Tuesday, April 29, 2014

Memperingati 4 Tahun Pemergian Aminulrasyid Amzah

Sabtu yang lepas, 26 April genap 4 tahun pemergian Aminulrasyid Amzah. Moga roh beliau aman dan tenang di sana. 4 tahun sesudah pemergian arwah, kes ini masih belum mendapat keadilan yang sewajarnya. Malah tidak mustahil jika rakyat Malaysia yang menangisi pemergian arwah dan mencela kekejaman polis pun sudah makin melupai kes ini.

Dalam tempoh 4 tahun, keluarga mangsa terpaksa berdepan ujian ini bersendirian, walaupun ada pihak yang cuba membantu namun kegagalan institusi perundangan yang sewajibnya menjalankan tugas menegakkan keadilan tidak berfungsi dengan sebaiknya, maka inilah hakikat yang kita semua wajib telan.

Janji demi janji yang dibuat oleh para pemimpin yang suka mendustakan janji mereka, walaupun ditagih oleh keluarga mangsa, langsung tidak diendahkan. Moga tuhan memberi kekuatan kepada ibu dan keluarga arwah untuk terus kuat mendepani ujian ini.

Pada saya, menulis dan memperingati pembaca mengenai kes ini, mengenang kekejaman yang telah berlaku merupakan antara usaha yang boleh menjadi peringatan kepada kita sesungguhnya jalan untuk mencapai cita-cita Malaysia sebagai sebuah negara yang adil dan saksama pada rakyatnya masih jauh lagi untuk ditempuhi.

Memperingati pemergian adik Aminulrasyid Amzah juga antara lain untuk terus kita mengenang betapa masih ramai lagi yang turut menjadi mangsa ketidakadilan sistem dan kerapuhan nilai dalam negara ini, yang akhirnya mangsanya bukanlah mereka yang siang dan malamnya membolot harta negara tetapi mereka yang tidak bersalah.

Jika disenaraikan satu demi satu mangsa yang sudah lama meninggalkan kita, sudah pasti akan mengalir air mata, sedihnya mengenangkan betapa tanah air ini tidak lagi boleh menjanjikan sebarang kemerdekaan pada jiwa-jiwa yang hidup di atasnya.

Biarlah saya terus menulis saban tahun memperingati pemergian arwah Aminulrasyid Amzah, jika ia tidak memberi kesan kepada orang lain tetapi saya sendiri, begitu memerlukan peringatan ini sebagai tonik agar terus kuat untuk bekerja mencapai cita-cita membina sebuah negara yang lebih baik, yang di dalamnya terkandung sistem perundangan yang adil pada semua, yang boleh menjanjikan rasa selamat dan kemakmuran pada penduduknya.

Tragedi berdarah ini merupakan ingatan kepada kita semua untuk bangun, bangkit melawan ketidakadilan sistem. Tragedi ini merupakan peringatan berpanjangan kepada kita bahawa kita sedang hidup dan berjalan di atas muka bumi yang langsung tidak menghiraukan kemanusiaan sebagai nilai yang wajib di imani bersama.

Jikalau manusia, semua yang bernafas menggunakan oksigen yang sama ini boleh merendah diri, mengimani rasa nikmat kemanusiaan yang dikurniakan tuhan, rasa cinta dan kasih sesama insan yang dianugerahkan, sudah pasti tragedi-tragedi begini tidak akan dilupakan. Dan semangatnya tidak akan mudah terbasmi dengan peredaran zaman.

Malah, lagi penting jika manusia kembali kepada hakikat ini sudah pasti akan tiada lagi pergomolan ego, pergaduhan emosi, pengkhianatan amanah, penyelewengan nilai, dan pencabulan kasih-sayang sesama manusia. Sudah pasti jua, jika manusia mengimani rasa kemanusiaan ini nyawa adik Aminulrasyid tidak melayang pada malam 4 tahun lepas, Teoh Beng Hock tidak dilayan dengan sekejam itu dan ramai lagi yang menjadi mangsi, pasti akan selamat dan sejahtera.

Moga arwah tenang di sana, dan moga ibu dan keluarga arwah terus kuat melawan ketidakadilan ini. Sesungguhnya, Tuhan itu Maha Adil dan pasti Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya yang dizalimi berseorangan.