Saturday, September 27, 2014

Biar Papa Asalkan Bergaya

Saya membaca kisah seorang gadis Belanda yang menipu keluarga dan rakan-rakanya mengenai trip pengembaraan ke Asia Tenggara, dengan memanipulasikan kemahiran mengedit gambar-gambar sekitar Asia Tenggara yang didapati dari Internet.

Gadis tersebut bercerita mengenai tripnya ke Asia Tenggara di laman Facebook, mengumpul banyak Like dari rakan-rakan dan ahli keluarganya. Masing-masing menyuarakan kekaguman mereka terhadap keberanian dan “how adventerous” gadis tersebut.

Hakikatnya, gadis tersebut tidak pernah keluar dari bilik tidur di rumah sewanya. Apa yang gadis itu miliki hanyalah gambar-gambar yang dikutip merata dalam Internet, gambar posing diri sendiri dan perisian mengedit gambar.

Juga hiasan dalaman biliknya seolah-olah bilik motel, juga mengambil gambar di restoran dan kuil-kuil yang sebenarnya semua itu hanya berada dalam kawasan sekitar Amsterdam. Akhirnya, jalan cerita sebuah trip pengembaraan di Asia Tenggara siap untuk dipertontonkan kepada dunia yang tidak mengenali dirinya yang sebenar.

Sebenarnya, setelah membaca berita ini, saya sedikit pening. Timbul satu persoalan dalam benak saya, memang hidup ini tujuannya cuma untuk buatkan orang lain merasa kagum pada kita sahaja kah?

Saya tidak faham. Mengapa susah untuk jadi diri sendiri atau jujur pada diri sendiri?

Tidak hairanlah mengapa orang-orang tua dulu mengungkapkan gejala suka menarik perhatian orang lain, atau berusaha keras untuk buatkan orang lain merasa kagum pada mereka, biarpun kadang kala apa yang mereka berbuat itu kelihatan begitu pathetic, mendatangkan rasa kasihan pada mata orang yang memandang mereka, dalam sebuah bidalan, “biar papa asalkan bergaya”.

Bidalan itu cukup tepat. Tajamnya pemerhatian orang-orang Melayu dahulu kala terhadap tabiat sesetengah orang dalam kelompok masyarakat yang begitu ketagih perhatian, atau untuk impress orang lain, atau untuk membuatkan orang lain merasa kagum dengan gaya hidup mereka sehingga sanggup menyusahkan diri sendiri, hatta menipu diri sendiri pun!

Saya merasakan, maksud bidalan itu tidaklah hanya menekan pada mereka yang suka bergaya fesyen terbaru biarpun tidak berduit mana, atau berhabis ribuan ringgit menular perabot baru saban tahun walaupun gajinya cuma sekecil siput.

Ianya juga memberi tamparan kepada mereka yang suka meniru identiti orang lain, tidak punya kendiri, begitu sibuk untuk menjadi orang lain dan tidak jujur pada diri sendiri. Perbuatan ini akhirnya mendatangkan resah tiada kesudahan dan kekacauan jiwa.

Pada mereka, asal apa yang orang lain pandang pada mereka mempunyai kelas tersendiri berbanding rakan sebaya yang lain, itulah kehidupan. Padahal mereka berada dalam ilusi dan bayangan. Mereka terkongkong tanpa sedar dalam konsep kehidupan yang dicipta dan ditentu arah oleh orang lain, tetapi mereka patuh mengikutinya.

Pada mereka itu tidak mengapa, kerana itulah kehidupan. Mereka melihat kehidupan itu cuma punya satu lorong sahaja. Jika tidak mengikuti lorong itu, atau tidak punya menjalani kehidupan mengikut spektrum normal yang dibentuk masyarakat, golongan sebegini tiada masa depan atau tiada kelas.

Maka berbondongan mereka itu – contoh jelas si gadis Belanda di atas – cuba meyakinkan sekalian manusia yang lain bahawa mereka telah berjaya dan berada dalam kelas tersendiri. Lain orang lain cara, namun objektifnya sama.

Pada akhirnya, orang sebegini sesat dalam gaya hidup mereka sendiri. Mereka menjadi kacau bilau, suka mempersalahkan orang lain atas nasib tidak baik yang pulang ke pangkuan mereka. Mereka sedaya mungkin mahukan orang lain memandang tinggi tiap apa yang mereka berbuat.

Mereka gilakan perhatian – mungkin mereka sendiri tidak sedarkan hakikat ini.

Mereka akan mencari sebanyak mungkin alasan untuk menjadi justifikasi kepada keputusan mereka, yang hakikatnya mereka cuma lentik pada sebuah konsep kehidupan yang begitu tidak bebas dan terkongkong.

Bebaskanlah wahai diri dari perangai begini. Jadilah diri sendiri dan jujurlah dengan diri sendiri. tujuan hidup ini bukan cuma untuk hal sesempit itu.

Tuhan tidak ciptakan kehidupan ini seringkas 2 baris ayat cinta. Bebaskanlah diri dari terkongkong dalam konsep kehidupan yang normal dalam masyarakat dan jadilah yang berbeza.

Moga dengan itu kamu tidak terpalit dalam krisis identiti - suka bergaya walaupun papa kedana.