Saturday, May 3, 2014

Bersediakah Malaysia Ke Arah Pendemokrasian Maklumat?

Dalam pembentangan Belanjawan 2013 oleh Dato’ Seri Najib, antara perkara menarik ialah kerajaan akan mewujudkan 100 Pusat Internet 1Malaysia di kawasan perumahan rakyat.

Manakala laporan Bernama bertarikh 24 Julai 2013 memetik, sehingga kini kerajaan sudah wujudkan 4,210 Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia di seluruh negara menerusi Program Perkhidmatan Penyediaan Sejagat.

Dari dua keratan perkhabaran ini, kita dapat mengagak, Malaysia masih punya nafsu untuk menjadi negara yang subur demokrasinya, kalau tidak sekarang, sudah pasti cita-cita ini untuk Malaysia masa hadapan. Ketika itu, mungkin bukan lagi UMNO yang mengisi ruang-ruang pejabat di Putrajaya.

Penulisan ini tidak bercadang menyentuh isu keberkesanan pelaksanaan projek-projek ini secara langsung, tetapi lebih untuk menarik perbincangan mengenai sejauh manakah komitmen kerajaan ke arah usaha mendemokrasikan maklumat di Malaysia.

Umum memahami konteks maklumat yang disebut di sini adalah merangkumi segala aspek dan sudut maklumat, bermula dari fakta-fakta sejarah di buku-buku teks sekolah, perkhabaran berita saban hari merangkumi politik, ekonomi, sukan dan sebagainya menerusi media cetak dan elektronik, laporan-laporan prestasi dan audit jabatan-jabatan kerajaan – bahasa mudahnya, maklumat-maklumat kerajaan, ketelusan setiap perjanjian yang ditandatangani yang melibatkan dana awam dan kepentingan awam.

Juga termasuk dokumen kritikan-kritikan sosial oleh individu, kumpulan NGO, parti politik, seniman-seniman terhadap kerajaan menerusi penulisan karya, buku, makalah-makalah, risalah penyelidikan universiti, filem-filem dan apa sahaja menerusi cabang-cabang seni termasuklah lagu seperti mana yang ditonjolkan oleh P. Ramlee dan Sudirman menerusi karya-karya mereka.

Juga dalam artikel yang lepas mengenai demokrasi partisipasi dan parlimen rakyat, sebenarnya turut merupakan cabang kepada pendemokrasian maklumat apabila (jika) kerajaan sanggup untuk mempertontonkan perbahasan parlimen secara langsung tanpa suntingan-suntingan yang bersifat menyembunyikan kebenaran.

Juga tidak ketinggalan, pendemokrasian maklumat ini juga boleh dihitung secara kuantitatif dari sudut kebersediaan kerajaan meningkatkan lagi jumlah peruntukan dalam belanjawan tahunan di semua peringkat untuk memajukan lagi sektor perpustakaan awam dan toko-toko buku yang prolifik, yang menjadi pusat penjanaan minda dan wacana ilmu kepada masyarakat, dari sudut meningkatkan jumlah perpustakaan awam di kawasan yang masih belum wujud kemudahan tersebut, dan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kuantiti bahan rujukan yang berkualiti.

Juga di era serba moden sekarang, sudah pasti termasuk dalam perbincangan ini kebebasan maklumat menerusi internet dengan kelahiran jargon dalam talian seperti Google dan Facebook. Malaysia tidak terkecuali terkena tempiasnya. Ia sama ada kerajaan cuba mengawal, tetapi tidak mampu atau memang kerajaan berhasrat ke arah pendemokrasian maklumat.

Fakta Sejarah Yang Prejudis dan Berpihak


Dalam pembentukan bangsa yang utuh nilai dan peradabannya, sejarah adalah titik penting yang menentukan sama ada jalur pembinaan ini terus ada kesinambungan atau terputus di tengah jalan. Acap kali kedengaran kritikan dan teguran terhadap kerajaan mengenai catatan sejarah yang di seleweng, yang dipenuhi dengan prejudis dan sangat berpihak kepada parti memerintah.

Tunku Zain ‘Al-Abidin, pengasas IDEAS, dalam satu kenyataannya beberapa tahun lepas pernah menyeru agar sejarah dikembalikan kepada rakyat.

Tujuannya tidak lain, supaya sejarah tidak diadili oleh pihak yang berada di atas semata-mata tanpa mengira peri pentingnya sejarah turut meraikan komponen rakyat yang merupakan penggerak utama kepada setiap lekuk sejarah yang berlaku di tanah air ini. Maka untuk merealisasikan hasrat ini, perlunya wujud demokrasi dalam pengumpulan fakta sejarah dan inklusiviti dalam menyenaraikan sumbangan dan jasa variasi kelompok masyarakat.

