Monday, October 20, 2014

Kegilaan Peruntukan Perbelanjaan Mengurus Bajet 2015

RM223.4 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (Administrative budget) manakala RM50.5 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan (Development budget), demikian yang diumumkan oleh Perdana Menteri +Najib Razak dalam perbentangan Bajet 2015.

Dalam erti kata lain, lebih 80% keseluruhan peruntukan bajet yang diumumkan dihabiskan pada hal-hal pengurusan, pentadbiran, gaji pak menteri, pemulihan dan penambahbaikan.

Selebihnya, kurang dari 20% disediakan untuk hal pembangunan. Hal ini memberi gambaran, tiada penekanan yang serius dari sektor pembangunan, terutamanya yang melibatkan fasiliti teras pembangunan masyarakat seperti penambahan bilangan pusat kesihatan, sekolah dan seumpamanya.

Walaupun Bajet 2015 ada memperuntukkan sejumlah dana bagi pembangunan 12 buah sekolah, beberapa hospital dan jalan raya di beberapa buah negeri, namun ternyata pertimbangan antara peruntukan untuk pembangunan asas ini masih belum mampu menyaingi besarnya peruntukan bagi hal-hal pengurusan.

Soalnya, peruntukan untuk perbelanjaan mengurus ini akhirnya akan ke poket siapa?

Itu yang dibimbangkan, sementelah figuranya begitu besar sekali sehingga melebihi 80% perbelanjaan bajet keseluruhan. Bukannya kita naif sangat tentang bagaimana kerajaan berurusan dalam hal pentadbiran dan pengurusan ini.

Saya petik tulisan Amin Ahmad dalam The Malaysian Insider bertarikh 16 Oktober, tulis beliau;
"Berdasarkan rekod yang ada, belanja mengurus terus berada pada paras yang tinggi dan belanja untuk pembangunan pula menyusut. 
"Pada 2009, perbelanjaan pembangunan berada pada tahap 25.9 peratus. Ia meningkat pada kadar 27.8 peratus pada 2010, sebelum turun pada kadar 23.9% pada tahun berikutnya, 2011. Ia terus menyusut kepada 22.0% pada 2012, 19.1% pada 2013, 16.9% pada 2014 dan menokok sedikit kepada 17.8% pada 2015. Data-data ini tidak mengambil kira tambahan belanjawan yang dikemukakan kemudian. 
"Perlu diingatkan, peningkatan belanja mengurus dan penyusutan belanja pembangunan ini berlaku dalam situasi belanjawan negara terus meningkat dari tahun ke tahun. Jika dikaitkan dengan defisit dan hutang, ternyata masalah yang perlu diselesaikan ialah nafsu berbelanja kerajaan.
Kebimbangan ini amat berasas. Soal komisen yang melampau, peningkatan elaun yang tiada berkesudahan, pengurusan bandar Putrajaya yang tidak cekap dan membazir, majlis-majlis kerajaan yang mewah dan membazir, peruntukan protokol yang tidak masuk akal – semua ini terangkum dalam peruntukan perbelanjaan pengurusan yang diumumkan Najib Razak.

Banyak lagi kalau mahu disenaraikan satu persatu. Bukanlah Bajet 2015 tiada menyentuh langsung soal pembangunan, namun begitu kecil peruntukkannya. Jika mahu diperingatkan semula, 6 tahun lagi menjelang tahun 2020, untuk sekarang ini, di manakah kita berada?

Cerita negeri Sabah dan Sarawak, rasanya sudah berkali-kali Perdana Menteri mengulang janji mengenai Lebuh raya Pan-Borneo. Semestinya, saya mahu menyelak kembali tulisan ini Oktober tahun hadapan jikalau sekali lagi Perdana Menteri mengulang janji yang sama.

Saya berharap dan berdoa, tahun hadapan janji ini tidak lagi berulang untuk sekian kalinya. Kita menyambut apa yang baik dari kerajaan, kerana itulah tujuan kita memberi mandat kepada mereka saban 5 tahun.

Mandat itu ertinya kepercayaan kita pada mereka untuk membuat keputusan terbaik dalam menguruskan kekayaan negara. Agar, pada akhirnya, semua rakyat dapat merasai nikmat secara adil dan saksama.

Saya secara peribadi meletakkan penumpuan khusus kepada beberapa sudut dalam Bajet 2015, setelah meneliti ucapan penuh oleh Perdana Menteri. Beberapa inti pati Bajet 2015 ini begitu menarik minat saya untuk mengikuti perkembangannya secara dekat dalam tempoh setahun mendatang, antara lain kerana ianya begitu dekat dengan saya selaku generasi anak muda, iaitu:
  1. Peruntukan RM100 juta bagi 3 projek perintis 1Malaysia Youth City – walaupun nama projek ini bunyinya skeptikal – di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, namun saya tidak sabar untuk menunggu konsep dan perlaksanaan youth city yang dicanangkan itu.
  2. Pengumuman Skim Perumahan Belia secara perkongsian pintar di antara kerajaan, Bank Simpanan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Cagamas. Secara peribadi, saya begitu teruja dengan pengumuman ini.
  3. Menyediakan dana pinjaman sustainable mobility fund sebanyak RM70 juta bagi membangunkan industri pembuatan kenderaan elektrik dan sebagai permulaan 50 bas elektrik akan diperkenalkan. Semestinya saya tidak sabar untuk melihat hasil dari peruntukan perbelanjaan ini kelak.
  4. Era digital di Malaysia semakin ke depan katanya, apabila diperuntukkan RM100 juta Dana Industri Kandungan Digital Industri bagi memajukan industri kreatif negara. Pada saya, hal ini sangat menarik perhatian. Sudah semestinya kita mahu melihat wujudnya Klang Valley seumpama Silicon Valley. Diharap peruntukan ini tiadalah menjadi sia-sia kelak.
  5. RM2.7 bilion untuk pembinaan seribu menara pencawang telekomunikasi baharu dan pembinaan kabel dasar laut dalam tempoh tiga tahun bagi meningkatkan keupayaan jalur lebar berkelajuan tinggi. Didoakan dengan wujudnya peruntukan ini, pihak penyedia perkhidmatan jalur lebar – Telekom, Celcom, Maxis, P1 Wimax, YES dan lain-lainnya – tidaklah terus mencekik para pengguna Internet dengan kadar bayaran yang tidak masuk akal dan berusaha mengurangkan cas perkhidmatan yang dikenakan.
Juga tidak ketinggalan, apabila Perdana Menteri mengumumkan projek menaiktarafkan landasan kereta api sektor Pantai Timur yang berjumlah RM150 juta, moga-moga Terengganu tidak tersisih dalam projek ini.

Untuk yang lain-lainnya, saya bukanlah pakar ekonomi bagi membincangkan secara mendalam. Biarlah mereka yang berpengetahuan dalam hal perekonomian menilai dan memamah digit-digit yang dinyatakan.

Saya menulis harapan dan tinjauan ringkas selaku orang yang mengikuti isu ini secara dekat, dan keprihatinan terhadap peruntukan perbelanjaan mengurus yang melampau. Asas kebimbangan ini adalah pada sesebuah kekayaan negara itu, wajibnya hadir keadilan dan kesaksamaan dalam urus tadbirnya.

Mengenai soal GST, pengurangan pendapatan kerajaan dan pemansuhan SST, defisit fiskal dan KDNK, percukaian dan pendapatan isi rumah – saya fikir, menunggu dan menilai respons para cerdik pandai ekonomi adalah lebih baik dan menenangkan.

Semoga tanah air ini semakin makmur, diberkati dan dilindungi rahmat tuhan senantiasa.