Monday, July 28, 2014

Salam Aidilfitri 1435H

Alhamdulillah, berkat dan rahmat-Nya sekali lagi menyampaikan kita ke hari yang penuh mulia ini, yang menjadi satu penyaksian kepada kejayaan kita melawan hawa nafsu, mendidik jiwa untuk tunduk kepada fitrah selama sebulan.

Sudah pasti untuk kita yang diberi rezeki untuk menyambut kedatangan Aidilfitri, dan menyambutnya bersama keluarga tercinta, tidak dapat menafikan bahawa inilah antara nikmat tuhan yang wajib disyukuri.

Kita bergembira menyambut Aidilfitri beriringan dengan kesedihan bersama bahawa Ramadan sudah tiada lagi, yakni hanya dengan rahmat ALLAH sahaja memungkinkan kita untuk sampai ke Ramadan yang akan datang.

Tentu sekali, untuk bercakap soal itu, tidak dapat tidak kita akan merasakan betapa kecilnya kita berbanding Tuhan yang Maha Kuasa.

Setiap kali menjelang Aidilfitri, saya gemar mengingatkan diri sendiri bahawa Aidilfitri ini hanya layak untuk mereka yang berusaha tika Ramadan. Mereka yang tidak putus mengejar erti sebenar Ramadan dan mereka yang mampu membawa semangat Ramadan selepas 1 Syawal.

Saya merendah diri akan hal ini, mengingatkan bahawa untuk bergembira sakan menyambut Syawal, sudah tentu diri ini masih belum layak. Untuk mendabik bahawa sudah memenangi ujian Ramadan, kedengarannya seolah-olah sangat menipu diri sendiri.

Cukuplah merasakan bahawa kegembiraan dan kesempatan untuk menyambut Aidilfitri ini adalah tidak lain tidak bukan hanya kerana rahmat ALLAH ke atas diri ini, bukanlah atas alasan merit Ramadan untuk mendapat hak bergembira pada hari ini.

Sambutlah Aidilfitri dengan sederhana, dengan selalu memperingatkan diri sendiri bahawa, Aidilfitri ini cuma untuk mereka yang berusaha. Moga kita tidak termasuk dalam golongan yang membazir dan melampau batas.

Moga rahmat dan keampunan ALLAH senantiasa bersama kita. Moga keberkatan Ramadan mengiringi hidup kita sepanjang bulan-bulan mendatang.

Salam Aidilfitri 1435H buat semua pembaca!