak kemungkinan ini walaupun ianya sekadar telahan semata-mata. Jika hal ini benar-benar terjadi, maka sejarah dunia itu tidak pernah tidur. Ia akan senantiasa berulang.

Atau, untuk lebih bersangka baik. Mungkin tiada interfere mana-mana pihak ketiga dalam hal hubungan Najib dan pegawai-pegawainya, tetapi sekadar sikap tamak dan haloba pegawai-pegawai Najib yang lebih suka kekal dengan keadaan Najib nampak bodoh asalkan mereka terus kaya-raya merompak setiap sen duit rakyat.

Persoalan di sini, siapakah mereka yang mengelilingi Najib siang dan malam? Adakah mereka ini termasuklah penasihat yang bertaraf menteri?

Saya mendengar desas desus berkenaan gesaan pihak tertentu yang meminta Najib merombak barisan penasihat dan pegawainya yang disifatkan sudah out of date jika mahu terus kekal memerintah.

Kedua-dua teori ini relevan. Cuma kita tunggu masa sahaja untuk membuktikan yang manakah menepati situasi sekarang.

Kedua, saya membaca artikel penuh tulisan Nazir Razak yang dalam diam dia cuba menampar abangnya yang sudah begitu jauh tersasar dari landasan yang diajar oleh arwah ayah mereka. Memang benar Nazir menulis artikel itu pada 14 Januari sempena mengingati ayahandanya Tun Razak yang meninggal dunia pada 14 Januari 1976. Saya membuat rumusan setelah membaca beberapa kali ulangan artikel tersebut dengan menjangkakan bahawa Nazir kini sudah tidak tahan lagi menonton langkah tempang abangnya dalam menjalankan dasar ekonomi dan sosial negara ini.

Beberapa kali dia menyebut tentang nilai dan integriti arwah ayah mereka dalam menguruskan duit orang ramai. Dia turut menyentuh kegagalan kerajaan sekarang meneruskan cita-cita dan hasrat ayah mereka ketika meneruskan Dasar Ekonomi Baru (NEP). Dan akhirnya dia menyeru abangnya secara tersirat untuk kembali ke pangkal jalan, kerana dia yakin masih belum terlambat untuk berbuat demikian.

Kita menjangkakan, jika si adik sudah mula bersuara secara tersirat sudah tentu kita dapat menghidu sesuatu yang telah berlaku disebalik semua permainan ini. Saya membuat telahan lagi, Najib kini telah berdepan dengan tekanan luar dan dalam termasuklah mereka yang begitu dekat dengan dirinya sendiri iaitu keluarganya. Sudah tentu kita tidak dapat meneka perkara sebenar yang berlaku antara mereka, tetapi kita dapat pastikan bahawa Najib kini bukan hanya berdepan dengan tekanan rakyat bawahan sahaja.

Sudah pasti sebagai adik kepada Perdana Menteri, Nazir mahu abangnya terus kekal di posisi tersebut. Tetapi untuk terus terang bersuara mengkritik setiap dasar yang dilaksanakan oleh abangnya, nampak langkah itu tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang adik. Tambah-tambah kritikannya mungkin bakal menimbulkan arus tidak terduga yang membahayakan kedudukan abangnya samada dalam parti atau kepimpinan negara.

Saya melihat Nazir seakan tersepit. Jika dia terus berdiam diri, dia seolah-olah menafikan keadaan ekonomi negara yang semakin tenat yang akhirnya mungkin akan membahayakan perniagaan-perniagaan beliau sendiri, sepertimana kita maklum yang Nazir adalah CEO CIMB Bank.

Tentunya Nazir tidak kurang hebatnya dalam menyoroti keadaan ekonomi negara ini. Jadi apa pilihan yang dia ada selain menulis secara tersirat dengan harapan pegawai-pegawai abangnya membaca dan bertindak dengan segera. Mungkin ini telahan yang bersifat kebudak-budakan. Akan tetapi, inilah realiti penjuru-penjuru tekanan yang dihadapi Najib.

Dalam media sosial, tidak perlu dipertikaikan lagi. Rakyat menyuarakan bantahan tentang kenaikan harga barangan hasil rasionalisasi subsidi selepas PRU-13 yang amat menjengkelkan. Saya yakin, Nazir pun turut tergelak dengan keputusan abangnya menurunkan harga kangkung seolah-olah kangkung itu merupakan makanan ruji rakyat Malaysia.

Ketiga, saya melihat respons orang ramai dalam pelbagai bentuk terhadap pengumuman penurunan harga kangkung merupakan sindiran terhadap pekaknya Najib untuk mendengar keluhan rakyat. Orang ramai yang sudah tidak tahan dengan kenaikan tanpa henti harga barangan ekoran pemotongan subsidi minyak RON95 sebanyak 20 sen dan pengumuman-pengumuman lain yang tidak relevan, menyebabkan lahirnya kumpulan-kumpulan rakyat yang kreatif mencipta lawak dan sindiran pedas untuk menghantar mesej kepada Perdana Menteri.

Bagi kami, apa lagi pilihan yang tinggal setelah harapan untuk tumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya yang lepas tidak kesampaian?

Adakah sanggup untuk terus menerus menderita dengan beban kenaikan harga barangan keperluan saban hari dalam keadaan purata pendapatan rakyat Malaysia yang begitu kritikal?

Mahu berkeras, rasanya sudah berkali-kali forum diadakan yang menyatakan betapa perlunya kerajaan memikirkan perkara ini dengan serius. Tidak cukup dengan forum, siap diadakan Himpunan TURUN yang mencatat sejarah membatalkan malam sambutan tahun baru buat kali pertama di Dataran Merdeka.

Habis ke mana semua suara-suara ini? Adakah Najib begitu helpless sehingga langsung tidak sampai berita ini ke telinganya?

Rakyat sudah habis cara yang kebiasaan dibuat oleh penduduk dunia yang tidak berpuas hati dengan kerajaan mereka. Kini yang tinggal ialah YouTube, Facebook dan meme. Dan BBC juga. Nampaknya cara begini memberi pulangan yang positif kepada gerakan anti-Najib. Sudah pasti keadaan sekarang begitu memihak kepada mood Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sehinggakan lawak-lawak dan sindiran bersahaja ini mendapat sambutan golongan atas pagar.

Inilah peluang mereka untuk menyedarkan rakyat bahawa Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri. Jika di pihak Pakatan Rakyat, mereka mungkin tersenyum lebar dengan situasi ini. Di pihak Barisan Nasional juga, saya yakin ada yang tersenyum lebih lebar kerana mereka sudah lama menantikan saat begini.

Jika inilah yang dirancang oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan imej Najib, maka mereka berjaya membuat kerja dari dalam. Saya tidak fikir seorang pegawai khas Perdana Menteri tidak tahu langsung untuk menimbang buruk dan baik idea kangkung sebelum diutarakan kepada Najib.

Maka ini menjadi satira politik Malaysia sekarang. Jika Malaysia di pentas antarabangsa gah dengan gerakan sederhananya, atau imej Malaysia sebagai penyelamat negara dunia ketiga maka keadaan yang begitu kontradik telah berlaku dalam negara.

Satiranya politik kangkung, sehinggakan BBC turut menumpang popularitinya!