Friday, March 28, 2014

Sosial Demokrasi dan Keterbukaan Rakan Politik DAP

DAP telah mencapai umur 48 tahun penubuhannya sejak 1966. Jika umur itu letaknya pada batang tubuh manusia, 48 tahun adalah suatu usia yang cukup matang, sedang berada di puncak kerjaya, kebanyakan anak mereka sudah remaja dan dewasa menanti untuk berkeluarga dan lumrahnya bila mencapai usia 48 tahun manusia akan memasuki suatu fasa baru dalam kehidupan iaitu bagaimana mereka mula merancang apakah gaya hidup mereka selepas bersara.

Namun bagi sebuah parti politik, yang keahliannya dinamik dengan datang dan perginya ahli saban waktu sudah tentu usia 48 tahun ini bukan bukti kukuh untuk mendabik bahawa DAP sudah masak dalam permainan politik dan begitu bersedia untuk menongkah arus dalam medan ini.

Ulang tahun ini juga akan menjadi garis peringatan penting buat DAP untuk terus meniti medan politik yang penuh ranjau di tanah air ini. Cabaran yang semakin sengit, bahkan bukan hanya datang daripada pihak lawan malah turut sekali sekala tersinggung bahu dengan rakan politiknya sendiri.

Ini lumrah alam seperti mana yang dinukilkan peribahasa Melayu klasik, lagikan lidah tergigit. Memang benar sekali ucapan ini menggambarkan situasi hubungan rapat antara DAP dan rakan politiknya dalam Pakatan Rakyat.

Tulisan ini sebenarnya bertujuan memperbetulkan DAP dengan nada yang agak aneh berbanding nada tulisan yang lain. Ramai yang yakin, parti ini adalah parti masa depan rakyat Malaysia. Menyoroti ideologi dan asas perjuangannya, nyata DAP mempunyai cita-cita yang begitu murni tetapi sukar untuk direalisasikan.

Tidak mengapa, jika ia senang maka itu tidak dinamakan perjuangan.

Usaha memekarkan wacana sosial demokrasi


Setelah 48 tahun wujudnya parti ini dan setelah beberapa kali berlakunya revolusi dalaman daripada sudut pegangan ideologi secara berperingkat, parti ini semakin selesa dan kukuh dengan kepercayaan sosial demokrasinya. Namun begitu persoalan yang wajar ditanya kepada parti, adakah wacana sosial demokrasi yang didamba DAP benar-benar mekar dalam kalangan ahlinya sendiri khususnya dan masyarakat Malaysia umumnya?

Persoalan ini berat untuk dijawab. Boleh dinyatakan secara yakin bahawa DAP masih belum benar-benar mampu menggarap perkara ini. Inilah cabaran utama DAP masa kini. Memberi fahaman kepada ahli bahawa sekian ini dan sekian itu adalah pegangan parti sangat tidak mencukupi untuk menjamin kelangsungan parti ini sendiri.

Membangkitkan persoalan ini tidak berniat untuk menafikan kerja keras DAP melalui Biro Pendidikan Politik yang diterajui YB Liew Ching Tong, bahkan ia merupakan penghargaan kepada usaha keras beliau dan pasukannya bahawa usaha itu memang mendapat perhatian ahli DAP walaupun bukan semua akan menghargainya.

Beberapa perkara yang berbangkit, antaranya ialah bagaimana DAP merangka strategi untuk memekarkan wacana dan diskusi ilmiah mengenai sosial demokrasi secara terbuka yang bukan hanya bersifat tulisan dalam makalah yang berat tetapi turut mempunyai kaliber untuk sampai maksudnya sehingga kepada ahli di peringkat akar umbi.

Hal ini penting agar maksud baik yang cuba digarap DAP melalui pembawaan ideologi sosial demokrasi itu bukan hanya menjadi slogan kosong seumpama 1Malaysia. Maksud baik di sini membawa erti nilai yang mahu disemai dalam kalangan ahli yang akhirnya, nilai ini akan menjadi tunjang kepada pembentukan sebuah masyarakat yang lebih baik seterusnya menjamin sebuah legasi kepimpinan yang benar-benar mengikuti acuan keadilan dan kebebasan yang sekian lama didambakan tanah air ini.

Apabila berbicara soal wacana sosial demokrasi yang terbuka, maka ini akan dapat memahamkan rakyat kebanyakan bahawa inilah wajah sebenar DAP. Sudah pasti kita mengharapkan agar dengan wujudnya wacana secara terbuka dan inklusif, maka ia akan disambut masyarakat di luarnya.

Daripada titik inilah, sudah pasti DAP akan mampu dan lebih berdaya untuk mendepani masyarakat Malaysia secara gah apabila persoalan yang timbul mengenai mereka sama ada oleh kawan atau lawan mampu dikupas dan dinikmati secara sihat oleh ahli dan bukan ahli.

Menyebut mengenai bukan ahli, 48 tahun DAP pasti tidak dapat dipisahkan dengan stigma mengenai kekurangan keahlian Melayu dan pengundi Melayu yang memilih DAP selaku wadah politik mereka. Maka usaha memekarkan wacana demokrasi sosial adalah bersifat kritikal untuk disegerakan dan jika sudah ada usahanya, dilipat gandakan lagi.

Jika ramai yang merasa yakin bahawa DAP adalah parti masa depan, parti sendiri harus bergerak dengan lebih rancak untuk merealisasikan keyakinan ini dalam alam realiti. Keyakinan mereka adalah boleh dijangka, iaitu komitmen DAP dalam memperjuangkan Malaysia yang bebas dan adil selaras dengan keimanan mereka dengan keutuhan ideologi sosial demokrasi yang menyantuni konteks Malaysia.

