Tuesday, September 9, 2014

Manusia Beriman Seumpama Lebah

Perkongsian dari ustaz semalam di surau kejiranan Presint 14, Putrajaya amat menarik. Beliau membawakan kisah lebah dalam huraian tafsir pada ayat ke-41 surah An-Nur, di mana dalam ayat tersebut tuhan menceritakan perihal makhluk unik bernama lebah dan manfaatnya kepada manusia.

Bagaimanapun, apa yang benar-benar menarik perhatian saya apabila ustaz membacakan sebuah hadis Rasulullah SAW yang menceritakan perihal orang beriman dan mengumpamakan sifat orang beriman itu sebagaimana lebah.
"Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan yang dihinggapinya." 
(Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Al-Bazzar)
Ringkasnya, orang beriman mempunyai 4 sifat ini:
  1. Orang beriman mencari dan memakan rezeki yang halal lagi menyucikan.
  2. Orang beriman, hidupnya memberi manfaat kepada alam dan manusia yang lain.
  3. Orang beriman, jauh sekali untuk menggemari hal-hal yang tidak bermanfaat.
  4. Orang beriman, mereka cintakan kedamaian, menghargai dan mengasihi sesama makhluk.
Lebah secara semula jadi bukanlah serangga berbahaya. Lebah tidak akan menyerang manusia melainkan sarang mereka diancam. Dijadikan cerita 3 minggu yang lepas, secara kebetulan lebah membuat sarang pada pohonan buluh yang kami tanam di belakang kediaman kami.

Malangnya, tindakan beberapa orang anak-anak jiran yang kecil bermain di sekitar pokok buluh tersebut, berkemungkinan menyebabkan lebah-lebah berkenaan merasa terancam dan akibatnya, salah seorang kanak-kanak tersebut disengat. Lantaran itu, sarang lebah tersebut dimusnahkan oleh pihak JPAM – mungkin kerana kebimbangan akan ada lagi serangan lebah selepas itu.

Dan ya, kejadian itu membuatkan saya merasa sedikit ralat. Untuk mendapati lebah membuat sarang mereka secara semula jadi di kawasan kediaman sendiri, sudah pasti hal itu satu perkara yang jarang-jarang berlaku. Bila ianya terpaksa dimusnahkan, sudah tentunya akan ada sedikit rasa ralat. Apa pun, yang sudah itu sudah.

Saya teringat kisah tentang lebah ini bilamana ustaz membawakan kisah tentang lebah pada malam semalam. Dan hadis mengenai sifat orang beriman dan lebah itu menambah lagi rasa kagum saya pada makhluk tuhan yang kecil lagi unik ini.

Saya tidak rasa perlunya huraian panjang lebar tentang hadis di atas. Secara mafhumnya, saya yakin pembaca dapat menangkap maksud hadis di atas. Rasulullah SAW mengibaratkan sifat lebah pada manusia yang beriman.

Pada saya, begitu halus sekali perumpamaan itu. Uniknya lebah, mereka sesekali tidak akan merosakkan bunga-bunga yang mereka hinggap untuk diambil madu dan manisan, hatta sekecil mana pun bunga tersebut. Unik bukan?

Bahkan, mereka menjadi ejen pendebungaan yang membantu bunga-bunga dan tumbuhan makin berkembang biak. Hadirnya mereka membawa kebaikan, pulangkan semula ayat ini kepada diri kita yang mengaku beriman.

Manusia yang hidup di dunia hari ini, rata-rata berlumba mengambil manfaat dari bumi dan alam keseluruhannya. Kita membolot segalanya, dari segala macam mineral dan hasil bumi sehinggalah kepada balak-balak, pertanian, hasil laut dan binatang-binatang.

Akibatnya, manusia tenggelam dalam ketamakan. Manusia memusnahkan bumi yang menjadi tempat tumpangan sementara ini. Manusia jugalah yang menjadikan udara yang bersih semakin kotor untuk dihirup. Manusialah juga yang memusnahkan hutan, laut dan tanah.

Begitu pun, kita masih belum sedar diri biarpun alam ini semakin hancur. Lihatlah bagaimana peningkatan kadar pelepasan karbon dalam udara setiap hari, peningkatannya boleh dikatakan di antara 0.002 – 0.004 PPM.

Saya mengesyorkan pembaca mengikuti perkembangannya melalui graf Keeling Curve yang dikeluarkan oleh Mauna Loa Observatory di Hawaii, sebuah badan yang mengkaji peningkatan kadar pelepasan karbon (carbon emissions) ke udara sejak tahun 1958 yang dikendalikan oleh Prof Charles David Keeling. Boleh mengikuti mereka di Twitter @Keeling_Curve.

Semoga ini memberi keinsafan kepada kita, bahawa benarlah alam ini musnah akibat tangan-tangan manusia jua. Hadis mengenai sifat lebah ini seolah-olah memberi ketukan kepada diri saya sendiri.

Memanglah perbincangan dalam hadis ini mengenai sifat orang beriman itu jauh lebih luas menjangkaui persoalan bagaimana kita bersikap terhadap alam sekitar, namun begitu, saya merasa bertanggungjawab untuk membawa sisi ini dalam penulisan saya.

Demikian halnya orang beriman, sewajarnya kita hidup bersama alam, menyantuni dan menghormati alam di sekeliling kita seperti halnya lebah. Mereka mengambil manfaat dengan alam di sekitar mereka, namun mereka menyantuni alam dan menyayangi mereka.

Kita pula bagaimana, tambah-tambah lagi untuk yang mengaku beriman kepada Tuhan yang Maha Esa. Sudah tentunya kita wajib bermuhasabah. Untuk menjadi yang beriman, akhirnya kita perlu sedar yang kita wajib bermanfaat dan membawa kebaikan kepada orang lain dan alam keseluruhannya.

Maha Kaya tuhan yang bagi-Nya tiada satu pun tara, Dia jadikan lebah bukan sekadar untuk memberi madu kepada kita. Dia jadikan lebah untuk kita ambil pengajaran dari sifat mulia dan nilai yang hidup pada serangga itu. Dia menyuruh kita belajar bukan hanya dari helaian buku, bahkan, lebah turut menjadi buku untuk kita teladani ayat-ayat Dia yang tidak tertulis.

Moga hadis ringkas ini menjadi peringatan berpanjangan kepada kita semua. Santunlah manusia dan alam di sekitar kita. Berbuat baik, hormat dan saling menyayangi tidak membawa apa-apa kerugian pada kita. kerna akhirnya, yang dikira beriman itu bukan pada mulut tetapi hati dan dizahirkan melalui perbuatan dan sifat yang mulia.

Untuk nota akhir, saya tidak menolak jika diberi izin oleh tuhan termasuklah kekuatan kewangan, saya akan membina 3 rumah lebah di belakang kediaman kami di Putrajaya. Menarik bukan, dengan pohonan buluh semakin merimbun dan burung-burung galak berkicau di halaman, rumah-rumah lebah itu kelak akan menambah lagi seri di mini backyard kami, insya-Allah.