Wednesday, September 24, 2014

Muktamar atau Sarkas Pelawak?

Saya diberi rezeki oleh tuhan untuk mengikuti secara penuh Muktamar Pemuda PAS kali ke-55 di Kota Tinggi, Johor minggu lepas, sementelah mendapat jemputan menemani rakan saya yang juga merupakan ahli exco Pemuda PAS Pusat. Mungkin tak perlu saya sebutkan nama beliau di sini.

Di Kota Tinggi, tuah menjadi milik saya. Ramai juga kenalan di Matrikulasi dan UKM – termasuklah alumni – dapat saya bersua muka dan berbincang seputar muktamar yang sedang berlangsung.

Perkenalan awal saya dengan PAS adalah bermula di Matrikulasi Melaka dan dari situlah, saya mengenal erti perjuangan PAS dan berdikit belajar sehinggalah sekarang – walaupun tidak pernah mendaftar sebagai ahli PAS secara formal, namun saya mengikuti rapat perkembangan parti Islam itu.

Jadi tidaklah begitu hairan bilamana perwakilan Pemuda PAS Melaka merupakan ramai kenalan saya dari Matrikulasi Melaka dan UKM. Dan untuk dijadikan cerita bertambah menarik, sepanjang muktamar ini, Pemuda PAS Melaka begitu menyendiri dan tersisih. Mengapa?

Nanti kita ceritakan secara lanjut.

Bermula ucaptama penuh visi KP Suhaizan Kaiat sehinggalah perasmian berapi oleh Abang Mat Sabu, seolah-olah memberi cerminan kegemparan idea bakal melanda sepanjang 2 hari di bumi Kota Tinggi.

Saya menjadi pemerhati. Jadi tugas utama saya sepanjang tempoh itu adalah bermesej dengan rakan saya yang duduk di atas pentas dalam barisan exco, berkomentar mengenai ucaptama KP dan pidato Mat Sabu.

Jangkaan awal saya meleset bermulanya sesi kedua muktamar – pembentangan laporan pejabat Setiausaha dan Bendahari serta perbahasan ucaptama Ketua Pemuda. Rasanya semua maklum kisah ini.

Entah apa yang mahu dirancang oleh sekumpulan puak berkepentingan dalam Pemuda PAS, yang akhirnya menjadi mangsa adalah Pengerusi Tetap, yang terpaksa dikejarkan ke hospital kerana terkejut menyaksikan tingkah laku tidak bertamadun segelintir perwakilan yang kelihatan tidak memahami makna muktamar.

Untung rakan saya merupakan ahli exco, jadinya sebarang kisah dalaman – ya, termasuklah perkhabaran mengenai komplot untuk membatalkan muktamar – juga turut sampai ke pengetahuan saya. Saya mengambil sikap jika benarlah segelintir puak dalam PAS begitu berhajatkan untuk membatalkan muktamar, biarkanlah. Mereka telah membenarkan hakikat PAS.

Hakikat yang tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana ahli PAS, parti itu merupakan parti politik. Soal jenama PAS sebagai jemaah Islam itu tidak lebih seumpama manisan gula yang bertempel di tepi bibir, bila-bila masa sahaja boleh larut dalam air liur oleh lidah yang tidak bertulang.

Pertamanya, apa yang saya faham, jemaah Islam tidak akan bersifat dengan sifat jelik sebegitu. Untuk yang keduanya, kelak kita telusur mengapa.

Bermulanya sesi perbahasan ucaptama Ketua Pemuda PAS – walaupun sebenarnya mereka yang mengikuti muktamar akan merasa pelik bilamana perbahasan laporan Pejabat Setiausaha dan Bendahari seakan sengaja ditiadakan dan terus melompat ke agenda perbahasan ucaptama – kekecewaan menebal berselubung.

Saya masih terbuka walau sedikit terluka dengan perkhabaran mengenai usaha untuk membatalkan muktamar atas kepentingan sentimen yang sempit, namun dengan menjadikan sesi perbahasan ucaptama KP seolah-olah sarkas pelawak adalah begitu mendukacitakan, bahkan menyiat hati sehingga ke pangkal.

Wahai perwakilan Pemuda PAS, ke mana kamu mahu heret parti ini dengan perbahasan-perbahasan yang cuma sedap untuk kenyangkan perut rodong kamu sendiri?

Kamu itu pelapis paling dekat untuk menggantikan barisan hadapan PAS bila-bila masa sahaja, namun kamu hanya mampu berbahas ucaptama KP seputar “Kami Menyokong Presiden” sahaja kah?