Sudah pasti jika ditanya sekarang bagaimanakah situasinya, jelas masih samar apakah kerajaan mahu menyahut seruan sebegitu. Sifir yang mudah, penyelewengan sejarah merupakan hegemoni sesebuah kerajaan yang diperintah oleh parti pemerintah yang tidak demokratik, tetapi buat-buat berani untuk bermain di lapangan demokrasi. Ini real politik sesebuah parti politik untuk mengekalkan kuasa mereka.

Sudah tentu jika dinilai dari sudut ini, Malaysia masih jauh lagi untuk menjejaki zaman maklumat menikmati demokrasi dengan meriahnya.

Kebebasan Seniman Berkarya


Tulisan ini akan membawa penulis dan pemikir-pemikir itu juga sebagai seniman. Seniman dalam konteks keupayaan intelektual mereka. Sudah pasti rata-rata peminat filem masih mengingati tragedi pengharaman Filem Gadoh pada tahun 2009 daripada tayangan umum di pawagam-pawagam. Filem yang bagus, mempunyai mesej yang jelas, dibintangi pelakon yang memang berjiwa seniman, disekat atas alasan yang begitu keanak-anakan.

Juga lagu-lagu dan pementasan teater yang diharamkan, senaraikan sahaja bilangan mereka yang menjadi mangsa, atas alasan yang sangat destruktif, merupakan tragedi malang kepada perkembangan maklumat seterusnya menyuburkan idea di bumi Malaysia.

Terbaru, larangan penyiaran filem Noah arahan Darren Aronofsky di Malaysia, nampaknya sekatan ini diketawakan dunia seluruhnya. Jika filem seranum Noah, dalam erti kata boleh menjadi satu gelanggang untuk dipertembungkan segala macam idea dan kontradiksi melaluinya, pun tidak mampu untuk menikmati demokrasi di negara ini, bagaimanakah nasib yang lain?

Juga pengharaman buku-buku karya penulis yang sedikit berbeza konotasi mereka dari sudut idea mereka apabila kelihatan ia berada di luar spektrum yang difikirkan masyarakat kebanyakan. Tragedi pengharaman buku memang menyedihkan.

Menyekat idea dari bertunas dan di kembang oleh masyarakat yang berhasrat ke arah itu terutamanya dengan pengharaman buku-buku yang ditulis, merupakan jenayah paling kejam dalam sejarah perkembangan peradaban makhluk manusia.

Jika melihat dari sudut ini, Malaysia seolah-olah terkapai-kapai lagi dalam arus yang deras untuk mencapai cita-cita membina sebuah masyarakat yang bebas dan bermaklumat.

Pelaburan Masa Hadapan Masyarakat Menerusi Perpustakaan Awam


Dalam satu artikel menarik yang diterbitkan dalam blog London School of Economics (LSE) yang mengkritik polisi pemotongan dana kerajaan tempatan kepada perpustakaan awam di UK setelah berlakunya krisis kejatuhan kewangan global, dengan lebih mengutamakan perbelanjaan pada lain-lain sektor yang mempunyai nilai pasaran dan kebolehuntungan, mempersoalkan bentuk negara UK yang bagaimanakah para ahli politik mahu lihat akibat keputusan tersebut.

Keputusan ini turut menarik perhatian J.K. Rowling dalam komentar beliau, “Ini adalah keputusan kita. Ianya menunjukkan siapa kita sebenarnya, bukan keupayaan sebenar kita.”

Memang tidak dinafikan dalam kegawatan ekonomi, perlunya ada sektor yang terpaksa menghadapi kesan pemotongan belanjawan. Persoalannya, kenapa para ahli politik yang menggubal polisi ini memilih perpustakaan awam menjadi mangsa, berbanding sektor-sektor yang lain. Jadi ini menterjemahkan belang mereka yang sebenar terhadap ilmu dan maklumat.

Kritikan yang ditimbulkan ialah, sejauh manakah komitmen negara terhadap perpustakaan awam yang menjadi enjin mobiliti sosial dan pendemokrasian akses kepada maklumat dan sumber. Tidak dinafikan bahawa perpustakaan awam merupakan infrastruktur yang teramat penting dalam pembangunan masyarakat, sehinggakan kepentingannya itu dianggap melebihi kepentingan pembinaan jalan-jalan raya dan rangkaian kereta api.

Itu kisah di UK. Di negara kita, saban tahun perpustakaan awam tidak begitu mendapat perhatian yang khusus dalam pembentangan belanjawan tahunan. Kalaupun ada, belanjawan untuk perpustakaan awam kebiasaannya cuma bertaraf “sub-con” kepada sektor yang lebih besar dan membawa pulangan ringgit berbanding sektor ilmu dan maklumat ini.

Meningkatkan kualiti perkhidmatan dan menambahkan kuantiti bahan dan sumber yang bermutu tinggi di setiap perpustakaan awam wajib di pandang berat oleh kerajaan.

