Skip to main content

Demokrasi Partisipasi di Parlimen Rakyat

Dalam sistem demokrasi berparlimen, yang di dalamnya ada posisi khas buat Yang Dipertuan Agong selaku ketua negara yang bertugas sebagai penyemak dan pengimbang kuasa badan-badan legitimasi yang diiktiraf di bawah Perlembagaan Malaysia, turut di bawahnya ada Parlimen Malaysia, sebagai simbolik paling agung kepada keutuhan nilai demokrasi di negara ini.

Parlimen ini, di ceruk mana pun di dunia ini, pasti setiap orang akan mengenali dan paling tidak, tahu bahawa Parlimen itu adalah tempat kerja kepada wakil-wakil rakyat yang mereka pilih melalui pilihan raya saban 5 tahun yang di sana mereka bertugas untuk memakmurkan negara mereka dengan menggubal segala macam polisi yang pada akhirnya memberi pulangan semula kepada rakyat seluruhnya.

Juga di Malaysia, fungsi asasi itu tiada yang berubah. Bezanya, Parlimen Malaysia saban penggal pembukaannya meriah dengan cerita-cerita pergaduhan ala kanak-kanak merebut gula-gula, hiruk pikuk dengan pertikaman mulut antara wakil-wakil rakyat yang banyaknya tidak memberi manfaat kepada pengundi-pengundi mereka di kawasan masing-masing.

Juga di Parlimen Malaysia, ada segelintir wakil-wakil rakyat ini menjadikan medan itu sebagai lubuk mencari populariti, dalam banyak hal dan keadaan, sama ada dengan kenyataan-kenyataan yang populis tetapi tin kosong, atau dengan penghinaan dan tuduhan yang tidak berasas, atau dengan hujah-hujah yang berbaur seksisme dan penuh polarisasi, dan juga tidak berkecuali menjadi popular dengan hujah-hujah yang matang dan berwibawa, walaupun hakikatnya ini begitu jarang terjadi.

Ini adalah sedikit gambaran mengenai Parlimen Malaysia, suatu simbolik suci kepada Perlembagaan negara ini. Dalam banyak-banyak gambaran ini, kelihatan tiada partisipasi rakyat awam secara langsung, kecuali hanya ketika proses memilih wakil rakyat sahaja semasa pilihan raya.

Bagaimana hal ini boleh berlaku dalam keadaan kita sedang menuju ke arah Wawasan 2020, yang dalam isinya antara lain menyebut tentang suburnya demokrasi partisipasi.

Sepanjang memahami konsep dan falsafah demokrasi, partisipasi ini memberi maksud berpanjangan, atau wujudnya kelangsungan, atau penyertaan bersama dalam sesuatu proses, atau proses yang dibawa secara bersama-sama tiada terpisah antara dua parti yang mempunyai fungsi yang berlainan.

Parti di sini tidak membawa maksud bersifat parti politik, tetapi kelompok, iaitu kelompok wakil rakyat dan kelompok rakyat itu tersendiri. Rakyat adalah parti yang membuat keputusan untuk melantik sebilangan wakil mereka di Parlimen, lantas ini membentuk parti kedua dalam hierarki kuasa iaitu wakil-wakil rakyat.

Kedua-dua parti ini, jika benar menghormati prinsip demokrasi, hidup mereka tiada berenggang tiada berpisah. Jika salah satu daripadanya tidak menjalankan fungsi mereka, atau dinafikan untuk menjalankan fungsi mereka, maka sistem demokrasi yang dilaung-laungkan ini boleh dianggap separa mati.

Bagaimana untuk melibatkan rakyat dalam perjalanan sistem ini? Atau bagaimana sebenarnya untuk merealisasikan hasrat mewujudkan parlimen rakyat? Sejauh mana sistem ini sebenarnya mahukan partisipasi rakyat? To what extent, soal seorang hadirin yang mungkin baru tamat pengajiannya di bumi Inggeris dalam satu forum mengenai demokrasi partisipasi.

Ini persoalan-persoalan yang boleh ditimbulkan untuk mencari pilihan-pilihan penyelesaian kepada masalah demokrasi yang separa mati di negara ini. Ianya boleh dibincangkan dalam kasus yang cukup luas. Bermula dari akses pengundi kepada maklumat wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing, akses rakyat untuk menyertai perbahasan-perbahasan polisi negara, akses rakyat kepada perbahasan di Parlimen menerusi media yang adil dan telus, sehinggalah kepada akses rakyat untuk datang melawat dan menonton perbahasan di Parlimen, dalam erti kata lain, pergi ke Parlimen.

