Tuesday, June 17, 2014

Bola Sepak, Politik dan Masa Depan Sabah & Sarawak (Bahagian 1)

Mengambil semangat Piala Dunia, boleh dikatakan segala-galanya kini seolah-olah berputar sekeliling bola sepak. Bermula daripada iklan di kaca televisyen sehinggalah kepada aturan hidup ketika berlangsungnya Piala Dunia berubah mengikut rentak bola sepak. Malah, tidak mustahil dalam perbahasan Parlimen turut akan terpacul cerita tentang Piala Dunia.

Dalam siri 2010, ketika Afrika Selatan dan pasukan bertanding sibuk dengan persiapan Piala Dunia, Malaysia turut tidak ketinggalan terkena tempiasnya dengan isu lesen judi yang diberikan oleh Najib Razak kepada syarikat kroni Umno-BN Berjaya Groups.

Jadi untuk mengaitkan bola sepak dan politik adalah wajar. Malah untuk membincangkan pergelutan yang berlaku dalam dunia bola sepak tidak akan terlepas daripada keperluan membincangkan peranan politik yang membentuk persekitaran begitu. Kisah Malaysia tidak ke Piala Dunia pun, kalau tidak keseluruhan, maka hampir separuh peratusan faktor kegagalan itu terletak pada kebodohan sesetengah pihak yang tidak pandai membezakan politik dan semangat kesukanan.

Kita tinggalkan dahulu persoalan mengenai kegagalan FAM memacu Malaysia ke Piala Dunia untuk memberi ruang kepada perbincangan yang lebih besar.

El Clásico medan pertembungan politik dan bola sepak


Bagi seluruh peminat bola sepak, istilah El Clásico sudah pasti tidak asing pada pendengaran mereka. Saban tahun peminat bola sepak akan tertunggu-tunggu dua kelab gergasi Sepanyol Real Madrid dan Barcelona berentap. Pertembungan mereka turun-temurun dinamakan El Clásico dan dinobatkan ramai sebagai perlawanan terbesar dalam sejarah bola sepak.

Gahnya El Clásico sehinggakan rating penontonnya menyaingi rapat rating penonton perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah. Cerita mengenai gah El Clásico dalam dunia bole sepak tidak dapat lari daripada hakikat yang menyebabkan perlawanan itu menjadi begitu hangat, iaitu desakan dan pengaruh politik yang begitu membuak di sebalik sejarah.

Sesiapa yang pernah membaca sejarah permusuhan antara Real Madrid dan Barcelona, pasti sedar bahawa kedua-dua kelab tersebut mewakili sentimen nasionalis masing-masing – dua sentimen nasionalis yang cuba disatukan atas nama sebuah negara Sepanyol – iaitu Barcelona yang mewakili nasionalis Catalonia (Catalan) dan Real Madrid mewakili nasionalis Sepanyol (Spanish).

Dalam sejarah pembentukan kerajaan Sepanyol, Catalonia mula menjadi sebahagian Sepanyol sejak 1714. Catalonia mula dinaungi Sepanyol selepas perang berdarah yang meninggalkan Catalonia lemah tanpa sebarang kuasa politik yang berpengaruh lagi. Penaungan yang membentuk kerajaan Sepanyol itu disertai dengan janji politik, yang menjamin pembahagian sama rata kekayaan antara semua negeri yang dinaungi.

Walaupun pertembungan secara fizikal tamat, sejarah mengenai pertembungan sentimen antara dua puak nasionalis terbesar ini tidak pernah surut. Sehinggalah kini, pertembungan itu jelas terpampang dicoret melalui El Clásico, perlawanan bola sepak antara Barcelona yang mewakili bangsa Catalan dan Real Madrid yang mewakili bangsa Sepanyol. Mungkin persoalan yang perlu diteliti bukanlah soal pertembungan bola sepak itu sangat, tetapi yang harus difikirkan ialah mengapa setelah ratusan tahun pembentukan kerajaan Sepanyol, pertembungan bersifat politik nasionalisme ini masih belum dapat diatasi.

