Friday, December 19, 2014

Melawat MH370: Renungan Akhir 2014

Tulisan ini ditulis bersempena dengan sambutan kemerdekaan Tanah Melayu kali ke-57, namun ianya tidak disiarkan di sini, dibekukan. Entah mengapa, tuhan sahaja yang tahu. Ianya sorotan ringkas saya pada isu-isu besar yang melanda tanah air lewat pertengahan 2014 dan sedikit renungan yang saya fikir, perlu untuk dicoret moga-moga ianya menjadi suatu pandang sisi yang lain dalam taburan perspektif yang ada.

Mengambil semangat kemerdekaan dan menginsafi kegigihan dan keberanian mereka yang telah pergi berdepan dengan kuasa besar dunia, menggadaikan darah dan nyawa, untuk membebaskan tanah air yang bertuah ini dari cengkaman penjajah adalah suatu iktibar yang akan terus hidup sepanjang zaman. Kisah-kisah keberanian ini akan terus terpahat dalam lekuk sejarah, walaupun ianya mungkin semakin dilupakan oleh generasi Facebook.

Pengajaran dan hikmahnya jika tidak dipergiatkan untuk diperingatkan semula, maka kebejatan sikap yang dahsyat sudah pasti akan melanda masyarakat kita. 57 tahun yang lepas, dan ratusan tahun sebelum tanggal 31 Ogos 1957, mereka yang bangkit menentang penjajahan dan bergolok gadai menuntut kemerdekaan dan kedaulatan tanah air sendiri, pasti akan bersedih jika menyaksikan geliat tanah air Malaysia pada hari ini. Jika dulu, mereka bergadai nyawa demi sebuah kedaulatan. Hari ini, generasi kita semakin lupa dan alpa.

Mendepani konflik kedaulatan yang melingkari isu mutakhir ini, di peringkat antarabangsa, pencerobohan Israel di bumi Palestin dan campur tangan Rusia di kawasan bergolak timur Ukraine dan banyak lagi, seolah-olah membenarkan tesis yang pernah dikemukakan oleh Sun Wu, yang kemudiannya dikenali dunia dengan panggilan Sun Tzu, “the Master Sun” melalui eseinya yang berjudul The Art of War, menjelaskan bagaimana sesebuah kerajaan yang berdaulat perlu menjadikan peperangan dan ketenteraan sebagai elemen terpenting dalam menentukan rangka kerja dan polisi di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Hal ini memberi petunjuk bahawa mandirinya kedaulatan sesebuah negara atau ketamadunan itu bergantung harap pada kemampuan kendiri bukan berharap kepada bahu dan kaki orang lain. Sejarah menyaksikan bagaimana adaptasi tesis ini melalui nasihat-nasihat Chanakya kepada Maharaja Chandragupta Maurya telah membantu kegemilangan Empayar Mauryan di India 4 ratus tahun sebelum Masihi dan turut menjadi inspirasi kepada Machiavelli untuk menulis The Prince pada tahun 1532, sebuah karya agung yang menjadi kitab utama kepada ramai pemimpin dunia sehingga ke hari ini dalam menentukan tindak dan tanduk mereka.

Biarlah ini menjadi muhasabah menjelang sambutan kemerdekaan. Malaysia tidak kurang hebat tempias yang diterima. Dalam kecamukan dunia antarabangsa, tuhan menguji Malaysia dengan MH370, sebuah tragedi yang tidak hanya seputar kekecohan sebuah pesawat penumpang lenyap dan kesedihan akibat kehilangan orang tersayang, tetapi perbahasannya terangkum hubung kaitnya dengan isu kedaulatan dan maruah tanah air ini.

Tidak cukup dengan kehilangan pesawat, saban hari semakin kedengaran biak-biak ketakutan rakyat pada api yang sedang marak di perairan Sabah dengan kes ancaman kedaulatan yang tiada penghujungnya.

Menjelang 6 bulan rakyat Malaysia meratapi kehilangan pesawat MH370 yang pergi tanpa khabar berita dan sebarang petunjuk, sudut terpenting yang sewajarnya terus segar untuk disambut dan diperdebatkan dalam kalangan masyarakat di sebalik linangan air mata dan kecamukan emosi, yakni isu keselamatan dan kedaulatan negara sudah semakin suram.

Ratusan persoalan yang masih belum terjawab, dalam banyak hal tidak dinafikan bagaimana kerajaan sendiri berperanan membiarkan hal ini berlalu sepi seolah-olah wujudnya usaha tersembunyi untuk menutup kegagalan pihak tertentu dalam mengendalikan isu ini.

