Friday, July 11, 2014

Biarkan Anak Kecil Itu Berlari

Beberapa hari yang lalu, ketika menunaikan solat tarawih di sebuah surau di kawasan kejiranan Presint 14 Putrajaya, seorang yang agak berumur dan kelihatan berpangkat besar – mungkin pengerusi surau – bangun sebelum imam memulakan solat tarawih dan menegur ibu bapa yang membawa anak-anak kecil ke surau dan kemudiannya, anak-anak ini bermain dan berbuat bising.

Pada beliau anak-anak kecil itu mengganggu kekhusyukan beliau untuk bersolat. Katanya, para jemaah – mungkin dia merasakan orang lain turut merasa begitu – tidak khusyuk dengan anak-anak kecil bising dan berlari ke sana ke mari dalam dewan solat.

Lantas disuruhnya ibu bapa yang membawa anak-anak mereka membiarkan kanak-kanak bermain di luar dewan solat, bermakna mereka akan bermain di parkir kereta dan jalan berturap. Saya ketawa kecil dalam hati mendengar rungutan si tua itu.

Saya secara peribadi sudah tentu tidak bersetuju sama sekali dengan saranan sebegitu. Pada hemat saya, kisah budak bermain di surau dan bising ketika orang sedang bersolat ini cerita lama dan sewajarnya untuk era 2014 ini, terbukalah dalam hal kecil begini.

Saya memandang beberapa perkara dalam hal ini, bukanlah tujuan untuk memberi indikasi benar atau salah tetapi sekadar sedikit renungan. Pertama, saya tertanya-tanya benarkah tidak khusyuk itu letaknya pada faktor kanak-kanak bising bermain di belakang jemaah sedang bersolat?

Terus terangnya, saya meletakkan ini sebagai bentuk hipokrasi. Gagal khusyuk dalam solat dan mempersalahkan anak-anak kecil yang bising sudah keterlaluan. Anda bercakap seolah-olah jika sunyi sepi, pasti khusyuk itu hadir dalam solat anda. Hujah sebegini boleh mengundang ketawa.

Saya cuba berfikir, jikalau membiarkan kanak-kanak ini bising, bermain dan berlari, malah kadang kala melintas saf para jemaah ini suatu kesalahan, bagaimana pula Hassan dan Hussein boleh bermain ketika Rasulullah SAW dan para sahabat bersolat di masjid bahkan mereka berdua memanjat tengkuk baginda yang sedang sujud.

Tidak ada pula diriwayatkan oleh mana-mana sumber kisah Umar menjegilkan mata, bangkit menegur Hassan dan Hussein supaya diam, dan memerintahkan Rasulullah SAW supaya tidak membenarkan cucu Baginda bermain ketika jemaah bersolat.

Bukankah main-main oleh Hassan dan Hussein itu mengundang rasa tidak khusyuk solat para sahabat?

Mungkin si tua itu perlu menyelak kembali kisah-kisah Hassan dan Hussein ketika usia mereka kecil dan membesar di persekitaran Masjid Nabawi, agar dengannya mudah-mudahan tidaklah dia cepat melatah apabila ada seorang anak kecil yang sedang mahu belajar hakikat kehidupan menjerit memanggil rakannya dalam dewan solat.

Seperkara lagi, saya yakin ramai yang akan bersetuju dengan kenyataan ini, bahawa membawa anak-anak kecil terutamanya budak lelaki ke surau seawal usia kecil mereka adalah satu langkah bijaksana untuk memupuk rasa kasih pada suasan masjid.

Biarkanlah suasana itu hidup. Biarkanlah anak-anak kecil itu bermain dan berbuat bising di dewan solat. Mereka akan mengerti kerana mereka akan berdikit-dikit belajar. Biarkanlah mereka bermain dan berlari sambil meniru perbuatan tunduk dan bangun para jemaah yang lain.

Ya, berilah ruang kepada mereka. Mereka akan belajar. Kelak kasih mereka pada surau dan masjid akan mekar. Mereka yang tua dan cukup akal untuk berfikir, usahlah bercambang dengan alasan tidak dapat khusyuk kerana anak-anak kecil bising.

Ketahuilah, hipokrasi sebegitu cuma mengundang ketawa. Jadilah Ramadan ini bulan untuk belajar, kalaupun tidak banyak perkara, cukuplah dengan satu – belajar untuk terbuka dalam isu ini.