Jelas sekali, bangsa Catalan tidak pernah berpuas hati dengan layanan kerajaan Sepanyol terhadap mereka. Banyak janji politik ketika mereka bersetuju untuk berkongsi nasib dengan Sepanyol telah dikhianati secara terang-terangan – bermula daripada usaha tersembunyi pembasmian sedikit demi sedikit budaya bangsa mereka dan bahasa Catalan dalam tempoh tiga abad kemudiannya, sehinggalah kini ke peringkat pembahagian kekayaan negara yang berat sebelah, walaupun Catalonia secara puratanya menyumbang 21% kepada pertumbuhan KDNK tahunan Sepanyol.

Secara demografi, bangsa Catalan mewakili 16% dari keseluruhan populasi rakyat Sepanyol. Namun apa yang mereka terima jauh lebih kecil berbanding apa yang telah mereka sumbangkan kepada Sepanyol melalui hasil bumi, penghasilan tenaga, modal insan dan sebagainya.

Sumbangan mereka penting untuk sosioekonomi negara, tetapi dipandang enteng oleh kerajaan Sepanyol sehinggalah ketidakpuasan hati terhadap ketidakadilan menyebabkan bangsa Catalonia bangkit – bukan hanya diterjemahkan melalui Barcelona membelasah Real Madrid 5-0 dalam El Clásico, tetapi turun ke jalanan membentuk gerakan massa menyatakan hasrat mereka untuk berpisah atau merdeka daripada naungan kerajaan Sepanyol.

Pada tahun 2010, lebih sejuta penduduk Catalonia berdemonstrasi menuntut kemerdekaan. Tahun-tahun berikutnya, jumlah para demonstran bertambah sehingga mencecah 2 juta orang yang semuanya bergerak atas semangat untuk menuntut pembebasan daripada naungan Sepanyol dan memerintah Catalonia secara merdeka.

Mereka berbuat begitu atas alasan yang begitu banyak dan sudah lama terpendam akibat ketidakadilan yang ditunjukkan oleh kerajaan Sepanyol. Mereka mahukan kuasa penuh untuk menentukan sendiri hala tuju rakyat Catalonia yang berjumlah 7 juta itu dan nasib negara mereka.

Jelas di sini, faktor yang memainkan peranan kepada pergelutan ini adalah ketidakadilan dalam tata tadbir sosio-ekonomi dan politik oleh pihak kerajaan Sepanyol. Mereka bekerja keras tetapi imbalan yang mereka dapat begitu sedikit, langsung tidak berbaloi.

“Stand up if you hate the English!”


Jauh di utara Sepanyol, Scotland turut berdepan dengan dilema yang sama. September ini, kurang dari 100 hari lagi, penduduk Scotland akan membuat kutipan suara bagi menentukan sama ada Scotland akan terus berada di bawah naungan United Kingdom atau merdeka sebagai sebuah negara.

Sebelum menyorot lebih jauh kisah perjalanan menuntut kemerdekaan Scotland, mari kita soroti persaingan antara bangsa Scottish dan Inggeris. United Kingdom digunakan sebagai subjek di sini lantaran England sering kali dianggap sebagai UK dan begitulah sebaliknya, biarpun hakikatnya dalam UK itu turut terdiri bangsa Welsh.

Seperti Catalonia yang mula dinaungi sejak tiga abad yang lalu, Scotland juga begitu. Mereka mula menjadi sebahagian daripada UK sedikit lebih awal daripada Catalonia, iaitu pada tahun 1707.

Semenjak tarikh penyatuan tersebut, Scotland berkongsi segala-galanya dengan kerajaan UK, kecuali sistem perundangannya.

Scotland kaya dengan hasil bumi yang tiada pada bumi England, iaitu minyak dan gas. Peratus sumbangan hasil bumi Scotland terhadap ekonomi UK adalah besar. Namun begitu, Scotland berdepan dengan keadaan sama seperti Catalonia.

