Tuesday, December 23, 2014

Masharakat Melawan Mahasiswa

Untuk pertama kalinya saya terpanggil untuk mencoret barang sebaris dua mengenai buku baru tulisan Saudara Zul Fikri Zamir, sosok aktivis sosial yang makin mendapat liputan di media-media sosial oleh anak-anak muda sekarang. Teringat TFTN, maka dialah sosok pertama terlintas di fikiran.

“Masharakat Melawan Mahasiswa” merupakan buku ketiga penulis, sekuel selepas Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang dan Pedagogi Bahasa Tertindas. Maka tidaklah hairan bilamana tema-tema dalam ketiga-tiga buku ini punya persamaan dan kelihatan berulang banyak kali.

Walaupun begitu, tajuknya mencerminkan pembaca untuk pertama kali bahawa penulis akan memberi penekanan khusus (baca: kritikan) pada mahasiswa – suatu golongan mutakhir ini disifatkan oleh penulis sebagai inteligensia terapung dengan mengambil semangat makalah yang ditulis oleh Karl Mannheim, akibat kegagalan untuk berfungsi sebagaimana yang sewajarnya.

I.


Pertama, tentang tajuk, tentulah ramai akan tertanya-tanya mengapa diejanya ‘masyarakat’ kepada ‘masharakat’?

Hemat saya, inilah semangat yang cuba ditonjolkan oleh penulis saban waktu. Penentangan penulis pada ketidakpedulian tersirat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Bahasa Melayu itu sendiri menjelaskan mengapa penulis memilih untuk bertentangan dengan ejaan yang terdapat dalam korpus tatabahasa dewan.

Atas semangat inilah, yang memanggil saya untuk membaca tulisan ini, walaupun banyak bahagian dalam buku ini sudah pun tersiar dalam beberapa portal atas talian. Jujurnya, ini juga merupakan kekecewaan terbesar saya terhadap buku ini.

Seperti mana saya mengkritik Masa Depan, Masa Kita yang ditulis oleh YB Nurul Izzah, yang turut menerbitkan buku hasil artikel-artikel lama kitar semula dari portal-portal atas talian, saya sedikit terkilan apabila buku terbaru Saudara Zul turut mengguna pakai kaedah yang sama.

Namun, itu tidaklah bermakna apa yang dibukukan itu tiada nilai, cuma kesan terbesar adalah kepuasan membaca itu terganggu apabila banyak sudah tulisan di dalamnya telah terbit sebelum ini.

Kerna, apabila saya membaca tajuk buku yang bakal diluncurkan itu, saya beranggapan bahawa buku ini adalah “sesuatu” yang lain dari sebelum-sebelum ini, yang di dalamnya ada gagasan-gagasan khusus dan tesis baru yang mendokong tajuk besar yang dipilih oleh penulis.

Walau bagaimanapun, keberanian penulis merencanakan kritikan tersusun terhadap golongan mahasiswa dan cerdik pandai universiti wajar diberi penghargaan. Bukan senang untuk berdepan dengan golongan cerdik pandai ini, tambah-tambah apabila inteleknya mereka berleluasa di Facebook.

Rencana pertama yang bertajuk ‘Masharakat Melawan Mahasiswa’ mempunyai ranah-ranah tesis yang cuba di rungkai oleh penulis, yang mendasari perbahasan sepanjang pembacaan buku ini. Tema-tema berkaitan fungsi golongan cerdik pandai universiti dan kritik terhadap inteligensia yang terasing dari tanah bumi, begitu terserlah.

Makanya, apabila penulis menyatakan angka-angka kasar berkenaan pimpinan mahasiswa yang sepatutnya tercetak dan bersedia untuk mendepani massa, dengan mengambil kira semua universiti punya persatuan mahasiswa masing-masing dengan sejumlah pimpinan yang dipilih melalui undi-undi saban tahun, tentulah persoalan ini begitu WAJIB sekali direnung dan dicari jawapannya. Saya menganggap pertanyaan inilah yang paling memberi kesan terhadap pembacaan buku kecil ini.

Untuk yang pernah atau sedang bergelar mahasiswa, melawat kembali persoalan ini adakah begitu kritikal. Nampaknya penulis tidak betah untuk mendepani serangan akibat soalan yang dilontarkan ini, kerana penulis dengan padu telah memberi alasan mengapa beliau tiada teragak untuk bertanyakan sedemikian.

“Orang yang tidak punya rasa tanggung dan jawab kepada masharakat; tidak lebih dari seekor kambing bebiri. Mereka ini dilatih di dalam kandang yang bernama universiti, oleh anjing yang bernama pensyarah, tidak lain adalah hanya untuk makan dan menggemuk. Di akhirnya, mereka akan menyerahkan lipatan leher tenggorok mereka sebagai sebuah korban, balasan kepada penggembala mereka yang bernama kerajaan. Dan yang akan menghisap lelehan darah, menghirup lapisan lemak, menggigit dan menjilat daging sehingga ke tulangan itu ialah kaum pedagang. Mereka inilah tuan kepada penggembala, pemilik sebenar ladang, anjing dan bebiri itu sendiri.”

Jawapan ini tuntas, yang akan menjawab mereka yang cuba menongkah apa yang diutarakan penulis lewat persoalan mengenai ke mana menghilangnya golongan cerdik pandai ini, yang sepi kudus terlarut dalam buaian individualistik, yang tiada asa menuruti semangat Hang Nadim.

