Saturday, December 20, 2014

Malaysia: Menyingkap Tirai 2015

Saya mahu meminta maaf sekali lagi, sementelah tulisan ini juga merupakan tulisan yang dibekukan – apabila ianya ditulis bersempena sambutan Hari Malaysia ke-51, dan tidak tersiar di mana-mana portal. Walaupun begitu, saya merasakan renungan dalam tulisan ini boleh menerobos tirai 2015 untuk menyingkap bagaimana Malaysia akan masa depannya di tahun mendatang.

Setiap kali menulis tentang Perjanjian Malaysia 1963, atau cuba menyentuh isu ini hati menjadi gusar dan gundah serba tidak mengena. Pertamanya, menyoroti perjanjian ini dan kisah perjalanan janji-janji dalam lembaran perjanjian itu, selaku manusia yang beriman pada makna keadilan dan kebenaran, sudah pasti merasa sugul dengan keadaan janji yang tidak tertunai untuk sekian lamanya.

Kedua, bulan September juga menjadi titik penentuan kepada nasib Scotland dalam gabungan kerajaan United Kingdom. Scotland diikat pada sebuah janji yang dimeterai 200 tahun yang lepas, namun kegagalan Road 10 untuk berlaku adil menyebabkan Scotland mempersoalkan tentang perjanjian tersebut, dan akhirnya mereka membuat keputusan untuk membuat penilaian semula.

HARI INI: Keputusan Referendum Kemerdekaan Scotland menyaksikan undi Better Together mengatasi Yes Scotland sebanyak 10.6%, bermakna majoriti rakyat Scotland memilih untuk terus bersama gabungan United Kingdom.

Ketiga, sudah tentunya musim sekarang UMNO sudah tersedar dari mimpi panjangnya. Malangnya, mereka tersedar dan tidak lupa untuk membawa senjata rahsianya – Akta Hasutan 1948. Gusar juga sedikit kalau tidak banyak pun, kalaulah UMNO melihat tulisan ini seumpama hasutan untuk Sabah dan Sarawak keluar dari gagasan Malaysia.

Persetan rasa gusar di atas, kerana mereka yang membaca mahukan kebenaran. Kerana tiada lain, menjelang beberapa hari lagi kita akan menyambut pula Hari Malaysia ke-51, menandai bahawa perjanjian ini sudah menjangkau umur separuh abad.

Bertepatan dengan tema melawat semula, sudah tentunya nuansa artikel ini ke arah untuk menilai kembali sejauh manakah perjanjian ini ditunaikan. Sebelum kita pergi jauh, persoalan yang mungkin boleh ditanya terlebih dahulu, adakah wajar hal ini dibangkitkan sedangkan kita mahukan suasana yang tenteram dan tiada sebarang rasa kacau bilau?

Benar sekali, semua mahukan keamanan dan ketenteraman, namun begitu, perkara yang lagi utama adalah keamanan dan ketenteraman yang benar dan jujur. Kita tidak mahukan kedamaian yang dibuat-buat, atau perpaduan plastik yang diulang tayang di kaca-kaca televisyen, atau ketenteraman yang cuma sekadar menjadi alat propaganda pihak tertentu.

Justeru, melawat semula dan menulis akan hal ini menjadi tanggungjawab agar masyarakat dapat mengetahui tentang kebenaran, bukan kepura-puraan dan kepalsuan yang sengaja dicipta. Juga supaya warga menjadi lebih bijak dan matang, serta merdeka fikirannya.

18 September ini akan menjadi tarikh penentuan kepada rakyat Scotland sama ada untuk masih bersama dalam penubuhan kerajaan United Kingdom atau memilih untuk memiliki kerajaan yang bebas dari Parlimen Westminster. Scotland mengambil masa lebih dari 200 tahun sebelum rakyat mereka berani membuat keputusan ini.

Mahu diakui ataupun tidak, keberadaan bangkitnya kesedaran bangsa Scottish hari ini perlu berterima kasih terhadap sumbangan media sosial yang begitu besar pengaruhnya dalam menyebarkan antik-antik dan semangat ideologi dalam kalangan masyarakat sehingga ke peringkat paling bawah – suatu perkara yang tidak mampu direalisasikan sekian lama semenjak puluhan dekad yang lepas.

Suatu yang dapat kita belajar dari peristiwa ini adalah, media sosial menjadi agen kepada penyebaran maklumat paling berkesan dan memberi pengaruh kepada bagaimana masyarakat berfikir bermula dari sekecil kanak-kanak sehinggalah golongan berpangkat tinggi dalam kerajaan dan swasta.

Mengapa saya begitu obses dengan kisah Scotland, sebuah negara ‘serpihan’ dalam gabungan UK dan sering menjadikan Scotland sebagai latar dalam penulisan saya terutama bila timbul cerita mengenai Sabah dan Sarawak?

Tiada alasan lain, saya memerhatikan trend di Scotland juga bakal merebak ke banyak penjuru pelosok dunia dan menjadi kisah inspirasi kepada nuansa kebangkitan yang sama di beberapa negara termasuklah Malaysia. Hujah saya adalah, pengaruh media sosial bukan perkara kecil yang mudah untuk dipandang enteng.