Hubungan Wakil Rakyat dan Pengundi


Perkara ini merupakan tunggak asas kepada demokrasi partisipasi, juga menjadi asas kepada pembinaan parlimen rakyat. Memberi maksud kepada hubungan wakil rakyat dengan pengundi setempat mereka adalah pertamanya, bagaimana pengundi mengenali secara dekat wakil mereka di parlimen, dalam kata lain mereka tidak dipilih secara semberono atau berdasarkan sentimen sempit ketika pilihan raya.

Hal ini termasuklah soal kematangan dalam memilih wakil rakyat mereka, rekod sejarah dari sudut keperibadian dan kompetensi nya.

Keduanya, selepas mereka dipilih oleh pengundi setempat, bagaimana pula wakil rakyat berfungsi di kawasan tersebut. Adakah pengundi-pengundi mereka boleh mendengar khabar kerja-kerja yang dilakukan mereka, meneliti laporan-laporan tahunan prestasi mereka, membuat penilaian dan konsultasi langsung dengan pengundi mereka di kawasan masing-masing secara berdisiplin terhadap sebarang keputusan atau posisi yang mahu mereka ambil di parlimen.

Mengapa dikatakan sebagai tunggak asas?

Maka inilah jawapannya.

Wakil rakyat atau canggihnya, kita memanggil mereka sebagai ahli parlimen sepatutnya mewakili kepentingan dan sentimen kawasan masing-masing, melangkaui kepentingan dan sentimen parti mereka sendiri apatah lagi kepentingan diri mereka sendiri.

Baiklah, hal ini boleh dibincangkan secara panjang lebar mengenai beza kepentingan parti dan kepentingan kawasan perwakilan dalam banyak keadaan. Banyak kontradiksi, kerana tidak dinafikan juga perlunya segala macam pertimbangan dalam memberati sesuatu kepentingan yang perlu diutamakan.

Mungkin ini boleh dipanjangkan dalam perbincangan mengenai akses rakyat untuk menyertai perbahasan-perbahasan polisi negara dan kawasan setempat pengundi.

Penyahpusatan Kuasa Parlimen Dalam Menentukan Polisi Tempatan


Kuasa membuat keputusan yang dimiliki oleh Parlimen, atau hakikat sebenarnya dimiliki oleh sekumpulan kecil pembuat keputusan untuk segala macam urusan dan polisi, termasuklah urusan dan polisi di kawasan setempat yang sudah mempunyai wakil yang dilantik secara sah menyebabkan demokrasi semakin tenat.

Keadaan ini mengakibatkan pengundi menjadi mangsa utama, dipinggirkan dari sistem sehinggakan ke satu tahap, mereka langsung tidak lagi dinilai dalam pertimbangan keputusan yang dibuat oleh sekumpulan kecil orang-orang yang berkuasa ini.

Mengambil contoh Lynas, kebenaran beroperasi kilang Lynas di Gebeng, diputuskan oleh mereka yang tinggal di lot-lot banglo di kawasan elit Putrajaya. Pengundi di Gebeng, yang setiap hari bakal terdedah dengan bahaya bahan nadir bumi tersebut tidak pula dijemput untuk terlibat dalam proses mereka membuat keputusan. Bunyinya janggal, seolah-olah ada sesuatu tidak kena.

Contoh lain, pembangunan pesat resort-resort dan hotel-hotel di Pulau Redang dan Pangkor, atas nama memajukan industri pelancongan, semua keputusan itu dibuat oleh mereka yang bersilang kaki di Putrajaya, sama ada melalui saluran parlimen atau tidak, tanpa mengira betapa terjejas nya ekonomi nelayan-nelayan kecil apabila ekosistem yang terganggu merosakkan mata pencarian mereka, atau pengusaha-pengusaha rumah singgahan kecil-kecilan apabila hotel-hotel mewah mengambil tempat mereka, atau penjual-penjual keropok sotong yang kehilangan kawasan lapang mereka untuk menjemur produk mereka tanpa lagi tercemar dengan debu-debu pembinaan.

Dalam semua hal ini – sekadar menyebut 2 contoh, ke mana hilangnya fungsi pengundi tempatan dan wakil rakyat mereka untuk mereka membuat keputusan untuk kawasan mereka sendiri, dengan meletakkan kepentingan kawasan masing-masing di tempat teratas?

Apakah fungsi rakyat itu cuma pada hari pengundian sahaja, selepas itu boleh terus balik tidur dan keluar semula 5 tahun kemudiannya untuk memangkah wakil rakyat yang baru pula? Tidak terlintas kah pada benak wakil-wakil rakyat di Parlimen mengenai peri pentingnya untuk pengundi kawasan mereka turut terlibat sama dalam setiap polisi yang dibuat, terutamanya polisi dan keputusan yang memberi kesan langsung kepada kawasan perwakilan mereka?