Bahkan, jawapan ini juga cerminan pada ideologi penulis yang tidak mesra golongan kanan dan sosok kapitalisme. Dari sini, kita dapat melihat bagaimana penulis menyusun rencana-rencana seterusnya dengan memberi penumpuan kepada kebejatan sosial akibat sikap individualistik dan kesan ‘imperialisme’ kaum pedagang pada nasib anak bangsa.

Menarik juga apabila rencana pertama ini kerap kali mengulang pakai hujah Jose Ortega y Gasset, penulis The Revolt of The Masses, sebuah buku yang mengkritik borjuis-borjuis golongan berpendidikan tinggi yang tidak berfungsi, yang gemar menjadi golongan ‘bandwagon’ pada permasalahan masyarakat sekitar.

Rencana bertajuk 'Masharakat Tidak Perlukan Universiti' adalah begitu tepat pada sasaran. Ditulis pada penutup babak yang menghuraikan kritikan pada golongan mahasiswa, tentulah dengan membalas omongan golongan ‘so-called’ intelektual ini bahawa mereka pendokong utama citra dan harapan masyarakat terbanyak, menjadi timbal balik yang paling berkesan untuk menyedarkan mereka sebenar-benarnya cuma bermimpi di siang bolong.

II.


Saya kira, rencana pertama pada bahagian kedua yang menyentuh isu pendidikan, wajib direnung semula oleh golongan anak muda yang bakal atau telah pun punya anak, tentang pada bagaimana keadaan yang digambarkan penulis ini akan mencernakan satu pandangan alam terhadap generasi mendatang yang akhirnya, mereka inilah yang kita harapkan untuk terus membina ketamadunan manusia di tanah air ini.

Rencana penutup kepada babak kedua ini, cukup menusuk jiwa. Biarpun sudah dibaca sebelum ini dalam sebuah portal Internet, namun begitu garapan penulis dalam rencana ini tidak pernah jemu untuk mengetuk hati saya untuk berfikir dan merenung seketika. Bahkan saya tidak malu untuk mengaku bahawa setiap kali ulang baca, maka setiap kali itulah saya akan mengalir air mata.

Ada beberapa rencana dalam buku ini saya ulang baca, untuk terus memperingatkan diri sendiri tentang kurangnya bakti saya pada masyarakat dan terus berusaha untuk memperbaiki diri. Agar tidak terus menjadi sukarelawan berdaftar, tapi bak kata penulis, turun memakai selipar jepun dan berpijak di atas realiti dan mengkhutbahkan idea-idea untuk membetulkan kembali norma masyarakat dan nilai sosial.

Begitu juga pada babak ketiga, saya mahu memuji penulis kerana berjaya menggarap rencana-rencana yang cukup meruntun hati sanubari pembaca. Rencana-rencana ini mengingatkan saya pada sebuah artikel oleh Cheryl Ann Fernando yang tersiar dalam kolum The Malaysian Insider mengenai berapa lama lagi mahu kita menunggu sebuah perubahan berlaku.

Makanya, kita dapat menyimpul secara mudah di sini, hasil garapan-garapan bertenaga penulis Masharakat Melawan Mahasiswa, kepada keluhan Cheryl Ann mengenai sikap orang kita, pada keseluruhan ini ianya berkisar soal sikap. Soal kita sebagai manusia, soal kita berfungsi dan soal kita bersikap dalam masyarakat.

Hemat saya, kritik penulis pada golongan mahasiswa ini, adalah tepat pada waktunya dan kena pada sasarannya. Saya teringat status penulis mengenai mengapa dia sengaja menulis sebuah buku menujukan kritikan khusus pada golongan mahasiswa, bukan pada borjuis-borjuis kapitalis dan apparatchik penguasa.

Saya merasakan rencana-rencana dalam buku ini menjawab persoalan itu secara jelas. Jika kita (baca: orang muda) tiada cuba untuk mengubah dan berbuat sesuatu dari sekarang, mereka yang tua bangka di tampuk kuasa tidaklah akan menanggung akibat dari kebetahan kita, tetapi mangsanya adalah kita sendiri dan anak-anak kecil di masa hadapan.

Moga penulis terus berkarya dan melawan. Saya menanti tulisan Saudara Zul seumpama Pedagogi Bahasa Tertindas, dan moga dengan itu kekecewaan awal saya terhadap buku ini sedikit terubat.

III.


Cuma yang terakhirnya, mengapa Darth Vader yang menghulur skrol? Saya tidak faham kerana saya bukanlah peminat Star Wars dan langsung tidak pernah menonton mana-mana sekuel filemnya.

Jadinya, signifikan Darth Vader, hingga sekarang tiada ketemu jawapan.

Teguran Buat DuBook Press

Saya membeli banyak judul-judul buku terbitan DuBook. Saya berpuas hati dengan penulis dan penyampaian buku-buku yang saya beli itu. Cuma saya agak terkilan, setelah sekian buku dikeluarkan tetapi masih tiada peningkatan, nampaknya DuBook memerlukan sebuah kumpulan penyuntingan yang lebih berkesan.

Agar, dengannya itu akan berkurangan kecacatan dalam suntingan perenggan, ejaan dan segala aspek teknikal dalam menampilkan susunan kandungan buku yang lebih kemas dan sedap dibaca.

Ini harapan saya pada DuBook (dan Mut). Yang lain-lain itu, sila terus liar dan angkuh.