Lihat saja bagaimana merebaknya semangat kebangkitan di pelosok jazirah Arab, bermula dari Tunisia pada pertengahan 2010 sehinggalah melata ke sekian luas bumi Arab, juga kebangkitan itu menjengah bumi Afrika. Secara geopolitik rambangnya, kesemua negara yang tersangkut dalam arus kebangkitan ini menghadapi permasalahan yang hampir sama – kezaliman dan kuku besi pemerintah.

Paten ini boleh dijadikan kajian kes untuk melihat sejauh mana kempen berpisahnya Scotland dari gugusan UK akan memberi pengaruh kepada kebangkitan negeri-negeri seluruh dunia yang bernaung di bawah gabungan sesebuah kerajaan mula membentuk arus yang sama, yakni mencetuskan kesedaran untuk berpisah dan membentuk kerajaan yang merdeka dengan sistem pemerintahan yang ditentukan oleh rakyat di negeri tersebut.

Lagi menambah perit, ya, ianya suatu fakta yang benar walaupun menyakitkan bahawa, arus ini bertambah deras dengan bantuan media sosial yang semakin berkembang maju, sehinggakan ianya seolah-olah menjadi tuhan kedua dalam kehidupan umat manusia sekarang – dalam erti kata lain jika tiada Instagram, maka tiada berdenyut segenap nadi generasi muda sekarang.

Analoginya sebegitu rupa untuk memberi gambaran betapa berpengaruhnya media sosial dalam masyarakat pada hari ini. Sudah tentunya perkara ini akan menjadi faktor paling kritikal yang mengabsahkan hujah bahawa apa yang berlaku di Scotland tidak menunggu masa yang lama untuk turut bertandang mesra di tetangga Malaysia.

Sabah dan Sarawak bernaung bersama Malaya pada tahun 1963 membentuk Persekutuan Malaysia berasaskan kesetiaan dan kepercayaan pada sebuah janji yang bernama Perjanjian Malaysia 1963. Kendatipun begitu, jika ditanya secara rawak – petiklah sesiapa sahaja hatta mat rempit di jalanan – tentang adakah Sabah dan Sarawak itu sama majunya dengan negeri-negeri di Semenanjung, mereka pasti boleh memberi jawapan yang tepat mengikut skema.

Hal inilah yang wajib menjadi kebimbangan untuk pihak bertanggungjawab, mereka yang berada di peringkat penggubalan polisi dan rangka kerja kerajaan, pihak yang menjadi turus kepada bagaimana perjanjian ini harus dipenuhi setelah 51 tahun sudah kita mengguna pakai nama Malaysia. Inilah nuansa kebangkitan yang kita bimbang, yang jika ianya mula menjadi parah dan merebak, sudah begitu sukar untuk di undur ke masa silam untuk memperbaiki kesilapan ini.

Ambillah sejenak masa yang masih ada, seketika untuk bertafakur mengenai hakikat ini yang amat menggusarkan sekali. Selaku rakyat yang memegang passport negara yang bernama Malaysia, saya sesekali tidak meredai jika terpaksa kembali ke nama asal – Malaya, sedangkan kita punya peluang yang begitu hambur untuk mengelak dari ianya berlaku.

Jika susah untuk menangkap maksud saya, bacalah coretan ringkas ini. Di negeri manakah pada tahun 2014 masih lagi kedengaran para guru dan murid terpaksa menaiki bot, bertukar pacuan 4 roda dan merentas sungai dipenuhi buaya semata untuk ke sekolah?

Jika tahu jawapannya, atau pernah mendengar coretan yang serupa, sudah pasti anda tahu untuk mengistinbatkan bagaimana kedudukan Sabah dan Sarawak berbanding negeri lain di Semenanjung, sedangkan dalam masa yang sama fakta dan figura-figura ekonomi tidak dapat menafikan sumbangan besar Sabah dan Sarawak terhadap perkembangan ekonomi negara.

Demikian juga hal yang berlaku di Scotland. Mereka menyumbang begitu banyak kepada UK, namun pulangan yang mereka dapat begitu kecil berbanding keperluan yang sewajibnya mereka peroleh. Bahkan lagi teruk, apabila banyak perjanjian asal tidak dipenuhi – menjadikan perjanjian sekadar contengan pada manuskrip kosong yang tiada makna langsung.

Kebimbangan saya berasas. Jika anda berkongsi kesedaran yang sama, anda akan berkongsi rasa bimbang yang sama dengan saya. Tentu sekali kita mahu menyaksikan semua negeri dalam persekutuan ini membangun bersama dan berdiri sama tinggi tanpa ada sebarang diskriminasi, apatah lagi penafian hak yang berlanjutan tiada kesudahan.

Sewajarnya, ulang tahun ke-51 ini menjadi titik mula untuk memperbetulkan kesilapan yang sudah. Jika terus begini, lambat laung – jika ianya tidak sepantas yang disangka – sudah pastinya kisah yang berlaku di bumi Scotland akan berulang di tanah air sendiri. Ambillah iktibar dan pengajaran, belajarlah dari kesilapan dan sejarah lampau.

Moga dengan itu, kita akan terus menjadi sebuah Malaysia yang makmur, maju bersama, adil dan saksama serta rakyatnya bangga memegang passport Malaysia.

SIARAN TERTUNDA: Selamat Hari Malaysia ke-51!