Buat wakil-wakil rakyat yang berusaha untuk merealisasikan hasrat demokrasi ini, walau dalam keadaan penuh keterbatasan, tahniah diucapkan.

Lintas Langsung Perbahasan Parlimen Yang Berkualiti


Usaha ini sudah wujud. RTM kelihatan cuba merealisasikan hasrat ini. Mengapa dalam usaha mewujudkan parlimen rakyat, untuk menyuburkan praktis demokrasi partisipasi, langkah ini dianggap sebagai penting? Sudah pasti ada justifikasi yang kukuh untuk menyokong langkah ini.

Perlu diakui, memang bukan semua lapisan warga masyarakat boleh terlibat dalam perbincangan-perbincangan polisi, hadir dan membentangkan kerja cadangan bagi kawasan masing-masing, aktif menyumbang idea ketika proses konsultasi terbuka dengan wakil rakyat, dan memimpin sesuatu massa untuk menyatakan bantahan atau sokongan pada sesuatu polisi atau keputusan yang dibuat oleh perwakilan mereka.

Fungsi media, terutamanya televisyen yang menyiarkan perbahasan secara langsung dan versi penuh sudah pasti menjadi salah satu pilihan kepada pengundi-pengundi di kawasan masing-masing mendekati dan mengenali wakil rakyat mereka, dengan mendengar hujah-hujah dan idea mereka di parlimen.

Turut tidak ketinggalan, dari sini mereka akan dapat membuat penilaian langsung kepada prestasi wakil rakyat mereka lantas, ini akan mendidik mereka untuk masing-masing membuat pendirian yang matang sama ada untuk menyatakan sokongan atau bantahan kepada keputusan yang dibuat oleh perwakilan-perwakilan mereka.

Jadinya, dengan penyiaran perbahasan di parlimen secara langsung dengan telus dan jujur maka akan lahir suatu kesinambungan antara para pengundi dan perwakilan yang mereka pilih untuk ke Parlimen Malaysia. Bahkan mereka lebih mengenali wakil rakyat mereka dengan lebih konstruktif, bukan lagi bersifat superfisial atau khabar-khabar angin melalui propaganda media yang sering kali mengangkat hal-hal remeh temeh dan bersifat populis tentang sesetengah perwakilan di parlimen.

Boleh dikatakan bahawa wakil rakyat sudah tidak boleh menipu pengundi mereka lagi, berlakon seolah-olah dewa penyelamat sewaktu tibanya musim pilihan raya, atau berpolitik berlebihan melebihi kerja yang mereka lakukan, atau berpura-pura rajin turun ke kawasan untuk mengambil hati atau meraih politik murahan.

Jadi, bagaimana dengan pilihan ini, demi mewujudkan parlimen yang padanya hidup jiwa-jiwa pengundi, bukan sekadar menjadi tempat lepak minum kopi para ahli parlimen setelah penat bergaduh merebut gula-gula?

Permudahkan Hasrat Rakyat Yang Mahu Mengenal Parlimen


Tidak dinafikan, Parlimen Malaysia boleh dilawati oleh pelawat-pelawat luar, maksud katanya rakyat negara ini dan pelancong asing dengan menghormati etika dan adat-adatnya di sana. Ini jelas tertera dalam laman sesawang mereka.

Tujuan mengungkit hal ini bukanlah untuk menegur soal kawalan keselamatan yang ketat atau etika pemakaian, itu hal biasa dan tidak perlu dipersoalkan. Ia lebih kepada persoalan adakah rakyat yang berhasrat untuk ke Parlimen menggunakan kemudahan sistem pengangkutan awam akan menjadi mudah?

Setakat ini, ia tidak mudah. Pilihan yang wujud adalah teksi dengan kadar cas meter yang sangat mahal bermula dari Stesen KL Sentral. Atau dari mana-mana titik posisi yang bukan dalam jarak untuk berjalan kaki. Untuk pilihan yang murah, anda perlu menaiki bas, yang hakikatnya bas ini juga tidak melalui bangunan parlimen secara terus ke pintu parlimen, tetapi turut memaksa penumpang untuk berjalan kaki dalam jarak bukan lagi boleh dikira sebagai sesuai untuk berjalan kaki.

Jika anda menaiki kenderaan sendiri, sudah pasti hal ini tidak menjadi persoalan. Subjek utama ialah rakyat, yang menaiki kenderaan awam, yang mungkin terdiri dalam kalangan para mahasiswa yang mahu mengenal parlimen, para penyelidik universiti yang datang dari bandar luar Kuala Lumpur menaiki bas, pelajar-pelajar sekolah – juga mungkin ada – yang bersemangat untuk mengenal parlimen, dan ramai lagi dalam taburan ini yang akan menghadapi kesukaran untuk ke parlimen, satu halnya ialah mereka tidak mampu untuk menikmati perkhidmatan teksi yang selesa lantaran cas yang tinggi.