Mana idea-idea kenegaraan yang kononnya di canang oleh mulut manis kamu bahawa PAS itu layak menggantikan UMNO dan mentadbir negara ini?

Saya pemerhati yang duduk sebaris dengan beberapa orang pemerhati lain – di kiri kanan dan depan saya adalah tukang provokasi kelas UMNO sehingga tercetus pergaduhan dengan Unit Amal yang sedang bertugas – menjadi tidak keruan bila menyaksikan perangai beberapa orang pemerhati dan perwakilan yang berperangai tidak ubah seperti UMNO di peringkat bahagian.

Setelah lebih separuh abad parti Islam ini berusia, akhirnya begini sahaja kah kualiti kader-kader politiknya?

Saya merasa amat yakin, jikalau Prof Dr. Zulkifli Muhammad atau Ustaz Fadzil Noor datang menyaksikan muktamar Pemuda PAS di bumi Kota Tinggi ini, pasti mereka juga terpaksa dikejarkan ke hospital akibat kejutan jantung melampau melihat betapa selekehnya sikap dan kontangnya idea para perwakilan.

Paling sedih, bilamana perwakilan dari Sabah dan Sarawak terpaksa mengingatkan dewan bahawa hari semalam ketika mereka mula bermuktamar, adalah tanggal bersejarah Hari Malaysia ke-51 namun tidak ada sekelumit pun perkataan diucap untuk menzahirkan sejarah besar tanah air tersebut oleh para perwakilan dari negeri lain.

Jika perwakilan Sabah dan Sarawak merasa kecil hati atas kealpaan para perwakilan Pemuda PAS lain menyelitkan imbauan sejarah dan perspektif mereka terhadap kisah pembentukan Malaysia 50 tahun sudah dalam pidato-pidato “Kami Menyokong Presiden” mereka, sudah tentu seluruh rakyat Malaysia yang mendambakan PAS sebagai sebuah parti yang boleh harap akan berkecil hati juga.

Rakyat yang menaruh harapan pada PAS berkecil hati, tidak lain kerana sepanjang muktamar di Kota Tinggi, Pemuda PAS sibuk berbincang untuk mengenyangkan perut rodong sendiri, bukan melumatkan idea untuk membangunkan masyarakat dan negara ini.

Putarlah semula catatan minit muktamar kali ini jika tidak percaya. Khabarkan pada saya jika ada di mana-mana bahagian dalam minit tersebut yang mencatatkan para perwakilan Pemuda PAS berbahas panjang soal cross-culture leadership, atau masalah pengangguran anak muda, atau strategi dan pengaruh sosial media, atau lain-lain idea yang diutarakan oleh Suhaizan.

Tengoklah bagaimana lesunya para perwakilan Pemuda PAS dalam menyambut perbahasan usul mengenai isu pemilikan hartanah di Iskandar, Johor dan akta draconian di perairan Sabah & Sarawak berbanding giannya mereka berulang-kali bercakap dan terus bercakap soal menyokong Presiden dan Majlis Syura Ulama, soal wala’ dan sayang Presiden, soal fikrah songsang dan pengkhianat.

Walhal, semua ketahuan, dalam dewan itu mereka adalah rata-rata berkelulusan universiti, punya ijazah dan kesarjanaan ilmu dalam bidang masing-masing, namun setakat itu sahaja apa yang mampu mereka bahaskan sepanjang 2 hari bermuktamar. Langsung tidak bersambut apa yang diutarakan oleh Suhaizan. Tahniah pada PAS!

Malulah sikit wahai Pemuda PAS, pada Muslimat PAS yang gagah dengan usul tergempar mereka mengenai mansuhkan Akta Hasutan. Siapa di sini boleh ulang apa dia usul tergempar Pemuda PAS?

Mungkin Pemuda PAS yang tergolong dalam puak ini, boleh menggunakan tagline baru: “Presiden No.1, Malaysia No.2!”.

Sedaya mungkin saya cuba menahan diri dari menghantar tulisan ini ke mana-mana portal media popular lain selain di blog kecil ini, menginsafi bahawa saya tidak boleh mendiamkan diri begitu sahaja dan menyembunyikan kekecewaan terhadap prestasi Pemuda PAS yang selekeh dan kontang.

Cukuplah bebelan ini. Sudah tidak larat nak menulis lagi. Tentang Pemuda PAS Melaka yang tersisih, lain kali lah kita bercerita pula ya.

Moga Pemuda PAS berani berubah. Agar kelak PAS terus kekal dominan dan relevan, bukan semakin dijauhi oleh masyarakat – terutamanya anak muda.