Ambil cakna terhadap polisi perpustakaan awam menterjemahkan keseriusan negara dalam usaha pembentukan masyarakat yang bermaklumat, matang dan demokratik. Memang tidak dinafikan bahawa perlunya juga berdikit-dikit mewujudkan polisi-polisi ke arah penswastaan perpustakaan agar wujudnya persaingan dan pasaran, dan dengan persaingan sebegini, akan memberi manfaat kepada rakyat dari sudut pendemokrasian maklumat yang lebih mampan, dan penawaran perkhidmatan yang lebih baik.

Malah ini turut akan memberi rakyat lebih kuasa dan manfaat dari polisi penyahpusatan kuasa kerajaan terhadap institusi perpustakaan awam. Namun begitu, polisi sebegini harus di bincang dengan mendalam. Tanpa menafikan, buat masa ini, kerajaan perlu berfungsi dalam hal ini terutamanya dalam penyaluran belanjawan tahunan.

Mencontohi Model Perpustakaan Yayasan Kepimpinan Perdana


Dalam perbincangan mengenai hal pendemokrasian maklumat di Malaysia, Perpustakaan Yayasan Kepimpinan Perdana boleh dijadikan model contoh bagaimana sewajarnya sesebuah perpustakaan awam itu berfungsi dan menyediakan khidmat.

Perpustakaan ini asasnya diwujudkan untuk mengumpulkan semua bahan, buku dan artifak mengenai kesemua Perdana Menteri Malaysia termasuklah juga sebarang buku yang memberi komentar negatif terhadap mereka.

Apabila perpustakaan yang diwujudkan di bawah sebuah yayasan yang bertujuan untuk mengekalkan legasi pemikiran deretan perdana menteri, sebagai tonggak kepentingan utama mereka, boleh meletakkan buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times bersebelahan dengan A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad, hal ini boleh dianggap sebagai rarity dalam masyarakat negara ini.

Pujian harus diberikan, kerana mereka berupaya meraikan demokrasi maklumat dalam konteks perpustakaan itu wujud jelas menjurus pada kepentingan terhadap pengekalan legasi mereka semasa memerintah, terutamanya Tun Mahathir, bermula dari pintu utama bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di Presint 8 Putrajaya lagi.

Bahkan perpustakaan tersebut turut memuatkan judul-judul buku dan magnum opus karya pemikir-pemikir agung yang bertentangan ideologi mereka dengan pembawaan dasar pemerintahan Malaysia, termasuklah Das Kapital dan Manifesto of the Communist Party yang diletakkan bersebelahan dengan karya agung berjudul Menjuarai Transformasi tulisan Najib Razak.

Boleh dikatakan sebarang buku atau tulisan pendek yang mengkritik hebat dasar setiap perdana menteri, malah sehinggakan kepada karya yang membuat pendedahan yang kontroversi sebagai contoh, Altantuya dan keborosan perbelanjaan kerajaan dalam UMNO-Nomics turut dimuatkan dalam senarai bahan yang boleh didapati di sana.

Ini antara gambaran mudah dalam skop yang kecil tentang pendemokrasian maklumat, yang berlaku dalam konteks sebuah perpustakaan biayaan penuh dari kerajaan. Nampaknya, dalam kawasan perpustakaan yang kecil ini, boleh didapati di sana sebuah gelanggang idea dan maklumat yang saling bertentangan, bebas dari sekatan-sekatan, subur menghijau untuk di bahas dan diambil manfaatnya.

Boleh jadi contoh ini keterlaluan, atau tidak cukup untuk gambaran sebuah masyarakat yang menikmati era demokrasi maklumat dalam bentuk yang sebenar. Namun begitu, tinggalkan keraguan itu kerana dari sini, kita boleh menjadikan ia sebagai model untuk yang lain-lain turut berkembang dan ikut contohnya.

Justeru, untuk menutup tirai, setelah meneliti sudut-sudut pendemokrasian maklumat di atas dalam pada banyak lagi yang belum disebutkan dalam penulisan ini, menjawab kah persoalan utama, adakah Malaysia bersedia ke arah pendemokrasian maklumat dan pembinaan masyarakat yang bebas berfikir, bermaklumat dan akses kepada pelbagai sumber yang kontradik terhadap spektrum pemikiran semasa?

Masing-masing bina lah kesimpulan sendiri. Dari sudut penulisan ini, kelihatan Malaysia masih buntu dalam membuat pilihan apakah corak batik yang mahu dipakainya dalam majlis makan malam bersama Presiden Obama kelak, untuk dipersembahkan kepada dunia luar, supaya tidaklah nampak kolot sangat dan tidaklah juga nampak melebih-lebih dari delegasi Uncle Sam.

Mungkin kita masih teragak-agak dengan keupayaan sendiri. Mungkin.

-------
Artikel ini disiarkan oleh RoketKini.com pada 3 Mei 2014.