Mari kita soroti beberapa contoh di luar negara mengenai akses kenderaan awam terus ke muka pintu utama parlimen mereka. Di United Kingdom, orang awam boleh ke Parlimen Westminster dengan menaiki Tube mereka dan berhenti betul-betul di depan bangunan parlimen melalui Stesen Westminster.

Di Washington DC, sistem Subway mereka boleh terus membawa orang awam ke bangunan The Capitol yang stesennya benar-benar di tingkat bawah tanah bangunan tersebut.

Di Canberra juga, Parlimen Australia meskipun menerusi perkhidmatan bas, namun bas tersebut mampu menghantar orang ramai terus ke pintu depan parlimen mereka.

Di Moscow, bangunan State Duma mereka dikelilingi oleh tiga stesen Metro yang jaraknya cuma beberapa minit berjalan kaki.

Di Malaysia juga sedang rancak dengan pembinaan rangkaian MRT, namun satu stesen pun tidak diusahakan untuk melintasi kawasan parlimen atau kawasan yang berdekatan dengan parlimen dalam jarak berjalan kaki.

Di mana silapnya sehinggakan hal ini terlepas pandang oleh penggubal polisi pengangkutan awam.

Sudah pasti, jika hal ini diambil kira pandangan dan undian orang ramai, bangunan Parlimen Malaysia akan lebih meriah dengan para pelajar sekolah, mahasiswa, guru-guru dan penyelidik yang datang untuk menyaksikan perbahasan di parlimen dan menyelami suasana praktik demokrasi di peringkat Dewan Rakyat.

Mengapa perlunya memudahkan cara ke Parlimen? Mengapa perlukan sangat menggalakkan rakyat ke Parlimen?

Tidak lain tidak bukan, memudahkan rakyat untuk mengenal parlimen secara lebih dekat juga merupakan salah satu kewajipan kerajaan dalam memberikan pendidikan politik kepada pengundi.

Lawatan-lawatan sebegini akan menjadikan mereka lebih mengenali sistem yang melingkari negara ini, dan rakyat akan merasakan bahawa mereka juga sebahagian daripada sistem bernegara, meyakinkan mereka bahawa mereka juga merupakan anggota terpenting dalam struktur kerajaan, yang akhirnya akan membolehkan sesebuah kerajaan itu berfungsi dengan baik.

Jika mahu ditulis secara panjang lebar lagi mengenai demokrasi partisipasi dan usaha mewujudkan parlimen rakyat sudah pasti memerlukan lebih panjang lagi perbincangan. Namun begitu, 4 persoalan yang ditimbulkan ini, yang turut bersifat cadangan sangat perlu dilaksanakan.

Mungkin ada antaranya bersifat abstrak dan memerlukan praktis yang lama untuk disuburkan, tetapi ada juga yang bersifat materi, yang boleh dilaksanakan dalam kadar yang segera.

Justeru, Malaysia harus sedar tentang hakikat demokrasi negara ini sudah separa mati. Berbuat lah sesuatu dengan segera, bertindaklah dengan pantas agar nyawa demokrasi negara ini boleh diselamatkan sebelum terlambat.

Alirkan rakyat supaya mereka boleh terlibat sama dalam pembentukan negara ini. Menganggap rakyat cuma sekadar alat untuk pihak-pihak tertentu kekal berkuasa, untuk mendapatkan habuan peribadi, sudah pasti buat mereka yang berfikiran begini tidak akan kekal lama di kerusi Parlimen.

Saksikanlah!

-------
Artikel ini disiarkan oleh RoketKini.com pada 6 Mei 2014.

Comments

Popular posts from this blog

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…

Laila dan Majnun

Telah sampai cherita bahwa pada suatu hari Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan pesuruh2nya supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanyai peri kisah kekasihnya Majnun.

Apabila tiba Laila dihadapannya Baginda bertanya: "Wahai Laila, kau yang kechantikanmu mashhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi!—aku ingin menatap wajah Majnun, ingin tahu sifat rupa yang kau chintai dengan teguh dan jujur itu."

Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun bahwa kekasihnya telah hilang tiada yang tahu kemana.

Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk menchari Majnun hingga dapat supaya dibawa dihadapannya. Pesuruh menchari dikota, dikampung, didusun hingga akhirnya diperpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Disitu beliau mendapat khabar bahwa ada seorang yang berdiam sebatang-kara dipadang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang sudah gila.

Orang itu dibawa kehadapan Baginda Sultan yang, sambil terk…