Wednesday, October 29, 2014

Saat Diuji Tuhan

Dan apabila tuhan menegur manusia, sedang manusia itu merasa lemah dan tidak bernilai lantaran keributan ujian yang melanda dirinya, bahawa tidaklah tuhan membiarkan seseorang hamba itu mendabik akan dirinya sudah beriman sedangkan dia belum lagi teruji dengan apa-apa kesempitan.

Demikianlah, wahai diri yang merasa sudah tersepit tidak mampu lagi bergerak bebas lantaran diuji tanpa henti, beringatlah wahai diri sesungguhnya ujian itu tanda tuhan tidak lupa akan kamu. Usahlah bersedih. Berbahagialah. Ukirlah senyum di bibir mu dan hati mu.

Tengoklah akan diri mu hari ini, yang masih tegak boleh berdiri dan berjalan, yang masih bisa mencari jalan keluar dari kepungan asap-asap kegelapan. Lagi terutamanya, kau masih bisa, wahai diri yang diuji, untuk terus rukuk dan bersujud menadah keampunan-Nya.

Maka bersyukurlah. Kerana demikianlah hakikat ujian itu dilanda atas diri mu. Agar engkau terus sujud, dan Dia tidak mengizinkan kau lupa akan kehadiran-Nya. Dia tidak mahu engkau mendepang dada, angkuh dengan sekelumit rasa senang yang ditumpahi.

Ujian itu memasakkan hati engkau pada kaki, untunglah untuk engkau tidak mewarisi rasa sombong sang iblis, mendongak bangga dengan secebis nikmat yang tiada nilai di sisi tuhan. Moga halnya dengan itu, engkau bisa untuk tunduk sehingga ajal menjemput bertemu dengan kekasih abadi.

Demikianlah wahai diri manusia, yang memang tuhan jadikan kita lemah. Kita mudah teresak dengan kesakitan yang menghiris, mengalir air mata tika ujian mengundang hiba, merasa kecil dan seolah-olah tiada jalan keluar.

Namun sedarlah, itu semua hanyalah sementara. Kitalah hamba yang punya asa, sedang tuhan itu yang punya kuasa. Inilah kehidupan, dan inilah soalan-soalannya untuk dicari jawapan. Dan dengan halnya itu tuhan menjadikan masa ini teruji dan diuji. Kita diuji.

Di sana ada kalimah-Nya, susunan kata rayu dan pilihan-pilihan. Untuk kita yang diberi asa. Jangan dibiarkan kesempitan itu mengubah engkau. Melemahkan engkau. Sesungguhnya, engkau insan terpilih.

Tuhan memilih engkau untuk diuji. Berbahagialah. Umpamanya sebutir bintang yang dipilih tuhan untuk terpancar sinar gemerlapannya di langit nan gelap gelita, wahai diri yang diuji, engkau tidak ubah bintang itu di mata Tuhan mu.

Senyumlah. Berbahagialah. Sesungguhnya ujian itu manis untuk mereka yang dicintai tuhannya.