Scotland berkongsi kekayaan dengan UK, namun imbalan yang mereka dapat sama sekali tidak setimpal. Kesannya, dalam tempoh 20 tahun terakhir kadar kemiskinan di Scotland begitu tinggi berbanding lain-lain wilayah dalam naungan UK. Perangkaan yang dikeluarkan menunjukkan bahawa 1 daripada 5 kanak-kanak Scottish hidup dalam kemiskinan, menyebabkan mereka tidak mampu mendapat akses kepada pendidikan dan kesihatan yang sewajarnya.

Salah satu kajian berkenaan kesan ekonomi terhadap Scotland jika mereka memilih untuk merdeka daripada naungan UK menunjukkan negara itu berpotensi menjadi antara negara terkaya di dunia justeru kepelbagaian sumber hasil bumi dan tenaga yang mereka ada.

Selain minyak dan gas, Scotland mempunyai kuasa penghasilan tenaga melalui angin dan ombak yang bernilai 1 trilion Pound. Nilai dagangan antara negara itu dengan USA pula mencecah 3.6 billion Pound. Itu belum lagi dikira nilai dagangan mereka melalui eksport makanan, teknologi digital dan utiliti yang mencecah nilai 100 billion Pound.

Ekonomi mereka seharusnya makmur jika dibahagikan secara adil oleh kerajaan yang berpusat di Kota London. Kesan daripada ketidakadilan ini, bangsa Scottish mula menunjukkan sentimen mereka di padang bola. Perkara itu boleh dilihat secara jelas apabila England dan Scotland bertemu dalam mana-mana perlawanan bola sepak, antaranya menerusi sorakan terkenal bangsa Scottish terhadap bangsa Inggeris, iaitu “Stand up if you hate the English!” yang bertujuan menaikkan moral mereka dan memalukan penyokong England.

Nyata sekali lagi, bola sepak tidak mampu berpisah daripada realiti politik semasa. Di Sepanyol, El Clásico menjadi medan pertembungan sentimen nasionalisme ini; di UK, pertembungan boleh dilihat pada reaksi bangsa Scottish dan Inggeris ketika skuad masing-masing bertembung di padang bola.

Persoalan yang mahu dibangkitkan di sini, mengapa idea pembebasan dari naungan atau kemerdekaan ini semakin membuak dan tidak dapat ditahan lagi?

Berdasarkan kedua-dua kes ini, jelas bahawa kekecewaan lantaran janji politik yang dimungkiri, ketidakadilan dalam pembahagian kekayaan negara antara negeri naungan, kemiskinan dan jurang pendapatan yang semakin melebar, faedah dan manfaat yang tidak dikongsi secara adil, ketidakupayaan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang bermutu, serta ketidakprihatin pihak pemerintah, menyebabkan rasa tidak puas hati dan tertindas semakin menebal.

Akhirnya, ketidakpuasan ini membawa kepada gerakan massa yang tidak dapat dibendung lagi, apatahlagi apabila sentimen ini setiap masa di pupuk di padang bola.

Masa depan Sabah & Sarawak


Menyoroti kisah di dua negara tersebut menyuntik rasa bimbang terhadap masa depan Sabah dan Sarawak bersama Malaysia – sebuah gagasan besar Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Al-Haj yang berjaya direalisasikan.

Keadaan Sabah dan Sarawak kini tidak ubah sepertimana yang dihadapi oleh bangsa Catalan dan Scottish. Kebimbangan ini amat berasas, itu pun jika pemerintah dan para politikus sekarang mahu mengambil pengajaran dari kisah bangsa Catalan dan Scottish.

Perbincangan mengenai masa depan Sabah dan Sarawak serta hubung kaitnya dengan dua kajian kes di atas akan disambung dalam Bahagian 2 penulisan ini. Namun begitu, sebelum menutup kasus ini, beberapa persoalan perlu difikirkan oleh pembaca.

Pertama, adakah Sabah dan Sarawak menerima layanan yang adil daripada Putrajaya dan, kedua, mungkinkah kisah pertembungan dan tuntutan kemerdekaan di bumi UK dan Sepanyol akan terjadi di tanahair ini kelak?

Seterusnya: Bola Sepak, Politik dan Masa Depan Sabah & Sarawak (Bahagian 2)

-------
Artikel ini disiarkan oleh RoketKini.com pada 17 Jun 2014