Skip to main content

Surat Untuk Masa Depan Masa Kita!

Ke hadapan YB Nurul Izzah yang dikasihi, semoga YB senantiasa dalam rahmat dan lindungan kasih Tuhan yang Esa.

Tujuan menulis surat ini adalah untuk menyampaikan beberapa komentar dan penghargaan – juga mungkin sebilangan kritikan – saya secara peribadi kepada YB Nurul berkenaan kumpulan artikel yang dibukukan dalam makalah kecil berjudul “Masa Depan Masa Kita!” terbitan Karangkraf.

Untuk menghabiskan bacaan buku ini, memenuhi syarat cover-to-cover, agak menggelisahkan dan terpaksa saya mengambil beberapa ketika di pertengahan tempoh pembacaan untuk membelek buku-buku lain. Hal ini kerana Masa Depan Masa Kita! jauh tersasar dari apa yang saya jangkakan sebelum ini.

Ya, saya memperoleh buku ini secara percuma ketika menghadiri Akademi Manusiawi anjuran Centre for Reform. Jadi tentunya tidak boleh tidak saya wajib mengkhatamkan bacaan Masa Depan Masa Kita! dan mampu memberi komentar mengenainya.

Jadi YB, sebelum saya melompat ke tujuan utama surat ini, biarkan saya menceritakan dahulu apa yang saya jangkakan – atau harapkan – dari makalah kecil ini, tentunya seawal buku ini diluncurkan dengan tajuknya sebegitu, secara jujur ia memberi euforia kepada saya.

Tidak lain, tajuk Masa Depan Masa Kita! menggambarkan suatu gagasan besar yang pada saya makalah ini akan dimuatkan esei-esei kritikal berkenaan idea yang menopang maksud sebenar Masa Depan Masa Kita!. Ini merupakan antisipasi awal saya terhadap makalah kecil ini.

Dalam erti kata lain YB, apa yang saya jangkakan dari Masa Depan Masa Kita!, kalau pun tidak menyambung syarahan idea Gelombang Kebangkitan Asia oleh Anwar Ibrahim, sekurang-kurangnya makalah Masa Depan Masa Kita! mempunyai ciri-ciri gagasan sebagaimana rencana Gelombang Kebangkitan Asia.

Saya langsung tidak jangka, rupa-rupanya makalah Masa Depan Masa Kita! cumalah sekadar kumpulan artikel-artikel mingguan YB dalam Sinar Harian, dan tidak berbentuk sebuah buku yang membawa idea yang lebih universal dan melangkaui batasan masa.

Sudah tentu tidak salah untuk YB mengumpulkan dan membukukan artikel-artikel tersebut, namun untuk saya sendiri sebagai seorang anak muda yang memang menantikan suatu jilid idea dan gagasan besar YB akan merasa kecewa apabila makalah yang tajuknya begitu besar tetapi isinya tidak menopang gagasan besar tajuk yang diberikan – Masa Depan Masa Kita!.

YB, pada hemat saya, apabila berbicara soal buku yang diluncurkan, dengan isinya cuma sekadar kumpulan artikel-artikel mingguan di akhbar atau blog, sudah pasti nada setiap artikel tidak mampu melangkau faktor isu semasa yang menyelirat pada minggu-minggu tersebut dan bersifat begitu terkongkong dengan ruang lingkup masa artikel ditulis.

Jadi, teras perbincangan kepada gagasan Masa Depan Masa Kita! tidak dapat dicernakan dengan baik dan kelihatan menerawang. Maafkan saya YB, kerana saya meletakkan expectation yang begitu tinggi sebelum saya mula membaca buku ini.

Saya mengharapkan Masa Depan Masa Kita! kritikal, punya perbincangan falsafahnya yang tersendiri, premis-premis idea yang jauh lebih besar dari sekadar mengulang tayang isu-isu semasa yang sudah mual dibicarakan dalam HarakahDaily, RoketKini dan Suara Keadilan.