Persoalan-persoalan besar mengenai kebijaksanaan kerajaan menguruskan isu, maruah pertahanan negara dan integriti sudah pasti akan terus menghantui sejarah mendatang. Sepastinya, selaku warganegara perkara paling wajar untuk diharapkan adalah ianya bukan hal yang sengaja dicipta seumpama 11 Sept semata-mata demi memuaskan nafsu politik sempit dan haloba.

Tidak cukup dengan MH370, Malaysia berdepan satu demi satu kecamukan, mengambil contoh isu disiplin diplomat Malaysia ke New Zealand, yang dilihat sebagai peringatan untuk generasi muda kembali belajar untuk memahami erti maruah, kedaulatan dan bagaimana untuk meletakkan sikap yang betul pada sesuatu isu.

Umum mengetahui sehingga kini langsung tiada sahutan oleh pihak kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi mengendalikan siasatan bebas, walaupun rakyat maha tahu hanya dengan metode sebegini persoalan-persoalan dan kekeliruan akan terjawab. Namun begitu, seruan dan gesaan ini dipandang sepi, bahkan, untuk menerbitkan segulung Kertas Putih Parlimen yang berfungsi menjadi talian hayat kepercayaan rakyat dan integriti kerajaan turut gagal untuk dilaksanakan.

Soalnya MH370 berbicara mengenai kritikalnya tahap keselamatan dan kedaulatan tanah air ini. Pasti semua pihak tidak dapat menafikan, hakikat di sebalik hal yang terjadi, natijah terakhir akan terpalit pada sekalian umat manusia di bumi bertuah ini.

Jika persoalan-persoalan ini jelas memberi kesan langsung terhadap rasa selamat dan tenteram kepada 27 juta nyawa di negara ini, mengapa kerajaan begitu semput untuk bertindak, paling tidak memberi komitmen dengan mengajukan tindakan balas yang meyakinkan, sementelah ianya jalan kepada iltizam kerajaan terhadap memastikan keselamatan negara dan kedaulatan sentiasa menjadi keutamaan.

Lantas, MH370 ini secara tidak langsung menyingkap jendela pembohongan kisah pertembungan darah dan air mata di bumi Sabah. Bermula projek rampasan puak Sulu sebelum PRU-13 yang berakhir dengan kehilangan nyawa beberapa anggota keselamatan Malaysia, tragedi itu disenyapkan seolah-olah ianya sudah berakhir.

Namun hakikatnya, api dalam sekam yang tidak pernah padam dibantu pula oleh kebisuan kerajaan untuk bertindak cergas membendung dari menjadi wabak nyata memakan diri. Persoalan paling tepat untuk dilontar, mengapa tiada kejujuran kerajaan terhadap rakyat sendiri dalam mengendalikan hal ini?

Isu Lahad Datu digambarkan seolah-olah ianya tiada apa yang perlu di bimbangkan. Ketenangan itu terburai apabila api dalam sekam mula membakar dinding-dinding persepsi media yang sedaya upaya cuba dibina kerajaan pada orang awam. Padahnya, ketidakjujuran ini mengundang natijah yang begitu perit, apabila Lahad Datu berdepan dengan pengisytiharan ordinan darurat.

Sehingga ke saat ini, langsung tiada ketelusan dari pihak kerajaan pada rakyat jelata untuk sekalian mengetahui apakah sebenarnya yang sedang bergundah di sebalik semua peristiwa-peristiwa di bumi Sabah itu. Sedangkan umum tahu, persoalan itu menyelusur soal ketumbukan keselamatan tanah air dan kedaulatan ibu pertiwi.

Tidak hairanlah mengapa Sun Tzu mengungkapkan peri pentingnya seseorang yang berkualiti dilantik selaku panglima perang, dengan menggelari mereka sebagai “bulwark of the state”, semata-mata beralasan bahawa pemimpin yang sebeginilah layak untuk memegang tampuk kepimpinan utama untuk menjaga maruah dan kedaulatan tanah air, serta memastikan polisi kepimpinan dilaksanakan secara adil dan saksama.

Justeru, sewajarnya MH370 dan Lahad Datu menjadi iktibar terbesar tahun 2014 dan sejarah hitam ini diinsafi generasi mendatang, mengambil semangat kemerdekaan, untuk menjadi lebih berani, bermaruah dan berintegriti dalam menentukan hala tuju tanah air ini.

Mengimbau kedua-dua peristiwa malang yang menimpa tanah air ini menjelang sambutan 57 tahun kemerdekaan, mengingatkan kembali kepada keluhan Saint Augustine mengenai kejujuran kerajaan;
“In the absence of justice, what is sovereignty but organized robbery?”