Bayangkan jika wacana sosial demokrasi ini mekar dan matang, alangkah bahagianya DAP selaku sebuah parti politik yang sudah hampir menjangkaui separuh abad usianya.

Mampukah PKR dan PAS berjiwa besar dengan DAP?


Soal memekarkan wacana ideologi DAP, itu satu perkara yang berat untuk dilaksanakan, namun ia tidak mustahil. Seperkara lagi untuk disoroti bersama sejajar dengan kematangan DAP yang semakin meningkat adalah sejauh mana kesediaan rakan politik DAP terutamanya PAS dan PKR menyambut parti ini seadanya dengan sifatnya pada masa mendatang.

Berat persoalan ini, walaupun pada waktu ini DAP dan rakannya boleh mendabik dada bahawa hubungan mereka umpama sebuah keluarga. Hakikat bahawa cabaran mendatang bukan pada bagaimana untuk DAP menyantuni rakan politiknya, tetapi sejauh mana mereka boleh berjiwa besar menerima kehadiran DAP akan datang.

Soal berjiwa besar perlu dikupas dengan penuh hati-hati. Semoga kupasan tidak disalah anggap umpama membuka pekung, tetapi dibaca dengan hati terbuka.

Sejak terbentuknya Pakatan Rakyat, jumlah kerusi yang ditandingi DAP adalah kecil berbanding PAS dan PKR. Memang daripada sudut logiknya, DAP dan semua parti dalam gabungan ini bertanding mengikut kemampuan masing-masing. Itu pada permulaan, maka tidak mengapa. Menjengah jendela PRU-13, sedikit sebanyak soal pembahagian kerusi ini menjadi isu.

Walaupun bukan isu besar dan boleh dipermainkan UMNO, ini bibit-bibit yang perlu disoroti dengan penuh berhati-hati oleh DAP. Sebenarnya tanggapan ini lahir daripada gesaan di awal tulisan ini iaitu DAP yang lahir hasil garapan wacana sosial demokrasi yang matang dan mekar, bakal merealisasikan impian bahawa DAP adalah parti masa depan.

Jika parti ini benar-benar memenuhi syarat parti masa depan, maka sudah pasti sokongan padanya semakin bertambah dan kuat, bahkan tidak mustahil menenggelami populariti rakan pakatan politiknya sendiri. Daripada sini, tidak mustahil akan timbul konflik yang kritikal jika tidak bijak diurus bermula daripada sekarang, dengan maksud semua rakan dalam pakatan politik ini boleh berjiwa besar menerima rakan mereka dengan sifat dan kekuatan yang mereka ada secara terbuka.

Untuk memberi gambaran yang jelas dalam kupasan ini, membayangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang DAP bukan sahaja diterima masyarakat Cina dan India, malah turut mendapat peratusan undi masyarakat Melayu yang besar sehinggakan menyamai peratusan rakan politik mereka. Hal ini tidak mustahil terjadi apabila DAP benar-benar berjaya memekarkan wacana ideologi mereka dalam masyarakat negara ini.

Pada saat itu, di mana parti ini diterima secara menyeluruh oleh sekalian masyarakat – dalam erti kata DAP bukan lagi bergantung hayatnya pada undi bukan Melayu sahaja – yang wujud di tanah air ini, adakah PAS dan PKR bersedia untuk memberi laluan kepada DAP menyumbangkan lebih ramai calon Melayu untuk menandingi kerusi DUN atau Parlimen yang majoriti Melayu, yang pada bacaan kasarnya akan menggugat jumlah kerusi mereka sendiri sama ada di peringkat DUN atau Parlimen?

Jadi persoalan ini relevan dan sesekali tidak boleh dipandang enteng. Jika ketika PRU-13 mungkin DAP masih boleh bersabar dengan halangan rakan politik mereka mengenai isu calon Melayu daripada DAP di kawasan majoriti Melayu, di masa hadapan adakah rakan politik DAP masih mahu kekal dengan sikap sebegini?

Makanya, lontaran persoalan mengenai keterbukaan PAS dan PKR untuk menerima DAP seadanya dengan sifatnya adalah perlu diambil berat oleh semua rakan parti ini. Semua boleh menjangkakan perkara ini akan berlaku juga, cuma masa yang akan menentukan. Apabila masyarakat negara ini semakin terpelajar dan semakin kritikal pemikirannya, semakin mekar dan matang wacana politiknya sudah pasti hal ini akan menjadi cabaran yang besar kelak.

Natijahnya tidak lain, adalah untuk memastikan kelangsungan cita-cita melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang bebas dan adil sejajar dengan impian pengasas dan bapa kemerdekaan negara ini.

Baiklah, jika ada yang membidas tulisan ini dengan mengatakan DAP seolah-olah syok sendiri, maka teruskan dengan keyakinan anda. Ia tidak menyalahi hukum alam pun kerana ini cuma sekadar tulisan yang begitu ringkas, yang bertujuan membawa kupasan yang bernada sedikit berbeza dengan lain-lain penulisan sempena ulang tahun ke 48 parti ini dan sebenarnya, ia hanya berbentuk pendapat semata-mata, kerana tidak didatangi bersamanya bukti empirikal pun.

Jika rakan politik DAP merasa ini tidak adil, maka jelas di situ ada sesuatu yang perlu 3 sekawan ini bermuhasabah. Banyak lagi perkara lain yang sama pentingnya – malah mungkin lebih penting – untuk DAP membuat koreksi dan penilaian semula sempena ulang tahun ini, tetapi 2 perkara yang dinyatakan di sini boleh turut menumpang lembayung kasih parti sosial demokrasi ini.

-------
Artikel ini disiarkan oleh RoketKini.com pada 26 March 2014