Ya, bila disebut buku atau kitab, kalaupun membawa semangat yang sama yakni benci pada ketidakadilan dan ketidakamanahan, sudah pasti ia perlu berbeza corak pembawaan ideanya berbanding artikel di akhbar harian. Ini yang saya harapkan.

Maafkan saya YB sekali lagi, mungkin ini buku pertama YB dan saya merasakan makalah kecil ini tidak layak dinamakan Masa Depan Masa Kita! kerana pengisiannya tidak mencerminkan gagasan besar tajuknya.

Walau bagaimanapun, usaha YB menulis dan memberi faham pada masyarakat saban minggu wajib dipuji dan dihargai.

Sudah pasti sebagai seorang pengundi, kalau boleh saya mahukan wakil saya di Parlimen merupakan seorang yang rajin menulis, berinteraksi dengan masyarakat dengan idea-idea dan kritikan-kritikan yang bernas, bukan sekadar bertelungkup dengan majlis-majlis formal dan cukup bulan mengira duit elaun.

Dalam seramai 222 orang wakil di Parlimen, boleh dihitung dengan jari mereka yang menulis saban minggu dalam akhbar-akhbar. Jarang sekali terdapat ahli parlimen yang lantang menyuarakan pandangan mereka dan berkongsi dengan khalayak di dada-dada akhbar. Dan YB Nurul terkecuali dalam kategori ahli parlimen yang malas sebegini. Take it as a compliment, YB!

Apa pun, teruskan menulis dan berkongsi dengan kami. Saya tertarik dengan gaya penulisan YB yang kelihatan acap kali bermain dengan istilah-istilah yang memberi gelar pada sesuatu perkara. Sebagai contoh, lanun ekonomi, lanun politik, defisit moral dan defisit demokrasi.

Artikel seperti Saksi Kepada Fenomena Dalam Diam, Kita Disuruh Belajar, Keluarga Malaysia Keluarga Bahagia dan Protes Itu Patriotik – dan beberapa lagi – mampu mencuit saya untuk mengulang baca. Entah, seolah-olah ada sesuatu tersirat darinya untuk saya fikirkan apa yang YB tulis dengan lebih jauh.

OK lah YB, saya tidak bercadang untuk berkomentar mengenai Masa Depan Masa Kita! sehingga 1000 patah perkataan. Cukuplah saya mengutarakan apa yang saya rasa sepanjang dan selepas membaca makalah kecil ini.

Sudah tentu usaha YB jauh lebih mulia, menulis dan memberi faham pada masyarakat. Dengan harapan selepas ini YB akan terus menulis dan menerbitkan sebuah buku yang benar-benar menterjemahkan gagasan Masa Depan Masa Kita! – mungkin YB boleh menghuraikan secara panjang lebar antisipasi YB selaku salah seorang lawmakers mengenai laporan Merrill Lynch dan unjuran yang mungkin YB foresee dalam isu ini.

Pasti saya akan menjadi orang pertama beratur untuk membeli buku tersebut!

Moga YB terus istiqamah, memperjuangkan aspirasi reformasi. Perjuangan itu tidak mudah, jalan nan jauh di depan penuh ranjau moga Tuhan sentiasa bersama YB Nurul!

Yang ikhlas,
Ahmad Tajuddin Abdullah
Akademi Manusiawi 001

Comments

Popular posts from this blog

Laila dan Majnun

Telah sampai cherita bahwa pada suatu hari Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan pesuruh2nya supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanyai peri kisah kekasihnya Majnun.

Apabila tiba Laila dihadapannya Baginda bertanya: "Wahai Laila, kau yang kechantikanmu mashhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi!—aku ingin menatap wajah Majnun, ingin tahu sifat rupa yang kau chintai dengan teguh dan jujur itu."

Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun bahwa kekasihnya telah hilang tiada yang tahu kemana.

Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk menchari Majnun hingga dapat supaya dibawa dihadapannya. Pesuruh menchari dikota, dikampung, didusun hingga akhirnya diperpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Disitu beliau mendapat khabar bahwa ada seorang yang berdiam sebatang-kara dipadang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang sudah gila.

Orang itu dibawa kehadapan Baginda Sultan yang, sambil terk…

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…