Tuesday, September 16, 2014

Rintihan 51 Tahun Malaysia

Untuk sekian kalinya, saya menulis hal yang sama. Mengulang dan mengulang tanpa rasa penat rintihan hati dan perasaan.

Saban kali negara ini menyambut kemerdekaan, saya akan menyambung semula rintihan-rintihan ini. Ianya bermula dengan satu soalan, kemerdekaan ini maknanya apa dan untuk siapa?

Merdeka ini di manipulasi ertinya, diinjak dipijak makna sucinya oleh para penguasa sejak sekian lama. Bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia, janji sebuah kemerdekaan itu amat jarang sekali dipenuhi.

Sering kali yang terjadi adalah ianya menjadi alat propaganda untuk mereka yang berkuasa terus berkuasa, yang kaya terus membolot harta dan yang miskin keparat terus melarat.

Ironinya, di setiap negara wujud rancangan televisyen yang menayangkan betapa melarat dan fakirnya rakyat negara yang sedang menikmati kemerdekaan, ada antaranya sudah ratusan tahun merdeka.

Dan permasalahannya, segala rancangan TV ini untuk apa sebenarnya?

Untuk menjadi hiburan para algojo dan pembolot harta?

Di tanah air kita, popular dengan Bersamamu TV3. Ada bermacam lagi kalau nak disenaraikan. Untuk apa rancangan sebegini?

Ironi sungguh tanah airku.

Erti merdeka itu apa kalaulah rakyat yang laparkan sesuap nasi pun masih bergelimpangan di tepian jalanan dan lorong-lorong gelap?

Mengapa negara yang merdeka ini gagal untuk memerdekakan rakyat mereka dari kebuluran dan kesejukan malam akibat tiada tempat berteduh dan tidur?

Di mana mereka yang kita pilih saban 5 tahun saat rakyat kelaparan, ibu dan ayah terpaksa meninggalkan anak-anak dalam rumah yang dibuat dari kotak-kotak kertas untuk mencari sesuap nasi di bandar besar Kuala Lumpur, anak-anak kecil terbiar tiada pendidikan dan makanan di lorong-lorong bandar besar, menjadikan air longkang untuk mandi dan mengutip buangan restoran untuk mengalas perut yang keroncongan?

Kisah begini mahu disambung terus sampai bila? 100 tahun pembentukan Malaysia kah?

Jujur pada diri, tanyalah soalan ini sempena 51 tahun kita bernama Malaysia.

UPDATE: 15 tahun tunggu, orang kampung bina sendiri jalan