Skip to main content

Korban di Presint 14

Cerita korban di pagi Aidiladha, biasanya skrip saban tahun tidak berubah banyak. Kebanyakan orang Malaysia punya perangai dan kecenderungan yang serupa. Makanya, saban tahun tiap surau tidak terlepas dengan acara ibadah ini.

Surau As-Syakirin pun begitu. Aidiladha di Presint 14 meriahnya bukanlah seperti di kampung, namun ia punya makna kemeriahan tersendiri. Tak dinafikan, menyambut raya jauh dari keluarga juga menyumbang sekelumit sugul.

Namun, lumrah hidup memang demikian rupa. Katakanlah tuhan mengizinkan saya untuk mengembara jauh – moga dimakbulkan – tidak dapat tidak hal yang begini akan berulang lagi. Maka tiada sebab untuk bersedih, jika itu juga untuk kebaikan masa hadapan.

Nampaknya saya masih tidak dapat melupakan impian itu. Untuk mengembara jauh, untuk pergi tinggalkan segalanya dalam tempoh yang tidak pendek, untuk melupakan seketika kecamukan di tanah air, mencari makna diri, menyelongkar rahsia alam, mencari tuhan dan mampir dengan-Nya.

Itu impian. Tuhan Maha Tahu. Aidiladha ini menggamit saya untuk mengungkit kembali impian itu, agar ianya terus segar dan tidak mati, agar ianya tidak tertelan dalam keributan hidup yang tiada penghujung, agar saya terus menyimpan harapan dan tiada putus doa pada sang tuhan.

Takbir memecah keheningan Subuh, bersambung pula pada acara solat sunat Aidiladha. Pak imam di surau kami bersolat menggeleng kepala, “Saya ingat jin Islam yang azan subuh tadi...” katanya sambil menepuk bahu saya.

Ketika itu kami sedang menunggu tukang sembelih, khabarnya sedang sibuk dengan urusan 6 ekor lembu dikorbankan di surau jiran kami. Boleh tahan juga. Tidaklah begitu menghairankan bilamana surau jiran itu duduknya mereka yang berstatus dan ada nama.

“Oh ustaz, saya ingat pagi hari raya orang tak solat Subuh. Sebab tu surau bergelap,” Saya tersenyum menjawab pak imam dengan nada bergurau, “Lagipun saya tahu nak on-kan speaker. Kira OK la tak lewat sangat azan tadi kan?”

Pak imam mengeluh. Ada sesuatu yang mengganggu benaknya, saya menelah. Kami berbual pendek, seputar Subuh dan solat sunat Aidiladha. Nampaknya kehadiran untuk solat sunat berganda lebih ramai berbanding yang wajib. Pak imam tidak lokek untuk menyuarakan rasa kesalnya.

Saya yakin, ini proses membina manusia – atau jiwa, secara tepatnya. Maka tiada akannya gundah, melainkan tinggal kita untuk bersabar dan terus mengajak.

Cukuplah omelan tentang itu. Lembu kami berbeza dengan yang lain, katanya si tukang sembelih. Tidak gelupur tiada bersusah untuk tumbangkan si lembu ke tanah. Mungkin lembu itu insaf bahawa takdir untuk dirinya menjadi galang ganti korban tanda penyerahan para kariah di kejiranan ini kepada pemilik alam semesta sudah tiba.

Majlisnya meriah. Acara melapah dan mengagihkan daging korban lancar tidak bersisa. Moga tuhan menerima ibadat mereka yang mengambil bahagian. Saya fakir, untuk sekarang ini saya cuma mampu berdoa lain masa akan ada rezeki untuk berbuat perkara yang sama.

Seharian bersama jiran-jiran, saya belajar banyak perkara. Untungnya, dalam keramaian itu tinggal saya seorang diri – tolak adik-adik yang masih bersekolah – masih membujang, yang lainnya sudah berbini dan beranak pinak. Tentulah pengalaman begini cukup berharga.

Selalu juga terfikir, saya lebih senang bergaul dan beramah dengan mereka yang sudah tua dan berkeluarga berbanding rakan-rakan seusia sendiri. Ataupun bergaul dengan adik-adik yang masih bersekolah jauh lebih menyenangkan berbanding kawan-kawan sebaya. Untungnya ada majlis sebegini bila apa yang saya fikirkan itu terasa benarnya.

Walaupun tidak dapat menipu diri sendiri, lawak para pak cik jiran-jiran ini kadang-kala boleh membuatkan muka kita kemerahan menahan malu. Maklumlah orang dah berkeluarga berlawak, cara mereka berlawak tentulah separas dengan pengalaman hidup mereka juga – yang sudah punya isteri dan anak-anak.

Namun begitu, mereka menyenangkan. Mereka bagaikan ayah, apabila saya berbual dengan mereka. Tiada lokek untuk berkongsi apa sahaja ilmu dan petua, dan jenaka tentunya. Mungkin pada mereka, saya yang bertubuh kecil begini seumpama anak mereka sendiri. Sekian kalinya, saya yakin itu juga rahmat dari tuhan.

Keramaian sebegini sebenarnya suatu rahmat, hal yang tampak biasa namun memberi natijah tersendiri dalam pembangunan persekitaran satu-satu kumpulan masyarakat.

Saya mula belajar menghargai perkara ini sedari kepentingannya, bukan hanya untuk mengenal nama jiran sebelah rumah, bahkan begitu kritikal dalam pembentukan personaliti saya selaku warga masyarakat – budiman pekertinya, santun akhlaknya.

Moga korban Aidiladha ini tuhan limpahkan rahmat ke segenap isi rumah mereka yang hadir. Menyatukan yang berpisah, merapatkan yang berjurang, memandaikan anak-anak kecil, menambah rasa syukur pada-Nya.

Kerna pada akhirnya, kita sedari korban itu lambang penyerahan kita pada sang pemilik cakerawala ini jua.

Comments

  1. baru pertama kali di sini, salam. entry best, macam baca novel. dan template blog pun menarik, clean dan simple

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Laila dan Majnun

Telah sampai cherita bahwa pada suatu hari Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan pesuruh2nya supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanyai peri kisah kekasihnya Majnun.

Apabila tiba Laila dihadapannya Baginda bertanya: "Wahai Laila, kau yang kechantikanmu mashhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi!—aku ingin menatap wajah Majnun, ingin tahu sifat rupa yang kau chintai dengan teguh dan jujur itu."

Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun bahwa kekasihnya telah hilang tiada yang tahu kemana.

Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk menchari Majnun hingga dapat supaya dibawa dihadapannya. Pesuruh menchari dikota, dikampung, didusun hingga akhirnya diperpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Disitu beliau mendapat khabar bahwa ada seorang yang berdiam sebatang-kara dipadang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang sudah gila.

Orang itu dibawa kehadapan Baginda Sultan yang, sambil terk…

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…