Wednesday, November 12, 2014

Pada Yang Mengatakan; Buli Membentuk Peribadi Kelelakian

Hal buli heboh seminggu dua ini. Padahal, buli dan segala yang sewaktu dengannya tiada pernah terhenti zaman berzaman. Cuma kali ini ianya berbeza apabila dirakam jenayah tersebut dalam sebuah klip pendek.

Awal tahun ini, saya menulis – bercerita sebenarnya – mengenai adik rakan saya yang dibuli di SDAR, Negeri Sembilan. Banyak komentar yang saya terima, banyaknya negatif dari kalangan alumni SDAR, termasuklah khabarnya ada laporan polis dibuat ke atas saya kerana memfitnah.

Saya memilih untuk berdiam. Bertengkar dalam ruangan komen adalah sia-sia, tambahnya pula apabila para pengomel hampir semuanya dijangkiti sindrom kesetiaan membabi buta dalam mempertahankan serta menafikan perbuatan tersebut.

Buli tidak termasuk dalam kata perbuatan sebenarnya. Ianya perlu ditakrifkan sebagai jenayah terkutuk.

Saya perlu mengakui, antara yang mendorong saya untuk banyak kali memberi respons terhadap isu buli adalah kerana saya sendiri pernah melalui pengalaman dibuli.

Walaupun saya tidaklah dibuli seteruk adik-adik saya yang menjadi mangsa dalam klip pendek tersebut, namun apabila namanya buli, ianya tetap membawa kesan yang sama.

Lumrahnya, beberapa kerat akan mendakwa bahawa buli atau pengalaman dibuli membina karakter mereka. Demikianlah hidup mereka sekarang, ianya cuba dijustifikasikan bahawa pengalaman dibuli dulu membentuk peribadi mereka kini.

Dalam mendengar komentar sebegini, mahu juga didengari apa pula kata si tukang buli di hari tua mereka. Menjadi tersangat mulia, atau kini perangai tidak ubah sampah yang bersalut emas?

Pada yang mengatakan bahawa buli membentuk peribadi kelelakian, atau membina karakter yang matang, perlulah ditalkinkan pada mereka hati nuraninya yang sudah mati. Mengapa buah fikir sebegini boleh lahir dari kawanan manusia yang terdidik dalam sistem pendidikan ini?

Justeru, timbul beberapa persoalan dalam benak yang kehairanan. Kerana, pada hakikatnya, untuk seseorang manusia itu menjadi manusia, mereka wajib diberi pendidikan. Kerananya lagi, faham universalnya, hanya pendidikanlah yang mampu berbuat ini.

Jadi mengapa dari sistem pendidikan ini boleh terlahirnya kawanan manusia yang sanggup menerima pakai logik dangkal bahawa buli juga suatu bentuk ‘pendidikan’ sehinggakan ianya dianggap sebagai faktor kematangan mereka.

Ke manakah terbuangnya pendidikan yang menjadi pengantar kepada sistem nilai, kebudimanan tingkah laku dan kesusilaan budaya?

Sudah tentunya akal yang sihat tidak boleh menerima perkhabaran bahawa jenayah ini lagi-lagi pelakunya, mereka dalam kalangan sekolah berasrama penuh yang dihuni kasta cerdik pandai dan sekolah agama yang seharian hidup mereka lazim pada wahyu tuhan yang sifat-Nya Maha Penyayang.

Jika yang terdidik dalam persekitaran sebegini gagal menggarap konsep toleransi, kebersamaan dan kehormatan, bahawa diri manusia itu mulia dan haram dizalimi, diaibkan apatah lagi dicederakan fizikal dan maruahnya, apa lagi harapan yang tinggal?

Saya ingin menyampaikan pesan pada yang mengatakan buli itu lumrah, wajiblah pada mereka menyorot semula pesan yang tersirat pada pepatah bijak pandai, ‘Love thy neighbour as thyself’.

Saya titipkan untuk mereka ungkapan Tariq Ramadan ketika berbicara akan hal toleransi dan kehormatan, dengan merujuk aksiom di atas,

"They call upon us to examine our conscience, to work upon ourselves, and never to forget the need for trust and love, in oneself, of oneself, and in others."