Thursday, November 6, 2014

Manusia dan Lakonan

"There's a difference between playing and playing games. The former is an act of joy, the latter — an act."
Saya memetik tulisan Vera Nazarian dalam diari tahunan yang mengandungi nasihat-nasihat berguna, The Perpetual Calendar of Inspiration mengenai tabiat manusia hipokrit. Manusia yang gemar berpura-pura dan berlakon seumpama malaikat, padahal punya hati yang busuk.

Manusia ramainya, memang begini. Lumrah semula jadi asal penciptaan manusia itu sendiri.

Menurut Tariq Ramadan, kalau diamati tulisan pemikir besar semenjak Socrates, Plato dan Aristotle, dan dari ajaran-ajaran Hindu sehinggalah kepada agama Samawi, manusia memang dilahirkan dengan kecenderungan untuk menolak atau menafikan kewujudan serta kepentingan yang lain dari diri mereka.

Jadi tidak hairan untuk melihat manusia sering berlakon, atau berpura-pura (pretending) bagi mencapai sesuatu maksud. Dalam banyak keadaan, kepura-puraan dan lakonan sebegini tidaklah lain cumalah melakar sikap hipokrit pada diri sendiri.

Manusia akan berlakon menjadi baik, untuk mengampu atau menarik perhatian orang sekitar. Tidak kiralah bagi menyelamatkan diri dalam sesuatu keadaan, atau mudahnya untuk menyakiti orang lain serta merendah-rendahkan mereka.

Kategori manusia sebegini, si hipokrit sepatutnya tiada tempat dalam masyarakat. Jika ada kawan sebegini, tidak mempedulikan lakonan mereka adalah nyata membahagiakan. Jika ada ahli keluarga sebegini, nasihatkanlah mereka supaya bertaubat.

Sepertinya kata Stephen King dalam novelnya Green Mile, demikianlah manusia yang gemar berlakon dan berpura-pura.
"But people love a hypocrite, you know – they recognize one of their own, and it always feels so good when someone gets caught with his pants down and his dick up and it isn't you."
Tentulah perangai sebegini bukan sahaja menyakiti orang lain, bahkan membuatkan orang sekeliling mereka meluat dan benci. Apatah lagi jika mahu dibicarakannya soal hormat – istilah itu langsung tiada dalam kamus perbincangan untuk manusia hipokrit.

Manusia yang gemar berlakon ini, sering kali berlagak umpama bos, tukang milik atau tuan tanah sesuatu tempat. Pada sangkaan mereka, orang yang lainnya akan memandang tinggi padanya sedangkan dia tidak mengetahui akan terlondehnya kain sendiri sedang sibuk berpura-pura.

Mungkin si hipokrit dapat menipu atau menutupi salah kurang mereka pada sesetengah orang lain, tapi tidak pada semuanya. Tuhan Maha Adil, bahkan Dia lagi Maha Tahu.

Jika hari ini mereka terselamat, tunggulah saat kain mereka terlondeh dan menampakkan kemaluan sendiri tanpa sedar. Saat itu, sesal pun tiada guna bahkan akan ditertawakan ramai.

Saya berpendapat, penyakit kepura-puraan ini berlaku apabila manusia begitu pelahap pada perhatian dan penghargaan. Pada si hipokrit, mereka perlukan ini untuk terus hidup. Mereka akan marah atau tidak merasa senang jika ada pihak tidak mengendahkan kewujudan mereka.

Untuk berdepan dengan si hipokrit, jalan terbaik adalah tidak mempedulikan mereka. Biarkanlah si hipokrit dan labu-labunya terus hanyut dibawa arus syok sendiri. Hiduplah tanpa perlu merasa dahaga pada pujian dan kekaguman orang lain.

Usahlah berlakon menjadi baik, tetapi berusahalah untuk menjadi baik. Usahlah berpura-pura prihatin, tetapi hulurkanlah tangan mu berserta hati nurani.

Hidup ini luas. Ertinya yang hakiki tidak diciptakan Tuhan seringkas 2 baris ayat cinta. Usahlah menjadi hipokrit. Hiduplah dengan jujur, nescaya yang itu lebih dirahmati tuhan.